Anda di halaman 1dari 12

ISNIN | 15 September

Seramai 21 orang Sukarelawan Persatuan Skuad Didik telah pergi ke Indonesia


bagi menjalankan Kembara Didik Barat (Misi Kesukarelawan Pendidikan) selama lima
hari iaitu bermula 15 hingga 20 September. Misi ini bertujuan untuk menyumbang bakti
kepada masyarakat di luar sana yang bukan sahaja daripada kalangan masyarakat
Malaysia tetapi juga masyarakat di luar negara. Tepat jam 5.00 petang kami bertolak
dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan selamat tiba di Lapangan Terbang Hatta
pada jam 8.00 malam.
Setibanya di Jakarta Indonesia, kami terus mencari pemandu bas yang akan
bersama dengan kami selama lima hari di sana. Beliau yang lebih mesra dikenali
dengan panggilan Kiki terus membawa kami menaiki bas untuk perjalanan ke tempat
makan. Pada jam 9.17 malam kami tiba di Restoren Bukit Randu Bandara untuk
menikmati jamuan makan malam sebelum meneruskan perjalanan ke tempat lain. Saya
berasa begitu seronok setibanya sampai di Restoren tersebut kerana berpeluang
memakan makanan di Negara Indonesia untuk kali yang pertama iaitu Nasi Padang.
Setelah selesai makan, kami bergerak ke Malaysia Hall untuk menginap selama 3 hari 2
malam di situ. Alhamdulillah layanan yang disediakan di Malaysia Hall sangat
memberansangkan kerana pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh pihak sana.
Antaranya kami disediakan dengan kemudahan mesin basuh, tempat berehat yang
selesa, dan pelbagai lagi. Pada jam 11.00 malam setelah diberi sedikit taklimat
berkaitan tugas sukarelawan pada hari esok oleh saudara Muhd Ikhwan, kami terus
berehat dan membuat persiapan diri masing-masing.


Lampiran

















Gambar 1 : Bergambar sebelum berangkat ke Indonesia
di Lapangan Terbang Kuala Lumpur

Gambar 2 : Singgah makan malam setibanya di Indonesia
di Restoren Bukit Randu Bandara

Selasa | 16 September
Tepat jam 7.30 pagi kami bertolak dari Malaysia hall untuk misi sukarelawan
pendidikan kami yang pertama iaitu berkunjung ke Sekolah Darurat Kartini. Perjalanan
mengambil masa selama 3 jam. Setibanya di sana saudara Muhd Ikhwan telah
memberikan beberapa garis panduan berkaitan adab dan tugas kami sepanjang
menjalankan lawatan di sekolah tersebut. Antaranya kami haruslah menggunakan
bahasa yang sesuai dan menghormati keadaan anak-anak yang bersekolah di situ.
Saya berasa begitu sedih melihat bagaimana keadaan kawasan di sekitar
sekolah tersebut iaitu jalan menghala ke Sekolah Darurat Kartini yang mana pada
mulanya saya fikir kawasan tersebut adalah kawasan pembuangan sampah. Namun
itulah hakikatnya, sekolah itu telah ditubuhkan oleh dua orang ibu kembar yang begitu
penyayang dan sabar membangunkan sebuah sekolah bagi menempatkan pendidikan
percuma kepada anak-anak gelandangan yang ada di sekitar Jakarta. Pada asalnya,
hanyalah di bawah jambatan dan kemudian mereka mendirikan sebuah bangunan kecil
untuk menampung murid yang semakin hari semakin bertambah.
Saya terpukul dengan semangat inginkan belajar oleh anak-anak di sini kerana
dengan keadaan sekolah yang sangat dhaif dan kemudahan yang serba kekurangan
namun mereka tetap tabah dan bersemangat waja untuk terus belajar. Saya sempat
beramah mesra bersama murid di situ dan berkongsi pengalaman bersama ibu kembar
yang mengusahakan sekolah ini. Beliau banyak memberikan kata-kata nasihat buat
kami sebagai bakal guru supaya terus memandang profesyen perguruan sebagai satu
pekerjaan yang mulia. Kunjungan kami berakhir dengan pemberian bantuan pendidikan
berupa alat tulis, pakaian dan juga duit yang diberikan kepada mereka supaya sedikit
sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh ibu kembar.
Lampiran

















Gambar 1 : Temubual bersama ibu kembar sedang
berlansung

Gambar 2 : Antara wajah anak-anak gelandangan di
sekitar Jakarta yang sedang belajar di Darurat Kartini.

Rabu | 17 September
Kami bergerak keluar dari Malaysia Hall tepat jam 8.00 pagi untuk meneruskan
misi kami yang seterusnya. Pada hari tersebut juga merupakan hari terakhir kami
berada di Jakarta. Sebaik sahaja kesemua barang-barang dimasukkan ke dalam bas,
kami meneruskan perjalanan ke Institut Pertanian Bogor untuk mengadakan sebuah
perbincangan pendidikan bersama pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Tepat jam 10.00 pagi kami tiba di Institut Pertanian Bogor, Jakarta Indonesia.
Kami disambut dengan begitu meriah oleh pihak di sana. Pada misi kali ini saya telah
diberi tugasan untuk mengendalikan perbincangan tersebut dengan bertindak selaku
pengerusi majlis. Pada mulanya saya agak berat untuk menerima tugasan ini kerana
berada dalam keadaan kurang sihat namun atas rasa amanah dan tanggungjawab yang
diberi saya menerima tugas tersebut dengan semangat yang tinggi. Majlis dimulakan
dengan ucapan alu-aluan oleh saudara Muhd Ikhwan selaku pengerusi Persatuan
Skuad Didik IPG KPI. Beliau menerangkan serba sedikit berkaitan persatuan dan misi
sukarelawan di Malaysia. Seterusnya majlis beranjak dengan perbincangan ilmiah
berkaitan isu pendidikan pada masa kini. Sebenarnya fokus perbincangan adalah sekitar
pendidikan dan peranan mahasiswa dalam menggerakkan penjanaan modal insan yang
berjaya.
Pihak sana juga turut memberikan hujah dan cadangan yang bernas semasa
perbincangan berlansung. Kami menerima baik hujah yang dikemukakan. Alhamdulillah
saya berasa begitu seronok kerana dapat menimba pengetahuan berkaitan perkongsian
budaya di Indonesia yang disampaikan oleh pelajar Malaysia yang belajar di Institut
Pertanian Bogor tersebut. Objektif perbincangan akhirnya tercapai apabila beberapa
usul telah disepakati dan akan cuba dibawa kepada pihak yang berwajib. InshaAllah..
Lampiran

















Gambar 1 : Sedang berlansung diskusi dengan Pihak
Kelab UMNO Cawangan Bogor di Institut Pertanian Bogor

Gambar 2 : Antara wajah pelajar Malaysia yang menuntut
ilmu di Institut Pertanian Bogor Indonesia

Khamis | 18 September
Pada hari Khamis ini kami telah selamat tiba di Daarut Tauhid Bandung
Indonesia. Kami telah menginap di Cottage Darul Jannah yang memberikan layanan
yang sangat selesa kepada kami semua. Suasana dan keadaan di Daarut Tauhid
Bandung ini sangat berbeza dengan persekitaran semasa kami di Jakarta. Hal ini
kerana, keadaan di sini lebih terdedah dengan persekitaran Islamik. Mereka
mengenakan pakaian yang sopan seperti jilbab labuh, memakain kain, dan berkopiah
bagi lelaki. Bukan itu sahaja, malah mereka juga sangat menjaga tutur bicara semasa
bercakap dan suka menolong orang lain. Perkara ini terjadi kepada saya ketika saya
dan rakan ingin pergi ke masjid. Kami disapa oleh salah seorang masyarakat di sana
dan beliau segera menunjukkan jalan menghala ke masjid. Alhamdulillah, saya dan
rakan sampai juga ke Masjid Daarut Tauhid.
Di Cottage Darul Jannah kami diberi layanan yang sangat istimewa. Antaranya
saya dan rakan menginap satu bilik seramai dua orang sahaja. Bilik di situ sangat luas
dan selesa. Ditambah pula udara di Daarut Tauhid sejuk menyebabkan kami berasa
seolah-olah berada di negara yang suhunya rendah seperti Korea dan sebagainya.
Pada jam 7.00 malam kami semua bergegas ke masjid yang berdekatan untuk
menunaikan solat Maghrib dan Isya secara berjemaah. Sewaktu kami berjalan kaki
pergi ke masjid, semua masyarakat di Daarut Tauhid dilihat bergegas untuk menunaikan
solat. Keadaan di dalam masjid pula dipenuhi dengan ramai orang seolah-olah saya
melihat seperti solat terawih di sana. Persekitaran tersebut sangatlah berbeza di
Malaysia yang mana masjid hanya dipenuhi apabila bulan Ramadhan sahaja. Perkara
ini sangatlah menjentik hati saya supaya menginsafi keadaan tersebut.

Lampiran

















Gambar 1 : Pemandangan dari dalam Cottage Daarul
Jannah

Gambar 2: Keluasan dan keselesaan bilik yang
disediakan kepada kami

Jumaat | 19 September
Pada hari Jumaat iaitu hari terakhir kami berada di Daarut Tauhid, kami semua
berkesempatan untuk melawat ke Pejabat Rumah Belajar (Rumbela) Daarul
Muthmainnah. Di sini kami menyampaikan sumbangan berupa pakaian dan wang
kepada pengetua rumah anak-anak yatim tersebut. Jarak Rumah Belajar (Rumbela)
Daarul Muthmainnah tidaklah begitu jauh dengan Cottage kami. Kami hanya berjalan
kaki selama 3 minit untuk ke tempat tersebut. Setelah selesai bergambar dengan tenaga
pengajar dan pengetua Rumah Daarul Muthmainnah kami segera bergerak menaiki bas
untuk destinasi ke Tangkuban Perahu.
Gunung Tangkuban Parahu atau Gunung Tangkuban Perahu adalah salah
satu gunung yang terletak di Provinsi Jawa Barat, Indonesia. Malah, Tangkuban Perahu
adalah salah sebuah Gunung Berapi yang masih aktif di Indonesia. Sekitar 20 km ke
arah utara Kota Bandung, dengan rimbun pohon pinus dan hamparan kebun teh di
sekitarnya, Gunung Tangkuban Parahu mempunyai ketinggian setinggi 2.084 meter.
Bentuk gunung ini adalah Stratovulcano dengan pusat erupsi yang berpindah dari timur
ke barat. Jenis batuan yang dikeluarkan melalui letusan kebanyakan
adalah lava dan sulfur, mineral yang dikeluarkan adalah sulfur belerang, mineral yang
dikeluarkan ketika gunung tidak aktif adalah wap belerang. Sewaktu saya dan rakan
melalui kawasan Tangkuban Perahu, bau wap belerangnya sangatlah kuat
menyebabkan saya berasa loya. Namun, Alhamdulillah sepanjang berada di sana saya
berada dalam keadaan baik sahaja. Di sana suhu rata-rata hariannya adalah 17 oC
pada siang hari dan 2 oC pada malam hari. Hal ini menyebabkan kami berasa sejuk
ketika melawati Tangkuban perahu. Sewaktu berjalan pulang menuju ke bas saya
sempat membeli buah-buahan seperti Strawberi dan Blueberi. Rasanya sangat berbeza
dengan rasa di Malaysia yang mana buahnya lebih manis dan rangup.
Lampiran

















Gambar 1 : Bergambar dengan tenaga pengajar di
hadapan Pejabat Rumah Belajar (Rumbela) Daarul
Muthmainnah

Gambar 2 : Kenangan manis bergambar di Tangkuban
Perahu

Sabtu | 20 September
Pada hari terakhir ini, seawal jam 7.00 pagi kami semua bersiap sedia untuk
bergerak ke Lapangan Terbang Hatta. Kami menginap di Puncak semalaman dan pada
hari Sabtu tersebut merupakan hari terakhir kami berada di Bandung Indonesia sebelum
bergerak ke Jakarta. Perasaan saya bercampur gembira dan hiba kerana pelbagai
kenangan yang tidak dapat dilupakan semasa saya dan rakan tinggal di Bandung.
Dalam perjalanan pulang untuk ke Lapangan Terbang Hatta, kami telah singgah
di muzium-muzium yang berada di Jakarta. Antaranya saya berpeluang melawati
Rumah Acheh. Di sini saya dapat menimba ilmu pengetahuan mengenai cara pakaian
masyarakat kesultanan Acheh, alat muzik yang mereka gunakan dan pelbagai lagi.
Masyarakat Acheh lebih terdedah dengan budaya Islam yang mana corak kehidupan
dan pergaulan mereka lebih berlandaskan kepada agama Islam. Hal ini kerana, agama
Islam telah sampai awal ke kawasan Acheh. Saya juga berkesempatan membeli sedikit
cenderamata berbentuk dompet batik kepada ibu saya semasa melawati kedai di sana.
Tepat jam 12 tengah hari, kami semua sampai ke Lapangan Terbang Hatta dan
kapal terbang yang bakal kami naiki akan bertolak pada jam 3 petang. Alhamdulillah,
keseluruhan kembara didik kami di sini berjalan dengan lancar dan pelbagai manfaat
yang telah saya perolehi sepanjang berada di Indonesia. Syukur saya panjatkan kepada
Allah kerana memberi peluang kepada saya untuk melihat dan mencari pengalaman ke
negara luar bagi memberi kesedaran kepada saya agar sentiasa mensyukuri nikmat
yang diberikan apabila berada di Malaysia. Segala kenangan dan pengalaman
sepanjang berada di Jakarta dan Bandung akan saya semat dalam ingatan supaya
menjadi kenangan yang terindah untuk saya ceritakan pada keluarga dan rakan-rakan di
Malaysia.
Lampiran

















Gambar 2 : Kenangan bergambar di hadapa Muzium
Rumah Bali

Gambar 1 : Kenangan bergambar di rumah M.P di
Puncak Bandung Indonesia