Anda di halaman 1dari 6

Cerpen Gerai Pisang Goreng Abah

AINUNL MUAIYANAH SULAIMAN


DEWAN SASTERA OKTOBER 07 (Sisipan Tunas Cipta)

Abah berniaga pisang goreng berdekatan rumah kami sebagai punca
pendapatannya. Gerai abah sudah terlalu lama dibina. Sejak kami kecil lagi
malah gerai kecil itu sudah ada ramai pembeli setia dan tetap yang tergoda
dengan resipi pisang goreng abah. Abah mengadun tepung pisang goreng
dengan resipi keluarga turun-temurun. Abah randau dengan rempah
terpilih.
Malah abah begitu teliti memilih jenis pisang untuk digoreng
menjadikan gerai pisang goreng abah begitu terkenal di kawasan kami.
Kami semua membesar dengan jasa gerai pisang goreng itu. Ketika mula-
mula abah ingin membuka gerai, kami bergotong-royong membina gerai itu
dengan kudrat yang sedikit. Walaupun hanya sekadar mampu mengangkat
sebatang dua kayu, namun kami adik-beradik tetap mahu membantu
meneguhkan pasak gerai abah.
Benar, abah tidak cukup modal mulanya. Malah abah masih berat
hati mahu membuka gerai itu. Mulanya abah hanya sekadar mahu menjadi
pekebun sahaja. Keluarga abahlah yang gigih menggalakkan abah
membuka gerai pisang goreng yang menggunakan resipi keluarga itu.
Mereka menghulurkan modal dari segi tenaga dan wang. Semuanya kerana
hanya abah sahaja yang ingin memperjuangkan resipi turun-temurun
pisang goreng keluarga. Kalau tidak abah siapa lagi?.
Tentu bukan sesiapa kerana ramai adik-beradik abah yang merantau
mencari rezeki di negeri orang dan dan tidak berminat bekerja di kampung.
Abah juga yang masih setia di rumah warisan keluarga itu. Abah menjaga
dan memelihara segala harta pusaka keluarga di kampung itu.
Resipi pisang goreng abah menjadikan pisang itu begitu enak dan
terasa lemak. Kerak kekuningan yang menyaluti pisang goreng itu yang di
gemari pembeli. Tepungnya sangat rangup dan masih bersifat begitu juga


biarpun sudah sejuk. Itulah yang menjadikan pisang goreng abah unik pada
darjah tersendiri. Masa berlalu dan kami semakin dewasa. Abah masih
tetap tabah di gerai pisang gorengnya. Jasa gerai itulah yang menghantar
kami ke menara gading. Menyara hidup kami sekeluarga. Walaupun kini
abah sudah tidak perlu lagi bekerja, abah masih berdegil juga. Bagi abah
gerai dan dirinya memang tidak boleh dipisahkan.
Masa juga menyaksikan kepesatan tempat kami. Pembinaan universiti
berhampiran tempat kami menyumbang pembinaan kompleks membeli
belah. Kompleks itu lambang kemegahan tempat kami walhal pemiliknya
bukan orang kami dan lot-lot kedai di kompleks itu bukannya disewa oleh
orang kampung kami. Namun orang di sini tetap bermegah dan mendabik
dada apabila mampu membeli-belah di sana.Sesekali apabila kami punya
masa, kami sekeluarga akan meluangkan masa ke kompleks membeli belah
itu. Membawa abah dan ibu bersama.
Suatu hari, abah membeli pisang goreng yang dijual di satu kedai
eksklusif yang di dekorasi indah di kompleks itu. Usai menjamah abah
merungut panjang. Katanya pisang goreng di kedai eksklusif itu tidak
sedap. Kami semua tergelak besar. Dalam ajnas pilihan makanan di kedai
itu, pisang goreng juga yang abah pilih.Kata abah lagi, penjual itu tidak
menjual dengan niat yang benar-benar ikhlas. Menjual hanya untuk
untung. Sudahlah harga pisang gorengnya mahal, pisangnya kecil dan tidak
berkualiti pula. Kasihan benar pembeli. Tertipu dengan hiasan luar indah
tetapi makanan tidak setanding harganya.
Prinsip abah dalam menyediakan makanan sangat optimis. Abah
berpegang pada firman Allah S.W.T. dalam surah al-Nahl ayat 114 Maka
makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah
kepadamu dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepadaNya saja
menyembah.Abah sering menegaskan pada kami makanan adalah sumber
pembentukan dan penguat tubuh badan yang berkait-paut dengan
memelihara kesempurnaan ibadat dan kesucian hati nurani berlandaskan
hadis Rasulullah anda adalah apa yang anda makan.


Kalau sumber makanan sudah bercampur halal dan haram, hati akan
bertambah gelap dan lebih cenderung menjauhi amal dan mendekati
mungkar.Kami memang terdidik sedemikian rupa. Abah begitu tegas
menjaga pemakanan kami. Malah abah lebih gemar makan masakan ibu di
rumah berbanding membawa kami makan di luar. Tambah abah lagi,
apabila kita makan di rumah, kita lebih mengetahui penyediaan makanan
kita bersih atau tidak. Malah mak digalakkan membaca doa melembutkan
hati anak ketika menyediakan makanan kami.
Abah menasihati kami apabila memilih makanan biarlah teliti.
Makanan itu mestilah sahih kehalalannya tanpa syubhah, berkhasiat malah
penyediaan dibuat dengan berseni serta dalam suasana yang bersih.
Alhamdulilah, ketegasan abah berjaya mendidik kami dalam ketelitian
memilih makanan. Pulangannya, kami tidak mudah jatuh sakit dan cerdas-
cerdas semua semasa proses membesar.
Ketelitian dan kata-kata abah dalam pemakanan benar-benar
mengagumkan kami. Abah hanya sekadar anak kampung yang mempelajari
resipi makanan daripada nenda. Rujukan abah berlandaskan al-Quran dan
hadis. Lebihnya hanya terletak apabila abah gemar membaca dan
kegilaannya pada buku yang diiturunkan juga kepada kami.Sayangnya
abah tidak belajar tinggi . Kalau tidak mesti abah menjadi seorang
instruktor makanan bertauliah dan keluarga kami boleh menjadi kaya raya
dan terkenal seperti Chef Wan , gurau kami pada waktu makan malam
bersama seperti kelaziman.
Abah senyum dan membalas Rezeki yang Allah beri sudah lebih dari
cukup memberi kehidupan pada kita.Apabila abang Ngah menyuarakan
hasrat membuka perniagaan makanan. Abah menegaskan lagi dengan
firman Allah S.W.T. dalam surah Taha ayat 81 Makanlah di antara rezeki
yang baik yang telah Kami berikan kepadamu, dan janganlah melampaui
batas padanya, yang menyebabkan kemurkaanKu menimpamu. Dan
barangsiapa ditimpa oleh kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.


Abah bukan tidak suka abang Ngah menceburi bidang itu namun
tanggungjawabnya sebagai peniaga muslim sangat besar. Abah bangga
dengan kesungguhan abang ngah walaupun dalam ketegasan nasihatnya.
Abah tidak mahu abang ngah melanggar etika sebagai seorang Islam dan
lebih memandang keuntungan material serta mengamalkan prinsip
matlamat menghalalkan cara seperti sesetengah peniaga. Perniagaan
makanan itu adalah ibadah dan jangan sesekali mengkhianati diri sendiri
dan ibadat kita. Abah noktahkan di situ.
Sejak kebelakangan ini, kami menyedari Tuan Teh sering datang
berkunjung ke rumah kami. Abah berkenalan tanpa sengaja dengan Tuan
Teh ketika sibuk mengomel pisang goreng kedai eksklusif itu. Tuan Teh
adalah pemilik kedai itu. Mujur Tuan Teh tidak marah dan menerima
teguran itu dengan senang hati. Semenjak hari itu Tuan Teh makin akrab
dengan abah.
Mereka sering bertukar-tukar cerita di anjung rumah. Sesekali Tuan
Teh mengajak abah ke kedainya atau ke rumahnya. Kami melihat
kesenangan hati abah tanpa rasa curiga biarpun setitis.Suatu petang
minggu semasa kudapan abah mengejutkan kami sekeluarga.Abah akan
bergabung niaga dengan Tuan Teh.Kami bertingkah pandang. Kami
terkesima tanpa kata.
Beberapa minit selepas itu, berhamburan soal dan hujah dari kami.
Kami membantah dengan segala jutaan sangka.Kami tegaskan Tuan Teh
pasti punya agenda sendiri. Tentu dia ada kepentingan tertentu sehingga
mahu mengajak peniaga kecil seperti abah bergabung niaga. Tuan Teh pasti
dapat melihat keistimewaan resipi abah dan mungkin akan mencuri idea
resipi abah secara diam-diam kemudian menyingkirkan abah setelah
berjaya. Seisi rumah berantakan membantah rancangan abah.
Abah memandang kami satu-satu dengan pandangan yang jernih dan
dalam. Abah tidak bersuara langsung. Petang itu menyaksikan abah lebih
diam dari bicaranya. Kami terdera dengan sikap abah.Keesokan harinya
sebelum masing-masing berangkat pulang, kami memujuk abah lagi. Abah


masih diam. Saat kami semua ingin melangkah pergi, ayah berkata dengan
nada suaranya yang rendah. Kalau tidak bergabung dengan Tuan Teh,
gerai itu pasti akan terkubur juga. Tiada siapa yang mahu mewarisinya.
Hanya sekadar gerai pisang goreng abah. Sebilah belati tertusuk di di dada
kami. Halus dan paling dalam. Tuan Teh makin kerap datang selepas
kejadian itu. Hati kami makin bergoncang. Sungguh, kami sayang pada
gerai kecil abah. Gerai itu lambang kegigihan ayah pada masa silam
membangunkan perniagaannya. Kami khuatir Tuan Teh bersikap talam dua
muka yang akhirnya membawa kerugian di pihak abah. Itu yang abah tidak
faham.
Pada suatu petang, kami adik-beradik berkumpul di rumah pusaka
itu. Ketika itu abah tiada.Dayus benar kalau kita sokong abah bergabung
dengan Tuan Teh. tegas Kak Long memulakan bicara.Gerai itu lambang
perjuangan abah dalam mempertahankan resepi keluarga. Abang ngah
memang tak setuju.Kami membantah bersebab. Bukannya semberono
sebarangan. Gerai itu abah bangunkan dengan perit jerih. Apakah Tuan Teh
akan selandasan dengan prinsip abah dalam penyediaan makanan.
Kami kesal juga apabila abah mudah terpengaruh pada kata-kata
manis bergula Tuan Teh.Tanpa sengaja, aku bersuara. Kalau abah tidak
bergabung, siapa yang akan menguruskan dan mewarisi gerai abah?
Semua terdiam. Kami rasa cukup bersalah. Kata-kata abah biarpun segaris
tetapi sangat terkesan dalam hati. Kak Long dan Abang Ngah sudah punya
kehidupan mereka tanpa perlu bergantung harap pada gerai abah. Aku dan
Uteh pula sudah berada di pusat pengajian tinggi. Bidang perniagaan
bukannya dispilin ilmu kami
Akhirnya kami mengakui. Kami galak membantah tetapi kami terlupa
kata-kata abah lebih benar daripada bantahan kami. Inilah silap kami, asal
berkata tanpa fikir. Abah makin sibuk mencanang cerita proses
penggabungannya dengan Tuan Teh. Kami mendengar dengan rasa penuh
sayu. Abah, apakah yang ada di hatimu? Tindakan abah benar-benar
bercanggah dengan prinsip dan ajaran yang abah semai di hati kami.
Sungai yang mengalir tenang itulah ibarat hati abah.


Permukaannya tampak tenang dan mendamaikan. Gelora dan olak derita di
dalamnya tidak pula kami ketahui. Pagi itu Tuan Teh datang membawa
dokumen perjanjian perniagaan bersamanya. Abah panggil kami adik
beradik . Kata abah , dia mahu kami semua menjadi sebagai saksi
penggabungan itu. Semasa abah ingin menurunkan tanda tangan. Abang
Ngah tiba-tiba meluru dan menghalang. Guratan warna biru gerau tergaris
di belakang tapak tangan abang Ngah. Tuan Teh tersentak. Abah
terpana.Abah, biarlah kami ambil alih gerai abah. Biarlah kami uruskan
semua. Kamilah pewaris gerai itu.Air mata kami berhamburan saat itu.
Abah renung mata abang Ngah. Abah letakkan pen itu. Di hadapan kami,
abah merafak syukur.