Anda di halaman 1dari 2

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ict-tingkat-kualiti-belajar-1.

234184
ICT tingkat kualiti belajar
CIKGU SIDEK BABA
26 Disember 2013
TEKNOLOGI maklumat dan komunikasi atau ICT adalah sesuatu yang amat penting di abad ini.
Proses pengajaran dan pembelajaran kini tidak hanya menumpu kepada pendekatan lisan, kapur
dan tulis tetapi sedang berpindah kepada menggunakan teknologi.

ICT amat diperlukan kini dengan pengaruh maya dan siber yang sedang berkembang pesat dalam
kehidupan manusia terutama generasi muda. Di mana-mana kita lihat anak hatta yang masih
kecil amat mesra dengan alat teknologi yang menghubungkan manusia dengan manusia,
maklumat dan juga program.

Sedekad yang lalu Kementerian Pelajaran melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM)
membelanjakan lebih RM6 bilion untuk ICT dalam inisiatif pendidikan seperti Sekolah Bestari.
Jumlah ini merupakan modal paling intensif pernah dilakukan dalam sistem pendidikan.

Bagaimanapun, penggunaan ICT di sekolah masih tidak mencapai tahap yang memuaskan, baik
dari segi kualiti mahupun kuantiti. Contohnya, kajian kementerian pada 2010 mendapati lebih
kurang 80 peratus menggunakan ICT kurang satu jam seminggu.

Kajian tersebut turut mendapati hanya sepertiga murid menyatakan guru menggunakan ICT
secara tetap.

Kajian Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(Unesco) pada 2012 mendapati penggunaan ICT tidak berganjak daripada sekadar penggunaan
aplikasi pemproses perkataan sebagai alat pengajaran.

ICT mempunyai potensi besar untuk memacu proses pembelajaran ilmu dan kemahiran berfikir
yang luas. Namun demikian potensi ini belum dizahirkan. ICT akan membantu memperkukuh
proses pengajaran dan pembelajaran di semua 10,000 sekolah.

Murid akan memperoleh akses kandungan yang lebih luas, menarik dan interaktif. Mereka akan
dapat belajar mengikut kadar kendiri dan mempunyai pilihan pengajian yang lebih luas melalui
program jarak jauh.

Pengetua/guru besar dan guru juga akan mempunyai akses kepada sumber pembelajaran dan
komuniti negara bagi membantu meningkatkan kualiti amalan mereka.

Kemudahan ICT akan menjadi sebahagian daripada kehidupan murid di sekolah, tanpa jurang
pemisah antara bandar dengan luar bandar. Semua guru dan murid akan dilengkapi teknologi ini
secara berkesan dan bermakna.

Kementerian akan menyediakan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui
1BestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang 2013. Dalam masa terdekat, semua murid
akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah melalui 1BestariNet.

Kementerian juga akan melabur dalam latihan kecekapan ICT untuk semua guru dan secara
beransur-ansur meningkatkan nisbah peranti-murid daripada hampir 1:30 pada 2010 kepada 1:10
menjelang 2020.

Menambahkan kandungan dalam talian untuk perkongsian amalan terbaik bermula dengan
perpustakaan video guru terbaik menyampaikan pengajaran dalam Sains, Matematik, Bahasa
Malaysia dan Bahasa Inggeris pada 2013.

Dalam tradisi Islam, teknologi selamanya alat dan bukannya matlamat. Matlamat
membangunkan akal budi insan bergantung kepada kualiti perisian, maklumat, ilmu dan program
yang disajikan.

Ia menuntut pakar pemprograman mempunyai ilmu dan kemahiran yang baik, ilmu berbanding
yang bermanfaat dan diolah secara kreatif supaya aspek etika dan nilai tidak dikesampingkan.

Pengajaran dan pembelajaran pada prinsipnya masih memerlukan pekerti keinsanan sebagai
sumber contoh. Maklumat dan komunikasi yang sifatnya mekanistik harus diimbangi dengan
sentuhan keinsanan yang baik supaya antara alat dan matlamat, kegunaan ICT sentiasa dalam
kawalan dan memberikan faedah.

Guru tidak hanya sebagai pemudah cara tetapi pada dirinya terdapat pekerti teladan dalam proses
pembentukan watak para pelajar dengan kualiti adab yang tinggi.

Adab ialah disiplin minda, hati dan amal. Dalam aplikasi ICT faktor ini amat penting kerana
tanpa adab yang tinggi ICT boleh disalahgunakan untuk maksud sebaliknya.

Kemajuan teknologi seperti ICT harus digunakan untuk mendapatkan sebanyak mungkin
maklumat yang berguna untuk menambah ilmu pengetahuan. Di samping itu, ia menjadikan
pelajar lebih kreatif dan bijaksana dengan maklumat di hujung jari bagi memandu mereka
memiliki kualiti ilmu yang tinggi bagi menghadapi cabaran alaf 21.

Anda mungkin juga menyukai