Anda di halaman 1dari 7

PENGURUSAN HUTAN

Polisi dan Strategi


Untuk memastikan HSK diurus secara berkekalan, "Dasar dan Strategi Pengurusan Hutan
untuk Semenanjung Malaysia" telah dicadangkan dalam tahun 1976 dan seterusnya
diterima sebagai tambahan kepada Dasar Perhutanan Negara. Dasar tersebut digubal bagi
memastikan penggunaan sepenuhnya sumber hutan, penghasilan yang berkekalan, faedah
sosial dan ekonomi yang maksimum dan kestabilan alam sekitar. Dasar pengurusan serta
objektif-objektifnya yang telah diterima adalah seperti berikut :
(i) Untuk mengurus dan menggunakan sumber hutan bagi mendapatkan faedah yang
maksimum berdasarkan keupayaan semulajadi dan rancangan pengurusan serta
penggunaan tanah hutan yang menyeluruh.
(ii) Untuk menentukan hasil yang berpotensi dengan berpandukan kepada taksiran yang
mendalam dan sistematik ke atas sumber hutan, daya ketumbuhannya dan faktor lain
yang berkaitan.
(iii) Untuk mengusahasilkan hutan secara konservatif dengan cara tebangan memilih
supaya meninggalkan anak benih semulajadi yang mencukupi selaras dengan tebangan
yang berekonomik bagi memastikan asas sumber-sumber hutan yang berkekalan.
(iv) Untuk menggunakan dengan sebaik-baiknya sistem pengurusan hutan yang telah
dirumuskan berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada teknik-teknik
pengurusan yang bersepadu dan kajian-kajian operasi.
(v) Untuk memulihkan semula hutan yang telah diusahasilkan dan hutan miskin supaya
dapat menghasilkan stok minimum yang bersamaan dengan dua puluh lima (25) pokok
sehektar bagi spesies-spesies dagangan yang berperepang 45 cm pada dada untuk
menjamin pengeluaran balak yang berekonomik.
(vi) Untuk menubuhkan ladang hutan dengan spesies-spesies dagangan yang cepat
tumbesar serta menggalakkan pelbagaigunaan hutan dan pemeliharaan alam sekitar
semulajadi.
Selaras dengan polisi dan objektif-objektif pengurusan hutan yang tersebut di atas,
strategi-strategi berikut telah dirumuskan:
(i) Tanah hutan yang akan dibuka untuk projek pertanian hendaklah dirancang dengan
teliti agar pengeluaran balak dapat dikawal serta menjamin penggunaan yang maksimum.
Peraturan-peraturan untuk tebang habis sesuatu kawasan akan dipatuhi sepenuhnya.
(ii) Tanah berhutan yang tidak terlibat dengan projek-projek pertanian dan sebagainya
akan dijadikan HSK dan akan diurus supaya mendatangkan hasil yang maksimum di
samping memelihara kualiti alam sekitar.
(iii) Satu sistem inventori hutan yang intensif dengan intensiti sekurang-kurangnya 10
peratus akan dijalankan sebelum penebangan, terutamanya bagi hutan dara, sebagai asas
untuk menentukan sistem pengurusan hutan dan silvikultur yang paling efektif.
Keutamaan akan diberikan kepada pemulihan hutan semulajadi melalui pengekalan
tinggal untuk giliran akan datang.
(iv) Bancian anak pokok akan dipergiatkan ke atas hutan yang telah diusahasilkan untuk
menentukan status, kandungan dan kelasnya serta rawatan silvikultur yang akan
dijalankan.
(v) Kajian tanah yang lengkap akan dijalankan bagi menentukan kawasan tanaman dan
pemilihan spesies-spesies yang bersesuaian.
(vi) Kawasan hutan yang sesuai akan ditentukan untuk dipelbagaigunakan selaras dengan
tujuan untuk meningkatkan keperluan beriadah, pemeliharaan tanah dan air dan juga
pemeliharaan flora dan fauna.
(vii) Kajian yang mendalam akan diteruskan ke atas produktiviti hutan serta kajian
tumbesaran dan pengeluaran dan lain-lain aspek mengenai pengurusan dan pembangunan
hutan akan juga dijalankan.
Hutan Dipterokarpa
Hutan dara atau hutan matang (climax forest) bukanlah
matlamat utama di dalam pengeluaran hasil.
Pengetahuan serta kefahaman mengenai pusingan
pemulihan hutan sehingga mencapai tahap kematangan
adalah penting dalam menentukan pembangunan hutan
semulajadi. Pengetahuan ini adalah amat berguna bagi
pengurusan sesuatu kawasan hutan. Matlamat yang
paling diutamakan di dalam pengurusan hutan secara
berkekalan ialah bagi mendapatkan kadar tebangan
tahunan yang seimbang dengan kadar penghasilan berkekalan supaya kenaikan min
tahunan bersamaan dengan tebangan tahunan. Dalam hal yang demikian komposisi hutan
pengeluaran tidak semestinya sama dengan hutan telah matang.
Hutan di Semenanjung Malaysia telah mula dengan sistematik sejak Jabatan Perhutanan
di tubuhkan pada tahun 1901. Amalan-amalan pemeliharaan dan pengurusan hutan yang
menitikberatkan aspek-aspek ekologi dan alam sekitar telah digubal untuk menjamin
perkhidmatan dan penghasilan yang berkekalan.
Pada awal tahun 1920an, pengurusan sumber hutan dengan cara Departmental
Improvement Felling (DIF) telah dijalankan untuk meningkatkan mutu kandungan dirian
hutan. Spesies pokok yang kurang bermutu dibuang secara berperingkat-peringkat bagi
membantu pertumbuhan pokok-pokok yang bernilai seperti Noebalanocarpus heimii dan
pokok-pokok jaras yang berpasaran. Amalan ini kemudian dihentikan kerana telah
didapati kurang sesuai berikutan permintaan yang meningkat terhadap kayu api dan kayu
jaras di dalam tahun1930an. Dengan itu, di mana sesuai pengurusan hutan secara
Commercial Regeneration Felling (CRF) telah diamalkan yang melibatkan penebangan
kayu jaras secara berperingkat dalam tempoh 5 tahun sebelum pengusahasilan hutan
dibenarkan. Walau bagaimanapun di kawasan yang tidak ada pasaran untuk jenis ini,
maka Departmental Regeneration Felling atau Reneration Improvement Felling (RIF)
dijalankan di mana pembukaan silara adalah lebih ketara diikuti dengan pemotongan
tumbuhan kecil.
Selepas peperangan Pasifik, amalan Regeneration Improvement Felling (RIF) telah
dihentikan berikutan permintaan yang meningkat terhadap bahan mentah dengan
bertambahnya bilangan kilang papan serta penggunaan jentera berat dalam
pengusahasilan hutan. Dalam pada itu didapati bahawa kawasan- kawasan hutan yang
telah musnah semasa pemerintahan Jepun dan juga kawasan lapang akibat dilanda ribut
terdapat pokok-pokok bersaiz jaras yang mencukupi. Pokok-pokok ini telah membesar
dengan cepatnya dari anak benih yang tidak rosak semasa pembalakan dan menjadi
tumbuhan unggul(dominant) sementara spesies berpasaran yang lebih lambat
pertumbuhannya menjadi tumbuhan separa unggul (sub-dominant). Sebagai contoh, anak
benih Meranti (Shorea spp) cepat membesar sebaik sahaja naungan dibuka. Faktor-faktor
ini telah menyumbang kepada penggubalan Sistem Sebaya Malaya atau Malaya
Uniform System (MUS) di dalam tahun1948. Pada dasarnya sistem ini adalah untuk
mengubah hutan hujan pamah tropika yang kompleks dan kaya dengan pelbagai spesies
pokok dengan umur yang berbeza-beza kepada hutan yang sebaya umur.
MUS melibatkan penebangan semua spesies pokok matang berukuran 45 cm ppd dalam
sekali tebangan serta pembebasan anak-anak pokok terpilih yang berbagai peringkat
umur dari jenis kayu keras sederhana dan ringan yang memerlukan cahaya. Operasi
tebangan ini diikuti dengan menggelang-racun semua pokok saka dan spesies tidak
berpasaran yang berukuran 15cm ppd ke atas. Inventori Hutan Selepas Tebangan
dijalankan dalam tempuh 2 hingga 5 tahun selepas tebangan bagi mempastikan anak-anak
pokok di atas tanah adalah mencukupi dan seterusnya untuk menentukan rawatan
silvikultur yang sesuai.
Sistem Sebaya malaya dahulunya menumpu kepada anak-anak benih yang akan
menggantikan dirian sedia ada dan rawatan silvikultur bergantung ke arah pembiakan
anak-anak benih ini dan ada kalanya mengabaikan pokok-pokok besar dan anak
semulajadi. Oleh itu pokok-pokok yang besar telah digelang- racun untuk membuka
naungan kepada anak-anak benih tersebut. Pada masa kini teknik ini kurang digunakan
dan rawatan silvikultur ditumpukan terhadap pemeliharaan sumber hutan. Aliran kerja
yang terlibat dalam modified MUS.
Sistem pengurusan ini didapati sesuai dan berkesan di Hutan Pamah Dipterokarpa tetapi
tidak begitu bagi Hutan Bukit Dipterokarpa disebabkan ole keadaan kawasan yang
berbukit dan berkecerunan tinggi, kandungan stok yang tidak menentu, kekurangan anak
semulajadi sebelum pembalakan, kekurangan anak semulajadi selepas pembalakan
disebabkan oleh ketidaktentuan musim berbunga dan kadar kematian yang tinggi semasa
pengusahasilan hutan di kawasan curam dan bercerun serta kadar kehidupan yang rendah
khasnya bagi jenis Meranti Seraya Shorea curtisii). Pembukaan naungan yang berleluasa
terutama di kawasan tinggi akan menambah risiko hakisan tanah dan akan menggalakkan
pertumbuhan belukar serta kelompok-kelompok Bertam (Eugeissona triste).
Kesulitan yang timbul daripada pengurusan silvikultur dan pemuliharaan alam sekitar
didalam modified MUS di hutan bukit, didapati tidak begitu sesuai untuk menari
pelaboran besar-besaran dalam sektor perhutanan kerana pusingan tebangan yang
panjang itu berkehendakkan kepada kawasan hutan yang luas. Memandangkan keluasan
tanah yang semakin terhad, salah satu cara untuk mendapat pulangan yang cepat ialah
dengan cara menyngkatkan kadar pusingan tebangan atau menambah tebangan dalam
satu-satu pusingan. Salah satu perubahan ketara dalam pengurusan hutan tropika di
Semenanjung Malaysia sejak kebelakangan ini ialah bahawa dengan terdapatnya pelbagai
jenis flora dan spesies kayu balak ianya tidak semestinya mendatangkan kesan yang
negatif terhadap dasar dan strategi pengeluaran kayu-kayan negara di masa hadapan.
Sebaliknya, hutan yang terdiri daripada pelbagai jenis tumbuhan akan dapat mengawal
pemeliharaan tanah dan sumber air serta memperluaskan penggunaan spesies kayu balak
di dalam industri perkayuan di masa akan datang.
Perkembangan teknologi pemprosesan kayu yang
lebih canggih serta penggunaan kayu yang tiada
pasaran masa kini akan menghasilkan barangan yang
bernilai pada masa hadapan baik di dalam atau di
luar negeri. Dengan itu,Sistem Pengurusan
Memilih (SMS) diperkenalkan pada tahun 1978
untuk membolehkan rejim-rejim tebangan yang lebih
fleksibel dan menepati tujuan pemeliharaan alam
sekitar di samping mendapatkan faedah
daripermintaan terhadap kayu-kayan. Lebih penting
lagi, sistem ini tidak menggalakkan menggelang-
racun bagi pokok-pokok tiada pasaran, ini akan
memelihara kayu tersebut dan seterusnya sumber
genetik untuk masa depan.
SMS telah dirangka bagi menjamin penghasilan
hutan secara berkekalan dengan mengoptimumkan
pembangunan hutan. Ia memerlukan pemilihan
rejim-rejim pengurusan (had batas tebangan)
berdasarkan kepada data-data inventori hutan
sebelum tebangan untuk menjamin dirian tinggal
yang mencukupi bagi pusingan tebangan akan datang
di samping mengekalkan keseimbangan ekologi dan
alam sekitar.
Untuk menentukan had-had tebangan minimum yang paling sesuai di bawah sistem ini,
Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F) perlu dijalankan untuk mendapatkan taksiran
yang tepat mengenai parameter-parameter isi kandungan hutan yang dibanci, bagi semua
jenis pokok berperepang 5 cm ppd ke atas serta pokok-pokok berperepang kurang dari 5
cm ppd dengan ketinggian sekurang- kurangnya 15cm. Maklumat-maklumat fisiografi
seperti kecerunan, ketinggian, jenis tanah dan aliran sungai perlu direkodkan.
Berdasarkan kepada data-data inventori serta lain-lain data mengenai pasaran dan
keadaan sosio- ekonomi semasa, satu rejim pengurusan (had batas tebangan) akan
ditentukan bagi pencapaian matlamat yang telah ditetapkan. Peta stok berwarna juga
disediakan bagi tujuan pembahagian sesuatu kompartmen kepada beberapa blok kecil
berdasarkan isi kandungan pokok dan atau kelas kebesaran.
Dengan itu, pengurusan hutan secara konservatif ini adalah diharapkan dapat memberi
faedah- faedah berikut:-
(i) Pemeliharaan dan pengekalan sumber hutan;
(ii) Pengurangan kos kerja-kerja pemulihan hutan;
(iii) Menjamin kestabilan serta kualiti alam sekitar ;
(iv) Pengurangan pembaziran semasa pembalakan: dan
(v) Penggunaan sumber hutan secara optimum.
Dalam pengamalan SMS, untuk mempastikan tebangan kedua dapat dijalankan dalam
tempoh 25-30 tahun selepas tebangan pertama dengan pengeluaran isipadu yang
ekonomik di antara 30-40 m3/ha, langkah-langkah berikut biasanya dipatuhi:-
(i) Had batas tebangan bagi spesies-spesies dari kumpulan dipterokarpa adalah tidak
kurang dari 50 cm ppd, kecuali Chengal (Neobalanocarpus heimii) di mana had tebangan
tidak kurang daripada 60 cm.
(ii) Had batas tebangan untuk spesies-spesies dari kumpulan bukan dipterokarpa adalah
tidak kurang dari 45 cm ppd.
(iii) Stok dirian tinggal yang merupakan bakal pokok-pokok utama untuk pusingan
tebangan akan datang adalah tidak kurang dari 32 pokok sehektar yang terdiri dari pokok-
pokok komersil yang subur serta lurus dengan berperepang diantara 30 cm - 45 cm ppd.
(iv) Perbezaan had batas tebangan di antara spesies-spesies dipterokarpa dan bukan
dipterokarpa adalah tidak kurang dari 5 cm.
(v)Jumlah peratusan dipterokarpa dalam dirian tinggal yang berukuran 30 cm-45 cm ppd
hendaklah sama atau lebih tinggi dari dirian asalnya.
Pada masa kini JPSM mengamalkan SMS sebagai satu sistem pengurusan hutan yang
memberi tumpuan kepada kawasan yang besar dengan penggunaan jentera di samping
mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta memperluaskan skop pekerjaan. Operasi
yang semakin canggih ini dipergunakan oleh rakyat tempatan dalam perpindahan
teknologi dan menambah kemahiran pengurusan. Aliran kerja yang terlibat dalam
Modified MUS
Perancangan hutan dan kajian operasi bersepadu yang dijalankan di Semenanjung
malaysia setakat ini memberikan gambaran yang jelas bahawa pengusahasilan hutan
bukit dengan tempoh tebangan 25 - 40 tahun dan had tebangan yang bersesuaian akan
menghasilkan isipadu yang ekonomik serta dirian tinggal dari pokok berpasaran bersaiz
sederhana yang mencukupi untuk tebangan akan datang. Dengan kadar purata
tumbesaran perepang 0.8 - 1.0 cm setahun dan pertumbuhan 2.0 - 2.5 m3/ha/tahun
isipadu kasar komersil bagi pokok-pokok yang berperepang 30 cm dan ke atas didapati
3/4 daripada kawasan hutan bukit berkeupayaan mengeluarkan 40 - 45 m3/ha dalam
tempoh 30 tahun di mana adalah hampir setanding dengan pengeluaran purata hutan dara
masa kini. Bagaimanapun, kadar kerosakan ke atas pokok-pokok bersaiz sederhana
semasa pembalakan perlu dikawal supaya ianya tidak melebihi 30 %.
Hutan Paya Laut
Hutan Paya Laut telah
berjaya diurus
dikebanyakan negeri di
Semenanjung Malaysia
bagi pengeluaran arang
kayu bakau, kayu jaras
dan kayu api berasaskan
prinsip pengurusan secara
berkekalan. Di negeri
Perak pusingan tebangan
bagi Hutan Paya Laut
adalah di antara 20 hingga
30 tahun manakala bagi
negeri Selangor dan Johor
masing-masing ialah 25 dan 20 tahun. Pokok yang matang selalunya akan ditebang habis
(cler-felled) mengikut kawasan tertentu. Walau bagaimanapun hanya pokok yang bersaiz
melebihi perepang 7.5 cm sahaja yang akan dikeluarkan. Kayu bakau untuk arang
dipotong sepanjang 1.6 m dan kayu api sepanjang 1.5 m. Tunggul dan sisa-sisa
pembalakan selepas tebangan akan ditinggalkan untuk proses pereputan. Jika selepas dua
(2) tahun didapati tiada pertumbuhan anak benih atau tidak mencukupi maka kawasan-
kawasan ini akan ditanam dengan spesies Rhizophora. Selalunya satu atau dua
penjarangan untuk kayu jaras dilakukan sebelum tebangan akhir dijalankan dan
penjarangan ini dilakukan, contohnya, di kawasan Hutan Paya Laut Matang, Perak
dengan menggunakan kayu sepanjang 1.2 m bagi hutan berumur 15 tahun dan 1.8 m bagi
hutan berumur 20 tahun.
Tahap Keberkekalan (Sustainable Level)
Berdasarkan hasil penemuan penyelidikan semasa, anggaran konservatif Tambahan Min
Tahunan [ Mean Annual Increment (MAI)] bagi hutan yang diurus di bawah giliran
tebangan 30 tahun (SMS) ialah 2.55 m3/ha/tahun. Dengan itu, jangkaan pengeluaran hasil
kayu selepas mengambilkira kerosakan tebangan 30% (tunggul, balak pendek dll.) ialah
53.6 m3/ha. Bagaimanapun, bagi hutan yang diurus mengikut giliran tebangan 55 tahun
(MUS), anggaran konservatif Tambahan Min Tahunan ialah 1.75 m3/ha/tahun dan
dengan itu jangkaan pengeluaran kayu-kayan selepas mengambil kira 30% kerosakan
tebangan hutan adalah 67.4 m3/ha. Jangkaan pengeluaran ini adalah setanding dengan
pengeluaran purata balak masakini di Semenanjung Malaysia. Adalah dipercayai, dengan
perkembangan teknologi dan inovasi pemprosesan kayu-kayan yang lebih canggih serta
perubahan dalam corak penggunaan kayu di sektor perhutanan di masa hadapan maka
kayu-kayan yang tidak berpasaran pada masakini dapat menebusi pasaran antarabangsa
dan domestik. Oleh itu, pengeluaran hasil hutan dari HSK adalah dianggarkan sebanyak
4-5 juta m3 setiap tahun.
Untuk mengurus sumber hutan di Semenanjung Malaysia dengan lebih intensif di bawah
konsep penghasilan yang berkekalan, kawasan hutan dalam HSK diklasifikasikan
mengikut kelas kecerunan serta salah satu atau lebih dari kelas fungsi hutan sebagaimana
dikehendaki dibawah Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara, 1984: -
(i) Hutan pengusahasilan kayu di bawah perolehan berkekalan .
(ii) Hutan perlindungan tanah.
(iii) Hutan tebus-guna tanah.
(iv) Hutan kawalan banjir.
(v) Hutan tadahan air.
(vi) Hutan perlindungan hidupan liar.
(vii) Hutan simpanan hutan dara.
(viii) Hutan lipur.
(ix) Hutan pelajaran.
(x) Hutan penyelidikan.
(xi) Hutan bagi maksud-maksud persekutuan.

Anda mungkin juga menyukai