Anda di halaman 1dari 2

Refleksi

Disediakan oleh: Muhammad Iftitah Bin Mustafa



Sepanjang proses pelaksanaan tugasan ini, terdapat banyak perkara baru yang
telah saya pelajari. Sepertimana yang sedia maklum, tugasan kami pada kali ini lebih
memfokuskan ke arah pengkajian dan temubual dengan ibu bapa kanak-kanak bagi
meneliti jenis atau gaya keibubapaan yang dipraktikkan dalam mendidik anak-anak.
Penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam pendidikan awal kanak-kanak
memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia di kalangan
kanak-kanak. Peranan ibu bapa, keluarga dan komuniti sebagai rakan kongsi aktif
dalam proses pembelajaran kanak-kanak selalunya memberikan kesan kepada kualiti
perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa juga adalah pendidik pertama dan utama kanak-
kanak sebelum kanak-kanak berhadapan dengan guru-guru pembimbing di tadika.
Ibu bapa juga membantu meningkatkan kualiti sesebuah program tadika dengan
menyumbang tenaga, berkongsi bakat dalam program tadika. Penglibatan ibu bapa
juga boleh meningkatkan kendiri kanak-kanak dan ibu bapa itu sendiri. Kefahaman ibu
bapa dapat meningkatkan tahap proses pembelajaran di tadika dan ibu bapa
berpeluang melaksanakan peranan sebagai pendidik.
Oleh yang demikian, ibu bapa dan komuniti seharusnya mengambil pendekatan
yang serius dalam membimbing kanak-kanak seawal usia lagi kerana mereka bakal
menerajui pentadbiran dunia kelak. Penglibatan ibu bapa, penjaga dan komuniti adalah
sangat digalakkan kerana ia adalah elemen penting dalam pelaksanaan kurikulum
prasekolah. Permuafakatan antara guru dan ibu bapa, penjaga dan komuniti dapat
membantu dalam perkembangan dan kemajuan murid secara berterusan ke arah
melahirkan warganegara yang celik akal dan berintegriti.
Pengkajian berkenaan dengan permasalahan ini telah banyak membantu saya
terutamanya dalam proses merancang sesi pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran
dan pembelajaran yang baik lagi berkesan tidak akan berlaku tanpa perancangan yang
rapi. Perancangan yang rapi perlu berlandaskan sesuatu yang kukuh dan diakui
kebenaran atau kewajarannya. Perancangan itu merupakan sesuatu yang terbukti
boleh dan benar. Justeru, adalah amat penting bagi seorang guru untuk merancang
terlebih dahulu struktur atau bagaimana suatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu
hendak dijalankan sama ada murid diatur secara berkumpulan mahupun tidak. Dengan
cara ini, segala misi atau objektif kepada sesi pembelajaran yang dirancang pada hari
itu dapat dilaksanakan dan dicapai dengan jayanya tanpa ada sebarang masalah
ataupun halangan.
Pengurusan bilik darjah juga adalah amat penting bagi memastikan
kelangsungan aktiviti pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Tugasan ini juga turut
mengajar saya tentang pengurusan bilik darjah yang berkesan bagi kanak-kanak
bekeperluan khas ini. Kejayaan dan keberkesanan bilik darjah inklusif bergantung
kepada komitmen serta kemahiran yang tinggi daripada guru. Beberapa aspek perlu
diberi penekanan seperti pengurusan aspek fizikal bilik darjah, tingkah laku murid, rutin,
peraturan, serta prosedur dan juga arahan yang berkesan. Justeru adalah merupakan
tanggungjawab kita sebagai bakal guru dalam memastikan ruangan bilik darjah
senantiasa berada dalam keadaan yang kemas dan juga teratur semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran di jalankan.
Sememangnya, kajian ini telah membawa pelbagai implikasi positif terhadap
perkembangan kendiri dalam diri saya serta memantapkan lagi persediaan saya
sebagai seorang bakal guru pada masa hadapan. Segala input-input yang terkandung
dalam topic kanak-kanak bekeperluan khas ini sememangnya amat berguna dalam
usaha untuk membentuk personaliti seseorang bakal guru ke arah yang lebih positif.
Saya berharap agar kajian seumpama ini diteruskan lagi pada masa hadapan agar
lebih ramai lagi bakal guru yang berkualiti dapat dilahirkan seterusnya mampu
menyumbang ke arah pemantapan ekonomi negara di mata dunia.

Anda mungkin juga menyukai