Anda di halaman 1dari 2

9/22/13 Romatech Agro - Pembekal Peralatan Pertanian dan Fertigasi: Penyakit Cili : Layu Bakteria

romatechagro.blogspot.com/2009/06/penyakit-cili-layu-bakteria.html 1/2
romatechagro.blogspot.com http://romatechagro.blogspot.com/2009/06/penyakit-cili-layu-bakteria.html
Penyakit Cili : Layu Bakteria
Nama Penyakit : Layu Bakteria (Bacterial Wilt)
Patogen (Agen Pembawa) : Ralstonia solanacearum (dahulunya Pseudomonas solanacearum)
Punca : Bakteria
Nama Lain : Penyakit Darah, Penyakit Moko
Agen/Cara Penyebaran :
Bakteria ini mudah tersebar melalui tanah/medium (soil) dan kesan limpahan dari paip sistem pengairan titis.
Bakteria ini bersifat aerobik, tidak berspora, berbentuk rod, dan motile (bergerak secara bebas). Ia akan
membentuk koloni dan membiak di dalam xilem tumbuhan yang menjadi hos yang akan menyebabkan
tumbuhan mengalami simptom layu bakteria (bacteria wilt).
Ralstonia solanacearum boleh hidup di dalam tanah bagi jangkamasa yang lama sehingga beberapa tahun.
Ini menyebabkan penyakit ini agak sukar untuk dikawal dan kawasan yang telah terkena jangkitan penyakit ini
kebiasaannya tidak boleh ditanam dengan pokok yang sama untuk tempoh beberapa tahun.
Kajian menunjukkan tanaman lebih mudah terdedah kepada penyakit ini pada tahap suhu persekitaran
diantara 24-27C.
Bahagian Serangan :
Akar dan batang.
Cara Serangan :
Bakteria menyerang tanaman melalui akar yang mengalami kecederaan (rosak), batang yang rosak (stem
wound) atau melalui stomata. Bakteria ini akan memasuki kawasan pembuluh (vascular) tanaman dan
merosakkan sistem tumbuhan.
9/22/13 Romatech Agro - Pembekal Peralatan Pertanian dan Fertigasi: Penyakit Cili : Layu Bakteria
romatechagro.blogspot.com/2009/06/penyakit-cili-layu-bakteria.html 2/2
Kesan Serangan :
Daun-daun pokok (bermula dari bahagian atas) akan kelihatan layu dan menjadi
kekuningan seperti tanda-tanda kekurangan air. Kebanyakan pekebun sering
tersalah tafsir kerana menyangka tanaman mereka kekurangan air, namun
walaupun siraman dilakukan, ianya tetap tidak menunjukkan tanda-tanda untuk
pulih.
Apabila bahagian yang paling dekat dengan akar (pangkal batang) dipotong dan
kemudiannya dimasukkan ke dalam gelas berisi air jernih, maka akan keluar cairan
(lendir) berjalur yang berwarna putih seperti jaluran asap rokok. Lendir tersebut akan
mendap ke dasar gelas. Lendir ini merupakan massa bakteria.
Kemudian apabila pada bahagian pangkal batang dipotong secara melintang ataupun
membujur, maka akan kelihatan pembuluh kayunya berwarna coklat. Ini menunjukkan
jangkitan bakteria telah sampai ke tahap kritikal.
Penyakit layu bakteria adalah berbeza dengan layu fusarium kerana layu fusarium tidak
keluar cairan berwarna putih ini. Pada bahagian akarnya kelihatan menjadi coklat busuk.
Kaedah Kawalan dan Rawatan :
Pada masa sekarang tiada rawatan khusus terhadap penyakit Layu
Bakteria ini. Antara kaedah-kaedah kawalan adalah :-
Pokok yang terkena penyakit ini hendaklah dicabut dan dibakar
supaya ianya tidak menjangkiti pokok yang lain.
Selain daripada itu, sistem penyaluran air dan baja ke kawasan
tanaman hendaklah dibuat dan diselenggarakan dengan baik.
Penggiliran dengan tanaman lain adalah salah satu kaedah untuk
mengelakkan penyakit Layu Bakteria ini daripada menyerang tanaman.
Lakukan semburan racun kulat terhadap medium tanaman fertigasi (sabut kelapa atau sekam padi)
bagi tanaman musim kedua dan seterusnya.
Gunakan varieti yang tahan penyakit bakteria.