Anda di halaman 1dari 3

Ciri-ciri Kepimpinan

CIRI KEPIMPINAN
GURU DAN GAYA KEPIMPINAN EFFEKTIF
OLEH:RUZAIN SYUKUR B MANSOR
(B.A. Hons Pengajian Ilmu Wahyu UIAM, KPLI j-QAF IPTEKNIK)
www.akademipenulisbebas.wordpress.com

Guru adalah pendidik yang dikurniakan dengan pelbagai tanggungjawab.Pendidik di sekolah
tidak hanya mengajar tetapi juga merupakan pemimpin.Secara sedar atau tidak sifat kepimpinan
berkualiti bagi seorang guru di sekolah harus ditelusuri dan diperhalusi bagi mewujudkan iklim
pendidikan yang mampu memacu kecemerlangan.

Pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan berhemah tinggi sentiasa dapat
mewujudkan hubungan yang baik dengan kelompok yang dipimpin.Ibarat kepala memimpin
badan begitulah perumpamaan yang diberikan kepada pemimpin bagi mencernakan ketokohan di
dalam mengurus dan mengepalai sesebuah organisasi.Itulah jugalah corak kepimpinan yang
sepatutnya ditunjukkan seorang pemimpin budiman .Maka di peringkat sekolah sudah tentulah
guru besar yang dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin kepada semua komuniti samada
pendidik, pentadbir serta murid-murid.

Pemimpin berjiwa rakyat berpekerti mulia seharusnya didasari oleh himpunan ciri-ciri
pekerti terpuji.Maka berikut diperincikan beberapa ciri terpenting yang harus wujud bagi setiap
pemimpin hatta pendidik di sekolah.

Seorang pemimpin seharusnya beriman kepada Tuhan dan mempunyai kepercayaan dan
kepatuhan kepada agama.Tidak kiralah samada guru besar atau pemimpin tersebut beragama
Islam, Kristian, Hindhu ataupun Buddha, kepercayaan ini penting bagi memastikan mereka
mempunyai pegangan dan dasar kepercayaan yang utuh.Bertitik tolak kepada kepercayaan
kepada agama ini lah akan mencernakan peribadi terpuji selaras dengan agama yang
dianuti.Manakala konsep etika dan amalan keagamaan seharusnya memberikan kekuatan jatidiri
kepada pemimpin tersebut di dalam memimpin sesebuah organisasi terutama memacu
kecemerlangan pendidikan di sekolah.

Selain itu, di antara ciri seorang pemimpin ialah berilmu pengetahuan yang luas.Ilmu
tersebut merangkumi ilmu berteraskan ikhtisas pentadbiran pendidikan, psikologi, komunikasi
serta pengetahuan semasa.Ilmu ikhtisas pentadbiran pendidikan amat penting bagi memastikan
komuniti pendidikan dibawahnya seperti guru, kakitangan sekolah, serta murid dapat diurus
dengan sempurna dan selaras dengan keperluan semasa di samping memenuhi aspirasi
pendidikan negara.Manakala ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi dan komunikasi amat
diperlukan oleh pemimpin di sekolah bagi memastikan layanan dan kemesraan yang diwujudkan
sesama ahli komuniti berjalan dengan baik di samping dapat mengelakkan konflik.Sementara itu,
pengetahuan yang luas tentang isu semasa bakal menjadikan minda pemimpin akan sentiasa
mengikut peredaran zaman dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang
mendatang.Pemimpin bercirikan perkara di atas pastinya guru yang pakar di bidang pengurusan
serta bidang profesionnya.

Di Antara ciri terpenting lain yang juga harus wujud di dalam diri pemimpin di sekolah
ialah mereka harus mempunyai ketinggian peribadi.Ketinggian peribadi yang dimaksudkan dari
segi tutur kata bukan sahaja dari santunan bahasa penuh hemah, malah mereka harus bijak untuk
berkomunikasi dengan semua peringkat umur .Komen dan kritikan yang diberikan seharusnya
bersifat membina bukannya merendah-rendahkan martabat seseorang.Ketinggian peribadi juga
boleh diukur dengan tingkah laku yang merendah diri tetapi tegas, tidak sombong dan
memberikan layanan kepada semua pihak tanpa memilih bulu dan penuh hikmah.Pemimpin jenis
ini pasti manis air mukanya, bijak mengatur kata, penuh hikmah perlakuannya serta mempunyai
jatidiri dan integriti yang tinggi.

Perkara di atas akan membawa kepada ciri seterusnya iaitu mempunyai pengaruh melalui
tauladan.Pengaruh melalui tauladan diterjemahkan melalui contoh yang ditunjukkan oleh
pemimpin berdasarkan apa yang diungkapkannya.Pemimpin ulung harus menunjukkan contoh
tauladan kepada komuniti di bawahnya melalui perlakuannya yang mendahului yang lain dengan
niat untuk diteladani oleh semua.Pemimpin berjiwa rakyat sebegini akan dipandang tinggi oleh
komuniti pendidikan sebagai pemimpin yang mampu mengotakan janjinya melalui
tauladan.Sebagai contohnya pemimpin yang ingin melihat kakitangannya datang awal ke tempat
kerja pasti menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang datang lebih awal daripada yang lain.

Selain itu, pemimpin yang mempunyai ciri pemimpin budiman harus memiliki visi dan
misi yang jelas di dalam membangun dan mentadbir sesebuah organisasi.Ini kerana dengan
kemampuan untuk membentuk visi dan misi yang jelas, barulah mudah seseorang pemimpin itu
untuk membawa komuniti yang dipimpinnya ke arah mercu yang direncanakannya.Contohnya,
bagi pemimpin unit dan organisasi sekolah yang mempunyai visi dan misi yang jelas pasti
berusaha membawa organisasi di bawah tanggungjawabnya untuk cemerlang dari segala aspek
dan dicontohi oleh yang lain.

Bagi menjadikan pemimpin itu berkredibiliti tinggi , mereka harus mempunyai
kemahiran membimbing yang effektif.kemahiran membimbing ini penting bagi tujuan
memperkasakan diri individu yang dibimbing bertujuan mencapai sasaran kerja yang ditetapkan
dengan jaya.Guru besar yang budiman harus mampu untuk membimbing kakitangannya bagi
menjamin kelangsungan budaya kerja berkualiti .Guru-guru muda terutamanya yang baru mula
bertugas terutamanya dibimbing agar cepat menyesuaikan diri di dalam sistem pendidikan dan
dibantu perkembangan dirinya sebaik mungkin.Manakala guru senior pula yang mempunyai
kepakaran berteraskan pengalaman dibimbing untuk terus kekal aktif terutamanya dalam
menginovasikan proses pengajaran dan pembelajaran serta menggalakkan budaya kajian
tindakan.

Pemimpin juga mesti sedar bahawa tugas mereka bukanlah mudah. Mereka juga dikenali
dan terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan
sebagainya. Seseorang pemimpin hendaklah berupaya membuat keputusan yang terbaik bukan
sahaja terbaik untuk dirinya sendiri tetapi terbaik kepada semua pihak yang lain. Ia juga
hendaklah terbaik kepada orang-orang yang dibawah pimpinannya dan semua yang terlibat
dengan keputusannya secara langsung ataupun tak lansung.Sebagai contohnya apabila seseorang
guru besar telah mengenal pasti beberapa masalah disiplin yang dilakukan oleh seorang guru,
haruslah disiasat dan diberi pertimbangan rapi berasaskan fakta dan bukti.Andainya wujudnya
keraguan munasabah yang menepati tatacara tatatertib, maka pemimpin tersebut harus membuat
keputusan berbentuk amaran, penggantungan kerja atau sebagainya.Ini bagi mengelakkan
kesalahan tersebut menjadi barah lantas menimbulkan sesuatu yang tidak diingini.

Begitulah sedikit sebanyak bagaimana ciri-ciri pemimpin di sekolah dapat diterjemahkan
melalui kupasan ringkas tetapi berinformasi di atas.Pemimpin di sekolah harus mempunyai ilmu
dan kemahiran tinggi di dalam aspek memimpin organisasi di samping cemerlang dari sudut
sahsiah dan peribadinya

Anda mungkin juga menyukai