Anda di halaman 1dari 12

UCAPAN PERASMIAN PEMBUKAAN

KEM KECEMERLANGAN PRASEKOLAH


DAN PELANCARAN SUDUT PRASEKOLAH
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA
(2013-2025)
DAERAH PASIR GUDANG 2014
OLEH
HJ JASNI BIN OMAR
DI SK FELDA ULU TEBRAU
PADA 28 OGOS 2014





Bismillahirahmanirrahim

Terima kasih saudari pengerusi majlis,

Yang dihormati En Sharful Admal bin Adnan, Penolong
PPD Prasekolah/Permata,

Yang dihormati

Yang dihormati En Misron bin Sukiman, Guru Besar SK
Taman Mount Austin, merangkap Pengerusi Daerah
Prasekolah Pasir Gudang

Yang dihormati En Zakaria bin Bahron, Guru Besar SK
Felda Ulu Tebrau, selaku tuan rumah,

Yang dihormati barisan,
Guru-guru besar Daerah Pasir Gudang atau wakilnya,
Guru-guru prasekolah Daerah Pasir Gudang,
Pembantu Pengurusan Murid Daerah Pasir Gudang,
dan Murid-murid prasekolah yang dikasihi,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatoh dan
salam sejahtera, salam 1Malaysia,

1. Syukur ke Hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
dengan izin-Nya kita dapat berhimpun pada hari ini
untuk memeriahkan dan menjayakan Hari Kokurikulum
Prasekolah Daerah Pasir Gudang. Semoga melalui
program ini kita dapat melahirkan modal insan yang
seimbang, mempunyai minda yang sihat dan cerdas
serta berkeyakinan.


2. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini
untuk megucapkan ribuan terima kasih kepada
jawatankuasa penganjur di atas jemputan untuk
merasmikan Kem Kecemerlangan Prasekolah dan
Pelancaran Sudut Pelan Pembangunan Pendidikan
Prasekolah Daerah Pasir Gudang kali ini. Saya ingin
mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli
jawatankuasa yang terlibat atas kesungguhan dan
kejayaan mengelolakan program ini. Tidak lupa juga
ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada murid-
murid prasekolah yang terpilih dan akan berjuang dalam
acara-acara yang dipertandingkan sebentar lagi.

Hadirin sekalian,
3. Sistem pendidikan kita merupakan tunjang
pembangunan negara. Sistem ini telah menyediakan
ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada generasi kini
dan generasi sebelumnya bagi memacu pertumbuhan
ekonomi dan memakmurkan negara. Pendidikan
Prasekolah merupakan satu agenda pendidikan utama
yang menjurus kepada pembangunan insan melalui
kaedah pengajaran dan pembelajaran separa formal.
Oleh itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2015 bukan sekadar menyediakan penilaian
terhadap sistem pendidikan masa kini dan kejayaan
serta kegagalan sistem tetapi juga mengemukakan
pelan yang komprehensif secara menyeluruh dari
pendidikan prasekolah sehingga ke lepasan menengah
untuk maju ke arah pendidikan bertaraf dunia

4. Bagi memenuhi keperluan semua rakyat dan
menyediakan negara untuk bersaing diperingkat
antarabangsa, adalah penting untuk negara
melakarkan wawasan kejayaan sistem pendidikan yang
ingin dibangunkan, khusus berdasarkan konteks
Malaysia. Generasi murid terbaik yang bagaimanakah
ingin dihasilkan untuk berdepan dengan cabaran
ekonomi abad ke-21? Semua ini telah disusun dan
diatur di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2015 melalui lima aspirasi keberhasilan
iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

5. Bagi akses, setiap kanak-kanak warnganegara
Malaysia berhak mendapat pendidikan dari peringkat
prasekolah hingga ke peringkat menengah atas
menjelang 2020. Berdasarkan Sistem Maklumat
Prasekolah Kebangsaan, kita dapat lihat bahawa
enrolmen murid prasekolah meningkat setiap tahun dan
hampir setiap tahun terdapat permohonan untuk
membuka kelas prasekolah di seluruh Malaysia.

Hadirin sekalian,


6. Selain keberhasilan sistem, pihak berkepentingan juga
jelas tentang tahap kualiti yang perlu ada pada setiap
individu. Secara keseluruhan, pendidik, ibu bapa,
murid dan ahli masyarakat lain bersatu pendapat dalam
visi pendidikan sebagai wadah pembangunan murid
yang holistik dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani. Terdapat enam aspirasi murid yang perlu
dicapai bagi memastikan Pelan Pembanguan
Pendidikan Malaysia ini berjaya dilaksanakan dan
setiap murid mendapai pendidikan yang seimbang
sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh
itu, semua pihak terlibat bagi menjayakan enam
aspirasi murid ini dengan mengadakan pelbagai
program yang berkesan seperti program Kem
Kecemerlangan ini agar dapat diterapkan kepada murid
bagi membolehkan mereka menerajui pembangunan
ekonomi dan dunia global masa hadapan.

7. Melalui program seperti ini juga maka secara tidak
langsung kita telah melaksanakan sebelas anjakan
utama untuk mentransformasi sistem pendidikan
negara. Antaranya adalah, anjakan 2, memastikan
setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris melalui aktiviti bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris. Anjakan 3,
mengukuhkan pandidikan Agama Islam dan Pendidikan
Moral dengan lebih tumpuan kepada perpaduan dan
memupuk persefahaman yang erat antara murid.
Anjakan 9, bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan
sektor swasta secara meluas dengan melengkapkan
setiap ibu bapa bagi membantu pembelajaran anak
mereka melalui sarana penglibatan ibu bapa dan akses
dalam talian kepada kemajuan anak di sekolah.

8. Oleh itu, bagi memastikan keberkesanan dan
kelestarian transformasi sistem pendidikan Malaysia,
setiap pihak yang terlibat mesti memahami peranan
penting yang mereka mainkan dan manfaat yang akan
mereka nikmati. Program yang direncanakan dalam
pelan ini dihasratkan membawa ke arah satu set
manfaat, hak dan tanggungjawab secara kolektif bagi
setiap kumpulan.

Hadirin sekalian,


9. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada semua
guru prasekolah dan pembantu pengurusan murid yang
terlibat yang telah berganding bahu tanpa mengira
penat dan lelah, sanggup menyahut cabaran yang telah
diberikan bagi menjayakan program ini. Semuanya ini
untuk anak-anak prasekolah yang disayangi. Tanpa
mereka maka anak-anak ini tidak akan dapat mengikuti
program seperti ini dengan jayanya.

10. Saya juga ingin mengucapkan syabas dah tahniah
sekali lagi untuk anak-anak prasekolah kerana dapat
mengikuti setiap aktiviti yang telah dirancang dan
dijalankan dengan begitu rapi dan tersusun. Selain itu,
saya berharap melalui program ini kita akan dapat
menyediakan satu pasukan Pasir Gudang yang
berkualiti sebagai persiapan sebelum bertanding
keperingkat negeri. Saya juga berharap kita akan
dapat merangkul johan bagi acara yang akan
dipertandingkan diperingkat negeri agar kita dapat
mewakili Negeri Johor ke peringkat kebangsaan
InsyaAllah. Saya doakan yang terbaik untuk
Prasekolah Daerah Pasir Gudang.

11. Dengan harapan yang sedemikian, saya dengan lafaz
Bismillahirahmanirrahim, merasmikan Kem
Kecemerlangan Prasekolah dan Pelancaran Sudut
Prasekolah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025 Daerah pasir Gudang bagi tahun 2014.


12. Sekian. Wabilahitaufik walhidayah
wassalamuakaikum warahmatullahi wabarakatuh dan
salam sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai