Anda di halaman 1dari 1

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada guru dan rakan-rakan yang saya kasihi

sekalian. Pada pagi yang berseri ini saya ingin menyampaikan sebuah syarahan yang
bertajuk “Para pengguna memainkan peranan yang penting dalam menentukan harga
barang-barang di pasaran.”
Guru dan para pelajar sekalian,
Siapakah sebenarnya pengguna? Pengguna ialah seseorang yang membeli sesuatu
barangan atau menggunakan sesuatu perkhidmatan untuk memenuhi kehendaknya. Dengan
itu, pengguna ialah kita semua. Ya, kita semua merupakan pengguna. Jadi, sebagai
pengguna, kita mempunyai hak untuk membeli serta memuaskan kehendak kita. Oleh
itu, saya ingin menegaskan bahawa memang para pengguna memainkan peranan dalam
menentukan harga barang dan perkhidmatan.
Harga barang-barang di pasaran ditentukan oleh dua faktor penting, iaitu
permintaan dan penawaran. Permintaan barang-barang dipengaruhi oleh para pengguna.
Jikalau terlalu banyak orang yang membeli sesuata barang, misalnya motokar Proton
Wira maka permintaan untuk motokar itu akan meningkat. Peningkatan permintaan
motokar Proton Wira akan menyebabkan harga pasaran motokar itu naik. Sebaliknya,
sesuatu barang yang mempunyai permintaan yang sedikit akan mengakibatkan harga
barang itu di pasaran turun. Jadi, pengguna berperanan untuk menentukan permintaan
terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan. Dengan itu, pengguna berperanan dalam
menentukan harga barang-barang di pasaran.
Guru dan para pelajar yang saya kasihi,
Sekarang, mari kita meninjau sedikit tentang pendapatan yang diterima oleh
penduduk di negara ini. Penduduk Malausia boleh dikatakan mempunyai taraf hidup
yang sederhana. Namun begitu, kita mampu untuk memiliki serba sedikit harta dan
barang-barang mewah. Oleh itu, kita mendapati harga barang keperluan harian serta
pakaian agak tinggi jika dibandingkan harganya beberapa tahun yang lalu. Harga
barang-barang di bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan harganya di kampung
atau di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan para pengguna di situ berpendapatan
rendah dan mereka tidak mampu untuk membayar harga sesuatu barang jika harganya
terlalu tinggi. Sehubungan dengan itu, saya merumuskan bahawa daya beli penduduk
di sesuatu kawasan dapat mempengaruhi harga barang.
Berdasarkan hujah-hujah yang saya sampaikan tadi, saya berharap para
pengguna sekalian sedar akan kepentingan peranan masing-masing ketika berbelanja.
Sekiranya kita boros, maka harga barang dan perkhidmatan akan naik dan hal ini
akan merugikan semua pengguna. Oleh itu, kita harus bijak berbelanja dan merancang
perbelanjaan dengan teliti.
Sekian syarahan saya dan saya sudahi dengan ucapan terima kasih.