Berdasarkan hasil keputusan ujian dan analisis yang telah dilaksanakan, pengkaji mendapati modul Memory RPG membantu meningkatkan kemahiran mengingat bacaan-bacaan dalam solat terhadap murid-murid untuk diaplikasikan dalam solat harian mereka. Daya ingatan murid juga semakin meningkat dan kebolehan menyebut dengan jelas dan lancar bacaan dalam solat juga bertambah baik. Melalui prestasi ujian pos, murid yang telah menjalani aktiviti-aktiviti yang terdapat di dalam modul Memory RPG menunjukkan peningkatan penguasaan terhadap kemahiran mengingat bacaan tahiyat akhir dan doa qunut. Menurut Lee Shok Mee (1997), dari segi peperiksaan atau ujian, kebolehan mengingat menjadi asas ukuran untuk menentukan sejauhmana seseorang murid telah mencapai pembelajaran.
Pengkaji juga mendapati penggunaan kaedah-kaedah terkini dengan penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik dalam kelas amat membantu perkembangan murid. Banyak kesan positif yang dapat dilihat apabila pengkaji menggunakan bahan bantu mengajar yang menarik seperti Frozen Car dan Magic Paper Plates yang terdapat dalam kajian ini. Antara kesan positif tersebut ialah dapat merangsang minat dan motivasi murid untuk belajar, mewujudkan sifat inkuiri yang tinggi murid terhadap perkara atau ini pengajaran dan melahirkan suasana yang tidak membosangkan murid. Penggunaan bahan bantu mengajar diterapkan pengkaji dalam aktiviti 2 dan 3.
Walaupun hanya sekadar kaedah latih tubi sebagaimana yang terdapat dalam kaedah pengajaran tradisional pada aktiviti yang pertama modul Memory RPG, namum begitu, dengan sedikit inovasi yang dilakukan dengan penggunaan bahan yang menarik dan disusun mengikut ayat satu persatu, ternyata aktiviti ini menarik minat murid terhadap proses P&P sekaligus memberikan motivasi kepada murid untuk terus menghafal ayat-ayat bacaan dalam solat tersebut. Krueger dalam Ainon Mohd et al (2005) menyatakan menghafal perlu dilakukan secara berulang-ulang supaya maklumat yang dihafal akan diingat sampai bila-bila. Namum begitu pengkaji perlu bijak mengawal keadaan dan memastikan murid sentiasa fokus.
Pengkaji mendapati murid sangat cenderung kepada aktiviti permainan yang telah dijalankan ketika pelaksanaan aktiviti 3. Dalam pemerhatian perubahan tingkah laku murid menunjukkan minat kerana mereka bukan sahaja dapat bermain, malah proses mengingat ayat-ayat bacaan dalam solat berjalan dengan baik. Menurut Piaget (1972) dalam Mok Soon Sang (2002) pula, permainan memainkan peranan asimilasi, iaitu kanak-kanak boleh menerima maklumat yang membantu perkembangan melalui permainan ini. Ini kerana naluri semulajadi kanak-kanak yang cenderung kepada permainan menyebabkan kaedah ini mendapat sambutan daripada mereka. Hal ini bertepatan dengan pandangan Imam Al-Ghazali dalam Hasan Langgulung (1979) menyatakan bermain boleh mendatangkan kegembiraan, meredakan tekanan, memberi kerehatan setelah penat belajar.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa masalah semasa kajian ini djalankan antaranya masalah pengurusan masa. Masalah pengurusan masa yang tidak teratur serta dengan tugasan-tugasan yang banyak mengganggu proses penghasilan kajian tindakan ini. Selepas melaksanakan semua aktiviti yang terdapat dalam modul Memory RPG ini, pengkaji menghadapi kekangan masa untuk melaksanakan ujian pos mengikut jadual perangcangan yang telah dibuat. Oleh itu, dapatan kajian juga turut mendapat impaknya.
Namum begitu, kumpulan sasaran masih dapat mencapai hasil keputusan yang cukup memberansangkan. Hal ini jelas terbukti melalui peningkatan ketara responden dalam ujian pos. Ianya menunjukkan bahawa penggunaan modul Memory RPG sangat menyumbang kepada murid dalam meningkatkan daya ingatan murid. Masalah murid dalam mengingat bacaan-bacaan dalam solat perlu diambil serius bukan sahaja guru-guru di sekolah bahkan semua pihak terutamanya para ibu bapa. Oleh yang demikian, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memastikan masalah ini dapat diselesaikan dan peratusan murid yang sukar menghafal dan mengingat bacaan-bacaan dalam solat dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum.
11.0 CADANGAN KAJIAN LANJUTAN Setelah selesai tindakan dan penganalisisan data, pengkaji mendapati modul Memory RPG ini sangat berkesan kepada murid tahun lima. Oleh itu, pengkaji akan datang boleh mencuba untuk mengaplikasikan Modul Memory RPG dengan menggunakan kaedah-kaedah mengingat yang terkandung dalam modul ini kepada bilangan responden yang lebih besar. Pengkaji yang akan datang juga dicadangkan dapat mengaplikasikan modul Memory RPG ini bagi bacaan-bacaan dalam solat yang lain.
Mana-mana pengkaji yang ingin meneruskan kajian ini dicadangkan untuk membuat sedikit penambahbaikan dan pengubahsuaian terhadap modul Memory RPG supaya modul ini efektif untuk diguna pakai bagi membantu murid menguasai kemahiran mengingat kesemua bacaan- bacaan dalam solat dan mengekalkan ingatan hafalan mereka dalam jangka masa yang lama dan berterusan. Antaranya ialah mempelbagaikan kaedah-kaedah dan teknik mengingat yang lain supaya modul ini lebih efektif dan dinamik untuk semua murid dari pelbagai tahun.
Kajian tindakan ini berjaya mencapai objektifnya kerana murid-murid kajian ini menunjukkan perubahan yang positif dari segi pencapaian dan penguasaan mereka dalam mengingat bacan- bacaan dalam solat. Dengan ini ianya dapat diaplikasikan supaya setiap muslim terutama generasi muda celik solat serta dapat mengamalkan solat dengan lebih baik dalam kehidupan seharian.