Anda di halaman 1dari 4

Karangan Contoh

Pelabur asing merupakan golongan yang penting dalam pembangunan sesebuah negara
terutamanya bagi negara yang sedang membangun seperti negara kita. Hal ini amat penting untuk
dititikberatkan kerana pelabur asing merupakan pihak yang boleh menjadi batu loncatan untuk
negara kita mencapai kemajuan seiring dengan negara maju yang lain. Pihak yang
bertanggungjawab di negara ini haruslah aktif memainkan peranan, contohnya bertemu dengan
pelabur asing bagi memberikan penerangan yang berkaitan dengan hal ini. Dengan cara itu, sudah
tentu pelabur-pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara ini iaitu apabila mereka yakin
akan mendapat pulangan yang sewajarnya hasil daripada penerangan tersebut. Oleh hal yang
demikian, pelabur asing memang dialu-alukan untuk melabur di negara kita ini.

Faktor yang boleh mendorong pelabur asing yag lebih banyak melabur di negara kita ialah
faktor kestabilan politik. Sudah tentu pelabur tidak akan teragak-agak, malah mereka lebih
berminat untuk melibatkan diri dalam hal ini sekiranya keadaan politik negara kita stabil. Kita
perlulah mempertahankan dan mengekalkan kestabilan politik yang sudah lama wujud di negara
kita. Tambahan pula, pada zaman sekarang, tidak banyak negara yang stabil dari segi politik yang
menyebabkan pelabur akan berfikir dua kali untuk membuat pelaburan di sesebuah negara. Dengan
kelebihan yang kita miliki itu, kita harus memanfaatkannya dengan sebaik-baik yang mungkin
kerana peluang baik seperti itu mungkin tidak akan datang bergolek pada masa akan datang.

Dengan adanya tenaga kerja yang banyak, perkara ini boleh membantu negara untuk
meningkatkan pelaburan asing. Perkara ini dapat dilihat apabila sesebuah negara itu mempunyai
banyak pekerja untuk melakukan sebarang pekerjaan di samping upah kerjanya yang murah. Oleh
itu, pelabur asing akan tertarik untuk melabur di negara kita dan seterusnya mereka akan
mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak di negara ini. Secara tidak langsung, negara kita
akan dapat banyak manfaat dalam satu masa seperti kata pepatah, sambil menyelam minum air.
Oleh itu, masalah pengangguran akan dapat dikurangkan dan secara tidak langsung pelaburan itu
akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Malaysia.

Pelabur asing yang datang ke negara kita ingin akan layanan yang baik dari negara kita,
termasuklah kemudahan infrastruktur. Kemudahan-kemudahan seperti sistem jalan raya, pelabuhan,
lapangan terbang dan jaringan komunikasi merupakan prasyarat dan perkara yang sangat penting
untuk membawa produk mereka ke luar negara untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa. Oleh
sebab itu, pihak kerajaan harulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk menarik pelabur
asing yang lebih banyak supaya masuk ke negara ini. Layanan yang baik ini akan memberikan
keselesaan kepada mereka sepanjang berada di negara ini dan membawa rakan-rakan pelabur asing
yang lain melabur di negara ini.

Faktor birokrasi juga turut memainkan peranan penting bagi menentukan kemasukan pelaburan
asing. Hal ini demikian kerana, jika faktor birokrasi sesebuah negara itu tidak terlalu ketat, sudah
pasti pelabur asing akan tertarik untuk melabur di sesebuah negara itu. Birokrasi seperti urusan
pentadbiran yang merumitkan pelabur, contohnya sesuatu permohonan yang memerlukan masa
yang lama untuk diluluskan akan menyusahkan para pelabur asing dan akan menyebabkan mereka
menarik pelaburan ke negara lain. Secara tiidak langsung, perkara ini akan memberikan impak
terhadap negara ini. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa, kerana nila setitk, rosak susu
sebelanga. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah memastikan urusan pentadbiran di negara ini
berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan yang akan memudaratkan negara.

Kegiatan pelaburan asing sering sahaja dikaitkan dengan aspek kestabilan ekonomi sesebuah
negara. Dengan cara itu, faktor ekonomi sesebuah negara juga tidak terkecuali daripada
pertimbangan para pelabur sebelum melabur di sesebuah negara itu. Sudah tentu para pelabur akan
mencari negara yang mempunyai ekonomi yang stabil bagi meluaskan perniagaan mereka untuk
mendapat pulangan yang menguntungkan mereka. Jika sesebuah negara itu mundur dan kekurangan
modal, tidak mungkin para pelabur akan berminat untuk melabur di sesebuah negara itu kerana hal
ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mereka. Oleh itu, sesebuah negara itu pula akan
menjadi semakin mundur dan tidak akan mendapat keuntungan dari luar negara. Dengan kata lain,
faktor ekonomi merupakan faktor yang sangat penting untuk memajukan sesebuah negara. Untuk
menarik pelabur asing, sesebuah negara itu haruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh
kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana kemajuan bagi
sesebuah negara. Usaha-usaha yang berkesan haruslah ditingkatkan untuk menarik pelabur asing di
negara kita. Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara, sudah pasti
ekonomi bagi sesebuah negara itu sukar untuk berkembang dengan pesat. Hal ini demikian kerana,
negara-negara tersebut kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. Oleh itu, pihak
yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendak mencari jalan untuk menarik pelabur
dan menyediakan peluang yang lebih banyak kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


KARANGAN SPM - DIMENSI GLOBAL / ANTARABANGSA

Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan sesebuah negara. Pada pendapat
anda, apakah langkah-langkah yang perlu dijalankan bagi menggalakkan pelaburan asing di negara ini?

Pelaburan asing merupakan nadi penggerak sesebuah negara. Faktor utama yang menyebabkan peranan
pelaburan asing kian penting dewasa ini ialah keupayaan kegiatan ini meningkatkan pendapatan negara. Pelaburan asing
bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga meningkatkan guna tenaga dalam kalangan para pekerja.
Tambahan pula, pelaburan asing merupakan salah satu cara yang paling mudah dan menjimatkan pembiayaan
penghantaran rakyat ke luar negara untuk memperoleh kepakaran serta kemahiran. Hal ini disebabkan pelaburan asing
sebenarnya mempercepat pemindahan teknologi dan kepakaran dalam pelbagai aktiviti ekonomi. Negara-negara pelabur
lazim di negara kita ialah Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Taiwan, Singapura, dan Hong Kong. Buktinya pelabur asing
Jepun menyumbangkan lebih daripada RM300 billion kepada pendapatan negara kita. Rentetan itu, kerajaan Malaysia
amat menggalakkan pelaburan asing secara langsung di negara ini. Persoalannya, apakah langkah yang perlu dijalankan
oleh negara Malaysia bagi menarik pelaburan asing ?

Kestabilan politik merupakan kunci utama dalam usaha menggalakkan pelaburan asing. Kestabilan politik
Malaysia sejak 1970-an masih terpelihara hingga sekarang. Meskipun tanah Indonesia adalah murah bahkan terdapat
bekalan kerja yang murah belaka, namun Indonesia sentiasa huru-hara disebabkan oleh rusuhan kaum. Rakyat Indonesia
berpecah-belah berbanding rakyat Malaysia yang bersatu-padu walhal terdiri daripada berbilang kaum. Pemimpin
negara-negara sedang membangun yang lain seperti Indonesia dan Filipina sentiasa bertukar tetapi keadaan politik mereka
tetap sama seperti asal. Sistem pemerintahan demokrasi Malaysia mengamalkan dasar terbuka bagi para
pengilang. Semasa kegawatan ekonomi melanda dunia pada tahun 1997, Malaysia masih berjaya mengadakan Sukan
Komanwell dengan jayanya pada tahun 1998. Kemampuan bekas Perdana Menteri Malaysia yakni Tun Dr. Mahathir
Mohammad mengawal ekonomi negara amat dikagumi masyarakat Malaysia dan seantero dunia. Beliau telah
menetapkan RM3.50 kepada satu dolar Amerika Syarikat dan langkah tersebut telah berjaya menyelamatkan Malaysia
daripada turut berhutang dengan International Monetary Fund (IMF). Kebolehan Malaysia melalui tempoh kegawatan
ekonomi malah menjadi negara sedang membangun yang paling maju di seluruh dunia meyakinkan para pelabur asing
tentang potensi Malaysia sebagai pusat pelaburan mereka.

Di samping itu, hubungan bilateral dan multilateral harus dieratkan bagi mewujudkan hubungan perdagangan
antara Malaysia dengan negara lain. Hubungan bilateral diperkukuh melalui lawatan diplomatik sama ada oleh Yang
Dipertuan Agong, Perdana Menteri atau Menteri Perdagangan Antarabangasa ke negara-negara lain. Contohnya baru-
baru ini Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan lawatan ke Arab Saudi untuk membaharui hubungan
diplomatik. Dalam suatu lawatan Perdana Menteri ke Dubai, rakyat Dubai akan membuka kilang di Malaysia manakala
rakyat Malaysia akan membuka kilang di Dubai juga. Usaha turut sama dijalankan oleh pelabur Indonesia dengan
pelabur Malaysia di kedua-dua buah negara dengan tujuan mendapatkan keuntungan. Oleh itu, jelaslah bahawa
hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara lain sejak Malaysia menjadi negara berkecuali hingga
sekarang amat berkesan untuk meningkatkan pelaburan asing di negara kita.

Selain itu, kerajaan Malaysia juga perlu terus menghantar rombongan penggalak pelaburan ke luar negara
dengan matlamat mempertingkatkan pelaburan asing. Berpandukan misi pelaburan ini, rombongan terbabit biasanya
diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan berperanan berucap dan menyatakan kelebihan
Malaysia kepada para pelabur asing di luar negara. Ekspo perdagangan dan pameran akan diadakan di luar negara bagi
menonjolkan faktor-faktor tarikan Malaysia yang sesuai dijadikan tempat pelaburan. Seminar pelaburan turut diadakan oleh
rombongan tersebut. Tambahan pula, seminar dan mesyuarat tentang kelebihan melabur di Malaysia juga diadakan di luar
negara. Laporan dan promosi tentang insentif terbaru melabur di Malaysia juga harus diadakan oleh pihak media massa
antarabangsa . Oleh itu, jelaslah penghantaran rombongan penggalak pelaburan ke negara kita mampu meningkatkan
pelabur asing di Malaysia

Bukan itu sahaja, zon perdagangan yang sesuai dan lengkap dengan segala kemudahan infrastruktur perlu
diperbanyakkan oleh kerajaan Malaysia. Tapak perusahaan yang strategik juga harus diperbanyakkan. Prasarana
seperti sistem pengangkutan yang sistematik, bekalan elektrik dan air yang berterusan, serta sistem telekomunikasi yang
cekap harus disediakan untuk kemudahan kilang-kilang beroperasi. Zon perdagangan ini haruslah dekat dengan sumber
bahan mentah agar bahan mentah terutamanya hasil pertanian seperti kelapa sawit tidak busuk sebelum sampai ke
destinasi. Contoh zon perdagangan ialah di Shah Alam, di Batu Berendam, di Alor Gajah, di Gurun dan di Senawang.
Lebih banyak kawasan harus dijadikan zon perdagangan bebas (FTZ) seperti di Bayan Lepas Pulau Pinang untuk menarik
minat pelabur asing. Rumusannya, pelabur baru amat mengutamakan zon perdagangan yang lengkap dengan segala
infrastruktur yang terancang.

Sementelahan itu, faktor tenaga buruh turut memainkan peranan penting menarik pelabur asing ke negara
kita. Daya produktiviti sesebuah kilang akan meningkat dengan adanya banyak tenaga kerja yang mahir dan
pakar. Oleh itu, jumlah rancangan latihan kepakaran harus ditingkatkan oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan agensi-
agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN). Kerajaan
juga perlu memastikan latihan vokasional adalah cukup untuk memenuhi keperluan guna tenaga dan tuntutan
seazaman. Pekerja-pekerja juga harus mempunyai etika kerja yang murni dan tidak menyeleweng wang syarikat serta
mengamalkan gejala rasuah seperti pekerja negara dunia ketiga yang lain terutamanya Bangladesh dan Indonesia, demi
memelihara maruah negara kita yang berdaulat ini. Rentetan itu, para pekerja haruslah sentiasa diberikan latihan agar
kepakaran mereka sejajar dengan perkembangan semasa.


Tuntasnya, kita tidak harus terlalu ghairah menggalakkan pelaburan asing sehingga membebankan
kerajaan. Syarat pelaburan asing haruslah sama dengan syarat pelaburan tempatan agar pelaburan tempatan tidak
tergugat. Janganlah bersikap seperti kera di hutan disusui, anak dipangkuan dilepaskan dalam menentukan syarat-
syarat pelaburan asing sebaliknya sikap menarikrambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan
berselerak, harus diamalkan. Rakyat tempatan sewajarnya menganggap pelabur asing sebagai pesaing dan turut sama
melabur dengan bijak. Kerajaan pula patut berhati-hati memilih pelabur asing agar pelaburan tersebut dapat
menguntungkan sekali gus keunggulan Malaysia semakin menyerlah di arena antarabangsa. Semoga pelaburan ini
menjadi pembuka laluan kepada masa depan negara yang gemilang.

Anda mungkin juga menyukai