Anda di halaman 1dari 20

KURSUS:

HGM3013 PENGANTAR PERSEKITARAN MANUSIA



PENSYARAH: DR FAUZIAH CHE LEH


TAJUK TUGASAN
Bil Nama No Matrik
1 Noor Azwan Bin Azmi D20121058807
2 Mohd Asmadi Bin Din D20121058767
3 Wan Mohd Afiq bin Wan Mohd Zawawi D20121058844
4 Mohd Johan Bin Rudin D20121058810
5 Hairul Nizam Bin Abdul Halim D20121058783

KUMPULAN: A
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KONSEP PEMBANGUNAN LESTARI? BINCANGKAN
ISU DAN CABARAN UTAMA UNTUK MENCAPAI PEMBANGUNAN LESTARI

Pendahuluan
Pembangunan merupakan perkara penting dalam mewujudkan kemajuan dalam sesebuah
komuniti masyarakat. Menurut Ahmad Shukri dan Rosman Yusoff (2003), teori pembangunan
awalnya lebih tertumpu pada pertumbuhan ekonomi semata-mata sebagai alternatif terbaik bagi
menyelesaikan masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh manusia di seluruh dunia. Pendekatan
ini telah menyebabkan manusia meneroka alam semula jadi dengan begitu ekstensif tanpa perlu
terfikir bahawa suatu masa kelak tindakan tersebut akan menimbulkan satu krisis alam sekitar
yang mengancam seluruh kehidupan di dunia ini termasuk kehidupan manusia sendiri.
Atas nama kemajuan dan pembangunan, manusia akhirnya menjadi ejen pemusnah alam
sekitar atas nama agen pembangunan. Revolusi urbanisasi, industri, tenaga dan ledakan
penambahan bilangan manusia telah mendorong manusia menebang hutan dan meratakan
kawasan tanah tinggi untuk tujuan penempatan, kawasan industri, kawasan perniagaan dan
perdagangan. Perubahan fizikal bumi ini telah menghasilkan pelbagai kesan negatif terhadap
alam sekitar khususnya di tempat yang diganggu serta mengubah pola kehidupan manusia
(Ahmad Shukri dan Rosman Yusoff, 2003).
Akhirnya masyarakat mula sedar akan keterlanjuran dan kesalahan mereka dalam
meneroka alam sekitar atas nama pembangunan. Proses pembangunan tidak berhemah yang
diamalkan sebelum ini bukan sahaja telah mengganggu persekitaran fizikal tetapi turut
memberikan kesan kepada persekitaran manusia. Kesedaran mengenai masalah ini telah
membuatkan manusia mula berfikir mengenai langkah dan teknik yang sesuai agar pembangunan
yang akan dilakukan tidak lagi mengganggu gugat alam secara teruk. Kaedah pembangunan
lestari mula dipraktikkan dalam sesuatu proses pembaharuan dan pembangunan bagi
mengurangkan impak akan berlaku.
Konsep Pembangunan Lestari
Menurut Fatimah Hassan dan Fauziah Che Leh (2010), konsep lestari atau mampan selalunya
dikaitkan dengan kualiti kehidupan yang merangkumi sistem ekonomi, sosial dan persekitaran
bagi menjamin keselesaan hidup dan persekitaran yang sihat dan produktif. Matlamatnya bukan
sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga untuk generasi masa hadapan. Menurutnya lagi,
fokus pembangunan dalam konsep pembangunan lestari menekankan kepada kepentingan
peningkatan kualiti yang lebih baik kepada semua entiti muka bumi termasuklah manusia, muka
bumi dan kehidupan lain. Konsep ini juga perlu dilihat dalam perspektif yang komprehensif dan
bersepadu serta mengimbangkan keperluan dalam semua aspek pertumbuhan ekonomi, sosial
dan alam sekitar. Secara umumnya, lestari bermaksud berterusan tanpa pengurangan.
Pembangunan pula adalah suatu proses meningkatkan kemajuan sesebuah masyarakat (Asmah
Ahmad & Katiman Rostam, 2006).
Di dalam konsep pembangunan lestari ini, terdapat tiga perkara penting yang menjadi
keutamaan iaitu mengekalkan sumber-sumber yang tidak boleh diperbaharui, pengekalan
biosfera dan yang terakhir ialah penciptaan masyarakat yang lebih baik. Menurut Pezzoli (1996),
pembangunan lestari ialah pembangunan yang dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang
tanpa menjejaskan keupayaan pada masa akan datang dengan mengambil kira semua aspek
kehidupan di peringkat tempatan, nasional, dan global iaitu keadilan sosial, keselamatan, warisan
dan budaya, keperluan asas manusia, kesihatan awam termasuklah keperluan kesedaran
persekitaran daripada segi ruang dan masa. Salah satu cara untuk mencapai pembangunan
mampan tersebut adalah melalui kesihatan ekonomi bandar.
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa pembangunan mapan merupakan proses peningkatan dalam
sesuatu aspek kemajuan tanpa menyebabkan pengurangan serta gangguan terhadap sumber-
sumber alam semula jadi di kawasan sekitarnya. Kesimpulannya, matlamat pembangunan lestari
ini adalah untuk pemuliharaan sumber alam, pembangunan fizikal, peningkatan kualiti alam
sekitar, kesaksamaan sosial dan penyertaan politik. Natijahnya, pembangunan lestari adalah
sangat penting dalam memacu arus pembangunan negara.
Cabaran
Pembangunan yang dijalankan pada masa kini banyak yang menyumbang kepada kemusnahan
alam sekitar seperti kadar pencemaran yang tinggi, kepupusan hutan serta menjejaskan ekosistem
kehidupan (Jamaluddin, 1996). Oleh itu, melalui langkah pembangunan lestari masalah-masalah
yang berlaku sepanjang proses pembangunan dapat dikurangkan ke tahap yang minimum.
Namun begitu, proses pembangunan lestari ini pastinya menghadapi pelbagai isu dan cabaran.
Semestinya pembangunan sebegini bukan suatu langkah yang mudah untuk merealisasikannya.
Kesan Tidak Melaksanakan Pembangunan Lestari
Alam sekitar memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di mana manusia
berusaha membangunkan alam sekitar untuk kesejahteraan hidup. Walau bagaimanapun
sekiranya pembangunan yang dilakukan tidak berasakan kepada pembangunan lestari ia akan
membawa kepada kesan negatif iaitu kesan rumah hijau. Kesan rumah hijau ini merupakan suatu
fenomena pemanasan bumi oleh matahari. Sinaran ultraungu dari matahari yang dipancarkan
oleh matahari ke bumi tidaklah menyeluruh, sebahagiannya akan dipantulkan semula ke angkasa
lepas oleh atmosfera manakala selebihnya sampai ke bumi untuk memanaskan bumi. Haba yang
sampai ke bumi akan dipantul semula oleh permukaan bumi ke angkasa lepas sebagai sinar
inframerah. Walau bagaimanapun disebabkan pembangunan yang tidak seimbang berlaku
peningkatan dalam gas-gas pencemar seperti oksida nitrogen dan sulfur dioksida mengakibatkan
haba yang dipantulkan semula ke atmosfera terperangkap di lapisan atmosfera seterusnya
menaikkan suhu sekitarnya.
Kesan rumah hijau ini mendatangkan pelbagai masalah kepada manusia antaranya ialah
kekurangan sumber air dan tanah-tanah terutamanya di kawasan hemisfera utara dan latitud
tengah akan menjadi lebih kering dan tandus. Keadaan ini akan menyebabkan atmosfera
bertambah panas, arah angin pula akan berubah dan menyebabkan kejadian ribut kerap berlaku.
Selain itu, taburan hujan yang tidak seragam akan berlaku sehingga mengakibatkan kemarau
seterusnya menjadikan pemanasan berlaku secara tidak sekata manakala di kawasan kutub utara
dan selatan berlakunya pencairan glasier sehingga menyebabkan aras laut meningkat. Kejadian-
kejadian yang berlaku ini secara tidak langsung mengancam aktiviti-aktiviti manusia seperti
dalam aktiviti pertanian, perikanan dan sebagainya.
Selain itu, akan menyebabkan berlakunya fenomena penipisan lapisan ozon. Lapisan
ozon merupakan sebuah pelindung semula jadi bumi dengan menyerap sinar ultraungu yang
berbahaya dan sangat penting dalam keseimbangan cuaca. Ozon dibentuk pabila molekul
oksigen terurai kepada atom oksigen dengan kehadiran sinar ultraungu, atom bebas ini akan
bertindak balas dengan molekul oksigen dan membentuk molekul ozon dengan kehadiran gas
nitrogen. Lapisan ozon boleh menipis disebabkan tindakan manusia yang membebaskan gas-gas
CFC ke udara seperti melalui penggunaan kapal terbang supersonik. Kebocoran pada lapisan
ozon mula dikesan pada tahun 1985 di kawasan Antartika dan Artik pada tahun 1987.
Selain itu, tindakan manusia yang tidak melakukan pembangunan secara lestari akan
menyebabkan berlakunya gangguan ekosistem. Pada awalnya alam sekitar dijadikan dengan
seimbang di mana komponen-komponen di dalamnya dijalinkan dengan sempurna. Sekiranya
berlaku gangguan di sesuatu bahagian ekosistem ia akan menyebabkan gangguan terhadap
keseluruhan ekosistem. Sebagai contoh, penggunaan racun serangga DDT yang memberi kesan
terhadap populasi burung Robin. Hal ini berlaku apabila semburan yang dilakukan menyebabkan
daun-daun gugur ke tanah kemudiannya dimakan oleh cacing tanah dan selepas itu cacing
tersebut menjadi makanan kepada burung Robin seterusnya mengakibatkan burung Robin mati.
Sekiranya pembangunan dilakukan secara lestari masalah gangguan ekosistem dapat
dikurangkan di mana pembangunan pertanian dilakukan tanpa memberi kesan terhadap
ekosistem seperti tidak menggunakan racun serangga tetapi menggunakan alternatif lain seperti
bakteria yang lebih mesra alam.
Seterusnya adalah urbanisasi yang merupakan proses pembandaran di sesuatu kawasan
sehingga menjadi kawasan tersebut sebuah bandar. Namun sekiranya proses urbanisasi ini tidak
dibangunkan secara lestari ia akan menyebabkan berlakunya kejadian lebihan jumlah penduduk
di kawasan tersebut. Lebihan penduduk ini adalah suatu keadaan jumlah penduduk melebihi
jumlah penduduk yang boleh ditampung oleh bandar tersebut sehingga kawasan tersebut menjadi
tepu. Keadaan ini akan mengakibatkan wujudnya ketidakseimbangan jumlah penduduk di
kawasan bandar dengan luar bandar. Lebihan penduduk di kawasan bandar akan menyebabkan
berlakunya masalah pencemaran air, udara dan bunyi serta kewujudan kawasan perumahan
setinggan.

Usaha-Usaha Untuk Melaksanakan Pembangunan Lestari
Salah satu usaha kerajaan dalam pembangunan lestari dapat dilihat dalam Rancangan
Malaysia ke Sepuluh (RMK-10) di mana kerajaan menyambung rancangan MEB yang
bermatlamatkan kelestarian. Kerajaan mahu menjadikan negara maju supaya rakyat dapat
memperoleh manfaat daripada kemajuan negara dan matlamat kelestarian iaitu memenuhi
keperluan generasi kini tanpa mengganggu keperluan generasi akan datang. kelestarian yang
dimaksudkan oleh MEB adalah untuk mencapai kelestarian ekonomi dan kelestarian alam sekitar
dalam pembangunan negara. Hal ini dapat dilihat dalam Keluaran Dalam Negara Kasar Hijau
(Green GDP) yang merupakan salah satu alternatif baharu dalam memastikan alam sekitar dapat
dinilai bersama kos pembangunan infrastruktur ekonomi dan sosial yang lain.
Kerajaan telah mengambil pendekatan inclusive sebagai salah satu daripada tiga
komponen utama dalam MEB. Pertumbuhan secara inclusive dilihat sebagai pemacu utama
dalam mencapai pembangunan lestari yang berkonsepkan ekuiti, kesamaan peluang dan
perlindungan terhadap pasaran dan peralihan pekerjaan sebagai asas utama kepada strategi
pertumbuhan (Commission on Growth and Development, 2008). Idea pola dan pengukuran
terhadap pertumbuhan secara kritikalnya untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan kesamaan.
Pengurangan kadar kemiskinan secara drastik memerlukan pertumbuhan yang inclusive yang
membolehkan semua masyarakat mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi. Kenyataan
ini selari dengan dasar kerajaan yang mengamalkan pendekatan pertumbuhan secara
prokemiskinan (pro-poor approach). Pertumbuhan secara inclusive merujuk kepada pemberian
peluang pekerjaan kepada majoriti tenaga kerja, masyarakat miskin dan masyarakat pertengahan
untuk menjamin kualiti hidup mereka. Hal ini disebabkan menurut Md. Elias dan Chamhuri
(2008) bancian tradisional terhadap kemiskinan dan alam sekitar telah menunjukkan kemiskinan
punca terhadap degradasi alam sekitar. Oleh itu, kerajaan memberi penumpuan terhadap
pembasmian kemiskinan dalam usaha mewujudkan pembangunan lestari di mana perkembangan
pembangunan dan penduduk selari.
Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menggariskan enam Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang sejajar dengan NEM dan RMK-10 sebagai
sebahagian usaha bersepadu untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara yang progresif,
harmoni dan berpendapatan tinggi. Salah satu daripada enam NKRA adalah untuk meningkatkan
pendapatan isi rumah berpendapatan rendah. Menurut data kemiskinan NKRA menerusi
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2010 sejumlah 44,643
isi rumah miskin tegar telah berjaya dikeluarkan daripada kategori ini. Hal ini menunjukkan
bahawa sasaran kerajaan ke arah kemiskinan sifar bagi mencapai objektif Pembangunan
Mellinenium pada tahun sasaran iaitu 2015 akan tercapai seterusnya mewujudkan sebuah
pembangunan yang lestari.
Selain itu, kerajaan turut menggunakan kaedah pendekatan kos kitaran hayat (LCC) yang
diterapkan dalam industri pembinaan bermula dari peringkat perancangan, mereka bentuk,
membina, pengoperasian dan penyelenggaraan dan membaik pulih atau memusnahkan sesebuah
struktur bangunan dan infrastruktur perlulah dilakukan agar ia tidak mendatangkan kerugian
kepada ekonomi negara. LCC dapat dirumuskan sebagai satu kaedah pilihan dalam membuat
pengiraan anggaran ekonomi sepanjang hayat bagi sesebuah projek ataupun aset, ia merangkumi
keseluruhan kos bermula daripada peringkat permulaan atau perancangan sehinggalah ke
peringkat pelupusan sesebuah bangunan atau aset. LCC penting dalam sektor pembinaan kerana
berupaya memacu peningkatan kualiti dengan mengambil kira kesan kos projek secara
komprehensif dan memudahkan pengurusan dan pengawalan kos penyelenggaraan dilakukan
supaya pembangunan lestari dapat dicapai.


Rajah 2: konsep LCC di dalam industri pembinaan.
Sumber: Maziah,2009.

Kerajaan turut memupuk pembangunan lestari menerusi pendidikan dalam strategi jangka
masa panjang dengan mewujudkan kefahaman dan pandangan lebih jelas di kalangan masyarakat
terhadap alam sekitar. Hal ini disebabkan tahap kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat
Malaysia masih berada pada tahap yang tidak memuaskan (Ali Hamsa, 2000). Pendidikan
mengenai alam sekitar diperkenalkan ke dalam kurikulum prasekolah dan sekolah rendah supaya
kanak-kanak pada usia sebegini mengetahui kepentingan penjagaan alam sekitar. Pembelajaran
ini perlu dilaksanakan secara berterusan pada setiap peringkat pembelajaran sehinggalah ke
peringkat pengajian tinggi. Kegiatan kurikulum berkaitan alam sekitar harus diwujudkan seperti
Kos yang digunakan
(cost in use)
Pencerobohan

Permulaan Pentauliahan
Pembinaan
Kos kitaran hayat (LCC)
mengadakan lawatan tersusun ke tapak perlindungan atau kawasan-kawasan yang tidak tercemar,
penerapan program pembelajaran pembangunan lestari yang diadakan bersama dengan pihak
berkaitan seperti Persatuan Pencinta Alam, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pendidikan.
Melalui cara ini, kanak-kanak lebih mudah memahami prinsip ekologi yang berkait rapat dengan
konsep ekosistem.
Pendidikan ini penting untuk mempertingkatkan pembangunan lestari dan memperbaiki
keupayaan manusia untuk menangani masalah berkaitan isu-isu alam sekitar, pembangunan dan
Pembangunan Alam Sekitar yang digabungkan sebagai komponen penting dalam pembelajaran.
Pendidikan formal atau tidak formal adalah penting untuk menukar sikap manusia agar mereka
mempunyai keupayaan untuk menilai dan menghadapi kepekaan mereka terhadap pembangunan
lestari. Pendidikan juga memberi kesedaran alam sekitar, etika, nilai, sikap, kemahiran dan
tingkah laku yang konsisten dengan pembangunan lestari dan untuk keberkesanan penglibatan
orang awam dalam membuat keputusan. Untuk mencapai keberkesanan pendidikan alam sekitar
dan pembangunan perkara ini hendaklah dikendalikan dengan mengambil kira persekitaran
biologi, fizikal, sosio ekonomi yang dinamik, pembangunan manusia dan kerohanian. Pendidikan
ini bertujuan untuk mencapai perolehan pendidikan alam sekitar dan pembangunan yang
dikaitkan dengan pendidikan sosial daripada peringkat sekolah rendah dan tadika (Abu Bakar,
2000).
Selain itu, pendidikan di peringkat tinggi pula bertujuan untuk meningkatkan konsep
persepaduan alam sekitar dan pembangunan yang utama dalam konteks tempatan. Di mana ia
berasaskan kepada bukti saintifik yang paling tepat, punca-punca pengetahuan lain yang sesuai
dan memberi penekanan khas kepada latihan lanjutan untuk membuat keputusan terhadap
masalah alam sekitar yang dihadapi. Antara cadangan berkaitan objektif yang sesuai
dilaksanakan dalam meningkatkan pendidikan berkaitan alam sekitar adalah seperti
menggalakkan pergerakan kempen kesedaran yang menekankan peranan keluarga dalam aktiviti
alam sekitar, penyiaran pengetahuan, nilai sosial dan pembangunan sumber manusia. Selain itu,
memperbanyakkan aktiviti-aktiviti seperti reka cipta barangan dengan menggunakan bahan
buangan yang membolehkan konsep kitar semula disemai. Kitar semula adalah satu kaedah yang
dapat menjimatkan penggunaan sumber tenaga semula jadi contohnya dengan menggunakan tin
aluminium yang di kitar semula hanya memerlukan 5% tenaga berbanding memproses semula tin
aluminium daripada sumber semula jadi di mana ia dapat menjimatkan 95% penggunaan tenaga.
Hal ini akan memberikan kesan begitu besar terhadap penggunaan sumber semula jadi
(Badruddin, 2007).
Selain itu antara usaha kerajaan untuk mewujudkan pembangunan lestari adalah dengan
mewujudkan sekolah lestari. Idea untuk mewujudkan sekolah lestari telah dicetuskan semasa
Simposium Pendidikan Alam Sekitar untuk pengetua-pengetua sekolah peringkat kebangsaan
pada 23-27 Ogos 2001 di Melaka. Simposium ini telah dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar
(JAS), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) dengan kerjasama Maktab
Perguruan Teknik dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Melalui program ini, elemen
pendidikan alam sekitar dapat diserapkan pada kalangan guru dan pelajar secara langsung dan
komuniti setempat secara tidak langsung dengan mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan
nilai murni alam sekitar dalam kurikulum dan kokurikulum. Sekolah lestari diwujudkan adalah
bertujuan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan
pemuliharaan alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.
Penglibatan sekolah dalam aktiviti sekolah lestari memberi peluang kepada mereka untuk
mengamal, menghayati dan membudayakan ciri-ciri mesra alam di sekitar sekolah, rumah,
komuniti setempat, masyarakat dan akhirnya di peringkat negara.
Hasrat sekolah lestari adalah suatu usaha bagi melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara
yang mempunyai lapan prinsip dan tujuh strategi hijau. Strategi hijau pertama adalah
memfokuskan aspek pendidikan dan kesedaran yang memberi kefahaman tentang konsep
kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari yang selaras dengan prinsip-prinsip
Pembangunan Lestari dalam agenda persidangan alam sekitar di Rio De Janeiro. Pendidikan dan
kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan
sikap dan penyertaan masyarakat. Perkara ini perlu dipupuk dari awal kerana merupakan faktor
penentu ke arah amalan cara hidup yang mesra alam pada masa akan datang. satu cara yang
berkesan untuk memupuk kesedaran tentang alam sekitar adalah melalui pendidikan terutamanya
di peringkat sekolah rendah. Dalam membentuk sekolah lestari empat komponen harus
difokuskan iaitu pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.
Pembangunan Lestari Dari Sudut Pembangunan Ekonomi Maritim
Pembangunan lestari dari sudut sektor maritim penting di Malaysia. Perairan Malaysia
kaya dengan pelbagai sumber asli yang merupakan sebahagian daripada aset negara yang tidak
terukur nilainya, kepentingannya dan menjamin kemakmuran ekonomi negara untuk kepentingan
generasi kini dan akan datang. Malangnya kualiti khazanah negara ini semakin merosot seperti
yang dilihat dari pencemaran persekitaran maritim dan habitat marin yang semakin berleluasa,
pengurangan hasil tangkapan ikan, kehadiran spesies asing di dalam perairan tempatan dan
sebagainya lagi tanda kemerosotan dan kehilangan biodiversiti. Pembangunan pesat dalam sektor
maritim Malaysia dan peningkatan aktiviti ekonomi yang berkaitan telah menyebabkan pelbagai
masalah. Keadaan ini boleh menjadi lebih teruk sekiranya dilakukan tanpa berlandaskan terhadap
konsep pembangunan lestari. Oleh itu pemeliharaan alam sekitar harus ditekankan dalam
pembangunan, pelaksanaan, pentadbiran dan pemantauan aktiviti-aktiviti ekonomi maritim.
Perancangan yang rapi harus ditekankan di dalam pengurusan kawasan pesisir bagi membanteras
dan mengurangkan pencemaran. Konservasi ekosistem dan biodiversiti ekologi sangat penting
untuk memelihara sumber-sumber maritim negara dan mengekalkan persekitaran maritimnya.
Aktiviti-aktiviti ekonomi maritim seperti perikanan, perkapalan, pembangunan dan operasi
pelabuhan serta pengeluaran minyak dan gas pesisir boleh menyumbang kepada pencemaran
persekitaran maritim jika tidak dirancang secara teratur dan tidak dilaksanakan dengan cara
mesra alam.
Kerajaan bersungguh dalam mewujudkan pembangunan lestari maritim dengan
meratifikasikan pelbagai konvension lautan secara teratur dan menggariskan beberapa dasar
nasional bagi memelihara persekitaran perairan lautannya. Sebagai contoh, Dasar Alam Sekitar
Kebangsaan menggariskan strategi komprehensif bagi mencapai penggunaan dan pengeluaran
sumber-sumber alam negara secara lestari. Malaysia turut mengambil bahagian di dalam
pelbagai usaha komuniti antarabangsa dalam memelihara persekitaran maritim contohnya dalam
Agenda 21 di Persidangan Bumi di Rio de Janeiro 1992. Kerajaan turut membentuk strategi
mengenai sektor maritim supaya strategi ini berlandaskan kepada falsafah pembangunan lestari
bagi memelihara persekitaran dan sumber-sumbernya. Antara ciri-ciri yang diterapkan dalam
strategi ini yang pertama adalah membentuk dasar, peraturan dan perencanaan bagi membantu
pembangunan aktiviti-aktiviti ekonomi maritim dengan cara yang boleh memenuhi tuntutan dan
keperluan khusus dalam sektor-sektor bidang maritim. Kedua, membantu pelbagai agensi,
organisasi dan institusi yang terlibat di dalam sektor maritim ke arah penyelesaian usaha-usaha
mereka dan perkongsian maklumat di antara mereka dan juga dengan sektor-sektor ekonomi
maritim. Ketiga, memperkenalkan pendekatan afektif, telus dan terukur dalam menilai
kelestarian aktiviti-aktiviti ekonomi maritim yang berdasarkan sumber seperti perikanan dan
perlombongan minyak dan gas. Keempat, meningkatkan kerjasama dan perkongsian strategik di
kalangan komuniti sektor maritim yang merangkumi masyarakat awam, sektor swasta,
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan. Alam maritim
merupakan satu persekitaran yang sensitif dan terdedah kepada pelbagai ancaman. Oleh itu,
kerajaan perlu bertindak segera untuk memelihara persekitaran maritim dengan mewartakan
konservasi sebagai pelantar kepada pembangunan sektor maritim dalam usaha mewujudkan
pembangunan lestari.
Isu-Isu Yang Berkaitan Dengan Pembangunan Lestari
Antara isu-isu berkaitan akibat tidak melakukan pembangunan lestari kejadian tanah
runtuh di Taman Bukit Mewah di Hulu Klang. Kejadian ini berlaku pada jam 4 pagi
menyebabkan 14 rumah banglo mewah di lereng bukit aman ranap yang telah meragut 4 nyawa
manakala 23 orang lagi cedera termasuk kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Kuala
Lumpur. Kejadian Ini mengakibatkan hampir 3,000 hingga 5,000 penduduk sekitarnya terputus
hubungan apabila satu-satunya jalan masuk ke perumahan mereka ditimbus runtuhan tanah
membabitkan kawasan seluas empat hektar. Ketika kejadian sebahagian penduduk nyenyak tidur
dan dikejutkan dengan bunyi seperti letupan diikuti gegaran dan pergerakan tanah yang
meranapkan rumah banglo tersebut. Pada 30 November 2008,berlaku kejadian tanah runtuh di
Ulu Yam Perdana yang mengakibatkan dua beradik tertimbus dan kejadian yang sama berlaku di
Pusat Bandar Damansara menyebabkan 11 kereta tertimbus. Hasil pencarian pasukan penyelamat
berjaya menemui mangsa seperti Shaiful Khas Shahrudin berusia 20 tahun yang merupakan
pelajar teknologi maklumat di Kolej Yayasan Pelajaran Mara, N Yogeswary berusia 40 tahun
merupakan doktor veterinar dan Ng Yee Peng berusia 30 tahun merupakan Akauntan. Mayat
Shaiful Khas Shahrudin ditemui di tingkat bawah rumah banglo manakala N Yogeswary dan Ng
Yee Peng ditemu dalam usaha menyelamatkan anak masing-masing. Selain itu, berlakunya
tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993 yang mengorbankan 48 nyawa akibat
pergerakan aliran bawah tanah yang tidak dapat dikesan.


Rajah 3: Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Hulu Klang.
Sumber: Kosmo Online, (2008)
Oleh itu, kerajaan serta-merta kerajaan tidak membenarkan pembangunan di kawasan
berbukit tinggi bagi mengelakkan tragedi tanah runtuh berulang kata Datuk Seri Najib Tun
Razak. Sehubungan hal ini, Timbalan Perdana Menteri meminta pemaju tidak lagi menekankan
kerajaan untuk melobi bagi mendapatkan kelulusan untuk membangunkan projek di kawasan
tanah tinggi. Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga memberikan jaminan tidak
akan meluluskan permohonan untuk membangunkan kawasan berisiko tinggi. Sekiranya
pembangunan masih dilakukan di kawasan yang berisiko dan orang ramai tinggal di kawasan
tersebut mereka akan terdedah kepada pelbagai bahaya. Dr Benjamin George menegaskan
kejadian ini berlaku disebabkan kerajaan, pemaju dan masyarakat tidak mengambil iktibar dan
belajar daripada peristiwa yang berlaku. Beliau menyatakan lagi masyarakat dan pemaju tidak
pernah serik dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku malah tetap menjalankan pembangunan
di kawasan cerun bukit. Menurut beliau lagi, tanah di Malaysia berbeza dengan tanah di negara
lain seperti Hong Kong kerana Malaysia mempunyai jenis tanah yang lembut dan mudah runtuh.
Kajian kebolehruntuhan tanah di Bukit Antarabangsa, Highland Towers dan Taman
Hillview mendapati tanah di kawasan ketiga-tiga kawasan tersebut berupaya untuk runtuh.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Hakisan Tanah Negara Prof Dr Roslan Zainal Abidin
tanah di kawasan-kawasan tersebut mengandungi pasir, kelodak yang tinggi dan tanah liatnya
rendah yang menyebabkan kawasan tersebut berpotensi untuk runtuh terutama apabila berlaku
hujan secara berpanjangan. Walau bagaimanapun menurut beliau lagi, pembangunan masih
boleh dijalankan di kawasan tersebut sekiranya pemantauan, kawalan dan langkah keselamatan
berkala dilakukan secara konsisten terutama di kawasan cerun dan berbukit. Selain itu, mengenal
pasti teknik terbaik untuk mengawal pergerakan tanah selain merancang, membina tembok
penahan dan sistem saluran yang baik. Pembangunan di kawasan tanah tinggi adalah berisiko,
oleh itu pihak kerajaan dan pemaju haruslah melakukan pembangunan lestari dengan mematuhi
sebarang hasil keputusan kajian kesan Penilaian Alam Sekitar (IEA) sama ada memaksa sesuatu
projek dibatalkan atau tidak.


Kesimpulan
Kesimpulannya, pembangunan amatlah perlu dan sangat penting bagi sesebuah Negara
agar pembangunan dan pemodenan yang dilaksanakan menjadi terancang, teratur dan tidak
menjejaskan alam sekitar serta sumber alam di sekeliling kita. Hal ini perlu dipandang serius
oleh semua pihak khususnya di negara membangun seperti Malaysia. Sebagai sebuah Negara
membangun, kita hendaklah merancang pembangunan dengan terancang sama ada dari segi
ekonomi, social dan alam persekitaran. Pembangunan lestari bukan sahaja meliputi
pembangunan dari segi pembandaran malah turut meliputi aspek kehidupan manusia yang lain
seperti ekonomi, social, perindustrian dan sebagainya. Hal ini penting agar generasi akan datang
tidak akan terbeban dengan pelbagai masalah yang mungkin timbul seperti pemanasan global,
inflasi, kemerosotan sistem sosial dan sebagainya.
Misalnya proses pembandaran seharusnya dilaksanakan dengan baik agar tidak menjejaskan
sumber hutan Negara demi kelangsungan kawasan hutan untuk generasi akan datang. Selain itu
dari segi ekonomi, perancangan dasar ekonomi haruslah dirancang dengan baik untuk jangka
masa panjang dan jangka masa pendek. Dasar ekonomi yang akan dilaksanakan haruslah dapat
membantu meningkatkan ekonomi negara dengan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan
inflasi serta mengurangkan beban hutang negara. Pembangunan lestari dapat membantu
mengekalkan segala sumber untuk kelangsungan hidup manusia dan mengimbangi ala mini
dengan kemajuan dan pembangunan yang ingin di capai oleh manusia.
Justeru itu, langkah terhadap pembangunan lestari ini haruslah dikaji secara terus menerus bagi
mencari langkah yang baru yang lebih efisien lagi. Pembangunan lestari ini haruslah
dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan pelbagai masalah melibatkan persekitaran fizikal
seperti bencana alam. Selain itu mengelakkan masalah terhadap alam budaya manusia yang
menjejaskan kehidupan seharian manusia seperti pertanian, perkhidmatan, perniagaan dan
sebagainya. Semua pihak harus bekerjasama dan mengambil sikap bertanggungjawab dalam
melaksanankan pembangunan lestari ini
Bibliografi
A. Majid A. B & A. Yang B. (2000). Pengurusan Bijak Alam Sekitar. Kuala Lumpur: IWC
Sdn Bhd.
Abdul Samad Hadi (1993). Pembangunan dan Alam Sekitar di Malaysia 1957-1991. Dlm Sham
Sani, Abdul Samad Hadi & Jamaluddin Md. Jahi (pnyt.), Alam Sekitar dan
Pengurusannya di Malaysia. Bangi: UNESCO/UKM.
Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Md. Yusoff (2003). Konsep, Teori, Dimensi dan Isu
Pembangunan. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Chamhuri, S (2001). Pembangunan Mampan: Strategi Menang-menang Untuk Pembasmian
Kemiskinan dan Pemuliharaan Alam Sekitar. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Md. Elias, H (2006). Economic and Sustainable Development: Linkage Between Growth and
Environmental Degradation in Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Surtahman K. H & A. Ismail G, (1997). Alam Sekitar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Chamhuri Siwar, Nasyrah Ahmad Damanhuri & Sarah Aziz Abdul Ghani Aziz (2011).
Rancangan Pembangunan Malaysia: isu tukar-ganti (trade-off) antara pertumbuhan
dengan kelestarian. Diperoleh pada November 10, 2013 daripada
http://ijms.uum.edu.my/index.php/previous-issues/summary/7-ijms-vol-18-special-issue
2011/27-rancangan-pembangunan-malaysia-isu-tukar-ganti-trade-off-antara
pertumbuhan-dengan-kelestarian-malaysia-development-plan-trade-off-issues-between
growth-and-sustainability
Abdul Aziz Abdul Rahman, Jamali Janib. & Wong Hin Wei (1995). The Maritime Sector and
The Malaysian Economy. Kuala Lumpur: MIMA.
Nazery Khalid (2009). Perancangan aktiviti-aktiviti ekonomi maritim di Malaysia: ke arah
penerapan konsep pembangunan lestari. Diperoleh pada November 05, 2013 daripada
https://www.google.com/url?sa=t&rct=j&q=&esrc=s&source=web&cd=1&cad=rja&ve
=0CCsQFjAA&url=http%3A%2F%2Fwww.mima.gov.my%2Fmima%2Fwp
content%2Fuploads%2FSEKTOR%2520MARITIM%2520MALAYSIA%2520
%2520KE%2520ARAH%2520PENERAPAN%2520KONSEP%2520PEMBANGUNA
%2520LESTARI.pdf&ei=ayWSUumhKMiWrgeJ5oCABg&usg=AFQjCNGzhg1iwBZ
NM8kr2dCTwDOLsWtg&bvm=bv.56988011,d.bmk
Anwar Hussin (2008, Disember 6). 3 kejadian dalam seminggu. Berita Harian, 2.
Saufi Hamzah (2008, Disember, 7). Henti bangun kawasan berbukit. Berita Harian, 1 & 4.
Rajah 1diambil daripada Rosa, Luiz Pinggueli & Mohan Munasinghe (2002). Ethnics, equity and
international negotiations on climate change.
Rajah 2 diambil daripada Maziah (2009). A Study of Sustainable Life-Cyle Costing for School
Building Maintenance Optimisation.
Rajah 3 diperoleh pada November 26, 2013. Diambil daripada
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=N
gara pg=ne_03.htm

Anda mungkin juga menyukai