Anda di halaman 1dari 12

SEJARAH ISLAM: SOALAN TARGET PENGGAL 2 STPM 2014 (TEMA 1)

PENGURUSAN PRAUNIVERSITI SMK. BUGAYA, SEMPORNA, SABAH.


Tenaga Pengajar: PN. MASNI HJ. ULLONG, SARAIL LAHABUN, NORSYAHMI ABDULLAH & ANWAR SOEBAH.
SOALAN 1:

NABI MUHAMMAD S.A.W BUKAN SAHAJA SEORANG NABI DAN RASUL TETAPI JUGA
SEORANG NEGARAWAN. BINCANGKAN.

A. PENDAHULUAN

Nabi Muhammad SAW diputerakan pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April tahun Gajah. Baginda
diputerakan di kalangan keluarga ternama dalam masyarakat Quraisy. Baginda dilantik secara rasmi sebagai
nabi ketika berusia 40 tahun. Baginda telah menerima wahyu yang pertama pada 17 Ramadhan bersamaan 16
Ogos 610Masihi, iaitu melalui surah Al Alaq ayat 1-5. Setelah itu diikuti pula dengan surah Al Mudatthir
ayat 1-7 yang menandakan kerasulan baginda SAW. Baginda mula menjalankan dakwah secara sulit selama
tiga tahun dan kemudian secara terbuka. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul tetapi juga pemimpin
negara dan masyarakat, panglima tentera serta perancang ekonomi yang disegani .

B. ISI

1. Baginda diakui sebagai nabi dan rasul melalui tiga cara iaitu menerusi kitab suci al-Quran,Taurat,
Injil dan Zabur, kedua melalui sifat-sifat kenabian seperti menerima wahyu dan memiliki sifat mulia seperti
Siddiq, amanah, tabliqh, dan fatanah serta melalui bukti-bukti sejarah.
Selain kitab suci, tanda-tanda kenabian baginda sudah diperlihatkan sewaktu baginda masih kanak-kanak lagi.
Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibrail untuk dibersihkan. Setelah itu, terdapat pula tanda-tanda kenabian
sewaktu baginda menemui seorang padri di Syam.
Selama 13 tahun baginda di Mekah, baginda lebih dikenali sebagai seorang nabi dan rasul yang membawa
agama Islam. Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang dakwah baginda. Semasa menyebarkan
agama Islam ,nabi telah menunjukkan sifat sabar, lemah lembut, tolenrasi tetapi tegas. Baginda berakhlak
menurut akhlak al-Quran sehingga menjadi insan yang paling sempurna dan menjadi ikutan seluruh umat
manusia. Sebagai pemimpin agama, baginda telah menentukan beberapa bidang bagi menjamin kesejahteraan
masyarakat. Bidang- bidang tersebut adalah seperti ibadat solat, zakat, puasa dan sebagainya.

2. Baginda terkenal sebagai pemimpin masyarakat dan negarawan. Semasa di Madinah, sifat-sifat
kepemimpinan baginda dalam masyarakat terserlah kembali. Baginda melakukan pelbagai langkah seperti:-
i. berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan setelah perpecahan
begitu lama .
ii. mengeratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat Islam sendiri menerusi usaha gigih mempersaudarakan
Ansar dan Muhajirin(Madinah jadi kuat,aman,stabil dari segi politik dan ekonomi)
iii. Mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah dengan menyeru mereka bekerjasama dan bantu- membantu
mempertahankan Kota Madinah(penggubalan Piagam Madinah).
iv. Menghormati agama Islam dan tidak menafikan agama-agama lain dan adat budaya bukan Islam.
v. Ketua-ketua suku diberi peranan mengendalikan anggota suku masing-masing.
vi. Membentuk konsep ummah.

3. Kepimpinan politik nabi terserlah sejak baginda di kota Mekah lagi (masalah perpindahan Hajar
Aswad ke tempat asal di Kaabah). Dalam perjanjian Aqabah, baginda menunjukkan kepimpinan politik yang
matang. Sebagai pemimpin politik yang berkaliber, nabi tidak pernah menunjukkan permusuhan terhadap
kaum lain terutamanya Yahudi, malah terus mengadakan perundingan dengan mereka.
Dalam politik di peringkat antarabangsa baginda dianggap diplomat yang berjaya kerana baginda
menghantar perwakilan ke Habsyah, Mesir, Byzantine, dan Parsi bagi memperkenalkan ajaran Islam. Tidak
sampai setengah abad,semua negara tersebut tunduk di bawah pemerintahan Islam. Sistem syura
diperkenalkan dalam semua bidang termasuk politik dan ekonomi.




4. Nabi sebagai perancang ekonomi, baginda memperkenalkan dasar baru menggantikan dasar ekonomi
jahiliyah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras, dan aktif dalam urusan perniagaan dan pertanian.
Masyarakat diminta mengelakkan riba, dan diwajib menunaikan zakat. Nabi berusaha membangunkan
ekonomi Islam dengan menggalakkan tanah-tanah terbiar diusaha semula, tanah tergadai ditebus semula dan
dikerjakan.

5. Dalam bidang ketenteraan,baginda menjadi pemimpin tentera bagi setiap ekspedisi ketenteraan yang
disertainya. Asas ketenteraan baginda adalah berdasarkan aqidah, syariah, dan akhlak mulia. Baginda
mempunyai keyakinan ketika menghadapi musuh. Dalam peperangan,baginda bertindak mengikut batas-batas
yang ditetapkan seperti tidak memerangi golongan lemah,dan golongan tidak bersenjata, serta tidak
memusnahkan harta benda dan tanaman. Baginda menunjukkan akhlak baik dengan perasaan kemanusiaan
seperti memulangkan harta benda musuh yang ditawan (Perang Hunain dan Perang Taif). Kaedah ini menarik
minat musuh untuk memeluk agama Islam.
Rasulullah SAW ialah seorang pemimpin perang yang cekap dan berpengetahuan luas dalam bidang
taktik dan strategi perang contohnya perang Badar menggunakan taktik tunggu dan lihat, sistem saf dan taktik
bertahan dalam perang Khandak serta teknik mengepung dalam perang Taif.


C. KESIMPULAN

Jelaslah bahawa nabi Muhammad SAW bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang disegani malah
baginda merupakan seorang pemimpin masyarakat, negarawan, perancang ekonomi, dan pemimpin tentera
yang berjaya. Baginda cuba menonjolkan Islam yang tidak hanya mementingkan aspek akidah, tetapi juga
menitikberatkan hal ehwal kehidupan seharian. Baginda berjaya membina tamadun Islam dan diwarisi pula
oleh khulafa alRasyidin.






























SOALAN 2:

HURAIKAN KONSEP KHALIFAH DAN KAEDAH PEMILIHANNYA PADA ZAMAN KHULAFA
AL-RASYIDIN.

PENGENALAN

o Pemerintahan Khalifah al-Rasyidin bermula setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, iaitu pada tahun
632M dan berlanjutan sehingga tahun 661 M. Dalam tempoh ini, kerajaan Islam yang berpusat di Madinah
diperintah oleh empat orang khalifah, iaitu Khalifah Abu bakar al-Siddiq, Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah
Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib.
o Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, masyarakat Islam berpecah-belah kerana ingin memegang
jawatan khalifah sebagai pemimpin negara dan umat Islam.
o Masalah ini dapat diselesaikan oleh Saidina Abu Bakar. Ketokohan beliau mendorong masyarakat Islam
Islam memilih beliau sebagai khalifah yang pertama.

ISI

A Konsep khalifah

-maksud khalifah

o Menurut Mahayuddin Hj. Yahya dalam buku Tamadun Islam menyatakan perkataan khalifah berasal dari
perkataan khulafa, iaitu pengganti.
o Khalifah ialah satu jawatan untuk menggantikan Nabi Muhammad SAW selepas kewafatan baginda.
o Khalifah merupakan pemimpin negara yang menguruskan pemerintahan dan pentadbiran. Tugas dan
tanggungjawab khalifah sama seperti seorang rasul tetapi tidak menerima wahyu. Tugas khalifah ialah
memelihara dan menegakkan agama Islam serta mentadbir dunia selaras dengan hukum syarak. Pelaksanaan
institusi pemerintahan oleh khalifah mestilah berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis.
-kriteria pemilihan khalifah
o Sebagai seorang pemimpin negara, khalifah mestilah memiliki ilmu agama dan ilmu duniawi supaya dapat
membuat satu hukum atau keputusan yang tepat.
o Khalifah mestilah mempunyai unsur keadilan dalam semua aspek dengan berpaksikan al-Quran dan sunah.
o Seorang khalifah juga mestilah mempunyai kredibiliti dan keupayaan sebagai pemimpin. Beliau perlu
mempunyai pancaindera dan fizikal yang sempurna. Status dan personaliti tokoh juga diambil kira.

B Kaedah pemilihan khalifah

-kaedah pemilihan khalifah terbahagi kepada dua iaitu syura dan baiah.

1 Perundingan beramai-ramai

o Kaedah pertama ialah perundingan beramai-ramai atau lebih dikenali sebagai musyawarah.
o Nabi Muhammad s.a.w. tidak meninggalkan sebarang wasiat mahupun pesanan tentang calon pengganti
sebelum baginda wafat. Baginda memberi kebebasan kepada umat Islam memilih calon khalifah sendiri bagi
meneruskan pemerintahan negara Islam. Oleh itu, umat Islam telah mengadakan rundingan dan persetujuan
tanpa menetapkan calon terlebih dahulu.
o Cth, Berpandukan pelantikan Saidina Abu Bakar al Siddiq yang pernah mengimamkan sembahyang sewaktu
Nabi Muhammad s.a.w. sedang uzur, para sahabat seolah-olah dapat meneka calon khalifah yang pertama.
Kaum Muhajirin dan Ansar telah mewakili umat Islam berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk berbincang
dan melantik khalifah. Bagi mengelak perselisihan antara Muhajirin dan Ansar, Saidina Abu bakar al Siddiq
mencalonkan Saidina Umar al Khattab mewakili Muhajirin dan Abu Ubaidah mewakili Ansar sebagai


khalifah. Namun, kedua-duanya menarik diri malah mereka mencalonkan Saidina Abu Bakar al Siddiq
sebagai khalifah.
o Akhirnya, Saidina Abu Bakar al Siddiq telah dibaiah dalam syura sebagai khalifah pertama
o Pemilihan khalifah pertama secara Baiah atau sumpah setia merupakan perlantikan yang mendapat
persetujuan orang ramai. Pemilihan secara terbuka di Saqifah Bani Saidah, perbincangan berhemah serta
menerima masyarakat Madinah yang terdiri daripada golongan Ansar, Muhajirin dan Yahudi menunjukkan
nilai-nilai demokrasi subur dalam pemilihan khalifah yang pertamaaa malah perlantikan baginda turut dibaiah
oleh masyarakat Madinah..

2 Mengusul atau mencadangkan seorang calon

o Kaedah kedua ialah mengusul atau mencadangkan seorang calon.
o Khalifah sebelumnya mengusulkan nama calon dan akan dibawa ke musyawarah dalam Majlis Syura dan
dibaiah umat Islam. Cara ini digunakan dalam proses pelantikan khalifah kedua iaitu Khalifah Umar al
Khattab.
o Cth, bagi mengelakkan berulang kembali Gerakan Al Riddah, Khalifah Abu Bakar al Siddiq yang sedang
gering telah mencalonkan Saidina Umar al Khattab sebagai penggantinya. Pencalonan ini telah dipersetujui
umat Islam dan setelah bermusyawarah bersama para sahabat dan ahli lembaga Majlis Syura, Saidina Umar al
Khattab telah dibaiah oleh umat Islam tanpa bantahan.
o Pemilihan secara wasiat memang dianjurkan Islam. Dalam pemilihan khalifah kedua ini, kriteria pemilihan
khalifah yang diutamakan adalah berdasrkan ketokohan,kebolehan ,berhikmah, bijaksana, bertakwa dan ciri-
ciri lain yang terdapat dalam Al-Quran. Malah perlantikan Umar bin Al-Khattab mendapat persetujuan
sebulat suara ahli syura dan kemudian rakyat secara sukarela telah member i baiah atau taat setia kepadanya.
o Cara ini bukan berasaskan keturunan atau warisan.

3 Mengusulkan beberapa orang calon

o Kaedah seterusnya ialah mengusulkan beberapa orang calon.
o Khalifah terdahulu akan mencadangkan nama beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat untuk
dipilih salah seorang daripada mereka. Pemilihan dan perlantikan khalifah melalui Majlis Perlantikan
Khalifah. Khalifah Umar bin Al-Khattab telah menubuhkan majlis Perlantikan Khalifah bertujuan bagi
mencari pengganti Khalifah Ketiga. Majlis ini dianggotai oleh Abdul Rahman bin auf sebagai ketua dan ahli
majlis yang lain.Jawatankuas ini telah menemuramah setiap calon dan mendapat pandangan masyarakat
Madinah sebelum membuat pemilihan dan perlantikan. Cara perlantikan ini menunjukkan demokrasi
dipraktikkan dalam pemilihan dan perlantikan khalifah.
o Cth, Khalifah Umar al Khattab yang sedang tenat akibat tikaman seorang keturunan hamba Parsi telah
menyebut nama Saidina Uthman bin affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin
Ubaidillah, Zubair al Awwam dan saad bin Abu Waqas. Puteranya sendiri iaitu Abdullah bin Umar al Khattab
tidak dicalonkan. Musyawarah diadakan di rumah Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan tiga hari selepas
kewafatan Khalifah Umar al Khattab, Abdul Rahman bin Auf dipilih mempengerusikan musyawarah memilih
pengganti khalifah. Undian telah dibuat dan akhirnya Saidina Uthman bin Affan mendapat kelebihan undi
setelah empat orang calon menarik diri. Khalifah Uthman bin Affan memerintah sebagai khalifah ketiga dalam
Khulafa al Rasyidin.

4 Pengusulan oleh sekumpulan masyarakat

o Kaedah terakhir yang digunakan ialah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat.
o Setelah kewafatan Khalifah Uthman bin Affan pada 656M, berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam
untuk menentukan bakal khalifah seterusnya. Madinah ketika ini dikuasai pemberontak.
o Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali bin Abu Talib sebagai pengganti khalifah sedangkan penduduk
Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah manakala penduduk Kufah mencadangkan Zubair al Awwam.


o Musyawarah terpaksa diadakan dan keputusannya Saidina Ali bin Abi Talib dibaiah sebagai khalifah.
Walaupun pada awalnya beliau menolak pelantikan itu, namun atas desakan para sahabat, akhirnya beliau
menerima cadangan itu.
o Pemilihan dan perlantikan khalifah Ali bin Abi Talib memang demokratik kerana beliau memenuhi kriteria
dan keadaan darurat tersebut.Malah beliau juga mendapat sokongan penduduk Hijaz, Basrah dan
Kufah.Anggota Majlis Syura juga tidak menentang pemilihan tersebut.


KESIMPULAN

Pelantikan khalifah pada zaman ini menunjukkan amalan demokrasi. Pemilihan dibuat dalam Majlis
Syura dan kemudian dibaiahkan oleh umat Islam. Pada zaman kerajaan Bani Umaiyah sistem ini diubah dan
jawatan khalifah menjadi warisan Bani Umaiyah.










































SOALAN 3 :

USAHA-USAHA KHALIFAH UMAR AL KHATTAB TELAH DIANGGAP BERJAYA
MEMBANGUNKAN NEGARA ISLAM MADINAH DALAM SEMUA ASPEK. BINCANGKAN.

A. PENDAHULUAN

1. Nama sebenar beliau ialah Umar bin al Khattab bin Naufal daripada keturunan Bani Adi. Dlahirkan pada 584
M dan meninggal dunia pada 644M. Beliau menjadi khalifah setelah dicalonkan oleh khalifah Abu Bakar
dengan persetujuan para sahabat
2. Selama 10 tahun menjadi khalifah , pelbagai usaha telah dilakukan sama ada dalam bidang
pentadbiran,ekonomi dan sosial sehingga pemerintahannya dianggap sebagai zaman kegemilangan kerajaan
dan umat Islam.


B. ISI

USAHA-USAHA KHALIFAH UMAR DALAM ASPEK PENTADBIRAN / POLITIK

1.Pentadbiran wilayah

Wilayah islam dibahagikan kepada beberapa bahagian dan melantik pegawai yang bertugas , iaitu gabenor,
setiausaha dan ketua-ketua jabatan. Pegawai yang dilantik diperiksa harta dan keperibadiannya untuk
mengelakkan berlaku korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Setiap tahun , pegawai itu akan datang ke Makkah
untuk membuat laporan.

2.Pentadbiran Tanah

Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera islam dibahagikan kepada dua jenis, iaitu :-
a) Tanah sawafi- tanah tidak bertuan yang ditadbir oleh pemegmg-pemegang amanah yang dilantik daripada
golongan ahl al-Ayyam, iaitu golongan peneroka. Tanah ini tidak bolehdijual beli atau dimiliki sesiapa bagi
mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat islam.
b) Tanah dhimmah- tanah bertuan yang ditadbir oleh pemiliknya.

3. Membentuk Majlis Syura

Majlis Syura ialah lembaga atau majlis perundangan Negara yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar al Khattab.
Tanggungjawab Majlis Syura ialah menentukan polisi Negara yang berkaitan dengan hubungan luar dan
pemerintahan Negara.
Majlis Syura membincangkan masalah tentang politik, sosial dan keselamatan.
Majlis Syura terbahagi kepada dua bahagian iaitu majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura am. Majlis Syura
Tertinggi dianggotai oleh Uthman bin Affan, Abdul Rahman Auf, Ali Abi Talib .

4. Mengasaskan al Diwan

Al Diwan merupakan daftar atau buku catatan untuk mencatatkan nama-nama tentera dan keluarga mereka
serta jumlah sara hidup masing-masing. Bayaran sara hidup dibuat berdasarkan jasa sesorang terhadap islam
terutama semasa proses perluasan wilayah.

5. Mengasaskan Takwin Hijrah.



Beliau menjadikan tahun Hijrah Rasulullah s.a.w ke Yathrib (Madinah) sebagai tarikh permulaan perkiraan
calendar bagi umat islam. Pengenalan takwin Hijrah memudahkan catatan peristiwa-peristiwa selepasnya.
Takwin ini memudahkan umat islam mengingati sesuatu peristiwa dan membuat catatan mengenainya.





USAHA-USAHA UMAR AL KHATTAB DALAM ASPEK EKONOMI

1. Penubuhan Baitulmal

untuk menguruskan harta kerajaan. Buku kira-kira turut disediakan untuk mengetahui jumlah kewangan
Negara. Sumber kewangan Negara daripada pungutan zakat, jizyah, kharaj, ghanimah. Usyur disimpan dalam
Baitulmal.

2. Memajukan bidang pertanian

Membina terusan dan tali air bagi meningkatkan hasil pertanian seperti Empangan Abu Musa dan Terusan
Amir al Mukminim di Mesir. Beliau juga mengubah system pungutan cukai yang dikenakan berdasarkan
kesuburan tanah dan jenis tanaman.Peraturan yang tidak adil dan membebankan petani dimansuhkan.


USAHA-USAHA UMAR AL KHATTAB DALAM ASPEK SOSIAL

1.Memperkembangkan pelajaran al-Quran

Menyediakan guru-guru untuk mengajarkan al quran. Guru-guru dihantar ke merata-rata tempat dengan
ganjaran gaji lumayan. Di peringkat wilayah, sekolah-sekolah telah ditubuhkan di masjid-masjid untuk
mengajarkan pelajaran al quran. Golongan yang menghafaz seluruh kandungan al qurqn akan diberi ganjaran.
Umat islam juga diwajibkan menghafaz surah-surah yang tertentu.

2.Memperbaharui taraf dan kedudukan golongan hamba-dalam hal-hal tertentu , taraf golongan hamba
akan disamakan dengan tuannya. Bagi menjaga kepentingan social, iaitu tarf da kedudukan golongn hamba
dalam masyarakat, satu perubahaan telah diadakan. Hamba tidak boleh ditindas manakala hamba yang
mempunyai keluarga dilarang daripada dipisah-pisahkan.


C . KESIMPULAN

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh khalifah Umar Al Khattab sepanjang pemerintahannya selama 10
tahun. Kejayaan yang dicapai oleh Khalifah umar al Khattab ekoran kewujudan iklim politik yang stabil.,
terutamanya musuh-musuh kerajaan islam seperti Rom dan Parsi telah berjaya dilemahkan disamping
sokongan rakyat termasuk dalam kalangan bukan islam disebabkan keadilan dan prinsip terbuka dalam
melaksanakan amanah yang diberikan.










SOALAN 4:

HURAIKAN PENGERTIAN JIHAD MENURUT PANDANGAN ISLAM DAN JELASKAN
STRATEGI PEPERANGAN DALAM ISLAM

Pendahuluan

- Dalam Islam, peperangan adalah bertujuan untuk mempertahankan maruah diri, agama dan negara.
- Orang Islam memulakan peperangan setelah mendapat keizinan dari Allah SWT sebagaimana yang terdapat
dalam surah al-Haj, ayat ke 39 yang menjelaskan bahawa peperangan diizinkan jika mereka diperangi dan
dianiaya terlebih dahulu.
- Tentera Islam telah terlibat dalam beberapa siri peperangan dalam menjamin kesejahteraan umat dan
kebahagian manusia sejagat seperti perang Badar, perang Uhud dan sebagainya.

Isi-isi Penting

- Jihad merupakan kewajipan yang digalakkan secara berulangkali di dalam al-Quran dan Sunnah.
- Jihad merupakan jalan yang digunakan oleh Rasulullah untuk meningkatkan ajaran Islam.

- Jihad adalah satu pengorbanan seorang muslim untuk menegakkan agama Allah SWT dan orang yang mati
dalam jihad adalah mati syahid.
- Dalam sejarah Islam, jihad mengangkat senjata mula diwajibkan pada tahun pertama Hijrah.
- Ketika berlakunya peperangan, tentera Islam memiliki beberapa strategi bagi menghadapi musuh.
- Antaranya ialah taktik menunggu.
- Dalam peperangan Badar, tentera Islam menunggu tentera musuh datang menghampiri mereka dan mula
menyerang secara spontan.
- Tentera Islam telah disusun mengikut saf dan telah berjaya membuatkan barisan tentera musuh kucar-kacir.
- Taktik bertahan juga telah digunakan dalam peperangan al-Khandak.
- Tentera Islam membina parit untuk dijadikan benteng pertahanan.
- Taktik ini telah berjaya melemahkan pihak musuh dan akhirnya mereka terpaksa berundur.
- Tentera Islam juga menggunakan taktik mengepung dan melancarkan serangan bertubi-tubi.
- Dalam peperangan di Taif, tetera Islam mengepung dan menyebabkan pihak musuh menjadi lemah, lalu
dilancarkan serangan secara bertubi-tubi sehinnga pihak musuh tidak sempat bersedia.
- Tentera Islam juga menggunakan taktik tidak mengejar musuh yang lari meninggalkan medan peperangan
- Ini kerana Islam adalah agama yang tidak bersifat agresif.
- Perbuatan mengejar musuh dari belakang boleh menjejaskan kedudukan pertahanan Islam dan mungkin ini
adalah tipu muslihat musuh.
- Tentera Islam juga telah menggunakan kaedah perisikan melalui penubuhan Jabatan Perisik.
- Taktik ini sangat penting bagi mengetahui rahsia-rahsia pihak musuh.
- Pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan, beliau telah menyediakan peta-peta bagi negeri
yang hendak diserang.
- Bagi memudahkan bantuan lojistik, tentera Islam menubuhkan bandar tentera seperti Kufah, Syria dan lain-
lain untuk dijadikan pusat pentadbiran bagi mempertahankan wilayah-wilayah yang sudah ditakluki.

Kesimpulan

- Jelas sekali bahawa peperangan dalam Islam adalah jalan terakhir setelah kaedah diplomatik gagal
dilaksanakan.
- Islam telah mengariskan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh tentera Islam semasa berlakunya
peperangan.
- Dalam peperangan, tentera Islam banyak mencapai kemenangan kerana mereka berjaya menyusun strategi
dan taktik peperangan dengan baik dan teratur.



1
SOALAN 5:

HURAIKAN KEPENTINGAN PIAGAM MADINAH KEPADA MASYARAKAT ISLAM DI
MADINAH SEMASA ZAMAN NABI MUHAMMAD SAW.

A. PENDAHULUAN

1. Pada ketibaan Nabi Muhammad SAW di Madinah, terdapat dua golongan penduduk yang terbesar, iaitu orang
Arab dan Yahudi. Orang Arab Islam Madinah (Aus dan Khazraj) dikenali sebagai golongan Ansar. Orang
Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula dikenali sebagai golongan Muhajirin.

2. Golongan Ansar (Aus dan Khazraj) sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman-berzaman.
Golongan Muhajirin pula susah kerana mereka meninggalkan kampung halaman mereka. Kaum Yahudi pula
sentiasa bersikap bermusuhan, menghasut dan mengkhianati Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya. Orang-
orang munafik menjadi musuh dalam selimut. Pada masa yang sama, orang musyrikin Quraisy di Makkah
sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam.

3. Bagi mententeramkan keadaan gawat di Madinah, Nabi Muhammad SAW membuat perjanjian dengan
seluruh penduduk Madinah dan menulis satu piagam bertulis pertama di dunia yang dikenali sebagai Piagam
Madinah atau Sahifah Madinah.

B. ISI

a) Kandungan Piagam Madinah

Piagam Madinah terdiri daripada 47 fasal dan terbahagi kepada lima bahagian secara umumnya.Fasal
1 pengenalan kepada piagam dan mengakui tentang keesaan Allah SWT danRasul-Nya. Fasal 2 hingga 11
menerangkan tentang kedudukan kaum-kaum dalam negara Islam Madinah.
Fasal 12 hingga 23 menerangkan kewajipan umat Islam dari segi tenggungjawab sesama sendiri dan
perkara-perkara yang patut dilakukan serta perkara yang perlu ditinggalkan. Fasal 24 hingga 38 menyebut
tentang kedudukan kaum Yahudi dalam negara Islam Madinah. Fasal 39 hingga 47 menerangkan tentang
kedudukan Yathrib.

b) Kepentingan Piagam Madinah

i. Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pemerintah tertinggi dan unggul.

Baginda merupakan seorang negarawan yang unggul dan berperanan sebagai pemimpin bagi kerajaan
Madinah yang memiliki masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama. Masyarakat Madinah menerima
baginda sebagai ketua negara Madinah.
Baginda memberi tumpuan terhadap aspek akidah dan juga aspek duniawi dalam pemerintahannya.
Piagam Madinah meletakkan baginda sebagai ketua kerajaan dan hakim yang tinggi dan unggul.
Sebagai ketua hakim, baginda menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Madinah seperti
perselisihan kaum berdasarkan hukum Allah SWT dan keputusan baginda. Masalah ini juga diselesaikan
dengan adil dan bermusyawarah.
Baginda juga mewujudkan institusi kehakiman dan keadilan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

ii. Mewujudkan rasa tanggungjawab mempertahankan Madinah.

Semangat Piagam Madinah telah mendorong masyarakat Madinah yang terdiri daripada umat Islam dan
bukan Islam bersama-sama mempertahankan kerajaan Madinah daripada serangan musuh.


Masyarakat Madinah dilarang menjalinkan hubungan dengan musuh-musuh Islam yang menentang kerajaan
Islam Madinah.
Untuk mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan sebarang permusuhan antara masyarakat Madinah,
semangat cintakan negara dipupuk. Oleh itu, semangat ini dapat mengelakkan musuh Islam mengambil
kesempatan menawan Madinah.
Kaum Yahudi dianggap sebagai warganegara Madinah seperti masyarakat Islam selagi mereka melaksanakan
tanggungjawab mereka menurut Piagam Madinah.

iii. Mewujudkan perpaduan umat Islam.

Masyarakat Islam Madinah terdiri daripada dua kumpulan, iaitu golongan Ansar dan Muhajirin.
Penekanan berkaitan dengan kerjasama dan bersatu padu antara masyarakat ini terdapat dalam Piagam
Madinah.
Selain daripada masyarakat Islam, piagam ini juga merangkumi kedudukan kaum-kaum lain yang terdapat di
Madinah seperti kaum Yahudi, Aus, Khazraj, Quraisy, Parsi dan Habsyi.
Tuntutan terhadap hidup bersatu padu dan persaudaraan Islam dalam masyarakat Madinah dilaksanakan
dengan mendidik masyarakat menjadi anggota masyarakat atau ummah yang kuat tanpa mengira kaum,
keturunan dan tempat tinggal.
Hal ini dapat mengelakkan perpecahan antara masyarakat Madinah. Jika berlaku perpecahan ini, musuh Islam
boleh mengambil kesempatan untuk menawan Madinah.
Persaudaraan Islam dapat mewujudkan masyarakat Islam yang tulen berlandaskan akidah dan keimanan
kepada Allah SWT. Persaudaraan inilah yang akan mewujudkan kerjasama antara masyarakat serta cintakan
kedamaian dalam kehidupan.

iv. Penekanan terhadap musyawarah dalam pemerintahan.

Piagam Madinah mengamalkan prinsip musyawarah yang berlandaskan keadilan dalam pemerintahan. Semua
kaum diberikan hak menyuarakan masalah kaum masing-masing.
Penduduk Madinah juga diberi hak menyuarakan pandangan terhadap pemimpin. Hal ini dapat mengeratkan
lagi hubungan antara rakyat dengan pemerintah.

v. Mewujudkan keadilan dan persamaan terhadap masyarakat Madinah.

Untuk mengelakkan jurang perbezaan dan penindasan berlaku dalam masyarakat Madinah, Piagam Madinah
telah menetapkan persamaan antara semua penduduk tanpa mengira keturunan, bangsa dan kedudukan seperti
antara pemerintah dengan yang diperintah.
Kekayaan dibahagikan sama rata antara masyarakat untuk mengelakkan penindasan golongan kaya ke atas
golongan miskin.
Setiap masyarakat juga bertanggungjawab untuk melaksanakan keadilan berlandaskan ajaran Islam agar
mereka sentiasa hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
Keadilan yang dilaksanakan berdasarkan syariat Islam ini memberi hak dan kebaikan kepada mereka. Hal ini
juga dapat menghalang sebarang keburukan berlaku ke atas masyarakat tersebut.
Piagam Madinah telah menetapkan masyarakat Madinah tidak boleh bersikap zalim seperti menindas
golongan yang lemah. Mereka perlu memiliki sikap tolong-menolong antara satu sama lain.

vi. Kedudukan kaum Yahudi.

Masyarakat Yahudi diberi kebebasan untuk mengamalkan agama, adat dan budaya mereka. Namun demikian,
mereka tidak boleh memaksa penduduk Madinah untuk menganut agama mereka. Masyarakat Yahudi juga
dilarang menindas kaum atau golongan yang lemah. Keselamatan kaum Yahudi dijamin melalui Piagam
Madinah selagi mereka mematuhi piagam tersebut.




vii. Kebebasan beragama.

Piagam Madinah memberi kebebasan beragama terhadap kaum Yahudi dan penganut agama lain. Kebebasan
ini diberikan kerana :
- Islam menghormati kebebasan beragama, iaitu tiada paksaan dalam kepercayaan setiap individu.
- Menghindarkan permusuhan antara masyarakat.
- Mengelakkan kaum Yahudi daripada menyebarkan agama mereka di Madinah.

viii. Pembinaan sebuah kerajaan Islam yang kuat.

Untuk membentuk sebuah kerajaan Islam yang kuat, masyarakat Madinah bebas membincangkan hal politik
dan pentadbiran.
Piagam Madinah memberi kesedaran kepada masyarakat Madinah bahawa mereka merupakan masyarakat
yang utuh dan bersatu padu. Piagam ini juga menyatakan bahawa kerajaan Madinah adalah hak milik mereka
bersama.
Oleh itu, masyarakat Madinah bertanggungjawab mempertahankan kerajaan ini daripada ancaman musuh.
Hak dan tanggungjawab penduduk Madinah diakui dalam Piagam Madinah tanpa mengira agama mereka.
Penduduk Madinah yang beragama Islam dan bukan Islam mempunyai hak yang sama untuk memperoleh
perlindungan, keselamatan dan

ix. Kebebasan masyarakat Madinah.

Penindasan ke atas golongan yang lemah seperti yang biasa dilakukan oleh kaum Yahudi adalah dilarang
kerana Piagam Madinah menjamin kebebasan hak asasi yang sama rata untuk setiap penduduk. Hal ini dapat
menjamin keharmonian hidup masyarakat Madinah.
Kebebasan hak asasi ini meliputi kebebasan beragama, beramal, bekerja, bersuara dan sebagainya selagi tidak
bertentangan dengan ajaran Islam kerana kebebasan yang tiada batas akan mewujudkan kezaliman yang boleh
memecahbelahkan perpaduan ummah sesebuah kerajaan.

x. Menyatupadukan penduduk Madinah.

Masyarakat Madinah khususnya umat Islam dapat disatukan menerusi Piagam Madinah.
Piagam ini juga menitikberatkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam
seperti saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan sebagainya.
Melalui Piagam Madinah ini dapat dirumuskan bahawa masyarakat Madinah yang dahulunya mengamalkan
tradisi jahiliah seperti mementingkan diri sendiri dan kaum masing-masing telah berubah dengan menerapkan
nilai-nilai persudaraan Islam.


C. KESIMPULAN:

1. Dengan tergubalnya Piagam Madinah, lahirlah sebuah negara Islam pertama di Madinah.
2. Piagam Madinah boleh dijadikan asas kepada mana-mana piagam negara Islam yang baharu, terutama sekali
kepada sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa.






17.