Anda di halaman 1dari 2

BINCANGKAN KEPENTINGAN AMALAN BERBUDI BAHASA DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan
masyarakt semakin lenyap dalam sanubari dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di
luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme,
vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas
menunjukkan betapa kroniknya masalah keluntura amalan berbudi bahasa dalam alangan masyarakat.
Sememangnya tidat dapat dinafikan bahawa kebejatan amalan mulia ini adalah disebabkan oleh budaya
kuning dari negara-negara barat seperti negara Amerika Syarikat dan United Kingdom yang terkenal
dengan sifat keterbukaan. Malaysia merupakan sebuah negara demokratik dan mengamalkan dasar
buka pintu bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, masyarakat tidak dapat lari
daripada pengaruh dunia luar dan pengaruh budaya kuning dengan mudahnya dapat bersarang di kotak
fikiran masyarakat.

Budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana
seribu satu kemaslahatan boleh diperolehi. Salah satu kepentingan amalan ini adalah dapat
mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbuddi
bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut.
Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni
dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam
pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat
dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan ‘Perpaduan
Teras Kejayaan’ jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum delam negara kita yang terdiri
daripada rencaman bangsa. Pepatah ada menyatakan ‘bersatu teguh bercerai roboh’. Justeru apabila
masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju da anasir-anasir luar tidak dapat
menggugat kestabilan negara dengan mudah.

Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyakrakat yang
lebih bertamadun. Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang
memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah. Oleh itu,
masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun dan empayar yang kuat dan hebat seperti
tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun Hwang Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa
itu teknologi masih belum berkembang dengan sepenuhnya. Namun begitu, senario hari ini yang
menyaksikan masyarakat yang biadap dan kasar sikapnya seperti mengeluarkan kata-kata yang kesat
amatlah memilukan hati bagai duri dalam daging. Hal ini seolah-olah masyarakat hari ini masih berada
dalam Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah sangat
rendah. Perkara ini tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat kita lagi memandangkan negara kita telah
dekad mencapai kemerdekaan. Untuk mendapatkan kemerdekaan bukanlah suatu perkara yang mudah
tetapi untuk mempertahanakan kemerdekaan merupakan perkara yang lebih sukar. Justeru, negara
amat memerlukan masyarakat yang berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula
oleh kuasa-kuasa asing seperti kuasa barat.
Dari kaca mata yang lain, industri pelancongan juga turut meningkat. Masyarakat yang berbudi
bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti memberi layanan yana sopan dan bersikap
lemah lembut terhadap pelancong asing. Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif
tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian yang
menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka ke sini adalah dialu-alukan dan
dihargai oleh masyarakat tempatan. Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan
Imigresen, pemandu pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang
lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut ketika
berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana masyarakatnya
sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan irasshaimase yang bermaksud selamat datang
dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi.
Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun. Justeru, budaya
yang murni ini perlulah diserapkan dalam jiwa dan raga setiap individu terutamanya golongan yang
perlu berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat menikmati percutian di negara kita.

Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. Pemimpin yang baik akan
dapat mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu daripada rakyat. Dalam
pada itu, golongan remaja merupakan aset yang sangan bernilai kepada negara kerana mereka adalah
generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa perlulah
dijadian panduan dalam kehidupan mereka supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada kancah
gejala sosial serta dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Pemimpin yang berbudi
bahasa juga dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin pemimpin dari negara lain akan kagum
dan menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi menjamin kemajuan dan keselamtan
negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu, negara kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan negara lain. Selain itu, negara kita akan terkenal di persada dunia kerana sifat budi
bahasa kita dan ini ankan menjadi kebanggaan masyarakat kita.

Kesimpulannya, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan
masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Mantan Perdana
Menteri Malaysia pernah menyatakan yang negara kita akan mudah dikalahkan jika kita mempunyai
infrastruktur kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa
pembangunan nilai dan budaya yang betul amat mustahak untuk negara mencapai cita-citanya yakni
untuk mencapai taraf negara maju yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara
gergasi yang lain di dunia. Dalam pada itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan
mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam menanam amalan berbudi
bahasa dalam diri setiap individu. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan
dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. Kita mengharapkan agar menjelang
tahun 2020, tabiat buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori
setiap rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai