Anda di halaman 1dari 21

1

Tajuk:
Aplikasi Teknik Titu Menggunakan Buku Tulis Garis Satu bagi
Meningkatkan Penguasaan Kemahiran Menulis Mekanis dalam Kalangan
Murid Tahun 3 Meranti.

Pendahuluan

Penulisan merupakan komponen yang penting dalam kurikulum bahasa
Melayu. Sistem pentaksiran bahasa Melayu sekolah rendah yang diguna pakai
sekarang merupakan sejenis ujian kertas-pensel yang memerlukan calon
menguasai kemahiran menulis dengan menggunakan alat tulis. Ujian ini
terbahagi kepada dua kertas iaitu kertas Pemahaman Bahasa Melayu dan kertas
Penulisan Bahasa Melayu di mana kertas pemahaman mengandungi 40 soalan
objektif manakala kertas penulisan mengandungi tiga soalan subjektif yang
memerlukan calon memberi jawapan dalam bentuk ayat atau karangan dengan
tulisan sendiri. Di dalam konteks ini , kemahiran menulis sebagai penentu
kepada kecemerlangan setiap murid di dalam peperiksaan tidak dapat dinafikan.
Kemahiran menulis perlu dikuasai oleh setiap orang murid kerana
penguasaan yang baik dalam kemahiran menulis akan membolehkan mereka
melahirkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam bentuk tulisan bagi
menjana idea untuk mengarang jawapan berbentuk esei ini. Penguasaan
terhadap kemahiran menulis memerlukan bimbingan dan latihan yang khusus
kerana kemahiran menulis adalah lebih kompleks daripada kemahiran
mendengar dan bertutur serta kemahiran membaca.
Murid-murid perlu diasuh untuk menguasai tiga peringkat kemahiran
menulis iaitu pratulisan, tulisan mekanis serta peringkat pelahiran mental atau
menulis dan mengarang dengan memberikan latihan asas menulis yang cukup
kukuh untuk membolehkan mereka menulis dengan baik , cekap dan pantas.
Murid-murid yang tidak dapat menguasai ketiga-tiga peringkat kemahiran
menulis ini akan menghadapi masalah untuk menterjemah idea dan fikiran
2

mereka dalam bentuk tulisan sebagai menepati kehendak soalan ujian berbentuk
subjektif ini.
Kelemahan menguasai kemahiran menulis ini akan menjejaskan
keupayaan murid menghasilkan satu bentuk karangan yang sempurna dan
tersusun. Mereka juga akan menjadi cepat bosan serta tidak mempunyai
semangat untuk menjawab soalan peperiksaan. Masalah ini jika tidak ditangani
dengan serius akan mengakibatkan murid bersikap sambil lewa terhadap
pelajaran. dan seterusnya akan gagal dalam peperiksaan.

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran
Saya adalah seorang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa
Inggeris di Sekolah Kebangsaan Jati, Ipoh. Saya telah memulakan tugas di
sekolah tersebut pada bulan Jun tahun 2011. Pada tahun ini, saya telah
diamanahkan untuk mengajar bahasa Inggeris Tahun 3 Meranti yang
menempatkan 36 orang murid berpencapaian paling rendah dalam kalangan
murid tahun 3. Sebagai seorang guru bahasa Inggeris, saya memang sangat
tidak berpuas hati dengan hasil tulisan murid-murid tahun 3 Meranti. Namun
begitu, untuk tujuan kajian tindakan saya tidak boleh menjadikan pencapaian
murid di dalam mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai kayu ukur yang menjadi
asas kepada kajian saya.
Oleh itu, apabila saja tugasan Kajian Tindakan Bahasa Melayu ini
diterima, saya berdepan dengan satu dilema. Bagaimana hendak membuat
kajian tindakan terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu
sedangkan saya mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris? Persoalan ini cuba
saya leraikan melalui perbincangan dengan pihak pentadbir sekolah agar
memberi peluang kepada saya untuk mengajar bahasa Melayu bagi
membolehkan saya menjalankan kajian tindakan. Pihak pentadbir menolak
permohonan saya kerana saya adalah seorang guru jurusan bahasa Inggeris
dan bukan seorang guru pelatih yang menjalani latihan mengajar.
Dilema ini benar-benar mencabar dan memaksa saya terus mendesak
pihak pentadbir membenarkan saya mengajar bahasa Melayu walau dengan apa
3

cara sekalipun agar saya dapat membuat kajian tindakan sebagai sebahagian
daripada syarat untuk melengkapkan kursus Pensiswazahan Guru Sekolah
Rendah yang sedang saya ikuti. Setelah dua minggu berurusan dengan pihak
pentadbir dan guru-guru bahasa Melayu sekolah tersebut, akhirnya kata sepakat
dicapai di mana guru bahasa Melayu tahun 3 Meranti membenarkan saya
mengambil alih waktunya untuk mengajar bahasa Melayu apabila perlu sahaja.
Saya telah bersetuju untuk mengajar bahasa Melayu selama satu jam seminggu
sebagai memulakan langkah untuk membuat kertas cadangan kajian tindakan.
Saya telah membuat persediaan yang rapi seperti yang dibuat oleh
kebanyakan guru pelatih untuk mengajar bahasa Melayu. Rancangan
pengajaran dan pembelajaran juga saya buat dengan panjang lebar bagi
memastikan langkah-langkah pengajaran saya menepati objektif pengajaran
agar hasil kerja murid menepati situasi pengajaran dan pembelajaran yang
sebenarnya. Semasa mengajar bahasa Melayu, saya juga telah meminta guru
mata pelajaran tersebut untuk memerhati pengajaran saya. Setelah itu, saya
juga turut berbincang dengan beliau untuk mendapatkan respon yang mungkin
boleh membantu saya dalam membuat kajian tindakan nanti.
Setelah melalui tiga sesi pengajaran dan pembelajaran saya dapati
murid-murid tahun 3 Meranti mengambil masa yang sangat panjang untuk
menyalin ayat tunggal yang diberi sebagai latihan di dalam setiap sesi
pengajaran dan pembelajaran. Setelah sebahagian kecil daripada mereka siap
menyalin ayat tersebut , sebahagian besar pula masih merangkak untuk
menyalin ayat-ayat tunggal tersebut. Setelah menyemak hasil kerja mereka,
saya dapati tidak ada seorang murid pun yang dapat menyalin ayat-ayat tersebut
dengan kemas, jelas dan mudah dibaca. Masalah yang dihadapi oleh mereka
ialah tidak mahir menyalin ayat dengan betul di mana susunan huruf-huruf yang
ditulis tidak mengikut saiz dan bentuk huruf yang betul. Mereka juga keliru
dengan penggunaan huruf besar. Ada di antara murid-murid saya sangat keliru
untuk menulis huruf kecil yang bentuknya sama atau hampir sama dengan huruf
besar. Walau bagaimanapun, masalah utama yang menyebabkan mereka tidak
4

dapat menyalin ayat-ayat tunggal yang diberi dalam tempoh masa yang
ditetapkan adalah kerana mereka tidak menguasai kemahiran menulis mekanis.

Andaian yang dapat saya buat ialah murid-murid ini tidak mendapat
latihan menulis mekanis yang betul dan mantap di mana guru Bahasa Melayu
yang mengajar mereka kurang menitikberatkan penguasaan kemahiran menulis
mekanis semasa mereka berada di tahun satu dan di tahun dua. Saya bimbang
sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan baik, murid-murid ini tidak akan
dapat menulis dengan cekap, kemas dan betul yang pastinya akan
menyebabkan mereka lambat menyalin ayat-ayat yang diberi. Masalah ini juga
akan menyebabkan murid tidak dapat menguasai kemahiran menulis yang kedua
iaitu pelahiran mental yang sudah semestinya akan menjejaskan prestasi
mereka di dalam ujian dan peperiksaan bagi mata pelajaran bahasa Melayu
khasnya dan mata pelajaran yang lain amnya.
.
Sorotan Literatur/Tinjauan Literatur

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (Kementerian Pelajaran 2003) memperincikan kemahiran menulis
sebagai keupayaan murid menulis perkataan dan membina ayat, serta dapat
mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan seperti yang tersenarai di
dalam objektifnya yang keempat iaitu mengenali dan menghasilkan pelbagai
jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan
kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul.
Sehubungan dengan itu, kemahiran menulis adalah sangat penting dan
perlu dilaksanakan berdasarkan penguasaan kemahiran mengikut tahap-
tahapnya secara sistematis. Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan
berhubung dengan kemahiran menulis ini di samping pendapat dari pengarang-
pengarang buku ilmiah yang tersohor.


5

Menurut Chua Soon Bui ( 2008 ) Ujian Penapisan K1A2M pada bulan
Januari 2008 memperlihatkan sebanyak 65.5% atau 28,700 murid tahun1 di
Sabah tidak dapat menguasai kemahiran membaca, menulis atau mengira.
Manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula
mendedahkan 60% murid tahap satu di sekolah rendah seluruh negara masih
belum menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis sehingga bulan
Februari 2010. Kedua-dua dapatan ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya
masalah penguasaan kemahiran menulis dalam kalangan murid sekolah rendah
di Malaysia. Kajian seterusnya memperlihatkan pentingnya murid sekolah rendah
menguasai kemahiran menulis.
Menurut Noorazman Mahat ( 2012 ) murid perlu mahir menulis kerana
hampir semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan murid menjawab
dalam bentuk tulisan dan ada juga yang memerlukan jawapan yang panjang
lebar dalam bentuk ayat. Ahmad Khair Mohd Nor ( 2005) menyatakan bahawa
dalam pengajaran kemahiran menulis, penguasaan peringkat asas adalah
dimulakan dengan menulis huruf, perkataan, ayat dan akhirnya sebuah wacana
yang dapat difahami apabila dibaca. Ini bertepatan dengan Faridah Serajul Haq
dan rakan-rakan (2001) yang memetik bahawa proses pengajaran dan
pembelajaran kemahiran menulis juga perlu diberi perhatian bagi menjamin
kecemerlangan pencapaian penulisan dalam kalangan murid.
Menurut kajian daripada Che Zanariah, Fadzilah (2011) yang
menganalisis sikap guru terhadap pengajaran dan pembelajaran kemahiran
menulis menyimpulkan bahawa sikap positif guru penting dalam usaha
meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis.
Dapatan ini disokong oleh kajian Jeyagobi Dhamoderem (2008) iaitu guru-guru
mengambil berat tentang kemahiran menulis kerana ia merupakan salah satu
aspek wajib dalam mengajar bahasa.
Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan, dapat disimpulkan
bahawa isu penguasaan kemahiran menulis ini memang telah dan masih wujud
dalam kalangan murid-murid di Malaysia. Oleh itu dalam usaha untuk menyelami
isu ini, pendapat tokoh-tokoh pengarang buku ilmiah adalah sangat penting
6

untuk membantu saya memahami dengan lebih mendalam kemahiran menulis
agar dapat merancang satu bentuk kajian tindakan yang menepati keperluan
murid-murid saya serta selaras dengan konsep dan tujuan pengajaran
kemahiran menulis mekanis bagi murid-murid tahap satu sekolah rendah.
Abdullah Hassan ( 2007 ) menyatakan dalam sistem komunikasi manusia,
ada penutur dan ada pendengar. Ada penulis dan ada pembaca. Oleh sebab itu,
bahasa manusia dapat disalurkan melalui bunyi yang diujarkan atau dituliskan.
Melalui saluran bunyi dan tulisan bahasa dapat disebarkan.
Kamus Dewan(2007) mendefinisikan menulis sebagai mencatat kata-kata
dengan huruf dan memakai pena. Kamaruddin Hussin ( 1986) pula mentakrifkan
tulisan sebagai bahasa dengan lambang-lambang bunyi. Tulisan adalah alat
untuk melahirkan fikiran dan perasaan. Seseorang individu akan dapat
menikmati hasil fikiran dan perasaan orang lain melalui butiran-butiran
tulisannya. Oleh itu, pelajaran menulis sangatlah penting kerana ia bertindak
sebagai alat bagi menurunkan segala isi pelajaran dan mempamerkan buah
fikiran seseorang itu.
Raminah Hj Sabran (1991) meletakkan kemahiran menulis sebagai suatu
kemahiran yang tertinggi yang memerlukan seseorang itu menerapkan beberapa
subkemahiran seperti kemahiran mengenal dan menulis huruf-huruf dalam suatu
himpunan perkataan, frasa atau ayat mengikut sistem tulisan dan sistem ejaan
yang telah ditentukan oleh sesuatu bahasa. Raminah Hj Sabran (1991) turut
memperjelaskan bahawa kemahiran menulis bukan sahaja memerlukan
kemahiran mengenal pasti perbezaan dan mengingati bentuk , nama dan bunyi
huruf-huruf tetapi juga memerlukan kesediaan otot jari-jemari tangan yang
membolehkan seseorang kanak-kanak itu membentuk atau menulis huruf-huruf.
Menurut beliau lagi , penilaian kemahiran menulis mekanis bertujuan untuk
mengukur kebolehan dan kecekapan murid dalam mengenal huruf-huruf yang
terdapat di dalam sistem ejaan, membentuk huruf-huruf dan menggabungkannya
menjadi perkataan dengan tulisan yang jelas dan tepat. Raminah Hj Sabran
(1991) turut menyarankan guru memberi perhatian terhadap ketepatan bentuk
7

huruf, tanda-tanda bacaan, penggunaan huruf-huruf kecil dan huruf besar dan
kekemasan tulisan semasa memeriksa tulisan murid-murid.
Kamarudin Hj Husin, Siti Hajar Hj Abd Aziz. (1997) turut menyentuh
bahawa melalui aktiviti menulis , pelajar akan dapat merakam atau menghasilkan
bahan yang berbentuk idea, pengalaman, perasaan, dan maklumat dalam
bentuk tulisan untuk berhubung dengan orang lain atau diri sendiri.
Pendapat tokoh-tokoh pengarang buku ilmiah ini meletakkan tulisan
sebagai salah satu cabang bahasa yang sangat penting. Tulisan lahir daripada
bunyi-bunyi bermakna yang dilambangkan dengan simbol-simbol yang
kemudiannya dinamakan huruf. Dengan adanya tulisan, bahasa dapat disebar
luaskan dan menjadikan ia hidup dan berkembang. Tulisan juga menjadi salah
satu medium komunikasi di seluruh dunia. Melalui tulisan, pelbagai ilmu dapat
dipelajari dan dimanfaatkan untuk kemajuan dan peradaban bangsa.
Dapatan ini turut menjelaskan kedudukan kemahiran menulis sebagai
kemahiran paling kompleks kerana ia memerlukan kematangan urat saraf yang
mengawal otot jari dan tangan serta menghasilkan penyelarasan di antara mata
dengan tangan sebagai aset terpenting kebolehan menulis.Kemahiran menulis
menggabungkan kemahiran mendengar dan bertutur serta kemahiran membaca
untuk membentuk simbol tulisan dalam bahasa yang turut melibatkan proses
berfikir, menaakul, menyusun dan mengolah idea sebelum menzahirkannya
dalam bentuk wacana yang lengkap.
Menulis adalah satu proses untuk memberikan simbol-simbol grafik
kepada bunyi-bunyi yang bermakna bagi melambangkan bahasa dalam
menyusun perkataan, rangkai kata, ayat dan seterusnya unit-unit yang lebih
panjang, mengikut peraturan-peraturan tertentu dengan menunjukkan wacana
dan pelahiran idea yang jelas dan tersusun. Justeru setiap guru perlu memberi
penekanan kepada kepentingan penilaian kemahiran menulis yang akan
membantu mengenal pasti tahap pencapaian muridnya agar setiap proses
kemahiran menulis dapat dikuasai oleh murid dengan sebaik mungkin.

8

Berdasarkan sorotan literatur yang telah dijalankan, saya yakin bahawa
masalah penguasan kemahiran menulis mekanis bagi murid-murid tahun 3
Meranti bukan sahaja berpunca dari sikap mereka sendiri tetapi juga disebabkan
oleh kurangnya penekanan guru dalam memastikan semua murid telah
menguasai kemahiran pratulisan sebelum melangkah ke kemahiran menulis
mekanis. Setelah murid berada di tahun 3, mereka sudah mula menggunakan
kemahiran menulis peringkat yang tinggi iaitu pelahiran mental di mana mereka
perlu membina ayat secara berpandu. Di tahap inilah, masalah mula timbul
kerana murid bukan sahaja gagal untuk membina ayat malahan untuk menyalin
ayat tunggal pun tidak dapat dilakukan dengan cekap, kemas dan betul. Adalah
menjadi harapan saya, teknik Titu yang akan digunakan dalam kajian tindakan
saya dapat membantu murid menulis dengan cekap, kemas dan betul
menggunakan buku garis satu. Pengaplikasian teknik Titu ini juga diharap akan
dapat meningkatkan penguasaan kemahiran menulis mekanis dalam kalangan
murid tahun 3 Meranti ini agar murid menjadi lebih yakin dan tidak teragak-agak
untuk menulis perkataan dan ayat dengan cekap, kemas dan betul semasa
membuat latihan menulis.

Fokus Kajian

Semasa saya menjalankan rundingan dengan pihak pentadbir sekolah
untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu bagi tujuan kajian tindakan ini,
saya diberi kebenaran untuk memantau proses pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu yang dikendalikan oleh guru bahasa Melayu kelas 3 Meranti.
Dalam tempoh dua minggu memantau , saya juga telah berbincang dengan
guru-guru bahasa Melayu tahun 3 di sekolah ini berhubung gaya pembelajaran
murid tahun 3 yang mempengaruhi kemajuan pelajaran. Dapatan perbincangan
ini adalah seperti yang saya jangkakan, sangat berkait rapat dengan isu
penguasaan kemahiran menulis mekanis yang ingin saya kaji.
Justeru, peluang mengajar selama satu jam seminggu itu saya
manfaatkan sebaiknya dengan percubaan pertama mengajar bahasa Melayu.
Saya membuat persediaan mengajar yang secukupnya dengan memberi fokus
9

kepada kemahiran menulis kerana hasil pemantauan dan perbincangan saya
dengan guru bahasa Melayu kelas 3 Meranti mendapati murid-murid ini tidak
dapat menyalin ayat dengan kemas dan teratur. Di samping itu, mereka juga
tidak cekap menyalin perkataan dan kerap kali gagal menyiapkan latihan
menyalin ayat yang diberi dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Setelah proses pengajaran berjaya dilaksanakan, saya bertambah yakin
bahawa murid-murid ini tidak menguasai kemahiran menulis mekanis dengan
baik. Mereka boleh menyalin ayat, tetapi bentuk , saiz, kedudukan serta jarak
huruf dalam perkataan tidak terkawal menyebabkan hasil penulisan mereka
sukar dibaca. Kegagalan menguasai kemahiran menulis mekanis ini juga
menyebabkan mereka mengambil masa yang terlalu panjang untuk menyalin
perkataan sehingga menjadi ayat. Setelah dua minggu membuat pemantauan di
samping mengajar bahasa Melayu selama dua jam, saya membuat kesimpulan
bahawa murid-murid kelas tahun 3 Meranti ini mempunyai pelbagai masalah
pembelajaran. Namun begitu, isu yang menjadi keperihatinan saya ialah
penguasaan kemahiran menulis mekanis yang tidak mantap.
Saya percaya ada cara yang boleh diguna pakai untuk membantu guru
memperbaiki mutu pengajaran agar dapat membimbing murid menguasai
kemahiran menulis mekanis dengan cekap. Walaupun terdapat enam orang
murid pemulihan namun kesemua murid yang lain telah mengenal huruf dari a
hingga z dan boleh menulis. Oleh itu, peluang untuk menambah baik kemahiran
menulis mekanis murid-murid ini adalah cerah asalkan saya dapat memilih dan
melaksanakan langkah yang betul, sesuai dan tepat di dalam kajian tindakan
saya.
Saya perlu mengumpul data awal sebagai bahan bukti yang akan
membantu saya dalam kajian di samping menyusun atur langkah-langkah untuk
memperbaiki kemahiran menulis mekanis. Saya telah membuat pemerhatian
terhadap tingkah laku murid-murid semasa mereka sedang belajar bahasa
Melayu selama dua minggu. Hasil tulisan mereka di dalam buku latihan telah
saya semak dan dikumpul sebagai bukti wujudnya masalah penulisan. Hasil
penulisan murid-murid ini adalah sangat penting untuk membuat banding beza
10

hasil penulisan murid sebelum , semasa dan selepas kajian tindakan
dilaksanakan.

Objektif dan Persoalan Kajian

Objektif Umum
Kajian ini dirancang untuk membantu meningkatkan penguasaan kemahiran
menulis murid tahun 3 Meranti agar dapat menulis perkataan dan ayat dengan
betul, kemas dan cekap dalam masa yang ditetapkan oleh guru.
Objektif khusus
Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk:
1. Meningkatkan penguasaan kemahiran menulis mekanis murid melalui
kaedah tiru dan tulis berpandukan carta keluarga huruf .
2. Meningkatkan keupayaan murid untuk menulis perkataan dan ayat dengan
betul, kemas dan cekap dengan menggunakan lembaran kerja kertas garis
satu.
3. Membantu guru menambah baik amalan pengajaran untuk memastikan murid
dapat menguasai kemahiran menulis mekanis dengan cekap.
Persoalan Kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menjawab persoalan berikut :

1. Apakah yang boleh saya lakukan untuk menambah baik amalan pengajaran
saya agar dapat membantu murid menguasai kemahiran menulis mekanis
dengan cekap?
2. Bagaimanakah kaedah tiru dan tulis berpandukan carta keluarga huruf dapat
meningkatkan penguasaan kemahiran menulis mekanis murid-murid tahun 3
Meranti?
3. Apakah kaedah tiru dan tulis ini dapat meningkatkan kemahiran menulis
murid-murid tahun 3 Meranti agar dapat menulis perkataan dan ayat dengan
betul, kemas dan cekap menggunakan lembaran kerja kertas garis satu,
dalam masa yang ditetapkan oleh guru?
11


Kumpulan Sasaran
Populasi kajian saya ini merujuk kepada murid-murid tahun 3 Meranti di
Sekolah Kebangsaan Jati, Ipoh. Terdapat seramai 36 orang murid di dalam kelas
tahun 3 Meranti yang terdiri daripada 24 orang murid lelaki dan 12 orang murid
perempuan. Terdapat 3 orang murid lelaki India di dalam kelas ini. Murid tahun 3
Meranti ini dipilih kerana mereka merupakan kelas di mana pengkaji berpeluang
mengajar mata pelajaran bahasa Melayu bagi tujuan kajian tindakan ini. Murid-
murid di dalam kelas ini mempunyai tahap kepintaran, sikap dan motivasi yang
lebih kurang sama di mana mereka merupakan murid yang mempunyai
pencapaian yang paling rendah dalam kalangan murid tahun 3 di sekolah ini
berdasarkan pencapaian peperiksaan akhir tahun 2011. Namun begitu, kesemua
mereka sudah boleh membaca dan mengenal semua huruf-huruf abjad. Mereka
sangat aktif apabila menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara
berkumpulan terutamanya permainan bahasa.
Sampel kajian ini akan saya pilih secara rawak daripada 36 orang murid
tahun 3 Meranti ini. Murid-murid tahun 3 Meranti ini tinggal di kawasan
perumahan kos rendah dan kos sederhana berhampiran dengan sekolah.
Kebanyakan daripada mereka adalah dari golongan keluarga berpendapatan
rendah dan sederhana dan mereka datang ke sekolah dengan pelbagai cara
termasuklah dengan berjalan kaki. Murid-murid ini mempunyai daya tumpuan
terhadap pelajaran yang agak lemah.

Tindakan Yang Dicadangkan

Kajian tindakan ini akan saya mulakan dengan melakukan pemerhatian ke
atas hasil kerja latihan menulis murid-murid tahun 3 Meranti untuk meninjau
tahap penguasaan kemahiran menulis murid yang sebenar sebelum saya mula
melaksanakan pengajaran menggunakan teknik tiru dan tulis menggunakan
buku tulis bergaris satu berpandukan carta keluarga huruf. Hasil pemerhatian ini
akan saya analisis dan rekodkan untuk memudahkan saya membuat
12

perbandingan terhadap perkembangan kemahiran menulis murid-murid tahun 3
Meranti sebelum, semasa dan selepas proses kajian tindakan dilaksanakan.
Setelah itu, saya akan menjalankan pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu dengan mengaplikasikan teknik tiru dan tulis semasa mengajar
kemahiran menulis mekanis. Murid akan dilatih untuk menulis menggunakan
buku garis satu berpandukan carta keluarga huruf yang akan saya bina dan
pamerkan di dalam kelas sebagai pedoman kepada murid. Pengajaran ini akan
saya rancang dengan baik agar panduan menulis berpandukan carta keluarga
huruf dapat diberi kepada murid secara berperingkat supaya murid tidak keliru.
Murid juga akan diberi latihan menulis perkataan , huruf dan ayat secara ansur
maju untuk memahirkan murid menulis bentuk dan saiz huruf yang betul
dengan cekap dan kemas.
Setelah sesi pengajaran berperingkat ini selesai, murid-murid akan diberi
latihan menyalin ayat menggunakan petikan pendek yang terdapat di dalam buku
teks Bahasa Melayu Tahun 3 untuk menilai perkembangan hasil tulisan murid
setelah proses pengajaran dalam kajian tindakan ini berakhir. Kesemua
dokumen-dokumen ini akan dianalisis.
Akhir sekali, saya akan meminta murid menjalani sesi soal-selidik. Murid-
murid dikehendaki menjawab soalan di dalam kertas soal selidik berhubung
program yang telah mereka ikuti. Soal selidik ini juga adalah refleksi murid yang
akan saya gunakan untuk menambah baik amalan pengajaran saya supaya
mencapai tahap yang lebih baik lagi untuk memenuhi keperluan pembelajaran
murid.

Perancangan Tindakan
Bagi menjalankan kajian tindakan ini, saya telah merancang langkah-
langkah yang perlu saya ambil untuk menangani isu yang telah saya kenal pasti
di dalam beberapa sesi pengajaran dan pembelajaran.



13

Langkah 1
Semasa mengajar kemahiran menulis, saya akan memperkenalkan
keluarga huruf kepada murid dengan menggunakan carta keluarga huruf.
Keluarga huruf ini saya bahagikan kepada tiga iaitu huruf pendek, huruf panjang
ke atas dan huruf panjang ke bawah.

Carta keluarga huruf

Huruf pendek : a, c, e, o, s, m, n, u, v, w, x, z
Huruf panjang ke atas : b, d, f, h, i, k, l, t
Huruf panjang ke bawah : g, j, p, q, y

Murid akan dilatih mengenal huruf-huruf bagi setiap keluarga huruf ini
melalui aktiviti menyusun huruf-huruf yang digunting daripada keratan akhbar
untuk membentuk perkataan dan menampal huruf-huruf tersebut dengan jarak
yang betul di atas kertas lembaran kerja bergaris satu. Aktiviti yang berbentuk
permainan berkumpulan ini akan membantu murid mengecam perkataan dari
setiap keluarga huruf yang telah diperkenalkan dengan lebih cekap dan pantas
serta berlumba untuk menyusun huruf-huruf membentuk perkataan dengan
jarak serta saiz huruf yang betul dan kemas.

Langkah 2

Murid akan diberi latihan menyalin perkataan dan frasa yang mudah
menggunakan huruf-huruf dari keluarga huruf pendek yang ditulis oleh guru di
papan putih. Murid akan membuat latihan menulis tersebut di dalam buku latihan
garis satu. Carta keluarga huruf yang disediakan akan menjadi pedoman untuk
membantu murid menulis dengan bentuk, saiz dan jarak huruf yang bersesuaian,
di samping pemantauan guru dan bimbingan rakan sebaya.



14

Langkah 3
Murid akan dilatih menulis huruf panjang ke atas dengan menyalin frasa
dan ayat tunggal yang mudah yang ditulis oleh guru di papan putih. Murid akan
menulis frasa dan ayat tersebut di dalam buku garis satu berpandukan carta
keluarga huruf. Guru akan memantau dan membimbing apabila perlu.

Langkah 4
Bagi sesi pengajaran yang seterusnya pula, murid akan dilatih menyalin
frasa dan ayat tunggal yang mudah yang mengandungi huruf panjang ke bawah.
Murid perlu menyalin frasa dan ayat tunggal yang ditulis oleh guru di papan
putih ke dalam buku garis satu dengan cekap dan kemas berpandukan carta
keluarga huruf panjang ke bawah.

Langkah 5
Setelah sesi pengajaran berperingkat ini selesai, murid-murid akan diberi
latihan menyalin ayat sebagai memantapkan kemahiran menulis murid. Murid
akan dilatih menyalin satu ayat yang dipetik dari buku teks secara berulang
sebanyak sepuluh kali. Ayat ini terdiri daripada perkataan dari keluarga huruf
pendek, panjang ke atas dan panjang ke bawah. Pada peringkat ini juga, carta
keluarga huruf masih menjadi pedoman kepada murid.
untuk menilai perkembangan hasil tulisan murid setelah proses
pengajaran dalam kajian tindakan ini berakhir. Kesemua dokumen-dokumen ini
akan dianalisis.
Setelah sesi pengajaran berperingkat ini selesai, murid-murid akan diberi latihan
menyalin ayat menggunakan petikan pendek yang terdapat di dalam buku teks
Bahasa Melayu Tahun 3.

Perancangan Cara Mengumpul Data

Data-data yang diperlukan untuk tujuan kajian ini akan saya kumpulkan
melalui kaedah pemerhatian, analisis dokumen dan soal selidik. Semasa
membuat pemerhatian, catatan lapangan yang tidak berstruktur akan digunakan
15

untuk mencatat sebarang insiden, peristiwa, interpretasi insiden dan isu yang
akan diperhatikan serta idea yang mungkin timbul semasa memerhatikan murid
membuat latihan menulis. Pemerhatian dari hari ke hari akan membolehkan saya
melihat perkembangan kemahiran menulis murid-murid.

Saya juga akan memperoleh data melalui analisis dokumen yang akan
dijalankan ke atas hasil latihan penulisan sampel kajian sepanjang tempoh
pelaksanaan kajian tindakan ini. Hasil kerja yang dikumpul tersebut akan
disemak dan dianalisis kandungannya setiap kali tamat suatu sesi pengajaran
dan pembelajaran, dan diberikan gred .
Selain daripada itu, data-data juga akan saya kumpul melalui kaedah
soal-selidik. Dapatan dari soal-selidik ini akan dianalisis dan dijadikan sandaran
untuk menilai keberkesanan teknik tiru dan tulis berpandukan carta keluarga
huruf dalam memperbaiki kemahiran menulis mekanis murid-murid tahun 3
Meranti .

Perancangan Cara Menganalisis Data

Kesemua data yang akan dikumpul perlu dianalisis segera agar dapat
membantu guru mendalami isu yang telah dikenal pasti. Data pemerhatian
dianalisis berdasarkan catatan lapangan tidak berstruktur yang akan dijalankan
sepanjang tempoh kajian tindakan berlangsung. Analisis akan dilakukan secara
perbincangan serta analisis aspek-aspek tidak terduga.
Analisis kandungan akan dilakukan ke atas hasil kerja murid yang telah
diberikan secara berperingkat sepanjang tempoh kajian tindakan untuk
mengesan sebarang perubahan yang berlaku dalam proses menilai
perkembangan kemahiran menulis murid. Borang penyemakan tulisan beserta
skema pemberian gred akan menjadi instrumen yang membantu guru
menganalisis data-data tersebut untuk menilai pencapaian atau perkembangan
kemahiran menulis murid sepanjang proses tersebut.
Di samping itu, saya menggunakan triangulasi sumber dengan meminta
bantuan dua orang guru untuk menyemak hasil kerja murid dan seterusnya
16

memberi pandangan tentang masalah tulisan murid-murid tahun 3 Meranti. Dua
orang guru ini juga akan turut menyemak hasil kerja murid sebelum, semasa
dan selepas program dijalankan.

Selain daripada itu, saya juga akan menganalisis hasil soal selidik ringkas
untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung latar belakang, minat dan
pandangan murid tentang program kajian tindakan yang bertujuan untuk
membantu guru dalam membimbing murid-muridnya agar dapat menguasai
kemahiran menulis mekanis dengan cekap.

Perancangan Pelaksanaan Tindakan

Sebelum menjalankan sesuatu tindakan, perancangan yang rapi adalah
sangat perlu dalam memastikan kelancaran proses. Perancangan yang rapi juga
akan membantu pengkaji mematuhi waktu yang telah ditetapkan untuk
memastikan kajian dapat disempurnakan. Bagi tujuan kajian tindakan ini ,
perancangan pelaksanaan tindakan terbahagi kepada dua bahagian iaitu
Jadual Pelaksanaan dan Kos Kajian.





17


Bil Aktiviti
Waktu Pelaksanaan
JAN FEB MAC APR MEI JUN JUL OGO DIS
1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 1 2
1 Membuat pembacaan teliti untuk
memahami Kajian Tindakan..

2 Mengadakan rundingan dengan pentadbir
sekolah untuk mendapatkan kebenaran
mengajar bahasa Melayu bagi tujuan
Kajian Tindakan.

3 Meninjau p&p bahasa Melayu bagi kelas-
kelas tahun 3 di SK Jati.

4 Mengenal pasti masalah dan membuat
tinjauan literatur.

5 Menjalankan P&P B.Melayu untuk
mengenal pasti fokus kajian dan
pengumpulan data awal.

6 Menentukan fokus kajian dan membuat
huraian.

7 Membuat analisis data awal untuk
kajian tindakan.

8 Membincangkan kekuatan dan
kelemahan kaedah Titu.

9 Membuat rancangan kajian tindakan.

10 Membuat anggaran kos kajian.

11 Menulis draf proposal kajian tindakan.

12 Menghantar draf untuk semakan
pensyarah.

13 Mengedit draf proposal dan membuat
pemurnian

14 Menghantar proposal Kajian Tindakan
untuk semakan pensyarah.

18


Bil Aktiviti Waktu Pelaksanaan
JAN FEB MAC APR MEI JUN JUL OGO DIS
1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 3 4 1 2 1 2
15 Membuat rundingan kedua dengan
pentadbir SK Jati untuk melaksanakan
kajian tindakan.

16 Melaksanakan kajian tindakan langkah 1,
2 , 3, 4, 5 dan mengumpul data.

17 Membincangkan kekuatan dan kelemahan
kajian tindakan yang telah dijalankan
dengan guru bahasa Melayu tahun 3M
dan guru panitia.

18 Menganalis data-data yang diperolehi.

19 Membuat refleksi kajian.

20 Menulis laporan kajian tindakan.

21 Menyediakan laporan kajian tindakan
untuk pembentangan.

22 Membentangkan hasil laporan kajian
tindakan untuk makluman JPM / R&I


Jadual 1 : Rancangan Pelaksanaan Tindakan





19

Kos Anggaran Perbelanjaan

Kos yang dianggarkan bagi menjalankan kajian tindakan adalah seperti yang
ditunjukkan dalan Jadual 2 di bawah.

Bil Jenis Bahan Kuantiti x Harga
Seunit
Jumlah Kos
1. Kertas A4 ( Lembaran Kerja) 1 Rim x RM 12 RM 12
2. Buku Tulis Garis Satu 36 x RM 0.60 RM21.60
2. Kad Manila ( Carta Mini ) 20 x RM 1 RM 20
3. Pen Penanda Kekal 4 x RM 3 RM 12
4. Pen Penanda Papan Putih 4 x RM 3 RM 12
5. Dakwat pencetak (hitam) 1 x RM 65 RM 65
Jumlah RM142.60

Jadual 2 : Kos Anggaran Kajian
20

Refleksi
Alhamdulillah. Saya panjatkan syukur ke hadrat Ilahi di atas kesempatan
yang telah diberikannya sehingga dapat juga saya menyempurnakan tugasan
yang diberikan. Tugasan Kajian Tindakan Bahasa Melayu Rendah ini
menghendaki saya menelusuri permasalahan yang timbul dalam proses
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu serta menentukan isu yang akan
menjadi fokus kajian. Saya juga perlu membuat sorotan literatur berdasarkan isu
kajian dan menyediakan proposal bagi kajian tindakan ke atas isu yang saya
pilih.
Sebelum memulakan tugasan saya telah meneliti nota-nota yang
dibekalkan oleh pensyarah serta membaca contoh-contoh kajian tindakan yang
dipaut dari laman sesawang. Saya turut mentelaah buku Kajian Tindakan untuk
PISMP serta jurnal bahasa di samping membuat tinjauan menggunakan buku-
buku Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu. Saya turut membuat pautan laman-
laman sesawang bagi mendapatkan maklumat berhubung isu keperihatinan saya
iaitu penguasaan kemahiran menulis mekanis.
Penulisan proposal kajian tindakan ini agak lewat dimulakan kerana saya
menghadapi masalah untuk membuat kajian terhadap pengajaran dan
pembelajaran bahasa Melayu memandangkan saya mengajar mata pelajaran
bahasa Inggeris. Adalah sukar bagi pentadbir sekolah untuk memberi ruang buat
saya mengajar bahasa Melayu kerana saya bukan seorang guru pelatih yang
menjalani latihan mengajar. Saya terpaksa berunding dengan pentadbir dan guru
yang mengajar bahasa Melayu bagi kelas tahun 3 agar membenarkan saya
memantau proses pengajaran yang dikendalikan oleh beliau . Setelah seminggu
memantau , saya terus memujuk guru bahasa Melayu ini dan mengasaknya
dengan pelbagai soalan berhubung gaya pembelajaran murid yang
mempengaruhi kemajuan pelajaran. Beliau akhirnya mendapatkan persetujuan
pentadbir sekolah untuk membenarkan saya mengajar dua waktu bahasa
Melayu apabila perlu sahaja.


21

Semasa membuat sorotan literatur tugasan ini, saya sangat kagum
dengan keupayaan para pengkaji lain yang telah membuat kajian dengan
pelbagai kaedah yang sesuai dengan fokus kajian. Dapatan dari kajian mereka
sangat berguna dan menjadi titik tolak kepada permulaan proposal kajian
tindakan saya. Di samping itu, saya turut berkongsi pengalaman dengan guru-
guru lain yang turut mengajar murid-murid tahun 3 Meranti. Alhamdulillah,
setelah itu saya tidak menghadapi halangan yang besar untuk membuat huraian
terhadap isu keperihatinan saya.
Tugasan ini tergendala seketika apabila memasuki fasa terakhir di mana
cara mengumpul dan menganalisis data tidak dapat saya lakukan. Saya terpaksa
membaca beberapa artikel kajian dari jurnal disamping mentelaah tajuk tersebut
dari buku-buku kajian tindakan untuk sempurnakan cara mengumpul dan
menganalisis data bagi proposal ini. Sesungguhnya, tugasan ini sangat
berfaedah dan telah memainkan peranan yang penting untuk saya mengenal
pasti dan memahami isu-isu pengajaran dan pembelajaran dengan lebih
mendalam. Selain itu, saya juga berkesempatan menimba pelbagai ilmu melalui
pembacaan jurnal-jurnal kajian tindakan terutamanya bentuk penulisan ilmiah
untuk memperbaiki mutu tugasan saya di masa akan datang.
Setelah semua bahagian tugasan ini saya siapkan, barulah terasa lega di
hati. Namun begitu, saya sedar masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki
dalam menyempurnakan tugasan kajian di masa akan datang. Ribuan terima
kasih buat para pensyarah yang dikagumi, rakan-rakan kuliah dan guru-guru
sekolah ini yang tidak lokek berkongsi ilmu serta tidak dilupa keluarga tercinta
yang sentiasa menyokong perjuangan saya di medan pengajian ini.

Anda mungkin juga menyukai