Anda di halaman 1dari 10

Wahyu pertama dan penemuan sains

Nabi Muhammad s.a.w

mempunyai mesej yang penting kepada

umat Islam. Firman-Nya yang

bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan

nama Tuhan mu yang menciptakan

(sekalian makhluk). Ia menciptakan

manusia dari sebuku darah

beku. Bacalah, dan Tuhan mu Yang

Maha Pemurah. Yang mengajar manusia

melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan

manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah al-’Alaq: 1-5)

Wahyu pertama ini mempunyai

beberapa kepentingan yang wajar

diberikan perhatian oleh manusia

khususnya umat Islam.

Signifikan pertama pastinya berkait

rapat dengan pelantikan Nabi Muhammad

SAW sebagai nabi dan rasul terakhir.

Dengan ini, bermulalah penyebaran

syiar Islam ke seluruh pelosok dunia.

Menerusi usaha dakwah, ajaran

Islam menjadi pegangan dan amalan


umatnya sehingga berjaya membentuk

satu tamadun yang gemilang yang pernah

disaksikan dalam lipatan sejarah

manusia.

Tamadun ini jugalah yang melonjakkan

pembangunan sains ke tahap

yang belum pernah disaksikan sebelum

ini.

Signifikan yang kedua dapat dilihat

menerusi mesej saintifik dalam wahyu

pertama ini. Ini kerana terdapat maklumat

biologi tentang proses perkembangan

janin manusia.

Ini jelas sekali merupakan satu maklumat

yang diberikan oleh Allah SWT

kepada umat Islam semasa Nabi

Muhammad s.a.w dilantik sebagai

Rasul hampir 15 abad yang lalu.

Fakta biologi yang didedahkan

menerusi wahyu ini hanya dapat dibuktikan

oleh sains berkurun-kurun kemudian

apabila pengetahuan manusia

bertambah menerusi penemuan-penemuan

sains dan teknologi.

Seorang pakar bedah Perancis,


Maurice Bucaille di dalam bukunya The

Bible, The Quran and Science membuat

kesimpulan bahawa wahyu ini membuktikan

wujud keserasian antara Islam

dengan sains, yakni tidak wujud

sebarang konflik, paradoks, pertentangan

atau dikotomi antara sains dan

teknologi dengan ajaran Islam.

Signifikan yang ketiga dilihat apabila

Allah SWT berfirman dengan jelas

mengenai kaedah yang perlu diamalkan

oleh manusia dalam proses

menuntut, mengembangkan dan seterusnya

menguasai ilmu pengetahuan.

Kaedah pertama ialah menerusi arahan

Allah SWT supaya membaca kerana

ia merupakan tabiat yang menjadi

kunci kepada ilmu pengetahuan.

Justeru, manusia perlu membudayakan

amalan membaca untuk menguasai

ilmu pengetahuan.

Kaedah kedua berlaku yang dinyatakan

dalam wahyu pertama iaitu

penyebar luaskan ilmu pengetahuan

menerusi penulisan.
Menerusi kaedah penulisan, karyakarya

ilmiah terdahulu selamat sehingga

ke hari ini. Ini kerana karya-karya

ilmiah ini terpelihara dalam bentuk

penulisan dan bukannya percakapan.

Apabila al-Quran dihimpunkan dan

kemudiannya dibukukan, maka usaha

ini turut menjamin bahawa kitab tersebut

akan terus terpelihara kesuciannya

sehingga ke hari ini.

Atas sebab ini jugalah al-Hadith

dihimpunkan dalam bentuk tulisan

supaya ia terpelihara daripada hilang

dan ditokok tambah mereka yang tidak

bertanggungjawab.

Gabungan pendekatan membaca

dan menulis ini sebenarnya merupakan

kaedah untuk membuat penyelidikan

yang digunakan oleh ilmuwan-ilmuwan

Islam semasa zaman kegemilangan

tamadun Islam.

Mereka menterjemah, membaca,

mengkaji dan menilai kajian-kajian dari

tamadun-tamadun terdahulu seperti

Yunani, China, India, Parsi dan Mesir.


Kemudian ilmuwan-ilmuwan ini

membina ilmu pengetahuan menggunakan

asas-asas ilmu ini dengan

mengesahkan atau menolak “faktafakta”

berdasarkan dapatan-dapatan

baru.

Dapatan-dapatan ini dicatatkan

untuk dibaca dan dikaji dengan lebih

lanjut. Gabungan budaya membaca

dan menulis ini telah membawa kepada

pembinaan tamadun yang gemilang

pada suatu masa dahulu. Pendekatan

Wahyu pertama dan

kepentingan sains

membangunkan ilmu seperti ini digelar

sebagai pendekatan kumulatif.

Signifikan yang keempat dapat dikesan

menerusi ayat kelima Surah al-’Alaq

ini apabila Allah SWT menyebut

bahawa, “Ia mengajarkan manusia apa

yang tidak diketahuinya.”

Ini menjelaskan hakikat bahawa

segala bentuk ilmu pengetahuan ini termasuk

sains dan teknologi asalnya daripada

Allah SWT. Jika tidak kerana keizinan-


Nya, maka manusia tidak akan

dapat mengetahui sesuatu cabang atau

bidang ilmu.

Justeru, ini merupakan satu

peringatan bahawa manusia tidak wajar

menjadi sombong atau angkuh apabila

memperoleh dan menguasai ilmu

pengetahuan.

Sebaliknya, manusia yang berilmu

perlulah mengikut resmi padi yakni

semakin berisi semakin tunduk. Kiasan

ini mengingatkan kita bahawa penguasaan

ilmu akan menjadikan manusia

lebih tunduk kepada Allah SWT.

Ini jelas menerusi perkembangan

canggih sains dan teknologi hari ini.

Dengan pengetahuan yang ada hari ini,

kita mampu menyaksikan sendiri kebesaran

Ilahi, lantas mampu meningkatkan

ketakwaan kita kepada-Nya.

Jika seseorang itu mengkaji sejarah

tamadun Islam, akan didapati bahawa

penguasaan ilmu pengetahuan khususnya

sains dan teknologi telah

memainkan peranan penting dalam


menjadikan tamadun ini mencapai satu

kemuncak yang belum disaksikan oleh

sejarah manusia.

Kemuncak tamadun Islam dapat dilihat

sekitar kurun ke-13 Masihi. Islam

yang mula tersebar semenjak kurun ke-

6 Masihi telah mewujudkan suatu kepercayaan

dan keyakinan terhadap Allah

SWT dengan memerdekakan pemikiran

Arab Jahiliah kepada pemikiran yang

terbuka kepada pencarian ilmu pengetahuan.

Dengan terbinanya pusat-pusat kecemerlangan

ilmu seperti di Baghdad,

Kufah, Mosul, Tus, Isfahan, Marakesh,

Kaherah, Fez, Khurasan, Cordova,

Toledo, Aleppo, Granada dan sebagainya,

penyelidikan dan pembangunan

dalam banyak cabang ilmu berjalan

dengan begitu pesat sekali.

Begitu ramai ilmuwan Islam yang

menyumbangkan tenaga dan kepakaran

mereka untuk melonjakkan tamadun

manusia ke satu tahap yang belum pernah

disaksikan sebelum ini.

Bukan sahaja tamadun Islam terkenal


dengan nama-nama ilmuwan yang

masyhur dalam bidang ilmu pengetahuan,

malah ia juga amat sinonim

dengan pencapaian dan pembaharuan

yang dibuat dalam bidang ilmu itu

sendiri.

Kreativiti, inovasi dan ciptaan baru

yang diperkenalkan semasa kegemilangan

tamadun Islam telah melonjakkan

peradaban manusia ke satu tahap yang

lebih tinggi.

Sayangnya umat Islam hari ini ratarata

ketinggalan dalam bidang ilmu

pengetahuan, jauh sekali menguasai

bidang sains dan teknologi.

Boleh dikatakan bahawa hampir

keseluruhan pengetahuan yang berteraskan

sains dan teknologi yang terdapat

di negara-negara Islam berasal

daripada negara yang majoriti penduduknya

bukan Islam.

Walaupun pemindahan pengetahuan

daripada negara bukan Islam kepada

negara Islam adalah diharuskan, umat

Islam perlulah mempunyai kesedaran


bahawa kebergantungan kepada negara-

negara bukan Islam perlulah dikurangkan.

Justeru, umat Islam perlulah mengorak

langkah untuk memperlengkapkan

diri dalam segenap bidang ilmu pengetahuan

dan seterusnya mempertingkatkan

kemampuan untuk membangunkan

sains dan mencipta teknologi

tersendiri.

Hakikatnya, perkembangan sains dan

teknologi yang pesat pada zaman ini

telah membawa bersamanya beberapa

cabaran yang perlu ditangani dan

dijawab oleh umat Islam khasnya.

Maka sewajarnya umat Islam zaman

moden hari ini mengambil iktibar daripada

wahyu yang pertama yang diturunkan

oleh Allah SWT kepada Nabi

Muhammad SAW.

Jika sains dan teknologi tidak penting,

mengapa Allah SWT menurunkan wahyu

yang sarat dengan maklumat saintifik

seawal wahyu pertama lagi?

– Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh

Mohd. Salleh ialah Pengarah


Eksekutif Yayasan Ilmuwan.

Ketinggian Tamadun Islam di Sepanyol di bawah pemerintah Khalifah Bani Umayyah

melahirkan seorang ilmuwan Abbas ibn Firnas yang menjalankan kajian

Planetarium , kira-kira 600 tahun sebelum Leonardo da Vinci melakukannya.

Anda mungkin juga menyukai