Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI

(MOHD NAZRIN BIN ABDUL RAHMAN)


Pertama dan selamanya saya bersyukur kerana saya telah dapat menjalani
sesi interaksi kursus EDU3104, Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku selama
tiga minggu dengan jayanya. Banyak ilmu dan pengetahuan baru yang saya perolehi
melalui sesi interaksi ini. Apa yang dapat saya katakan adalah kursus ini sangat
penting dan berguna kepada setiap guru pelatih yang bakal bergelar guru kelak. Kita
perlu sedar bahawa banyak cabaran dan dugaan yang akan dihadapi oleh setiap
insan yang bergelar guru terutamanya dalam pengurusan bilik darjah dan tingkah
laku di sekolah.
Sepanjang sesi interaksi yang berjalan selama lebih kurang lima minggu ini,
saya berasa sangat gembira dan berpuas hati kerana segala ilmu yang diberikan
oleh pensyarah kami adalah sangat berguna dan boleh menjadi panduan kepada
saya semasa berada di sekolah nanti. Apa yang menarik minat saya adalah
pensyarah kami menggunakan teknik perbentangan menggunakan kemudahan ICT
yang ada semasa di dalam interaksi. Pensyarah kami memberi peluang kepada
setiap daripada kami untuk bercakap di hadapan semasa pembentangan serta
memberikan hujah dan pendapat masing-masing. Namun begitu pensyarah kami
akan memperbetulkan pendapat kami sekiranya terdapat kesalahan. Pada
pandangan saya teknik ini sangat berkesan kerana dapat melatih kami untuk menjadi
lebih yakin dan berani untuk berhadapan dengan orang ramai. Saya dapat
mempelajari pelbagai ilmu baru yang saya tidak tahu selama ini. Antaranya ialah
saya dapat mengetahui erti kerja berpasukan dan semangat kerjasama terutamanya
semasa sesi perbincangan di dalam kuliah.
Melalui interaksi ini, banyak ilmu baharu yang telah saya pelajari. Antaranya
ialah ilmu yang berkaitan pengurusan bilik darjah sekolah rendah. Di bawah tajuk ini,
saya telah pelajari konsep pengurusan bilik darjah. Sekarang barulah saya sedar
bahawa dalam mengurus bilik darjah, kita seharusnya mempunyai langkah-langkah
dan perancangan yang teratur agar bilik darjah yang kondusif dapat diwujudkan.
Selain itu, saya juga telah mempelajari ciri-ciri guru yang efektif dalam pengurusan
bilik darjah. Setelah saya membuat refleksi ke atas diri saya, saya akui bahawa
banyak lagi ciri-ciri guru efektif yang belum ada dalam diri saya. Namun, saya akan
cuba memperbaiki diri saya dari semasa ke semasa.
Tambahan lagi, interaksi kami diteruskan dengan tajuk peranan guru dalam
pengurusan bilik darjah. Subtopik tajuk ini adalah persekitaran pembelajaran yang
kondusif yang meliputi persekitaran fizikal, persekitaran psiko-sosial, peraturan bilik
darjah dan rutin bilik darjah. Secara jujurnya, sebelum ini saya tidak mengambil berat
terhadap perkara-perkara ini dan saya beranggapan bahawa guru di sekolah hanya
mengajar sahaja serta tidak mementing aspek-aspek tersebut. Namun begitu,
sekarang barulah saya faham dan sedar bahawa persekitaran pembelajaran yang
kondusif adalah sangat penting dalam kehidupan kita.
Semasa membuat bahan untuk dibentangkan mengikut kumpulan, pada
mulanya agak berat bagi saya namun semua itu dapat diatasi dengan kerjasama
dalam kumpulan. Kami bertungkus-lumus mencari bahan rujukan di perpustakaan,
internet dan beberapa sumber lain. Banyak cabaran dan halangan dalam
menghasilkan pembentangan yang berkualiti ini namun kami tetap tabah dan sabar
untuk terus menyiapkannya..Secara tidak langsung sifat rajin dan bekerjasama dapat
kami terapkan dalam diri kami. Selain itu, banyak teguran dan nasihat yang diberikan
oleh pensyarah kami kepada kumpulan pembentang. Semua teguran itu adalah
sangat berguna kepada kami agar pada masa akan datang tugasan kami menjadi
lebih sempurna dan tidak mengulangi lagi kesilapan yang telah dilakukan.
Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah kami iaitu Cik Dayang
Siti Hawa kerana telah banyak memberi tunjuk ajar kepada kami sepanjang interaksi
ini. Beliau sangat komited terhadap tugasnya dan beliau mempunyai ilmu serta
pengalaman yang luas dalam bidang ini. Tanpa bimbingan beliau sudah pasti kami
tidak dapat menimba ilmu yang sangat berguna ini dengan sebaiknya. Ucapan
terima kasih juga kepada ahli kumpulan saya iaitu Amirul Azim Mohd Zaki dan Nurul
Syuhada Kharit yang selama ini berganding bahu dan memerah keringat untuk
menyiapkan segala tugasan yang pensyarah kami berikan. Tidak lupa juga kepada
rakan-rakan sekelas yang lain dan semua yang telah banyak membantu saya dalam
bidang ini. Jasa dan pengorbanan mereka amatlah saya hargai.
Saya berharap sesi interaksi pada masa akan datang akan lebih baik dan
lebih banyak lagi ilmu yang bemanfaat yang dapat saya amalkan dalam kehidupan
seharian. Saya sedar bahawa sebagai seorang yang bakal bergelar guru kita
seharusnya menguasai sepenuhnya ilmu pendidikan ini dan sematkannya di dalam
sanubari kita agar kita dapat menjadi guru yang cemerlang dalam segala aspek
seterusnya dapat melahirkan murid-murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial. Akhir sekali,saya berharap saya dapat memperbaiki diri
saya dari semasa ke semasa supaya ciri-ciri guru yang efektif akan lahir dalam diri
saya seterusnya dapat diamalkan.

Anda mungkin juga menyukai