Anda di halaman 1dari 3

KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM

Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman
pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi,
pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat Merdeka pada 31 Ogos 1957,
tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting
untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk
menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja
Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di
Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun
1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh
Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang
perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat
Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan
tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk
semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira
bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah
bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran
yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan
Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam
membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh,
nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk
mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan
hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang
dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang
masih berada di bangku sekolah.

Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat
negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para
pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana,
mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut
tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-
negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun
kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa
dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing,
industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan
dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat
berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai
contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam
satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat
membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat
patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.
Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini
tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita.
Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13
Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha
untuk menamatkan masalah tersebut. Lantaran itu, semua penduduk di negara ini harus
mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan
perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat
yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar
Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan
setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian
pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum
Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan,
walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil
yangberlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka
jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang
dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif
agar tidak berlaku permusuhan.

Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan
bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan
pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan
ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara. Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat
Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara
melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan
sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum
yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa
perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat
bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat
berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini
berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata
pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam
sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk
tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat
negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara
kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang
enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan
merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk
menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan
generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat
menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem
pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara
terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada
kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada
musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-
mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini,
semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan
negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti
Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat
dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat
Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam
menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero
dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya
berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai
aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah
bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa
imej negara terkenal di seluruh dunia.

Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha
Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam
mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh,
terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat
ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada
masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah
sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di
luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru
nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh
kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang
lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara
kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.
*Karangan ini dipetik daripada laman web www.zaizak69.blogspot.com dengan tujuan
memudahkan pembacaan para pelajar.

Anda mungkin juga menyukai