Anda di halaman 1dari 12

Soalan 1

Berdasarkan pengalaman semasa menjalani internship selama sebulan, huraikan
lima jenis salah laku guru di sekolah tempat anda membuat internship yang
melanggar Peraturan – peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (
Pindaan 2002) dan implikasi terhadap perkhidmatan mereka di sekolah.
1.0) Pengenalan
Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara pekerjaan yang
paling penting dalam proses pembagunan manusia, masyarakat dan negara. Profesion
perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu
pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi, peranan guru
menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan
martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke tahap yang
lebih tinggi.
Oleh yang demikian Peraturan – peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan
Tatatertib) telah diperkenalkan sebagai panduan untuk guru dan kakitangan kerajaan
lain dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Dalam konteks
pendidikan, setiap guru harus memahami sepenuhnya peraturan Kelakuan dan
Tatatertib 1993 dan telah pun dibuat pindaannya pada 2002. Di sampng itu Akta
Pendidikan 1996 juga harus diperhalusi dengan teliti demi menjayakan matlamat
pendidikan negara. Semua garis panduan yang diadakan ini bertujuan meningkatkan
tahap kualiti, produktiviti dan displin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan
terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai,
serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.
Sebagai seorang guru yang merupakan satu profesion, kita sering lupa dengan
kod dan etika sebagai seorang guru. Etika dan kod etika ini merupakan peraturan dan
landasan yang perlu dituruti oleh seseorang yang bergelar profesional. Malangnya,
kebanyakan guru hanya melihat profesion keguruan ini hanya kepada proses
pengajaran dan pembelajaran (P&P) sahaja dan tidak melihat pada aspek lain
menyebabkan ketirisan dalam dunia pendidikan dewasa ini.

Etika juga boleh dikatakan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku
seseorang terhadap masyarakat. Menurut dari perspektif Islam, merujuk kepada tingkah
laku yang betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah S.W.T. Isu etika
guru bukanlah cerita baru yang melanda pendidikan pada masa kini. Dalam Kamus
Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku
kesusilaan. Etika dari sudut Islam bererti akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan
merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut
oleh syara‟.

Namun oleh kerana terdapat segelintir guru-guru yang menyalahi etika
perguruan, guru-guru yang lain terkena tempiasnya ibarat „kerana nila setitik, rosak
susu sebelanga‟. Justeru, isu-isu yang melibatkan etika guru menyebabkan profesion
guru hari ini dilihat semakin goyah dari masa ke semasa. Isu etika guru sering dilihat
melalui media elektronik seperti televisyen ataupun di dada-dada akhbar. Ini jelas,
apabila semakin banyak isu-isu salah laku guru yang disiarkan di televisyen dan di
akhbar yang melanggar kod etika perguruan. Jika masalah ini tidak dibendung oleh
kementerian yang berwajib, maka lama kelamaan profesion perguruan tidak dilihat
sebagai satu profesion yang mulia.
2.0) Salah Laku Guru Sekolah yang Melanggar Peraturan Pegawai Awam
Berdasarkan kepada pemerhatian yang telah dijalankan oleh saya melalui
program internship selama sebulan di sebuah sekolah di daerah Serian, terdapat
beberapa jenis tingkah laku guru – guru di sekolah tersebut yang melanggar peraturan
– peraturan sebagai pegawai awam yang berkhidmat dengan kerajaan. Jika dilihat
hanya segelintir sahaja yang melakukan perbuatan melanggar peraturan tersebut. Ada
perumpamaan yang berbunyi seperti “dalam setandan pisang, ada juga yang buruk”.
Perumpamaan sebegitu membawa maksud iaitu di dalam sesuatu kebaikan, mesti ada
keburukan yang berlaku disebaliknya. Ini dapat dilihat bahawa terdapat segelintir guru
di sekolah yang saya jalani program internship tersebut melanggar peraturan –
peraturan am sebagai penjawat awam yang berkhidmat dengan kerjaaan. Ini dapat
diperjelaskan lagi dengan jenis tingkah laku yang akan saya kupas selepas ini.

2.1) Guru ponteng semasa waktu sekolah

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh
didefinisikan sebagai kecoh, tipu, lari daripada tugas yakni tidak tanggungjawab dan
lain-lain. Ponteng dari segi istilah merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang
surat akauan sakit mahupun apa-apa sebab yang munasabah. Ketidakhadiran boleh
diertikan sebagai apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan
diri atau tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa
alasan sekalipun. Berdasarkan kepada isu di atas, saya mengenal pasti bahawa
seorang guru wanita di sekolah itu yang melakukan perbuatan sebegitu. Ini kerana saya
sering melihat guru wanita tersebut tidak hadir ke sekolah sepanjang sesi persekolahan
berlaku. Boleh dikatakan bahawa dia hanya hadir dua atau tiga kali sahaja dalam
seminggu.
Guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang
diamanahkan oleh mereka sama ada dalam tugas mengajar atau tugas-tugas
sampingan seperti tidak hadir mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Isu
sebegini telah melanggar peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Di dalam
Peraturan Am Bab C, iaitu pada peraturan 23, ketidakhadiran tanpa cuti bermaksud
seseorang pegawai tidak hadir untuk apa-apa tempoh masa dan di tempat sepatutnya
beliau hadir untuk tugas rasmi. Ketidakhadiran bertugas tanpa cuti atau terlebih dahulu
mendapat kebenaran dari ketua jabatan atau tanpa sebab yang munasabah boleh
dikenakan tindakan tatatertib. Ini boleh dikatakan guru tersebut telah menyalahi etika
iaitu ponteng sewaktu bekerja. Perkara ini berlaku apabila guru tidak hadir tanpa
sebarang sebab yang munasabah, ianya juga boleh dianggap sebagai ponteng kerja.
Ponteng sekolah memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan
pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Apabila guru ponteng kelas, murid akan
tercicir dalam pelajaran. Ini kerana pelajaran yang sepatutnya dikuasai oleh murid tidak
dapat diaplikasikan terutamanya dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan. Hal
sedemikian disokong menerusi artikel “Amaran Keras Kepada Guru Ponteng” bertarikh
27 Jun 2010 di mana kesan yang boleh dilihat jika guru ponteng ialah menjejaskan
proses pembelajaran murid-murid di sekolah. Secara tidak langsung, ia akan
menyebabkan murid-murid mengalami masalah pembelajaran lebih lebih lagi murid
yang mempunyai tahap kebolehan yang rendah.
Seterusnya, jika situasi guru ponteng semakin menular akan menyebabkan
berlakunya masalah disiplin terutamanya jika guru di dalam kelas. Guru merupakan role
model kepada murid-murid di sekolah, maka tidak hairanlah jika ada murid yang
mengikut sahsiah guru yang negatif juga seperti murid-murid ponteng sekolah. Murid
akan beranggapan bahawa jika guru boleh ponteng mengapa mereka tidak boleh
mengikut guru tersebut sedangkan guru adalah cerminan kemenjadian murid di
sekolah. Situasi ini sama menerusi artikel daripada Utusan Online “Ponteng Sekolah
Sebab Cikgu Tidak Mengajar”. Artikel ini menyentuh mengenai murid-murid bertindak
ponteng sekolah ekoran daripada guru tidak mahu mengajar. Jika ada guru yang masuk
kelas sekalipun mereka akan menyuruh murid membuat kerja sendiri sehingga
menimbulkan rasa bosan dalam diri pelajar sehinnggalah mereka akan bertindak untuk
ponteng sekolah juga.
Implikasi gejala guru ponteng bukan sahaja memberi impak besar kepada
pelajar, bahkan ia juga memberi kesan kepada guru juga. Walaupun hanya segelintir
mereka yang melakukan ponteng, namun yang lain turut merasa tempiasnya. Kesan
daripada tindakan segelintir guru inilah akan merosak dan mencemarkan imej profesion
perguruan. Guru yang ponteng akan dikenakan tindakan disiplin kerana perbuatan
ponteng bercanggah dengan peraturan sekolah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel “Amaran Keras Kepada Guru
Ponteng: Muhyiddin” bertarikh 27 Jun 2010.
Isu etika guru ponteng juga memberi kesan kepada sekolah juga di mana jika
terdapat ramai guru yang ponteng di sesebuah sekolah, maka pihak pentadbiran akan
ditanya oleh pihak atasan sebab mengapa perkara ini boleh berlaku. Ini akan
memberikan kesan yang besar kepada sekolah iaitu sekolah tersebut akan dikenali oleh
ramai orang dengan isu guru ponteng.
Seterusnya ialah masalah etika guru ponteng memberi kesan negatif kepada ibu
bapa murid. mereka sudah semestinya akan merasa kecewa dengan sekiranya anak
mereka gagal di dalam pembelajaran dan sudah semestinya mereka akan meletakkan
kesalahan kepada pihak sekolah. Ibu bapa akan lebih mempercayai guru-guru luar lagi
seperti guru tuisyen daripada guru-guru sekolah. Wahananya, ibu bapa akan
meletakkan pandangan yang negatif iaitu guru-guru tidak boleh memberikan pendidikan
yang sempurna kepada anak-anak mereka dan menyebabkan pandangan ibu bapa
terhadap profesion perguruan alah tidak semulia seperti yang digembar-gemburkan
sebelum ini.

2.2) Masuk lewat ke kelas semasa proses PdP
Berdasarkan kepada isu yang kedua yang telah dikenal pasti oleh saya ialah
berkenaan lewat masuk ke kelas oleh seorang guru lelaki di sekolah yang saya jalani
program internship ini. Guru tersebut, sering kali tidak berada di bilik guru walhal dia
selalu melepak di bilik stor pekerja. Dia juga sering kali tidak mengajar kerana kelasnya
kebanyakkanya di awal pagi. Guru lelaki ini juga seringkali kelihatan lesu dan letih
apabila mengajar. Pada permulaannya, saya tidak berapa mengambil berat tentang
masalah ini. Namun ada satu kali murid-murid kelas saya memberitahu bahawa guru
kelas mereka setiap kali akan lewat masuk ke kelas. Setiap kali loceng sudah berbunyi
dan saya hendak keluar ke kelas, mereka akan meminta saya jangan keluar dulu
dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran saya lagi. Saya berasa amat aneh, dan
tidak berapa percaya dengan apa yang mereka kata. Mereka panggil saya membuat
satu eksperimen, tengok berapa lama guru kelas itu masuk ke kelas. Memang, guru itu
telah pun datang selepas 20minit kemudian dengan langkah perlahan-lahan. Apabila
dia nampak saya masih dalam kelas, dia berterima kasih kepada saya kerana
membantunya mengawal kelas. Ada satu kali lagi, dia memesan saya mencari dia di
kelas pada waktu akhir untuk mengambil barang dengannya di bilik seni. Saya sudah
lewat 10minit pergi mencari dia di kelas itu, tetapi apabila saya sampai sana, kelas itu
tiada guru, murid-murid membuat bising, jalan sana sini. Selepas itu, rakan sejawat
saya memberitahu saya bahawa guru ini ada di kantin. Saya pun mencari dia di kantin.
Apabila saya nampak dia, dia sedang melengan-lengan serta berbual-bual dengan
penolong pengetua sambil memilih lauk pauk di sana.
Berbalik kepada masalah ini, isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana perkara
ini terkandung dalam etika pengurusan masa yang terangkum dalam Pekeliling
berkaitan Etika Profesion Perguruan (Pembangunan Sahsiah, 2011). Kod etika ini
merangkumkan perkara yang perlu dipatuhi oleh guru seperti waktu hadir ke sekolah,
waktu hadir ke kelas serta mengajar ikut jadual waktu yang ditetapkan. Semua ini
termasuk dalam pengurusan masa dan ketetapan masa yang telah termaktub dalam
Etika Profesion Perguruan.
Menurut laporan artikel yang saya membaca, guru yang suka lewat masuk kelas
biasanya akan memberikan pelbagai alasan seperti terlupa jadual waktu atau tidak
ingat. Ada di kalangan guru yang memberikan alasan terlalu banyak kerja yang perlu
dibereskan. Malahan kadangkala memberikan alasan kononnya dipanggil guru besar
atau pengetua. Awal-awal tahun, ada guru buat-buat sibuk menyiapkan pelbagai
borang dan data sehingga meninggalkan kelas. Sekiranya mereka terpaksa
menyiapkan tugasan yang amat penting, ini bolehlah dimaafkan. Murid-murid yang
datang ke sekolah saban hari mengharapkan ilmu pengetahuan daripada guru.Sejak
awal pagi mereka telah bangun meredah kesejukan pagi dengan satu niat yang maha
suci untuk belajar. Tetapi apalah malangnya nasib mereka apabila ada segelintir guru
yang mengabaikan tugas untuk mencurahkan ilmu. Sebenarnya pelbagai perkara yang
tidak diingini boleh berlaku apabila ketiadaan guru di dalam kelas. Pelbagai gejala
negatif akan timbul jika tiada kawalan guru.
Berdasarkan kajian sebelum ini, masalah berkaitan penggunaan masa guru ini
sering dikaitkan dengan penggunaan masa guru ke arah aktiviti yang tidak berfaedah
terutamanya semasa berada dalam kawasan sekolah. Sebagai contoh dapat dilihat
guru-guru yang bermasalah ini menggunakan masa pengajaran dan pembelajaran yang
sepatutnya mereka berada di dalam kelas tetapi digunakan untuk bersembang serta
bergosip tentang perkara yang tidak sepatutnya menjadi bualan di sekolah. Sedangkan
sesi pengajaran dan pembelajaran dibiarkan habis begitu sahaja. Dapat dilihat bahawa
sahsiah yang dimiliki guru ini mencemarkan profesion perguruan yang sentiasa
dipandang tinggi di mata masyarakat.
Jika dilihat implikasinya terhadap kegagalan guru mematuhi ketetapan masa
akan menimbulkan beberapa kesan. Antaranya ialah dari segi keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran tidak maksimum akibat kurangnya kualiti dan produktiviti.
MS ISO 9000 mendefinisikan kualiti sebagai keseluruhan ciri-ciri sesuatu entiti iaitu
produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan yang dinyatakan
dan tersirat. Dalam perkhidmatan pendidikan, guru hendaklah menyediakan
perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan iaitu murid dan ibu bapa. MS
ISO 9000 mula digunapakai seperti yang tercatat di dalam Pekeliling Kemajuan
Pentadbiran Awam Bil. 2/1996 : Garis Panduan Bagi Melaksanakan MS ISO 9000
dalam Perkhidmatan Awam. Selain itu, kakitangan awam juga boleh merujuk kepada
Surat Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Bil 2/2002 : Garis Panduan bagi Melaksanakan
MS ISO 9000:2000 Dalam Perkhidmatan Awam. Kualiti menyentuh tentang kefahaman
kehendak dan pengharapan pelanggan. Ini menghendaki guru menunjukkan
kemampuan mereka dalam merekabentuk perkhidmatan seperti yang diperlukan dan
diharapkan murid dan ibu bapa.
Manakala bagi Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 6 Tahun 1991 :
Panduan Mengenai Peningkatan Produktiviti dalam Perkhidmatan Awam, produktiviti
boleh didefinisikan sebagai nilai atau kuantiti output yang dapat dihasilkan oleh satu unit
input. Maka, output merujuk kepada keluaran atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh
sesebuah organisasi. Dalam konteks sekolah sebagai organisasi, input perujuk kepada
ilmu dan kemahiran yang diberikan kepada murid manakala output merujuk kepada
tingkahlaku dan pengadaptasian ilmu dan kemahiran oleh murid itu sendiri. Mengapa
pula kualiti dan produktiviti adalah berkaitan dengan penyalahgunaan masa? Jika kita
merujuk kepada Pekeliling tadi, Kerajaan Malaysia ada menggariskan beberapa
panduan untuk meningkatkan produktiviti.
Selain itu, implikasi yang lain ialah kepimpinan melalui teladan tidak
diaplikasikan. Guru adalah „role model‟ murid. Maka, guru perlu menghayati slogan
kepimpinan melalui teladan. Ini disebabkan oleh murid suka meniru perlakuan, memek
muka, pakaian malah personaliti guru tersebut. „Kepimpinan Melalui Teladan‟
merupakan slogan yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 19 Mac
1983. Slogan ini diwujudkan bagi menanam dan memupuk sifat kepimpinan yang
berkesan bagi dicontohi dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. Selain itu, ia
juga dapat menerap nilai kebertanggungjawab dan etika murni di kalangan kakitangan
awam. Guru merupakan antara orang yang paling kerap mendampingi murid selain ibu,
bapa dan ahli keluarga mereka. Malah, kebanyakan murid sering mendengar kata guru
berbanding dengan ibu dan bapa mereka sendiri. Malah, mereka juga kerap bercerita
kepada ibu bapa tentang kehebatan guru.
Masalah ini jika tidak dibendung akan mendatangkan kesan yang amat buruk
kepada banyak pihak terutamanya kepada guru sebagai ahli professional dan murid-
murid. Antara kesan yang boleh dilihat daripada permasalahn ini adalah merosotnya
prestasi kerja guru dan pencapaian pelajar di sekolah. Masyarakat juga akan
memandang sinis akan profesion keguruan dan tidak yakin dengan kebolehan guru
dalam mendidik anak-anak mereka. Menyedari akan kesan yang akan menimpa jika
permasalahan ini tidak dibendung, maka semua pihak termasuk pihak pentadbir, rakan
sejawat, dan individu itu sendiri perlu memainkan peranan bagi memastikan
permasalahn ini tidak terus menular dan menjari semakin parah dan teruk.
2.3) Berniaga dalam kawasan sekolah.
Guru berniaga dalam kawasan sekolah semasa waktu persekolahan juga
merupakan masalah yang berkaitan dengan penyelewengan masa dalam kalangan
guru di sekolah. Sememangnya manusia tidak pernah puas dengan pencapaian yang di
kecapi telah membuatkan para guru ini melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan tetapi
dalam konteks ini perkara ini dilihat sangat menyimpang kerana perbuatan ini akan
mengabaikan tanggungjawab serta matlamat sebenar guru itu datang ke sekolah iaitu
untuk mengajar.
Melihat kepada perkara ini, guru perlulah bertanggungjawab dengan tugas yang
telah diamanahkan kepadanya untuk mendidik pelajar bukannya menjadi juru jual di
sekolah. Dalam buku Peperiksaan Penilaian tahap Kecekapan Skim Perkhidmatan
Gurutulisan Mok Soon Sang ada menekankan guru bertanggungjawab terhadap
pekerjaannya, iaitu akauntabiliti terhadap kurikulum yang telah ditugaskan untuk
dilaksanakan olehnya malahan juga guru juga perlu mendalami tugas yang ditetapkan
oleh pihak sekolah terhadapnya. Jelas dapat dilihat guru perlu bertugas sebagai
pendidik bukannya sebagai juru jual di sekolah. Bukan itu sahaja perkara ini juga ada
terkandung dalam Etika Profesion Perguruan iaitu guru tidak boleh melakukan
kesalahan tata kelakuan seperti menguruskan perniagaan dalam waktu pejabat
ataupun waktu pengajaran dan pembelajaran. Kerana dapat ditafsirkan seorang
peniaga ini akan menjadikan keuntungan sebagai matlamat utamanya. Perkara ini
sama sekali telah memesongkan niat sebenar seorang guru hadir ke sekolah. Justeru
itu guru ini tidak lagi memberikan komitmen terhadap waktu yang sepatutnya digunakan
untuk mengajar tetapi telah disalah gunakan untuk berniaga.
Waktu yang diperuntukkan oleh pihak atasan kepada guru perlu dimanfaatkan
kepada perlakuan yang boleh meningkatkan prestasi kurikulum mahupun kokurikulum
pelajar sekali gus meningkatkan prestasi sekolah. Justeru itu guru memberikan
sepenuh masa dan kudratnya dengan menggunakan masa yang ada dengan perkara
yang membantu pelajar untuk maju dalam hidup bukannya menjalankan perniagaan
yang hanya menguntungkan diri sendiri tanpa menghiraukan matlamat guru datang ke
sekolah iaitu untuk mendidik.
Malahan guru juga boleh menggunakan masa yang ada untuk bertindak sebagai
ejen kepada hubungan sekolah dengan ibu bapa. Perkara ini penting kerana
penglibatan guru sebagai orang tengah kepada pelajar dengan ibu bapa dapat
memberikan tanggapan yang positif terhadap profesion perguruan di sesebuah sekolah
itu. Perkara ini berlaku kerana guru akan lebih hampir dengan ibu bapa dan sekali gus
mudah bagi guru untuk mendalami masalah yang dihadapi oleh pelajar yang saling
berhubung kait dengan prestasi pelajar tersebut.




2.4) Berbual di kantin dan keluar sekolah sewaktu P&P.
Bukan itu sahaja guru yang bermasalah ini juga sering duduk di kantin sekolah untuk
bersembang perihal yang tidak penting sedangkan sesi pengajaran dan pembelajaran
dibiarkan habis begitu sahaja. Tidak kurang juga terdapat segelintir guru yang keluar
masuk dari kawasan sekolah sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran sedang
berlangsung.
Menurut Etika Profesion Perguruan yang telah ditetapkan, seorang guru itu tidak
boleh bertingkah laku dengan tingkah laku yang mencemarkan profesion perguruan.
Hal ini demikian kerana guru yang menghabiskan banyak masa berbual di kantin
menyebabkan kegagalan pihak guru ini untuk mengawal pelajarnya kerana guru ini
tidak berada hampir dengan pelajarnya kerana sibuk berbual perkara yang tidak
menyumbangkan peningkatan prestasi pelajar serta sekolahnya. Malahan akan timbul
masalah yang lebih besar lagi jika guru yang sepatutnya berada di dalam kelas didapati
keluar dari kawasan sekolah untuk melepak dan sebagainya. Masyarakat sekeliling
akan mula menimbulkan persoalan tentang kredibiliti seorang guru yang membuang
masa sedangkan waktu itu sepatutnya guru itu berada di sekolah. Perkara ini sudah
semestinya akan menjatuhkan martabat serta pandangan masyarakat yang
menyaksikan perlakuan guru yang tidak bertanggungjawab ini. Seperti sedia maklum
Kod Etika Profesion Perguruan ini dibentuk adalah bertujuan untuk menjunjung tinggi
martabat profesion perguruan. Menurut tulisan R. Hermawan (1979) dalam buku Profesi
Perguruan ada menekankan bahawa:
“...kod etika ini dicipta supaya dapat menjaga pandangan dan kesan daripada pihak luar
atau masyarakat, supaya masyarakat ini tidak memandang rendah atau remeh
terhadap profesion perguruan ini.”

Jelas dapat dilihat melalui petikan ini profesion perguruan ini adalah satu bidang
yang sangat disanjung tinggi martabatnya. Tetapi apakah pandangan serta tanggapan
orang ramai serta masyarakat jika melihat guru tidak berada di sekolah pada waktu
yang sepatutnya. Perkara seperti ini sudah pastinya akan mengakibatkan tanggapan
orang ramai serta masyarakat terhadap tingginya martabat bidang perguruan ini akan
tercemar dan menurun.
Malahan perlakuan guru ini juga akan mengundang masalah lain yang lebih
berat seperti murid ponteng dan sebagainya. Dapat dilihat pelajar yang ingin belajar
akan mula bosan dengan sikap guru yang sering tidak masuk ke kelas dan akhirnya
menyebabkan pelajar bergiat dengan gejala ponteng. Menurut Wan Junaidi Tuanku
Jaafar dalam keratan akhbar Utusan Malaysia (2001, Mac 23) bertajuk Guru antara
punca murid ponteng berkata, pihak sekolah tidak boleh menyalahkan murid semata-
mata, kerana tidak mustahil kegagalan guru mewujudkan suasana pembelajaran yang
menarik turut menjadi punca pelajar ponteng sekolah. Melihat daripada ucapan ini
dapat disimpulkan guru menjadi punca kepada pelajar ponteng kerana tidak berjaya
menarik minat pelajar untuk belajar sedangkan guru itu sendiri tidak masuk ke kelas
kerana sibuk melepak di kantin dan berada di luar sekolah semasa waktu P&P
sepatutnya berlangsung. Malahan kemerosotan prestasi pelajar juga boleh dikaitkan
dengan perkara ini kerana menurut Muller et. Al. (2001) dalam buku Pembangunan
Sahsiah ada menyelitkan guru-guru yang mempamerkan ciri-ciri keperibadian yang
merosot menunjukkan perkaitan dengan kemerosotan pencapaian pelajar.
Sungguh malang rasanya jika terdapat guru yang sering melakukan
penyelewengan masa dalam menjalankan tugas sebagai pendidik kerana kesediaan
guru itu untuk berkhidmat tidak melambangkan ketinggian martabat profesion
perguruan. Bukan itu sahaja, guru tersebut juga susah untuk memberikan komitmen
dalam menjalankan tugas sebagai seorang pendidik anak bangsa yang seharusnya
mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai yang tinggi di dalam diri agar profesionalisme
dan kredibiliti mereka sebagai warga pendidik dapat dikekalkan dan dimantapkan.




Lima jenis salah laku guru di sekolah
i. Guru datang sekolah lewat
ii. Guru berniaga di sekolah
iii. Guru tidak masuk kelas
iv. Balik awal tidak mengikut jam yang ditetapkan
v. Masuk ke kelas lambat