Anda di halaman 1dari 5

Dalam kajian ini, pengkaji menumpukan perhatian sepenuhnya kepada masyarakat

Murut khusus kepada Murut Tagal. Masyarakat Murut merupakan suku kaum ketiga terbesar
di Sabah selepas masyarakat Dusun dan Bajau. Antara subkumpulan masyarakat Murut yang
terdapat di Sabah ialah Tagal, Paluan, Baukan, Timugon, Rundum, Nabay dan Kolod. Mereka
menetap di kawasan pedalaman dan bahagian tenggara negeri Sabah iaitu di Pensiangan,
Nabawan, Tenom, Kemabong, Sipitang, di sepanjang Sungai Padas atau Meligan, Sook, Batu
Punggul, Sapulut, Melalap, Tomani di estet Sapong hinggalah ke sempadan Indonesia.
Kawasan-kawasan petempatan kumpulan ini merupakan kawasan yang berbukit-bukau,
bergunung-ganang, berhutan rimba dan jauh dari pantai. Keadaan persekitaran seperti ini telah
mempengaruhi sistem kepercayaan dan adat tradisi masyarakat sekelilingnya.

Menurut Ismail Ibrahim dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al. (2007: 69), beliau
mengasingkan kawasan petempatan masyarakat Murut mengikut subetnik kepada dua
golongan iaitu Murut dataran tanah rendah dan Murut dataran tanah tinggi. Murut dataran
tanah rendah terdiri daripada Murut Nabai dan Murut Timugon yang mendiami tanah rata
Keningau. Manakala Murut tanah tinggi pula adalah golongan yang terbesar mendiami
kawasan tanah tinggi di Sabah. Golongan ini dipecahkan kepada beberapa kumpulan besar.
Pertama, Murut Paluan tinggal di kawasan tanah tinggi berhampiran Sungai Padas di Tenom,
berkembang ke Sungai Dalit di sempadan Sook dan berkembang ke barat berhampiran
Sipitang. Kedua, Murut Dalit yang juga dipanggil orang bukit menduduki kawasan Dalit
dan Sook dan berkembang di sepanjang Sungai Penawan. Ketiga, Murut Rundum yang
menduduki kawasan persekitaran Sungai Tagul dan berkembang ke utara Rundum. Keempat,
Murut Tahol yang berpindah dari persekitaran Sungai Tagul dan menduduki kawasan Bole,
Kemabong, Tenom dan Tomani. Kelima, Murut Kolod di kawasan Bole. Keenam, Murut
Sapulut menduduki kawasan tanah tinggi selatan Sook hingga ke Sungai Sepulut dan Murut
Pensiangan (Lagungan) yang menduduki kawasan Sapulut, berkembang hingga ke sempadan
dan tenggara Serudong dan Sungai Kalabakan. Sebenarnya Murut Sapulut adalah dikenali
sebagai Murut Tagal.

Setiap subkumpulan masyarakat Murut ini memiliki adat yang tersendiri dan
dipercayai diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Antara subkumpulan masyarakat
Murut yang memiliki adat yang sangat unik dan berbeza dengan subkumpulan lain ialah kaum
Murut Tagal yang mengamalkan adat Berian Sampai Mati sejak dahulu lagi. Dari segi
penelitian yang dibuat, ternyata masyarakat Murut Tagal merupakan satu-satunya
subkumpulan Murut yang mengamalkan adat Berian Sampai Mati di seluruh Malaysia.
Kawasan petempatan Murut Tagal ialah tertumpu di daerah Pensiangan, daerah Sepulut dan
daerah Tenom. Fokus kawasan kajian ini ialah di daerah Sepulut yang terkenal sebagai sebuah
daerah yang kuat mengamalkan adat Berian Sampai Mati sama seperti dareah Pensiangan,
daerah Nabawan dan daerah Tenom.
1.7.3 Berian

Perkataan berian atau dalam bahasa Murut Tagal ialah pulut dan bahasa Inggerisnya ialah
Dowry digunakan oleh masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut Sabah bagi merujuk
kepada barang hantaran kahwin atau mas kahwin daripada keluarga pihak lelaki kepada
keluarga pihak perempuan. Manakala barian , burial dan brian kerap digunakan oleh
penulis barat bagi meyebut berian dalam kajian mereka. Walaubagaimanapun, berian,
barian, burial atau brian adalah konsep yang sama sahaja. Menurut kajian Sherwood
(1990: 53) masyarakat Murut Tagal mengakui bahawa berian perkahwinan akan dibayar
hingga ke akhir hayat. Bukti kenyataan Sherwood ialah :
Many Tagal comment, We pay until we die. (Halaman 53)
Keempat-empat perkataan ini berian, barian, burial atau brian bermaksud barang hantaran
kahwin yang dituntut oleh keluarga pihak perempuan daripada keluarga pihak lelaki. Berian
dianggap sebagai tunjang adat bagi mengukuhkan tali persaudaraan antara ibu bapa dan anak
perempuan yang telah berkahwin. Berian melambangkan harga seorang gadis yang dikahwini oleh
seorang teruna. Berian juga menjadi kewajipan kepada masyarakat Murut Tagal di daerah Sepulut
setiap kali berlangsungnya perkahwinan. Berian yang wajib dibawa oleh keluarga pihak lelaki seperti
tajau (tembikar) dalam bahasa Murut sampa iaitu tajau Tiluan, tajau Binukul, tajau
Binalayungan dan tajau kedai atau sampah nu kadai , seekor atau dua ekor kerbau atau lembu
Gong atau ahung, manik-manik berwarni-warni seperti vungkas, sisitan, sinikot, salupai,
rarangkol, holong, pakaian tradisional Murut Tagal iaitu pinongkoloh, ikat pinggang iaitu pipirot
linggit danpipirot sukayan, barang kemas, kain sarung atau tapi, kain nila atau kain kinayuh, duit
dan pelbagai jenis berian yang lain.
Bagi mengukuhkan bukti, beberapa penulis memberi tafsiran mengenai istilah
berian. Menurut Pollard (1935: 223-227) dalam dalam Saidatul Nornis Hj. Mahali et al.
(2007: 69), berian ialah satu amalan biasa bagi masyarakat Murut, iaitu satu upacara
pemberian kepada pihak perempuan daripada pihak lelaki ketika upacara perkahwinan.

Sistem meminta 'berian' atau hantaran sampai mati berlaku untuk mengukuhkan
pertalian antara keluarga kedua belah pihak. Namun adat ini biasanya disyaratkan hanya
kepada kaum lelaki sahaja. Selepas kahwin, keluarga pihak perempuan akan datang ke rumah
anak perempuannya dan berhak meminta atau mengambil sesuatu daripada harta atau milik
anak menantu lelaki mereka. Adat ini perlu dipatuhi kerana semakin banyak harta yang
diminta semakin rapatlah hubungan kekeluargaannya. Sekiranya adat ini diingkari, maka
menantu lelaki tersebut akan menerima risiko yang berat iaitu boleh dipisahkan daripada
isterinya atas arahan ketua adat mengikut pertimbangan yang wajar.
Mengikut Pollard dalam Ismail Yusoff (1997: 28) istilah Murut berasal dari akar kata
purut iaitu berian atau hantaran mas kahwin. Ada juga pengkaji berpendapat istilah ini
diperoleh dari burut iaitu sejenis tumbuh-tumbuhan berubi yang digemari oleh orang Murut.
Sebelum nama ini menjadi popular kaum Murut dikenali dengan berbagai nama yang
dikaitkan dengan alam sekeliling di mana mereka berorentasi. Prentice dalam Ismail Yusoff
(1997: 28) misalnya menamakan mereka ini hill people kerana mereka tinggal di bukit-
bukau. Sementara Whelan dalam Ismail Yusoff (1997: 28) pula menamakan mereka man of
wood kerana lokasi perkampungan mereka di hutan rimba.

Manakala Headly dalam Ismail Yusoff (1997: 28), mengatakan bahawa perkataan
Murut di Sabah merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah
tinggi di pedalaman yang mempunyai hubungan rapat dengan suku kaum Dusun. Seperti
orang Dusun, nama orang Murut bukan diperoleh sendiri oleh masyarakat tersebut, tetapi
diberikan oleh pendatang dari luar. Berbanding dengan orang Dusun, keadaan fizikal orang
Murut adalah lebih kecil dan pendek. Barangkali kerana inilah ramai pengkaji beranggapan
bahawa mereka ini berasal dari Annam, Ulu Burma atau Formosa. Namun, bukti ini tidak
kukuh disebabkan hanya andaian dari pengkaji sahaja berdasarkan kepada bentuk fizikal
orang Murut dan orang Dusun yang menyerupai bentuk fizikal Anam, Ulu Burma atau
Formosa.
Menyentuh sejarah kemunculan masyarakat Murut di Sabah, T.R. Williams dalam Mat
Zin Mat Kib (2005: 2) berpendapat kira-kira 15,000 hingga 20,000 tahun dahulu telah berlaku
penghijrahan penduduk dari bahagian selatan Negara China ke Asia Tenggara dan kawasan-
kawasan pesisirnya, termasuklah ke Pulau Borneo. Antara mereka yang berpindah dari benua
Asia ini (sejak tahun-tahun 1500 hingga 1000 S. M lagi) terdiri daripada kumpulan etnik yang
pada hari ini disebut Dusun dan Murut. Berdasarkan fakta inilah kelompok Dusun dan
Murut dikatakan dua kelompok yang paling awal berada di Sabah. Collins dalam Mat Zin Mat
Kib (2005: 2) mengatakan bahawa kelompok ini secara umumnya disebut Melayu-Proto yang
mengamalkan bahasa rumpun Austronesia. Mereka terdapat di kawasan pedalaman kerana
pada tahun 1880-an dikatakan penduduk di bandar Sandakan, Lahat Datu, Semporna dan
Tawau tidak lagi terdiri daripada penduduk peribumi Sabah.
Tradisi perkahwinan kaum Murut pada masa kini sudah berubah, iaitu tajau, pakaian,
kain, emas, manik-manik atau harta lain kepunyaan pengantin lelaki dipersembahkan
bukannya kepala manusia yang sudah terpenggal lagi. Pakaian tradisi kedua-dua pengantin
masih lagi dihiasi dengan bijih manik yang cantik. Pakaian tradisi ini biasanya diwarisi atau
dipindahkan semasa perkahwinan. Upacara perkahwinan ini diadakan di rumah panjang
pengantin perempuan atau rumah biasa. Sekiranya perkahwinan diadakan di rumah biasa dan
bukannya rumah panjang, maka rumah tersebut perlu diubahsuai sedikit untuk menampung
sekurang-kurangnya 150 orang. Ada dalam kalangan saudara-mara atau rakan-rakan kedua-
dua pengantin yang akan bermalam selama seminggu bagi merayakan perkahwinan ini. Selain
ruangan rumah, dapur perlu diperbesarkan malah halaman rumah juga dibersihkan.
Komponen terpenting dalam majlis perkahwinan kaum Murut iaitu tapai ubi juga perlu
disediakan, daging perlu dikukus dan dicincang malah ahli-ahli keluarga juga perlu dikumpul.
Para jemputan yang datang akan disambut dengan pukulan gong yang meriah dan dengan
tangan terbuka (http://members.fortunecity.com/agustindelgado/ upacara
_keramaian.html).

Anda mungkin juga menyukai