Anda di halaman 1dari 17

1

KURIKULUM SEJARAH KE ARAH PEMBENTUKAN


PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Ahamad bin Rahim
IPG Kuala Terengganu

Azwani bin Ismail
Bahagian Sumber Manusia MARA

Dr Abdul Razaq bin Ahmad
Universiti Kebangsaan Malaysia

Prof Madya Dr Datin Zahara binti Aziz
Universiti Kebangsaan Malaysia

Dr Sharifah Nur Puteh
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum
yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengeratkan perpaduan kaum
di Malaysia sama ada oleh pihak kerajaan ataupun badan-badan
bukan kerajaan. Oleh itu, kertas kerja ini akan membincangkan
peranan pendidikan Sejarah di sekolah menengah bagi membantu
meningkatkan usaha yang ada ke arah mempertingkatkan tahap
integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan Sejarah merupakan satu
mata pelajaran yang dianggap relevan dalam menerapkan nilai-nilai
perpaduan kaum dalam masyarakat multietnik di negara ini. Kertas
kerja ini meninjau dari aspek permasalahan dalam pendidikan
Sejarah dan mencadangkan beberapa langkah yang sesuai bagi
menjadikan mata pelajaran Sejarah mampu menerapkan nilai-nilai
yang berkaitan dengan hubungan kaum dari aspek kandungan,
penerapan nilai dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Seterusnya kertas kerja ini juga mencadangkan langkah-langkah
yang perlu dilakukan di sekolah dan pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) bagi memantapkan aplikasi pendidikan Sejarah ke
arah mencapai matlamat pendidikan Sejarah dalam membentuk
sikap toleransi, patriotisme, kewarganegaraan dan nilai-nilai murni
ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu selari dengan
konsep 1 Malaysia.

Kata Kunci : Kurikulum, Pendidikan Sejarah, Integrasi Kaum
2

PENGENALAN

Konteks Masyarakat Majmuk di Malaysia

Furnivall (1965) mengatakan masyarakat majmuk merujuk kepada
penduduk pelbagai kaum yang tinggal di suatu kawasan tetapi
mengamalkan kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang
tersendiri. Beliau menjelaskan masyarakat Malaysia sering ditakrifkan
sebagai masyarakat majmuk dengan komuniti Melayu, Cina dan India
yang hidup sebelah-menyebelah tetapi berbeza dari segi kepercayaan,
budaya dan bahasa. Walaupun mereka hidup sebelah-menyebelah tetapi
mereka terpisah dari segi perbezaan bahasa, budaya dan kepercayaan.

Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa,
keturunan dan agama. Mengikut J abatan Perangkaan Negara (2006),
komposisi jumlah penduduk di Malaysia adalah seramai 26.64 juta orang.
Daripada jumlah tersebut, 24.8 juta orang merupakan warganegara
Malaysia manakala bakinya 1.84 juta orang merupakan bukan
warganegara Malaysia. Kaum Melayu mewakili 54% daripada populasi
penduduk iaitu seramai 13.48 juta orang. Kaum bumiputera selain
daripada Melayu seramai 2.93 juta orang yang mewakili 11.8%. Oleh itu,
kaum Bumiputera mewakili 65.8% daripada jumlah keseluruhan
warganegara Malaysia. Kira-kira 25% daripada penduduk Malaysia ialah
kaum Cina iaitu seramai 6.22 juta orang, 7.5% terdiri daripada kaum
India seramai 1.86 juta orang, manakala kaum lain pula mewakili 1.7%
iaitu seramai 318.9 ribu orang.

Masyarakat yang pelbagai etnik ini hidup dengan aman dan
mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing secara bebas
dan saling menghormati antara satu sama lain. Menurut Faridah et al.
(2008) hubungan etnik yang merujuk kepada interaksi antara etnik yang
berbeza (interetnik) atau interaksi dalam kumpulan etnik yang sama
(intraetnik), kepelbagaian kelompok etnik di Malaysia telah diterima oeh
semua rakyat dan ini merupakan sumber kekuatan perpaduan di
Malaysia. Dari segi sejarah, kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai
bangsa dan kaum di Malaysia bermula dengan apa yang dinamakan
sebagai kontrak sosial antara etnik terbesar di Malaysia. Kontrak sosial
adalah satu persetujuan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum
melalui proses muafakat dan musyawarah ke arah peralihan kuasa
3

pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris dan dimanifestasikan
melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Semangat
kontrak sosial ini berasaskan semangat kerjasama dan setia kawan serta
perkongsian kuasa yang kemudiannya terjelma dalam perjuangan
menuntut kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan.
(Anuar dan Nur Atiqah, 2008).

J ika dilihat dari data yang dinyatakan oleh J abatan Perangkaan Negara
(2006), maka tidak hairanlah isu perpaduan kaum menjadi suatu agenda
yang diberi perhatian serius oleh kerajaan. Kepelbagaian ini seharusnya
diurus dengan baik kerana kita tidak mahu peristiwa 13 Mei 1969
berulang kembali, ekoran sifat masyarakat yang heterogen. (Azwani &
Zahara, 2009). Oleh yang demikian, perpaduan menjadi perkara utama
bagi sesuatu dasar, pelan dan perancangan yang dibentuk oleh
kerajaan.

LATAR BELAKANG KURIKULUM SEJARAH DI MALAYSIA

Pendidikan zaman penjajahan British mencerminkan kepentingan
penjajah. Ini jelas digambarkan melalui mata pelajaran Sejarah yang
dijadikan saluran propaganda British yang amat berkesan. British
memperkenalkan kurikulum Sejarah yang berbeza-beza antara sekolah
aliran British dan sekolah aliran Melayu. Sekolah-sekolah Cina dan Tamil
pula menggunakan kurikulum Sejarah dari negara China dan India.
Sejarah British diberi tempat yang penting dalam kurikulum Sejarah
(Khoo Kay Kim, 1992). Ini diakui oleh Abdul Razaq (2007) yang
menjelaskan kurikulum Sejarah lebih menceritakan latar belakang
masyarakat Eropah ataupun sejarah England itu sendiri. Bagi J amaliah
(2005), sebenarnya inilah yang menyebabkan wujudnya jurang dalam
pendidikan sejarah antara murid sekolah aliran Inggeris, Cina dan Tamil.
Hal ini mengakibatkan identiti dan nilai kerjasama tidak wujud dalam
kalangan masyarakat ketika itu.

Pada peringkat awal pendidikan Sejarah yang diperkenalkan di sekolah-
sekolah aliran Melayu lebih berbentuk kepada Kesusasteraan Melayu
Klasik. British tidak menekankan pendidikan Sejarah tempatan dalam
kalangan masyarakat di Tanah Melayu kerana dikhuatiri boleh
menggugat kepentingan politik dan ekonominya. Hanya selepas negara
mencapai kemerdekaan, pengaruh kurikulum British dilihat semakin
4

berkurangan (Maharom Mahmood, 2001). Sementara pengaruh
kurikulum Sejarah negara India dan Cina tamat apabila Laporan Razak
1956 dikemukakan untuk memastikan satu sukatan pengajaran dan
peperiksaan yang sama dilaksanakan demi perpaduan kaum di negara
ini.

Selepas Perang Dunia ke-2 kurikulum Sejarah mula memberi penekanan
ke arah perpaduan dan integrasi kaum. Pada tahun 1973, terdapat
perbincangan untuk mengkaji semula kurikulum Sejarah. Kurikulum yang
sedia ada dilihat terlalu luas dan tidak bersifat tempatan (Siti Zainun Mat,
1998; 1990). Beberapa forum seperti Kongres Kebudayaan Malaysia
1971, Seminar Sejarah Malaysia 1 dan 11 yang diadakan dalam tahun
1973 dan 1974 (Siti Zainun Mat, 1988 dan 1990) telah diadakan untuk
membincangkannya. Dapatan seminar telah menggesa pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan pendekatan berpusatkan
ke-Malaysiaan dalam menggubal sukatan pelajaran dan penulisan buku
teks Sejarah (Siti Zainun Mat 1988, 1990).

Hanya pada tahun 1989, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek teras yang wajib
diambil oleh semua pelajar. Bagi Aini Hassan (2008) perubahan ini
merupakan satu anjakan besar dalam falsafah dan konsepsi pengajaran
dan pembelajaran Sejarah di sekolah. Falsafah, matlamat dan objektif
pengajaran dan pembelajaran telah dinyatakan dengan jelas. Fokus
terhadap sejarah tempatan telah diterapkan dalam kurikulum.
Pembahagian tajuk pula dilakukan mengikut tema-tema (PPK, 2002).
Perkembangan kurikulum Sejarah pra dan pascamerdeka telah
mengalami perubahan pesat, selari dengan tuntutan semasa.

KEDUDUKAN MATA PELAJARAN SEJARAH

Matlamat pendidikan Sejarah bagi peringkat menengah rendah dan
menengah atas ialah memupuk semangat taat setia kepada bangsa dan
negara serta berbangga menjadi warganegara Malaysia. Kandungan
kurikulum yang disediakan, memberikan fokus kepada pemahaman yang
menyeluruh tentang sejarah negara yang merangkumi jangka masa lima
ratus tahun dan dibuat secara kronologis iaitu mengikut susunan tahun.
Pengajaran dan pembelajaran Sejarah seharusnya memberi tumpuan
kepada pemerolehan pengetahuan, perkembangan kemahiran dan
5

pemupukan nilai-nilai. Kedudukan mata pelajaran Sejarah dijelaskan
seperti yang berikut:

mata pelajaran Sejarah dalam KBSM, merupakan mata
pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua pelajar
sekolah menengah.
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2002)

Langkah Kementerian Pelajaran menjadikan subjek Sejarah sebagai
subjek wajib lulus pada tahun 2012 di peringkat SPM dilihat sangat
signifikan dalam konteks semasa. Seterusnya menjadikannya sebagai
subjek teras untuk sekolah rendah mulai 2014. Ini selaras dengan
transformasi dalam sistem pendidikan negara dengan perubahan KBSR
kepada KSSR mulai tahun 2011. Ini secara tidak langsung akan
memartabatkan lagi kedudukan mata pelajaran ini di kaca mata
masyarakat. Shakila Yacob (2010) melihat langkah mewajibkan subjek
Sejarah ini bertujuan untuk memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia,
menonjolkan kepentingan dan kerelevanan ilmu sejarah dalam setiap
aspek kehidupan rakyat Malaysia dan memperkasakan legasi sejarah
Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat selari dengan
perjuangan 1 Malaysia.

Berdasarkan kenyataan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pembuat
dasar negara sangat peka terhadap kepentingan mata pelajaran ini
sebagai wawasan masa hadapan dalam membina perpaduan bangsa
dan negara. Dasar mewajibkan pelajar sekolah menengah mempelajari
sejarah adalah menepati kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) yang inginkan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek
pelajar secara serentak dan bersepadu. Sebelum ini mata pelajaran
Sejarah dianggap sebagai mata pelajaran kelas kedua dan dikaitkan
dengan pelajar-pelajar aliran sastera (Omar 1992 dan Abdul Ghani
2008).

MATLAMAT PENDIDIKAN SEJARAH

Pendidikan Sejarah bertujuan memupuk semangat setia negara dan
perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan
penghayatan sejarah tanah air. Di peringkat menengah rendah,
kurikulumnya meliputi jangka masa selama lima ratus tahun dan disusun
6

secara kronologi. Kurikulum ini bertujuan untuk memberi pemahaman
menyeluruh dan satu gambaran yang lengkap tentang sejarah negara.
Dalam rentetan peristiwa ini dimasukkan pula sejarah negara luar yang
mempunyai kaitan dengan sejarah negara. Sejarah negara luar ini
merupakan asas bagi pelajar untuk mengetahui dan memahami
hubungan dan kaitannya dengan Sejarah Malaysia (PPK 2002).
Pendidikan Sejarah dilihat dapat mewujudkan ingatan bersama terhadap
sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan
persefahaman antara bangsa (PPK 2002) kerana tujuan pendidikan
Sejarah itu adalah untuk memupuk semangat setia negara dan perasaan
bangga sebagai rakyat Malaysia melalui pengetahuan dan perasaan
bangga sebagai rakyat Malaysia.

ISU-ISU DALAM PENDIDIKAN SEJARAH

Sering kedengaran pembelajaran Sejarah yang berpusatkan guru kurang
memberi kesan sebagaimana yang diharapkan. Pengajaran guru yang
bersifat indoktrinasi dan tidak kreatif, bercorak sehala, tidak mewujudkan
peluang interaksi antara guru dan pelajar. Hal ini menyebabkan proses
pengajaran dan pembelajaran (P & P) Sejarah menjadi begitu kaku dan
membosankan pelajar. Guru masih mengekalkan kaedah tradisi di bilik
darjah. Guru kurang mempunyai kepakaran dalam menyampaikan
pedagogi terkini. Kaedah chalk and talk yang menekankan interaksi
sehala serta teknik hafalan terhadap sesuatu fakta telah menyebabkan
Sejarah dilihat sebagai the dead man of curriculum (Abdul Razaq,
2009). Sikap negatif guru menyebabkan mereka gagal mencerna minda
pelajar supaya lebih bersifat intelektual dan ini menyebabkan pelajar
kurang memberi tumpuan semasa P & P dijalankan.

Kandungan kurikulum Sejarah amat padat dengan fakta-fakta dan tahun-
tahun yang perlu diingati oleh pelajar. Mempelajari subjek Sejarah
bermakna terpaksa menghafal fakta-fakta dan tahun-tahun yang begitu
membebankan. Perkara ini menjadikan subjek Sejarah kurang menarik
minat pelajar. Bagi pelajar, subjek ini lebih banyak bercerita tentang
peristiwa yang sudah lapuk dan mereka tidak nampak apa yang harus
dinilai dalam mempelajari Sejarah (Hartini Husain, 2006). Tambahan
pula, terdapat ibu bapa yang melihat mata pelajaran ini tidak penting dan
merupakan subjek kegemaran pelajar aliran sastera (Robiah Sidin,
1994). Kurikulum Sejarah lebih menjurus kepada penghafalan fakta dan
7

berbentuk stereotaip. Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, mantan
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, pendekatan menghafal sejarah
perlu diubah kepada cara yang lebih menarik dan boleh menyebabkan
pelajar berfikir secara kritikal terhadap sesuatu peristiwa.

Di samping itu, kandungan kurikulum Sejarah juga perlu dinilai kembali.
J anganlah terlalu bersifat melayu centric. Peranan semua kaum dalam
menuntut kemerdekaan dan memakmurkan negara perlu diberi
penekanan. Sejarah yang diajar seolah-olah sejarah orang Melayu dan
bukan sejarah Malaysia. Sumbangan dan pengorbanan kaum lain juga
perlu dilihat dan dimasukkan dalam kurikulum Sejarah agar mata
pelajaran lebih menarik, bersifat universal dan mempunyai nilai tambah.
Setiap kaum mempunyai tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk
kemerdekaan dan kemajuan negara. Sumbangan kaum, masyarakat dan
tokoh yang terlibat dalam perkembangan sejarah negara harus dicakupi
secara menyeluruh dan bukannya dipilih (selected). Peranan ikon
pascamerdeka seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Tun Tan
Siew Sin, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah dilihat dari
sudut perbincangan 1 Malaysia.

Sering kedengaran subjek Sejarah boleh diajar oleh sesiapa sahaja
walaupun mereka bukan opsyen Sejarah. Masih terdapat jumlah
peratusan yang besar dalam kalangan guru Sejarah di sekolah tidak
mempunyai latihan ikhtisas dalam bidang berkenaan (Rahim Rashid,
1999). Ini menyebabkan guru yang mengajar subjek Sejarah kurang
mempunyai pengetahuan daripada aspek pedagogi. Mereka tidak
mendapat pendedahan dan latihan yang mencukupi. Guru Sejarah juga
jarang dipanggil berkursus untuk meningkatkan tahap profesionalisme
mereka dalam pengajaran Sejarah. Mereka kurang didedahkan dengan
amalan pedagogi terkini di bilk darjah. Ketika ini ramai guru yang
mengajar Sejarah terdiri daripada guru-guru sandaran yang tidak
memahami matlamat pendidikan Sejarah. Malah ada antara mereka
yang tidak menguasai isi kandungan yang disampaikan yang
mengakibatkan penyampaian maklumat kepada pelajar kurang tepat.
Kesemua ini akan membantutkan lagi usaha untuk mewujudkan
perpaduan kaum melalui mata pelajaran Sejarah.

Penggunaan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran tidak
menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik. Penggunaan buku
teks yang berlebihan menjadikan pengajaran bersifat stereotaip, kurang
8

daya kreatif dan imaginatif. Guru yang terlalu bergantung kepada
penggunaan buku teks akan menyebabkan pelajar kurang berminat
terhadap pengajarannya kerana sifat buku teks yang statik dan tidak
bersifat interaktif. Terdapat guru yang amat bergantung kepada buku
teks. Nota-nota dipetik terus daripada buku teks. Pelajar diminta
menggariskan bahagian yang penting dalam buku teks. Fenomena ini
menimbulkan kebosanan kepada pelajar mengikuti mata pelajaran ini.
Kajian Noraizan Hamzah (2008) menunjukkan pelajar akan berasa bosan
semasa membaca buku teks kerana isi kandungannya terlalu banyak
fakta yang perlu dihafal.

Masyarakat lebih suka melihat kejayaan dalam sesuatu peperiksaan
sebagai kayu ukur dalam menentukan keberhasilan dan kecemerlangan
masa hadapan seseorang pelajar. Lantaran itu, sudah menjadi rutin guru
mengajar untuk memastikan pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan
yang didudukinya tanpa menghiraukan matlamat dan objektif kurikulum
itu sendiri. Pengajaran dan pembelajaran Sejarah dilihat lebih bersifat
reproduction iaitu mengeluarkan segala fakta yang dipelajari dalam
peperiksaan. Kandungan kurikulum yang terlalu bersifat peperiksaan ini
menyebabkan matlamat pendidikan Sejarah untuk perpaduan kaum
tidak dapat dicapai sepenuhnya.

KURIKULUM SEJARAH KE ARAH INTEGRASI KAUM

Peranan kurikulum Sejarah dalam mengeratkan integrasi kaum dalam
masyarakat pelbagai etnik di negara ini masih tetap relevan. Walaupun
terdapat beberapa kelemahan dan masalah, namun masih terdapat
ruang yang luas untuk memperbaiknya lagi. Berdasarkan masalah-
masalah yang telah dibincangkan di atas, berikut dikemukakan beberapa
saranan untuk mengatasinya. Antaranya ialah :

a. Isi Kandungan Kurikulum Sejarah

Kurikulum yang ditampilkan perlulah bersifat futuristik dan berdaya
saing. Keseimbangan dari aspek teori dan amali perlu diberi
perhatian. Penekanan kepada fakta dan tahun perlulah
diminimumkan. Ilustrasi yang menarik dalam kandungan kurikulum
9

akan dapat menarik perhatian pelajar mengikutinya. Kurikulum
Sejarah pada abad ini perlulah seimbang, progresif dan dinamik.
Dalam konteks ini kurikulum yang dihasilkan perlu berpusatkan
pelajar, realistik serta praktikal dan boleh diaplikasikan dalam
konteks kehidupan seharian.

Isi kandungan kurikulum Sejarah juga perlu dilihat kembali agar
sumbangan semua kaum di negara ini dapat dilihat dan dihargai.
Sumbangan kaum Melayu, Cina dan India terhadap proses
kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan perlu dimasukkan
dalam kurikulum. Hal ini akan dapat mengelakkan tafsiran sejarah
yang dipelajari lebih menjurus kepada sejarah orang Melayu atau
Melayu centric. Seharusnya kurikulum Sejarah itu dapat
merangsang pelajar-pelajar agar dapat menghayati sejarah yang
dipelajari itu adalah milik mereka bersama. Perkara ini penting agar
setiap kaum akan dapat memahami sejarah bagi setiap kaum yang
lain. Kurikulum sedemikian akan dapat menarik minat pelajar
daripada semua kaum dalam menilai sumbangan kaum mereka
terhadap sejarah pembangunan negara. Secara tidak langsung
akan meningkatkan perpaduan dalam kalangan mereka.

Tema-tema yang dipilih dalam kurikulum Sejarah juga perlulah
menjurus kepada tema yang dapat meningkatkan tahap integrasi
kaum di negara ini. Tema yang berkaitan dengan peranan dan
sumbangan setiap kaum itu dari aspek politik, ekonomi dan sosial
perlulah diberi fokus dalam menyusun kurikulum. Contohnya,
dalam menuntut kemerdekaan Negara, peranan Tunku Abdul
Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan perlulah
dikupas dan diperhalus daripada perspektif perpaduan dan
integrasi kaum di negara ini. Perkara ini dapat dijadikan model
integrasi terbaik generasi terdahulu dalam membentuk konsep
integrasi kaum sebenar. Pelajar akan dapat menghayati dan
mendalami peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini dan
seterusnya akan memberi kesedaran kepada mereka tentang
proses integrasi yang telah wujud sejak prakemerdekaan.

Di samping itu, dalam pelaksanaan kurikulum di bilik darjah,
penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang bersifat interaktif
perlulah diberi perhatian kerana ini akan dapat menarik perhatian
10

pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan multimedia yang bersifat interaktif akan merangsang
minat pelajar mengikuti P&P sepenuhnya. Terdapat banyak kajian
yang menunjukkan kepentingan penggunaan BBM bersifat
interaktif ini, khususnya dalam subjek Sejarah. Kajian Hazman Che
Sidik (2000), Rohidah Alias (2003) dan Zaliza Zali (2004)
menunjukkan penggunaan BBM bersifat interaktif ini dapat
menjadikan pengajaran lebih berkesan dan menarik minat pelajar
untuk belajar bukan sahaja daripada kalangan pelajar Melayu
malah pelajar Cina dan India juga akan tertarik untuk mengikutinya.
Oleh itu, guru bagi subjek Sejarah juga perlulah lebih kreatif dalam
memilih BBM yang bersifat interaktif dengan pengajarannya. Tema
yang terdapat dalam kurikulum boleh diaplikasikan dalam bentuk
cakera padat seperti mana yang dilihat dalam History Channel dan
Discovery Channel (Chan Nelee, 2010). Pihak Bahagian Teknologi
Pendidikan di KPM perlu mengambil tindakan dalam
menyebarluaskannya kepada guru-guru subjek Sejarah di seluruh
negara. Aplikasi ini akan dapat membantu mewujudkan suasana
yang menyeronokkan dalam pengajaran. Pelajar akan lebih teruja
serta ingin mendalami apa yang dipelajarinya. Pada akhirnya
pelajar akan mendapat iktibar daripada peristiwa sejarah yang
dipelajarinya. Secara tidak langsung, ini akan dapat menarik minat
pelajar daripada pelbagai kaum untuk mengikuti pengajaran dan
pembelajaran Sejarah di bilik darjah.

b. Latihan Guru Sejarah

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu melatih lebih ramai
guru Sejarah yang berminat untuk mengajar Sejarah (Anuar et.al.
2009). Pemilihan calon-calon guru Sejarah perlulah
berlatarbelakangkan kepada minat yang mendalam terhadap mata
pelajaran ini. Hal ini penting agar mereka yang terpilih dan dilatih
kelak akan dapat melahirkan murid yang berilmu pengetahuan
Sejarah yang tinggi. Pihak KPM dan Bahagian Pendidikan Guru
(BPG) juga perlulah merangka dan menyediakan lebih banyak
kursus dalam perkhidmatan kepada guru Sejarah berhubung
dengan kepentingan mata pelajaran Sejarah dalam memupuk
integrasi kaum di negara ini. KPM juga perlulah memberi
penekanan kepada aspek psikologi dan motivasi dalam kalangan
11

guru Sejarah agar mereka dapat bersaing dengan rakan-rakan
daripada mata pelajaran yang lain. Nilai dan kepentingan mata
pelajaran ini perlulah dipertahankan.

Mereka yang terpilih untuk mengajar kurikulum Sejarah ini perlulah
memahaminya secara holistik dan komprehensif, dan bukannya
secara selected. Mereka perlu didedahkan dengan latihan yang
bersifat mikro dan amali secara konsisten bagi menguasai bidang
dan memiliki keterampilan yang tinggi. Latihan guru Sejarah juga
perlu disesuaikan dengan matlamat dan objektif kurikulum Sejarah
itu sendiri, yang meletakkan integrasi dan asas perpaduan sebagai
matlamat yang hendak dicapai kerana guru merupakan pelaksana.

Selain itu, isi kandungan bagi latihan guru praperkhidmatan juga
perlu dilihat semula. Isu-isu integrasi perlu dimasukkan dalam
kurikulum dan diserapkan secara profesional. Melalui cara ini, guru
dapat memahami dan menyelami hasrat dan aspirasi yang ingin
dicapai oleh kerajaan. Kurikulum Sejarah juga perlu ke arah
memperkenalkan jati diri dalam kalangan pelajar, semangat
patriotik, membina Negara bangsa serta meningkatkan lagi unsur
perpaduan kaum yang sedia terjalin. Melalui kefahaman dan usaha
memperkasakan elemen ini akan dapat membantu hasrat kerajaan
merealisasikan hasrat 1 Malaysia.

c. Anjakan Paradigma Pedagogi Sejarah

Perubahan masa menuntut guru Sejarah lebih berinovasi dan
kreatif dalam mencorakkan pengajaran dan pembelajaran dalam
bilik darjah. Sejarah perlulah diajar dalam konteks yang
menyeronokkan. Kreativiti dan elemen kreatif perlulah dimasukkan
dalam konteks pengajaran dan pembelajaran guru. Guru boleh
mengambil beberapa pendekatan seperti mengadakan aktiviti
drama, perbincangan, lawatan tempat bersejarah dan mengadakan
temu bual. dalam usaha menarik minat pelajar kepada subjek
Sejarah. Pedagogi berkaitan integrasi kaum juga perlu dilihat
dalam konteks yang lebih menyeluruh agar dapat diserapkan
dalam kursus-kursus untuk guru praperkhidmatan ini dengan lebih
berkesan. Pemahaman yang jelas perlu agar mereka akan turut
berperanan dalam mencapai matlamat integrasi ini.
12


d. Konsep Pembelajaran Aktif

Penulis berpendapat konsep pembelajaran aktif dalam pengajaran
Sejarah perlulah diperkasakan. P & P bercorak student centered
perlu diterapkan dalam kelas dan diberi nafas baru. Kirschner et.al.
(2006) dan Mayer (2004) menjelaskan pelajar yang terlibat dengan
pembelajaran aktif lebih banyak mengingati maklumat yang
diperoleh. Contohnya guru boleh menggunakan pembelajaran
koperatif seperti yang disarankan oleh Slavin (2006). Setiap
kumpulan pelajar ini mesti disertai oleh pelbagai kaum, secara
tidak langsung interaksi positif akan berlaku antara para pelajar
pelbagai kaum. Melalui konsep pembelajaran ini, pelajar akan
terlibat secara langsung dan lebih aktif dalam proses
pembelajaran yang berbentuk hands-on dan minds-on (Arthur &
Wright, 2001; Laughlin & Hartoonian, 1995; Orlich, Harder,
Callahan, & Gibson, 2001). Konsep ini dilihat mampu membawa
sinar dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah dalam
bilik darjah.

e. Konteks Penerapan Nilai dalam Sejarah

Mata pelajaran Sejarah di sekolah dilihat sangat relevan dalam
memupuk nilai-nilai kemasyarakatan, intelektual dan sosial untuk
mencorakkan perkembangan personaliti yang lebih seimbang.
Lewenstein (1963) dalam membincangkan sumbangan pendidikan
sejarah, menekankan betapa pentingnya pendidikan ini dalam
mengembangkan nilai dalam kalangan pelajar. Menurut Rahim
Rashid (2000), penerapan nilai dalam pendidikan Sejarah
terbahagi kepada 4 iaitu (i) nilai individu, (ii) nilai politik, (iii) nilai
sosial dan kemasyarakatan dan (iv) nilai intelek. Pemahaman dan
pengetahuan tentang unsur nilai ini mempunyai signifikannya
dalam memupuk perpaduan dan integrasi dalam kalangan pelajar
pelbagai kaum. Hal ini akan dapat membantu mereka memahami
pentingnya mengamalkan nilai-nilai sosial dan kemasyarakatan
yang positif dalam kehidupan mereka seperti keadilan, kekitaan,
kemanusiaan dan semangat bermasyarakat.

13

Dalam konteks politik, nilai politik (Rahim Rashid, 2000) seperti
setia, patriotisme, demokrasi dan kepemimpinan perlu diamalkan
dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk ini. Oleh itu,
kurikulum Sejarah yang dibentuk perlu memberi penekanan
kepada unsur nilai ini selari dengan hasrat untuk melahirkan
generasi pelajar yang dapat memahami dan berinteraksi dengan
lebih harmoni, khususnya dalam konteks masyarakat pelbagai
etnik di negara ini. Dalam konteks pendidikan Sejarah, penerapan
nilai ini ialah proses menanam, memupuk dan mengembangkan
nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu,
penekanan kepada unsur nilai kemasyarakatan dan nilai politik ini
akan dapat membantu meningkatkan integrasi kaum dalam
kalangan pelajar di negara ini sejak peringkat awal lagi.
Ringkasnya penerapan nilai dalam kurikulum Sejarah sama ada
daripada aspek kemasyarakatan mahupun politik dilihat sebagai
landasan terbaik dalam melahirkan pelajar yang memahami
pentingnya integrasi dalam masyarakat berbilang kaum ini.

KESIMPULAN

Usaha untuk memperkasa perpaduan dan integrasi kaum melalui
kurikulum Sejarah tiada jalan noktahnya. Kurikulum Sejarah dilihat
sebagai wadah terbaik untuk merealisasikan hasrat ini. Walaupun
pelbagai usaha dan langkah telah diambil oleh pihak kerajaan mahupun
badan-badan bukan kerajaan. Dalam konteks Malaysia yang mempunyai
masyarakat pelbagai etnik ini, usaha yang berterusan perlulah dilakukan
untuk memelihara dan memperkukuh perpaduan dan integrasi
masyarakat pelbagai kaum ini. Langkah kabinet untuk membentuk
sebuah panel pembelajaran Sejarah bagi memantau pelaksanaan
kurikulum Sejarah dianggap satu langkah tepat dan bersesuaian dengan
konteks semasa. Sebagai rakyat Malaysia, semuanya amat berharap
pada suatu hari nanti isu ini akan menemui titik noktahnya. Untuk itu,
semua kaum perlulah menanam sikap kekitaan, toleransi dan saling
mempercayai antara satu sama lain selain meletakkan kepentingan
nasional dan kesejahteraan negara melebihi kepentingan etnik masing-
masing. Kita tidak mahu isu dan dilema perpaduan ini akan terus menjadi
duri dalam daging untuk tempoh 50 tahun yang akan datang. Gagasan
1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato Sri
14

Mohd Najib Tun Razak telah membuka lembaran baru ke arah
memperkasa perpaduan kaum dalam masyarakat pelbagai etnik di
negara ini. Oleh itu, kurikulum Sejarah dilihat sebagai medium yang
sangat signifikan dalam merealisasikan hasrat ini.

Rujukan

Abdul Rahim Abd. Rashid. (2000). Model dan Pendekatan Pengajaran
Sejarah KBSM. Selangor. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abd. Rahim Abd. Rashid. (1999). Pendidikan Sejarah, Falsafah Teori dan
Amalan. Kuala Lumpur. Percetakan Cergas Publication Sdn. Bhd.

Abdul Razaq Ahmad dan Andi Suwirta. (2007). Sejarah dan Pendidikan
Sejarah: Perspektif Malaysia Dan Indonesia. Bandung:
Historia Utama Press.

Abdul Ghani Abu. (2008). Sejarah Masih Relevan, Utusan Malaysia: 14
J an 2008.

Aini Hassan & Siti Hawa Abdullah. (2008). Sejarah Perkembangan
Kurikulum Sejarah di Malaysia dalam Perjuangan
Memperkasakan Pendidikan di Malaysia; Pengalaman 50 Tahun
Merdeka. Oleh Nik Azis Nik Pa dan Noraini Idris. 2008. Utusan
Publications and Distributors Sdn Bhd.

Anuar Ahmad, Siti Haishah Abd. Rahman & Nur Atiqah T. Abdullah.
(2009). Tahap Keupayaan Pengajaran Guru Sejarah dan
Hubungannya dengan Pencapaian Murid di Sekolah Berprestasi
Rendah. Jurnal Pendidikan Malaysia. 34(1) (2009): 53 66,
Fakulti Pendidikan, UKM.

Anuar Ahmad dan Nur Atiqah T.Abdullah. (2008). Demografi Pendidikan
di Malaysia. Kertas Kerja Kolokium Identiti, Etnisiti dan
Pendidikan. Anjuran Bersama Kumpulan Penyelidik Hubungan
Etnik dan Pendidikan, Fakulti Pendidikan dan Institut Kajian Etnik
(KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor. 27 Mac.

Arthur, J ., & Wright, D. (2001). Teaching Citizenship in the Secondary
School. London: Fulton.

15

Azwani Ismail & Zahara Aziz. (2009). Pendidikan Pelbagai Budaya dalam
Sistem Pendidikan di Malaysia. Diges Pendidik. J ilid 9 Bil. 2,
Universiti Sains Malaysia.

Chan Nelee. (2010). Pembinaan Kurikulum Sejarah ke Arah
Pembentukan Perpaduan Kaum di Malaysia dalam Proceedings
International Seminar Comparative Studies in Educational
System Between Indonesia And Malaysia. Organised by UPI,
UKM and UM.

Faridah Karim et al.(2008). Hubungan Etnik di Institusi Pengajian Tinggi
dari Perspektif Etnografi Habitus dan Modal Budaya. Kertas Kerja
Kolokium Identiti, Etnisiti dan Pendidikan. Anjuran bersama
kumpulan penyelidik Hubungan Etnik dan Pendidikan, Fakulti
Pendidikan dan Institut Kajian Etnik (KITA). Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia. 27 Mac.

Furnivall, J ohn S. (1965). Colonial Policy and Practice: A Comparative
Study of Burma and Netherlands India, New York University
Press.

Hartini Husain. (2006). Pencapaian dan Sikap Pelajar dalam Mata
Pelajaran Sejarah Menerusi Pengajaran Berbantukan Komputer.
Thesis Sarjana. Fakulti Pendidikan. UKM.

Hazman Che Sidik. (2000). PPBK Mata Pelajaran Sejarah Bertajuk
Sistem Pengangkutan di Tanah Melayu Dalam Abad Ke-19.
Projek Sarjana. UKM.

J amaliah Shaik Abdullah. 2005. Perubahan Kurikulum Pendidikan
Sejarah di Malaysia dari Tahun 1978-2000. Projek Sarjana.
Universiti Sains Malaysia.

Khoo Kay Kim. (1980). Perkembangan Pelajaran Agama Islam dalam
Awang Had Salleh (1980). Pendidikan ke Arah Perpaduan:
Sebuah Perspektif Sejarah. Kuala Lumpur.

Laughlin, M. A., & Hartoonian, H. M. (1995). Challenges of Social Studies
Instruction In Middle And High Schools. Fort Worth, TX: Harcourt.

16

Maharom Mahmood. (2001). Kurikulum Sejarah ke Arah
Memperkukuhkan Usaha Pemupukan Semangat Patriotik dalam
Kalangan Murid. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Sejarah
ke arah pembentukan warganegara patriotik. 8-12 Oktober. Kuala
Lumpur.

Marimuthu,T. (1984). Policies For Multicultural Education In Malaysia.
Paper Presented at the 4
th
National Convention on Education.
Malaysian Association for Education. Kuala Lumpur. 6-8
th
August
1984.

Mayer, R. 2004. Should There Be a Three Rule Against Pure Discovery
Learning. The Case for Guided Methods of Instruction. American
Psychologist 59(1), 14-19.

Noraizan binti Hamzah @ Daud. 2008. Persepsi Pelajar dan Guru
Terhadap Penggunaan Buku Teks Sejarah. Kertas Projek
Sarjana. UKM. Bangi.

Norrizan Seman. 2003. Perkembangan Pendidikan Sejarah
Semenanjung 1874-2002. Projek Sarjana Pendidikan.
UKM.

Omar Hashim. 1992. Falsafah Pendidikan Sejarah: Sejarah dalam
Pendidikan. Persatuan Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka..

Orlich, D. C., Harder, R. J ., Callahan, R. C., & Gibson, H. W. (2001).
Teaching Strategies: A Guide to Better Instruction (6th ed.).
Boston, MA: Houghton.

Rohidah bte Alias. 2003. Penghasilan Bahan Pengajaran dan
Pembelajaran Berbantukan Komputer Bertajuk Sejarah dan Kita,
Petempatan Awal di Negara Kita, Parameswara dan Pengasasan
Melaka. Projek Sarjana Pendidikan. UKM.

Slavin, R. E. 2006. Educational Psychology : Theory and Practice.
8th.ed. United States of America : Pearson Education, Inc.

Shakila Yacob. 2010. Ilmu Sejarah Membina Negara. Utusan Malaysia.
19.10. 2010.

17

Sufian Hashim (1976), An Introduction to the Constituitution of Malaysia,
KL. Government Printers.

Syed Husin Ali. (1984). Ethnicity, Class and Development: Malaysia,
Kuala Lumpur: Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Siti Zainun Mat. (1988). Pelajaran Sejarah di Sekolah-sekolah di
Semenanjung Malaysia 1948-1970an: Satu tinjauan. Tesis Ijazah
Sarjana Muda. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Zaliza Zali. (2004). Pembinaan dan Penilaian Berbantukan Komputer
Bagi Mata Pelajaran Sejarah Tingkatan Satu. Projek Sarjana.
UKM.

Anda mungkin juga menyukai