Anda di halaman 1dari 1

Pendidikan teknikal dan vokasional merupakan komponen yang tidak kurang pentingnya dalam

sistem pendidikan negara, malah peranannya juga dalam meningkatkan kemajuan negara.
Kepentingannya menjadi semakin agak mendesak dan mencemaskan apabila didapati penglibatan
khusus generasi muda Islam dalam bidang ini agak ketinggalan berbanding bangsa lain. Dan
dikhuatiri fenomena ini akan mendatangkan polemik dalam negara dan mungkin juga polarisasi
perkauman jika terus dibiarkan berlaku. Para pemimpin negara kita amat menyedari perkara ini dan
seringkali menekankan betapa golongan muda sewajarnya menyahut seruan mereka dengan
menunjukkan minat dalam bidang-bidang berkaitan teknikal, memilih kursus-kursus berkaitan teknikal
di institut latihan kemahiran dan pusat-pusat pengajian tinggi, seterusnya menceburi bidang
keusahawanan dan kerjaya dalam bidang tersebut. Tetapi hakikatnya agak menyedihkan apabila
perkara yang sebaliknya pula terjadi.
Fenomena yang telah mengundang kebimbangan ini bukan semata-mata berpunca dari jumlah dan
bilangan terhad umat Islam yang meminati atau menceburi bidang ini, tetapi lebih daripada itu dan
jika dibiarkan, kesannya amat buruk terhadap kemajuan umat Islam sendiri. Permasalahan utama
yang menutupi minda mereka untuk meninjau peluang baru dunia dan kerjaya teknikal adalah
anggapan di kalangan segelintir mereka bahawa bidang teknikal dan vokasional merupakan kerjaya
kelas dua dan lantaran itu masyarakat memandang profesion ini dengan sebelah mata sahaja.
Bidang ini tidak menjanjikan apa-apa yang menarik, sama ada dari segi pendapatan dan martabat
sosialnya dalam masyarakat melainkan satu kerjaya yang hanya berjemur di tengah panas terik
ataupun di kilang-kilang. Perkara seperti ini tidak dialami oleh mereka yang memilih bidang akademik.
Mereka yang lebih dikenali sebagai 'ahli profesional kolar putih' dipandang tinggi dan mempunyai
status sosial yang agak mulia dalam masyarakat kerana mempunyai pendapatan yang lumayan serta
bekerja dalam pejabat yang selesa dan berhawa dingin pula. Walaupun tanggapan ini tidak sehebat
seperti pada 20 tahun yang lalu ketika ekonomi negara masih bergantung kepada sektor pertanian,
tetapi mental block ini turut memberi kesan terhadap peranan dan sumbangan umat Islam di bidang
teknikal dan kesannya sedang dirasakan kini.