Anda di halaman 1dari 5

Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Marcapada ini, telefon bimbit menjadi satu daripada alat komunikasi yang menguasai
dunia tanpa memilih usia, status dan kedudukan ekonomi seseorang. Tidak hairanlah telefon
bimbit menjadi medium penting untuk masyarakat berinteraksi dalam dan luar negara. Namun
begitu, penggunaan telefon bimbit mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap pengguna,
khususnya pelajar sekolah.

Malangnya, ada pelajar yang menyalahgunakan teknologi ini demi keseronokan dan
kepuasan jiwa. Mereka gemar berbual dengan rakan sebaya sehingga lewat malam. Ini
menyebabkan masa untuk mengulangkaji pelajaran terbuang begitu sahaja. Apabila lewat tidur,
tentulah masa tidur tidak mencukupi. Ini pasti menjejaskan prestasi mereka semasa di dalam
kelas. Akibatnya, mereka tidak mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa guru
sedang mengajar.

Keburukan penggunaan telefon bimbit di sekolah yang pertama ialah telefon bimbit
menjadi alat menyebarkan bahan lucah. Dengan kemampuan telefon bimbit menghantar dan
menerima mesej ringkasan dan bergambar, segelintir pelajar sanggup merakam dan memuat
turun klip video, menyimpan dan mengedarkan foto lucah dan sebagainya. Menurut statistik
PDRM, jenayah rogol dan cabul meningkat akibat salah guna telefon bimbit. Lebih buruk lagi,
remaja sekolah mudah terdorong dengan cinta monyet yang boleh mendatangkan keburukan
kepada diri mereka, terutama bagi remaja perempuan. Sesetengah mesej lucah yang disebarkan
boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang remaja. Ia juga menggalakkan pergaulan
yang tidak sihat seperti hubungan seks bebas dan perzinaan. Inilah punca yang mengakibatkan
kes pembuangan bayi persis zaman Jahiliah di Tanah Arab dahulu.

Selain itu, telefon bimbit turut mendatangkan masalah terhadap keputusan akademik
pelajar kerana mereka teruja untuk menggunakan perkakasan tersebut berbanding mentelaah
buku pelajaran. Sikap suka bertangguh akan mula bertapak di dalam jiwa kerana terlalu obses
dengan telefon bimbit. Ini sekaligus menyebabkan prestasi mereka merudum, apatah lagi jika
mereka diberi ruang menggunakannya pada usia yang masih belasan tahun.

Penggunaan telefon bimbit juga menyebabkan masalah kewangan. Ada pelajar sekolah
yang sanggup mengikat perut semata-mata untuk memastikan telefon mereka mempunyai baki
kredit prabayar. Selain itu, ada pelajar yang sanggup berbohong terhadap ibu bapa semata-mata
untuk mendapatkan duit poket yang lebih. Secara purata, seorang pelajar sekolah memerlukan
antara RM20 hingga RM30 sebulan untuk membiayai nilai tambah kad prabayar mereka. Ini
tentulah dianggap suatu pembaziran kerana pesanan SMS dan perbualan berkenaan tidak
penting dan hanya celoteh kosong sahaja.

Ada segelintir pelajar menganggap telefon bimbit lambang kekayaan. Bagi sesetengah
ibu bapa yang berkemampuan, mereka membeli telefon bimbit yang canggih kepada anak-anak.
Sikap suka menunjuk-nunjuk dan menayangkan kepada rakan-rakan sebaya membuka ruang
kepada persaingan yang tidak sihat. Alangkah baiknya jika wang menukar beli telefon tersebut
digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

Telefon bimbit juga menyebabkan segelintir pelajar menipu dengan membuat panggilan
palsu kepada agensi tertentu. Antaranya, nombor talian 999 untuk kecemasan sering
disalahgunakan demi keseronokan yang menyusahkan pihak lain. Mereka harus sedar bahawa
penggunaan telefon bimbit yang berterusan dalam tempoh yang lama juga, boleh
mendatangkan kesan kepada otak seperti peningkatan sel-sel barah.

Konklusinya, teknologi komunikasi seperti telefon bimbit bergantung kepada niat penggunanya.
Sebagai pelajar, kita harus bijak menggunakan peranti teknologi maklumat ini dan tidak
menyalahgunakannya untuk tujuan yang sia-sia.

Huraikan pendapat anda tentang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar.

Boleh menghubungi ibu bapa
Bertanya kepada rakan tentang kerja sekolah
Mendapatkan maklumat
Menyimpan video porno
Melalaikan remaja


Alaxander Graham Bell merupakan insan yang bertanggungjawab mencipta alat telekomunikasi
yang dinamakan sebagai telefon. Sejajar dengan dunia yang pesat berkembang ini, telefon kini
lebih mobil dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Rekaannya juga semakin menarik
perhatian ramai umumnya remaja yang sentiasa mengejar kelainan. Jika diperhalusi,
penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar ini mendatangkan impak yang pelbagai
kepada remaja.


Kita pastinya boleh menggunakan telefon bimbit yang dimiliki untuk menghubungi insan
tersayang yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati. Mendengar suara ibu dan bapa pastinya
membuatkan jiwa kita tenang lebih-lebih lagi mereka merupakan insan yang paling mengenali
diri kita. Oleh hal yang demikian, penggunaan telefon bimbit oleh para pelajar pastinya
meningkatkan motivasi mereka untuk terus belajar lebih-lebih lagi untuk para pelajar yang
tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga.

selain daripada itu, kita boleh menggunakan telefon bimbit untuk bertanyakan hal-hal yang
berkaitan persekolahan. Sebagai contohnya, rakan-rakan rapat boleh dihubungi dengan segera
waima kita tidak berada di sekolahpun jika mereka mempunyai telefon selular ini. Secara tidak
langsung, segala perkara penting yang disampaikan oleh guru ketika kita tidak boleh hadir ke
sekolah dapat diketahui dengan segera melalui penggunaan telefon bimbit. Hubungan dengan
rakan-rakan juga akan menjadi erat dan bertambah mesra.

Selain itu, kita juga boleh membuat capaian Internet melalui telefon bimbit pintar yang terdapat
di pasaran kini. Hal ini benar-benar membuatkan dunia berada di hujung jari kita. Dengan
menekan butang-butang tertentu di telefon bimbit, segala maklumat yang ingin diketahui boleh
didapati dengan mudah dan cepat. Justeru, kita tidak perlu lagi menunggu-nunggu untuk
mendapatkan sesuatu maklumat kerana masa itu emas. Sudah terang lagi bersuluh, telefon
bimbit memudahkan pelajar mendapatkan maklumat dengan segera.

Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit juga mendatangkan kesan negatif kepada
pelajar. Misalannya, mereka lebih mudah merakam atau menyimpan video-video mahupun
gambar-gambar lucah dalam alat telekomunikasi itu. Perkara ini memang tidak boleh dinafikan
lebih-lebih lagi apabila cerita mengisahkan klip-klip video ini pernah tersiar di layar perak iaitu
filem Klip 3GP. Penyebaran video-video seperti yang dimaksudkan ini bukan mudah untuk
dibanteras tetapi tidak mustahil untuk diperangi.

Di samping itu, penggunaan telefon bimbit juga boleh melalaikan remaja. Lihat sahaja situasi
masa ini apabila golongan remaja tidak boleh berpisah dengan kembar mereka itu walaupun
sedetik. Ditambah pula dengan pelbagai aplikasi yang kurang penting dan permainan yang
melekakan dalam telefon mudah alih itu pastinya membuang masa para remaja dengan sia-sia.
Walhal, masa senggang para remaja perlu diisi dengan ilmu yang bakal menerangi masa depan
mereka.

Izharnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja memberikan seribu satu faedah
kepada sesiapa sahaja. Kita perlu bijak menggunakan apa-apa sahaja gajet atau alat yang dicipta
dalam dunia serba canggih ini dengan cara yang betul. Jika tidak digunakan untuk kebaikan,
perkara ini mampu merosakkan masa depan dan fikiran remaja itu sendiri. Sewajarnya, para
remaja yang merupakan tonggak negara pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro
dan kontra sesuatu perkara sebelum dilakukan bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera.
Kesan penggunaan telefon bimbit
Pada suatu masa dahulu, telefon bimbit dianggap sebagai barangan mewah yang tidak mampu
dimiliki oleh kebanyakan orang selain bentuknya yang besar dah sukar dibawa. Namun, selepas
kita memasuki alaf baru, pengguna telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas
hujan disebabkan harganya yang jauh lebih murah selain bentuknya yang lebih kecil dan senang
dibawa ke mana-mana. Kini, tidak hairanlah hampir semua penduduk dunia mempunyai
sekurang-kurangnya sebuah telefon bimbit. Pelajar sekolah pula tidak ketinggalan dalam
perlumbaan mengejar kecanggihan malah ada juga yang telah pun mempunyai telefon pintar.
Persoalannya, adakah telefon bimbit memberi implikasi baik ataupun impak negatif terhadap
masyarakat?

Penggunaan telefon bimbit sudah semestinya banyak membantu dalam komunikasi harian. Kita
tidak perlu lagi bersusah-payah untuk pergi ke rumah seseorang untuk berkongsi ataupun
menyampaikan maklumat. Bukan itu sahaja, keselamatan seseorang individu juga akan lebih
terjamin kerana telefon bimbit mudah digunakan bagi mendail pihak polis atau sesiapa sahaja
dalam masa kecemasan. Perkara sebegini amat penting terutamanya bagi seseorang pelajar
yang berada dalam kecemasan. Perkongsian matlumat tentang pelajaran atau kerja rumah juga
dapat dilakukan dengan lebih mudah dengan adanya telefon bimbit.

Selain itu, penggunaan telefon bimbit juga dapat merapatkan silaturahim sama ada dengan
rakan atau sanak saudara terutamanya yang berada jauh di perantauan. Kita dapat menelefon
orang tersayang bagi mengubati rindu dengan kos yang tidak terlalu mahal. Lebih-lebih lagi,
dengan teknologi 3G, kita dapat membuat membuat panggilan video kepada orang tersayang.
Teknologi sebegini amat penting bagi mengubati rindu selain mengukuhkan silaturahim dalam
kalangan sanak-saudara.

Malangnya, disebalik kebaikan telefon bimbit, ada udang di sebalik batu di sebalik
penggunaannya. Hal ini demikian kerana telefon bimbit dapat memberikan impak negatif
terhadap penggunanya. Pertama, kebanyakan orang yang menggunakan telefon bimbit tidak
menggunakannya untuk kebaikan. Hal ini demikian kerana ramai yang menggunakan khidmat
pesanan ringkas untuk tujuan menghantar pesanan ringkas yang tidak berguna seperti memikat
seseorang, menghantar pesanan sekadar menghilangkan kebosanan dan sebagainya. Perkara ini
akan membawa kepada pembaziran dan seterusnya meningkatkan kos sara hidup.Bukan itu
sahaja, pelajar sekolah juga dapat menggunakan telefon bimbit untuk meniru dalam
peperiksaan, menganjurkan aktiviti jenayah dan juga menyebarkan video lucah di sekolah.
Perkara sebegini akan menyebabkan keruntuhan moral yang teruk bagi generasi muda negara
ini.

Di samping itu, sikap remaja zaman sekarang yang suka bersaing dalam mengejar kecanggihan
juga amat membimbangkan. Hal ini demikian kerana bukan mereka yang menanggung
kesusahan tetapi ibu bapa yang perlu bermandi peluh dalam merealisasikan hasrat anak mereka
memiliki telefon bimbit canggih. Bagi golongan yang berpendapatan menengah rendah, sudah
pasti perkara ini menjadi beban kepada mereka. Bagi golongan menengah atas pula, mereka
sering memanjakan anak mereka dengan membelikan telefon pintar atau telefon canggih lain
sehingga mengabaikan tanggungjawab demi pekerjaan semata-mata.

Seterusnya, mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju
termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan
penyakit barah otak. Hal ini demikian kerana gelombang elektromagnet yang terhasil daripada
telefon bimbit apabila terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan akan menyebabkan
mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya menyebabkan kanser otak.
Perkara sebegini amat membimbangkan terutama kepada usahawan ataupun khidmat
pelanggan yang perlu menggunakan telefon untuk jangka masa yang panjang dalam sehari demi
pekerjaan mereka.

Tuntasnya, walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh kita terima daripada penggunaan
telefon bimbit, kita juga akan menerima kesan negatif daripada penggunaan telefon bimbit jika
tidak digunakan secara berhati-hati. Jadi, seseorang perlu bijak dalam menggunakan telefon
bimbit agar tidak terlibat dalam kancah pembaziran, jenayah ataupun dihidapi penyakit kronik.

Anda mungkin juga menyukai