Anda di halaman 1dari 1

Soalan: Malam itu aku sedang membaca buku di dalam bilikku. Tiba-tiba..

Lengkapkan cerita di atas.



Pada malam itu, aku sedang membaca buku di dalam bilikku. Suasana di luar
rumah sangat sunyi dan lengang. Tiba-tiba aku terlihat cahaya yang amat terang. Aku
mula berfikir cahaya apa yang berada di luar sana.
Aku tidak menghiraukan dan terus membaca buku. Pada waktu yang sama aku
terdengar satu jeritan meminta tolong di luar rumah. Aku juga terlihat cahaya di luar tadi
semakin besar. Aku pun membuka tingkap bilikku. Alangkah terkejutnya aku melihat
rumah jiranku terbakar dengan api yang sangat marak. Aku terus mengejutkan ayah
dan ibuku yang sedang tidur untuk melihat kejadian itu.
Ayahku pun berlari membuka pintu rumah dan melihat kejadian itu. Ayahku
menyuruh ibuku menelefon bomba dengan segera. Aku pula mengikut ayahku
mengejutkan penduduk kampung yang sedang lena tidur. Akhirnya, semua penduduk
kampung terjaga dan menolong ayahku menyimbah air beramai-ramai ke arah api yang
marak sementara menunggu bomba tiba.
Tidak lama kemudian, bomba pun datang dengan membawa alatannya. Orang
kampung segera menolong pihak bomba. Orang kampung menyimbah air manakala
pihak bomba pula menyemburkan air menggunakan pili bomba ke arah api yang marak.
Ayahku masuk ke dalam rumah itu dengan berhati-hati untuk menyelamatkan orang
yang berada di dalam rumah itu. Ayahku terdengar suara tangisan seorang perempuan
dan suara bayi. Ayahku masuk ke dalam bilik itu lalu terlihat seorang perempuan dan
anaknya menangis.
Ayahku menarik tangan perempuan itu dan mendukung anaknya lalu berlari ke
pintu keluar. Sewaktu ayahku berlari, sebatang kayu yang besar telah jatuh tetapi
ayahku sempat mengelak. Banyak halangan sewaktu berlari ke pintu keluar. Aku dan
ibuku di luar amat bimbang akan keselamatan ayahku sewaktu di dalam rumah itu.
Akhirnya ayahku berjaya menyelamatkan perempuan dan anaknya.
Perempuan itu sangat bersyukur kepada Allah kerana telah selamat dalam
kejadian itu. Perempuan itu juga berterima kasih kepada ayahku. Tidak lama kemudian,
api pun semakin kecil. Akhirnya rumah itu pun hangus terbakar. Perempuan itu hanya
tinggal sehelai sepinggang. Ibuku mengajak perempuan itu tinggal di rumahku
sementara mendapat bantuan.
Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku. Punca kebakaran belum diketahui lagi.
Pihak bomba sedang menyiasatnya. Kecil-kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi
lawan. Itulah api. Aku berasa sangat simpati kepada perempuan itu. Orang kampung
bekerjasama menolong keluarga perempuan itu. Ibuku juga menghulurkan bantuan.