Anda di halaman 1dari 1

Berjimat cermat merupakan amalan yang baik dan perlu dipertingkatkan dari semasa

ke semasa. Sikap berjimat cermat amat digalakkan oleh kerajaan. Justeru, tidak
hairanlah isu ini sering dibincangkan di surat khabar dan televisyen. Pada pendapat
saya, sikap berjimat cermat dapat mengelakkan sikap boros yang boleh
mendatangkan kerugian kepada diri sendiri. Beberapa cara perlu dilakukan bagi
memupuk amalan berjimat cermat di kalangan rakyat.

Amalan berjimat cermat ini boleh dipupuk melalui peranan ibu bapa. Hal ini
kerana anak-anak banyak menghabiskan masa di rumah bersama ibu bapa. Ibu bapa
yang mengamalkan sikap bersederhana dan berjimat cermat akan menjadi contoh
terbaik kepada anak-anak. Justeru, anak-anak pastinya akan mencontohi sikap jimat
cermat ibu bapa yang mereka lihat setiap hari.

Masyarakat juga boleh berperanan memupuk amalan berjimat cermat.
Sesungguhnya sikap masyarakat yang berjimat cermat akan mempengaruhi sikap
generasi muda dalam masyarakat tersebut. Sebagai contoh, masyarakat boleh
mengamalkan sikap berjimat cermat dengan menanam sayur-sayuran di sekeliling
rumah untuk dijadikan sebagai makanan harian. Pada masa yang sama, masyarakat
juga perlu manasihati dan menegur sikap golongan muda yang suka membazirkan
masa lapang mereka dengan aktiviti kurang berfaedah seperti melepak.

Media massa juga berperanan dalam memupuk amalan berjimat cermat. Hal
ini kerana media massa seperti surat khabar dan televisyen mudah untuk
mempengaruhi minda masyarakat dalam sesuatu perkara termasuklah perkara yang
berkaitan sikap berjimat cermat. Media massa boleh menjalankan kempen-kempen
kesedaran tentang kebaikan amalan berjimat cermat. Jika media massa dapat
memainkan peranannya dengan baik, pasti masyarakat akan menjadikan sikap
berjimat cermat sebagai budaya hidup.

Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam memupuk amalan
berjimat cermat di kalangan rakyat. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai kuasa
dan sumber kewangan untuk melaksanakan Kempen Berjimat Cermat. Contohnya
pihak kerajaan boleh menganjurkan Karnival Membeli-belah sepanjang tahun, yang
menawarkan potongan harga sehingga 70%. Pihak kerajaan boleh juga mengingatkan
pengguna supaya bijak berbelanja dan mengutamakan barangan buatan Malaysia.