Anda di halaman 1dari 6

BAB 3

ELEMEN-ELEMEN PENTING DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN



Pendidikan adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan hidup serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Pendidikan suatu usaha berterusan. Pendidikan ialah proses pemerolehan dan
pemindahan ilmu, kemahiran dan nilai murni. Proses ini adalah proses yang
berlangsung secara berterusan semenjak lahir hingga ke akhir hayat. Oleh itu,
pendidikan awal kanak-kanak adalah penting. Pendidikan awal adalah penting bagi
pembentukan sahsiah kanak-kanak. Proses pendidikan yang berterusan dapat
membantu seseorang individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan. Elemen
ini dilihat selaras dengan cabang falsafah Epistemologi yang mengkaji ilmu
pengetahuan. Epistemologi memfokuskan kepada penganalisisan dan penghasilan ilmu
dan tuntutan ilmu. Sebagaimana yang diketahui umum, ilmu pengetahuan merupakan
bidang yang tidak berkesudahan. Ilmu pengetahuan yang baru akan terhasil dengan
setiap Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Maka, dengan ini, proses pendidikan
akan berlangsung secara berterusan selagi hayat dikandung badan.
Perkembangan potensi individu. Setiap individu dianugerahkan Tuhan dengan
bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam. Bakat, potensi dan kebolehan
ini jika dipupuk dapat dikembangkan lagi. Interaksi sosial dengan orang lain boleh
membantu menyerlahkan bakat, potensi dan kebolehan seseorang. Bakat, potensi dan
kebolehan juga boleh berkembang dengan adanya peluang pendidikan. Ini disebabkan
fungsi pendidikan ialah memperkembang dan meningkatkan potensi individu supaya
mencapai tahap cemerlang.
Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu. Bakat, potensi dan
kebolehan individu tidak boleh berkembang secara berasingan. Sebaliknya, harus
diselaraskan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Aspek-aspek
intelek, rohani, emosi dan sosial penting dalam memperkembangkan individu secara
menyeluruh dan bersepadu.
Insan yang seimbang dan harmonis. Pemilikan intelek, emosi, rohani dan
jasmani yang baik oleh seseorang adalah amat penting. Ini adalah kerana
keseimbangan kempat-empat aspek ini dapat menghasilkan individu yang mampu
hidup secara harmonis dengan diri orang lain. Individu yang seimbang dari keempat-
empat aspek ini memiliki daya tahan yang tinggi untuk menghadapi cabaran hidup serta
sanggup berhadapan dengan apa jua masalah mungkin timbul. Elemen ini dilihat
seiring dengan cabaran keempat dalam Wawasan 2020 iaitu mewujudkan masyarakat
yang bermoral dan beretika, kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh
tahap etika yang tinggi. Selain itu, elemen ini selaras dengan perancangan dan
pelaksanaan dasar-dasar pembangunan pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) bagi mencapai matlamat pendidikan yang antaranya terdiri daripada
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bagi melahirkan insan yang
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Intelek. Di dalam hasrat FPK, unsur intelek memberi tumpuan kepada ciri-ciri
daya fikir seperti menguasai kemahiran 3M; membaca, menulis dan mengira,
menguasai kemahiran untuk memperoleh, meningkat dan menyebarkan ilmu, berfikiran
secara kritis dan kreatif (KBKK) dan dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran untuk diri
dan orang lain yang juga termasuk kemajuan negara. Dalam senario ini, seseorang
guru harus memastikan anak-anak muridnya dapat menguasai kemahiran 3M.
Rohani. Perkembangan rohani memberi tumpuan kepada sifat kejiwaan dan
kebatinan. Sifat kejiwaan dan kebatinan ialah mempunyai perasaan menyedari dan
mengingati adanyaTuhan, mempunyai perasaan menghargai dan mensyukuri
pemberian Tuhan, dapat memupuk dan membina disiplin kendiri serta dapat memupuk
akhlak yang mulia. Elemen ini mempunyai kaitan dengan prinsip Rukun Negara iaitu
kepercayaan kepada Tuhan. Prinsip ini menjelaskan bahawa bangsa dan negara
diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Pegangan teguh terhadap
kepercayaan beragama ini akan menjadikan bangsa dan negara Malaysia sebagai
Negara yang berdaulat.
Emosi. Perkembangan unsur emosi memberi tumpuan kepada perasaan jiwa
yang sihat dan kuat. Perasaan jiwa yang sihat dan kuat ialah memperoleh perasaan
tenaga dan tingkah laku yang terkawal, memiliki perasaan kasih sayang, memiliki
semangat kekitaan, muhibbah, kerjasama dan perpaduan serta mempunyai kemahiran
menilai dan menghargai keindahan dan kesenian.
Jasmani. Perkembangan unsur jasmani bertumpu kepada kesihatan tubuh
badan individu. Kepentingan kesihatan fizikal atau tubuh badan harus disedari. Unsur
jasmani membolehkan penggunaan bakat, kemahiran teknikal, manipulatif dan sosial
dengan cekap. Unsur jasmani membolehkan peningkatan daya pengeluaran demi
memberi sumbangan kepada kemajuan negara. Atlet-atlet Malaysia telah menyumbang
kepada kemajuan negara serta mengharumkan nama negara dengan menyertai acara-
acara sukan berprestij seperti Komanwel.
Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Kepercayaan merupakan keyakinan
bahawa manusia dan alam sekitar terjadi akibat daripada Penciptanya, dan hukum-
hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan. Oleh itu, manusia harus patuh kepada
Tuhan dengan memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam usaha
mentadbir dan memakmurkan alamnya. Tumpuan pada aspek ini adalah seperti
mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta,
mengetahui hokum dan fenomena alam adalah peraturan yang ditetapkan Pencipta,
menyedari manusia dijadikan untuk memajukan alam, menyedari manusia
bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbuatan diri sendiri, melakukan kebaikan dan
menghindari perbuatan kejahatan, mengikuti dan mengamalkan ajaran agama serta
meningkatkan dan mengukuhkan kepercayaan beragama.Elemen ini juga selaras
dengan prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan. Atas
prinsip kepercayaan ini, bangsa dan negara Malaysia diwujudkan. Ketiadaan agama
boleh meruntuhkan keperibadian dan kerohanian seseorang. Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan. Rakyat yang berilmu pengetahuan
adalah rakyat yang gemar membaca, mencintai ilmu pengetahuan dan sentiasa
berusaha menambah ilmu pengetahuan. Mereka ini juga berusaha memupuk budaya
ilmu dan budaya membaca serta mempunyai fikiran yang luas dan terbuka.Rakyat
seperti ini tidak menggunakan ilmu yang didapatinya untukmanfaat dirinya sahaja tetapi
juga untuk manfaat orang lain. Teras kedua, membangunkan modal insan dalam Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) mempunyai perkaitan dengan elemen ini.
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membangunkan
modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, keperibadian mulia,
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020.
Modal insan yang dihasilkan akan berupaya berfikir secara kritis dan kreatif serta
berkemahiran untuk menyelesaikan masalah.
Rakyat Malaysia yang berketrampilan. Rakyat yang berketrampilan adalah rakyat
mempunyai kecekapan dan kompetensi diri, berkebolehan untuk menjalankan tugas
dengan cekap dan sempurna serta berpandangan jauh dan berinisiatif. Elemen ini juga
selaras dengan teras kedua dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan iaitu
membangunkan modal insan.
Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia. Rakyat yang berakhlak mulia adalah
rakyat yang memiliki tingkahlaku yang bersopan santun, berdisiplin dan bersepadu, dan
mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Rakyat Malaysia ialah rakyat yang
mengetahui mana nilai baik dan buruk, menyedari kesan dan akibat daripada perbuatan
baik dan buruk mempunyai keyakinan terhadap nilai murni serta berpegang kepada
nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup. Elemen ini berkait rapat dengan
prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Prinsip ini memfokus
kepada perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Pengamalan
sikap kesopanan dan kesusilaan dapat membentuk individu yang berdisiplin serta
bermoral tinggi yang menghasilkan masyarakat yang aman dan harmoni.


Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Rakyat Malaysia yang
bertanggungjawab boleh dipercayai dan tahu bahawa tugas dan tanggungjawab adalah
amanah dan kewajiban serta tahu melaksanakannya dengan sempurna. Orang yang
bertanggungjawab akan sentiasa berusaha meningkatkan daya pengeluaran serta
sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Mereka sentiasa memajukan
diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama.
Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Rakyat yang
berupaya mencapai kesejahteraan diri adalah insan yang berfikiran waras dan berjiwa
tenang serta mempunyai daya ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran hidup.
Mereka ini mempunyai pemikiran yang positif dan dapat berfikir secara rasional semasa
dalam kesulitan. Mereka tidak terburu-buru untuk membuat keputusan tetapi berfikir
secara terperinci terlebih dahulu. Rakyat seperti inilah yang berkeupayaan untuk
mencapai kesejahteraan diri.
Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara. Rakyat yang sebegini akan berusaha untuk
memupuk perpaduan rakyat melalui sifat toleransi, bertimbang rasa, kekitaan, hormat-
menghormati dan sebagainya. Berdasarkan dasar-dasar yang telah ditetapkan, mereka
akan cuba untuk memajukan ekonomi negara. Mereka ini akan mematuhi
perlembagaan dan peraturan negara serta mempertahankan maruah diri, profesion,
agama, bangsa dan negara.
Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Rakyat yang berupaya mencapai
kesejahteraan diri mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi serta
berkebolehan untuk mengharungi liku-liku hidup. Mereka mempunyai pemikiran yang
positif dan tidak mudah berputus asa walau dalam apa jua keadaan. Malah, mereka
akan berusaha untuk menghadapi cabaran yang mendatang dengan sebaik mungkin.



Sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara. Rakyat dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara serta menjadikan Rukunegara sebagai amalan hidup,
dapat memupuk persefahaman keluarga, mematuhi norma masyarakat dan cintakan
negara. Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara boleh dicapai dengan
mengamalkan sikap toleransi, bekerjasama, hormat-menghormati serta memupuk
perpaduan di antara kaum.
Secara tuntasnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan sebuah
dokumentasi yang murni dan luhur. Penghayatan, pemahaman dan keprihatinan para
pendidik amat diperlukan untuk merealisasikan tujuan dan cita yang terkandung
dalamnya. Oleh itu, mana-mana aktiviti yang hendak dianjurkan atau dirancang
mestilah berupakan suluhan nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Anda mungkin juga menyukai