Anda di halaman 1dari 20

X PENGENALAN

Bengkel merupakan tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran


(P&P) sama ada dalam bentuk teori atau latihan praktis, di mana pelajar akan
mempraktikkan teori yang dipelajari ke dalam bentuk amali. Di dalam setiap
bengkel, terdapat peraturan-peraturan dan langkah-langkah keselamatan yang
tertentu yang mesti dipatuhi demi menjamin proses pembelajaran dapat berlaku
dengan efisyen. Oleh yang demikian, amalan pengurusan bengkel yang baik dan
sistematik perlu sentiasa dilaksanakan, diselia dan ditambahbaikkan mengikut
keperluan kerja di bengkel. Bengkel yang diurus dengan baik akan memberikan
persekitaran yang kondusif dan selamat.

T
T
o
o
p
p
i
i
k
k

3
3

X
Amalan
Pengurusan
Bengkel

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menyatakan kepentingan pengurusan bengkel;
2. Mengenal pasti kaedah-kaedah dan amalan penyusunan serta
penyimpanan alatan;
3. Merancang reka bentuk bengkel yang sesuai; dan
4. Membincangkan faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam
perancangan reka bentuk bengkel.
HASIL PEMBELAJARAN
X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
56

PENGURUSAN BENGKEL
Kamus Dewan (2002), mentakrifkan pengurusan sebagai perihal (kerja dan
sebagainya) mengurus sesuatu seperti syarikat, badan perniagaan dan lain-lain.
Bengkel pula dalam skop ini, ditakrif sebagai kilang kecil iaitu tempat tukang-
tukang bekerja. Oleh yang demikian, pengurusan bengkel bolehlah dijelaskan
sebagai satu proses sosial yang sistematik, merangkumi perancangan, kawalan
dan penyelarasan berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara
berkesan dan ekonomi terhadap pekerja yang bekerja pada suatu tempat/ruang
yang telah disediakan. Ia merupakan satu proses pengintegrasian sumber
organisasi iaitu manusia, bahan dan alatan.
3.1.1 Kepentingan Pengurusan Bengkel
Demi mewujudkan satu sistem pengurusan bengkel yang efisyen dan berterusan,
beberapa kepentingan dan keperluan perlu dipenuhi seperti berikut:

(a) Mengelakkan berlakunya pembaziran masa, tenaga dan wang
Menguruskan sesebuah bengkel memerlukan masa yang banyak, panjang
serta berterusan. Pengurusan yang baik dan sistematik akan dapat
mengurangkan masa yang terbuang dan seterusnya menjimatkan
penggunaan tenaga. Melengkapkan sesebuah bengkel juga memerlukan
kelengkapan dan peralatan/mesin yang banyak. Sekiranya semua itu dapat
diurus dan diselia dengan efisyen, maka tentunya akan menjimatkan kos.
Antara yang perlu diambil perhatian ialah:
(i) Merancang ruang pengajaran dan pembelajaran supaya dapat
dijalankan dengan baik;
(ii) Penyelenggaraan alatan, mesin dan kelengkapan lain dengan sistem
rekod dan inventori; dan
(iii) Penstoran dan penyimpanan peralatan/mesin mudah alih.

3.1
Dengan ringkas, nyatakan tiga jenis bengkel yang anda tahu serta
jelaskan fungsinya.
SEMAK KENDIRI 3.1
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
57
(b) Penjagaan dan kawalan keselamatan
Pengurusan bengkel yang baik dan kemas secara langsung akan dapat
mengawal dan mengelakkan dari berlaku kemalangan. Amalan kerja yang
betul di samping menggunakan alatan/mesin yang tepat tentunya akan
dapat mengelak atau sekurang-kurangnya mengurangkan risiko
kemalangan. Keseluruhan ahli bengkel, sama ada penyelia/guru atau
pelajar adalah sama-sama bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan
di bengkel.

(c) Mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif
Selain daripada penyediaan ruang pengajaran dan pembelajaran yang baik,
semua bahan dan alatan/mesin yang berkaitan termasuk bahan bantu
mengajar mestilah disediakan sepenuhnya. Kesemua itu perlu terutama
semasa membuat perancangan pembelian setiap akhir tahun.

(d) Menghasilkan produk yang berkualiti
Amalan keselamatan bengkel, penyelenggaraan alatan/mesin serta
pengajaran dan pembelajaran yang kondusif adalah sangat perlu diurus
dengan baik bagi menghasilkan mutu kerja yang berkualiti. Secara jelas, jika
alatan/mesin tidak diselenggara dengan baik tentunya produk yang
dihasilkan tidak seperti yang dikehendaki. Contohnya pahat yang tumpul
tentu tidak akan dapat menghasilkan tanggam yang tepat.

(e) Menjadi contoh kepada institusi lain
Jika semua yang di atas dapat diurus dengan efisyen, ia akan menjadi
kebanggaan institusi berkenaan. Nazir atau pemantau yang datang akan
memberikan komen yang terbaik dan tentunya akan menjadi contoh
kepada lain-lain institusi/sekolah. Ini adalah penting kerana setiap
anugerah atau pengiktirafan daripada pihak yang bertanggungjawab akan
menambahkan lagi semangat dan azam keseluruhan ahli bengkel untuk
mengekal dan menambah baik sistem pengurusan bengkel yang sedia ada.
3.1.2 Pengurusan Ruang Kerja
Perancangan penyediaan bengkel merupakan suatu kerja yang agak kompleks.
Perincian banyak faktor yang terlibat perlu diambil kira dengan sebaik mungkin.
Ini bagi memastikan bengkel tersebut memenuhi segala ciri-ciri keperluan
semasa dan masa hadapan. Penyediaan pelan lantai yang baik adalah penting
bagi menyediakan setiap ruang dapat dipenuhi dengan berkesan.

X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
58
Perancangan Ruang dan Kawasan Kerja
Perancangan ruang di dalam bengkel adalah berbeza mengikut bidang
pembelajaran yang akan dijalankan. Ruang bengkel yang baik akan
memudahkan penyeliaan dan pergerakan. Kawasan kerja pula adalah keluasan
ruang yang diperlukan bagi pekerja/pelajar untuk mengendalikan mesin/alatan
dengan selesa dan selamat. Kawasan juga melibatkan penempatan mesin-mesin,
penstoran, laluan untuk bekerja, penempatan kit kecemasan dan alat pemadam
api dan juga kawasan untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.

Sebelum merancang pelan lantai bengkel, pelukis pelan perlu mengenal pasti
jenis ruang dan kawasan yang diperlukan oleh bengkel tersebut berdasarkan
jenis pembelajaran yang akan dilaksanakan. Ini adalah sangat penting bagi
memastikan luas ruang dan kawasan yang disediakan sesuai dengan kerja atau
fungsinya. Dalam membuat perancangan tersebut, beberapa garis panduan asas
boleh diambil kira seperti berikut:

(a) Ruang pengajaran dan pembelajaran secara teori
Ruang ini sebaiknya berasingan dari kawasan kerja. Ini untuk mengelakkan
kemalangan dan kebisingan. Jika ruang tersebut berhampiran dengan
kawasan kerja, maka perlu ditetapkan masa bekerja dan kelas teori tidak
boleh berjalan serentak.

(b) Ruang alatan dan bahan
Bagi memudahkan penyelenggaraan dan kawalan, biasanya terletak
berhampiran dengan bilik guru. Namun demikian tidak sesuai jika
berjauhan dengan tempat kerja. Kabinet yang sesuai juga boleh digunakan
bagi penyimpanan alatan/mesin yang sesuai. Susun atur alatan dan mesin
yang kemas dan penjagaan kebersihan yang baik akan dapat meningkatkan
mutu kerja yang lebih berkualiti (sila lihat Rajah 3.1).


Rajah 3.1: Susun atur bengkel yang kemas dan bersih
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
59
(c) Ruang Kerja
Ruang kerja (sila rujuk Rajah 3.2), merupakan ruang pelajar/pekerja
menjalankan aktiviti amali. Di hadapan ruang kerja, sebaik-baiknya
disediakan satu ruang tunjuk cara. Bagi kerja-kerja kemasan atau
penyudahan, perlu ada satu ruang khas mengikut kesesuaian kerja. Ruang
mesin pula sebaiknya disusun mengikut proses kerja. Ruang antara mesin
mestilah mencukupi dengan kadar kerja. Contohnya, mesin ketam kayu,
perlu ada satu ruang yang mencukupi bagi kayu yang panjang untuk
masuk dan keluar dari mesin.


Rajah 3.2: Ruang kerja

(d) Ruang simpanan barang pelajar/pekerja
Satu ruang di luar bengkel perlu disediakan bagi menyimpan barang-
barang pelajar seperti beg dan lain-lain. Ini boleh mengelakkan banyak
perkara yang tidak diingini seperti kesesakan dan juga kecurian alatan di
bengkel.
3.1.3 Penyusunan atau Penyimpanan Alatan dan
Bahan
Alatan dan bahan di bengkel adalah berbeza mengikut jenis pembelajaran yang
akan dilaksanakan. Guru atau penyelia dalam bidang berkenaan perlu mahir
tentang fungsi dan langkah kerja bagi setiap alatan/mesin kerana jika kaedah
penyimpanan dan penyusunan alatan/mesin tidak sesuai, akan meyebabkan
gangguan kerja dan boleh mendatangkan bahaya. Alatan dan bahan yang
berlainan perlu kepada kaedah atau ruang penyimpanan yang berbeza.

X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
60
Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi penyusunan dan
penyimpanan alatan dan bahan di bengkel seperti yang dinyatakan di dalam
Rajah 3.3.


Rajah 3.3: Kaedah bagi penyusunan dan penyimpanan alatan dan bahan di bengkel

Mari kita bincang kaedah-kaedah tersebut dengan lebih mendalam.

(a) Panel Alatan
Panel alatan terdiri daripada panel umum, panel terbuka, panel tertutup,
panel kumpulan, panel bergerak dan panel pameran (sila rujuk Rajah 3.4).
Panel alatan akan memperlihatkan penyusunan alatan dengan kemas dan
menarik. Tempat panel ini mestilah diletakkan di tempat yang sesuai bagi
memudahkan pelajar mengambil dan menyimpan. Dengan penggunaan
panel, guru atau penyelia dapat memastikan dengan mudah alatan yang
digunakan pelajar telah disimpan atau tidak.

(i) Panel umum
Panel yang menempatkan beberapa alatan yang berbeza pada satu
panel. Rajah 3.4 dan 3.5 menunjukkan panel umum bagi bengkel kerja
kayu dan paip.

TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
61

Rajah 3.4: Panel umum bengkel kerja kayu


Rajah 3.5: Panel umum bengkel kerja paip

(ii) Panel terbuka
Panel terbuka biasanya penyediaan ruang untuk alatan sejenis sahaja
dan disusun atur dengan kemas. Lihat Rajah 3.6 dan 3.7.

X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
62

Rajah 3.6: Mata alat router yang disimpan dalam ruang panel terbuka


Rajah 3.7: Panel terbuka alatan dan bahan projek

(iii) Panel tertutup
Panel tertutup biasanya melibatkan alatan atau mesin yang terhad
atau memerlukan pengawalan penggunaannya (lihat Rajah 3.8).
Formen bengkel yang dilantik dalam kalangan pelajar boleh
dipertanggungjawabkan mengurus selia penggunaannya. Panel
tertutup biasanya dikunci.

TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
63

Rajah 3.8: Panel tertutup

(iv) Panel kumpulan
Panel kumpulan disediakan bagi kerja-kerja amali secara kumpulan.
Ketua setiap kumpulan biasanya bertanggung jawab mengawal selia
bagi memastikan semua alatan cukup dan dalam keadaan baik selepas
selesai kerja.

(v) Panel individu
Setiap pelajar atau pekerja mempunyai alatan asas mereka sendiri
(lihat Rajah 3.9 dan 3.10). Kaedah ini sangat baik kerana setiap orang
bertanggung jawab terhadap alatan masing-masing. Kaedah ini
memerlukan alatan yang banyak dan semestinya melibatkan kos yang
tinggi.


Rajah 3.9: Panel individu kerja kayu
X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
64

Rajah 3.10: Panel individu kerja enjin

(vi) Panel bergerak
Panel bergerak biasanya digunakan apabila bengkel mengalami
masalah ruang untuk menyimpan alatan secara tetap. Panel ini juga
bagi memudahkan alatan diletakkan berhampiran dengan kawasan
kerja. Panel bergerak amat sesuai bila kerja-kerja perlu dilakukan di
luar bengkel (lihat Rajah 3.11).


Rajah 3.11: Panel bergerak

(vii) Panel pameran
Panel pameran biasanya digunakan sebagai bahan bantu mengajar
seperti panel yang menunjukkan jenis-jenis alatan dan juga sebagai
panel konsep contohnya pemasangan sebuah enjin (sila lihat Rajah
3.12 dan 3.13).
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
65

Rajah 3.12: Panel ceraian sebuah enjin


Rajah 3.13: Panel lekapan dan pemasangan sistem perpaipan

(b) Stor Utama
Stor umum merupakan stor utama bagi sesebuah institusi. Stor ini
digunakan untuk menyimpan alatan untuk beberapa bengkel yang berbeza
pembelajarannya. Pembantu bengkel diperlukan bagi mengawal selia serta
merekodkan keluar masuk alatan.

(c) Stor Bahan
Stor bahan mestilah direka bentuk mengikut kesesuaian bahan yang
hendak disimpan (sila rujuk Rajah 3.14). Ini bagi memudahkan bahan
X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
66
disimpan atau dikeluarkan daripada stor. Penyusunan yang sistematik
diperlukan supaya tidak menyusahkan untuk mengambil bahan yang
terkedalam stor.


Rajah 3.14: Stor penyimpanan bahan kayu dan papan lapis



REKA BENTUK BENGKEL
Merancang bengkel merupakan satu proses yang sangat kompleks dan
memerlukan pakar dalam bidang berkenaan. Ini bagi memastikan bengkel yang
dibina memenuhi keperluan bidang pembelajaran contohnya pembinaan dan
susun atur bengkel kerja kayu jauh berbeza dengan susun atur bengkel kerja
enjin. Reka bentuk sesebuah bengkel mestilah mengambil kira beberapa faktor
utama iaitu:
(a) Pelan lantai;
(b) Kemudahan pengajaran;
3.2
1. Namakan jenis-jenis panel alatan serta fungsinya.

2. Senaraikan apakah alatan-alatan yang sesuai bagi setiap jenis
panel yang telah dinyatakan pada (1).
SEMAK KENDIRI 3.2
TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
67
(c) Faktor bunyi;
(d) Faktor pengcahayaan dan pengudaraan;
(e) Faktor warna;
(f) Sistem penstoran; dan
(g) Sistem pengangkutan dan kebersihan.
3.2.1 Pelan Lantai
Perancangan segala ruang dan susun atur di dalam bengkel mestilah bermula
dengan pelan lantai. Lakaran dan lukisan penyusunan perabot, mesin dan panel-
panel alatan akan dibuat pada pelan lantai sebelum diaplikasikan ke bengkel.

Terdapat tiga jenis pelan lantai bengkel yang dibuat mengikut kehendak kerja
dan proses bengkel seperti berikut:

(a) Pelan Lantai Proses
Pelan lantai proses merujuk kepada proses sesuatu kerja, mesin-mesin akan
dikumpul pada satu tempat untuk satu jenis kerja. Misalnya semua mesin
canai akan diletakkan pada satu ruang untuk kerja mencanai sahaja.
Bengkel jenis ini biasanya untuk pengeluaran yang besar di mana
sekumpulan pekerja akan bekerja untuk satu jenis kerja sahaja pada satu
ruang susunan mesin yang sama.

(b) Pelan Lantai Produk
Pelan lantai jenis ini bergantung pada pengeluaran produk tertentu, mesin-
mesin akan disusun atur mengikut langkah kerja yang diperlukan dari
mula hingga akhir pengeluaran produk. Jika satu aliran kerja memerlukan
proses mengetam, kemudian memotong dan seterusnya menebuk lubang,
maka mesin perlu disusun mengikut kesesuaian ruang seperti berikut:
(i) Mesin ketam bagi mengetam permukaan kayu;
(ii) Mesin gergaji lengan (radial arm saw) memotong kepada beberapa
bahagian yang dikehendaki; dan
(iii) Mesin gerudi menebuk lubang.

(c) Pelan Lantai Gabungan Proses dan Produk
Bengkel jenis ini menggabungkan kedua-dua ciri proses dan produk.
Penyusunan mesin-mesin dengan kaedah ini tidak menjurus kepada
produk atau proses yang tertentu sahaja.

X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
68
Rajah 3.15 dan 3.16 menunjukkan contoh pelan lantai bagi bengkel kerja
kayu dan bengkel kerja kimpalan.


Rajah 3.15: Pelan lantai susun atur bengkel kerja kayu

Bengkel yang dirancang dengan teliti susun atur alatan/mesin akan dapat
menimbulkan suasana kerja yang kondusif dan seterusnya akan dapat
menghasilkan produk yang berkualiti. Rajah 3.16 pula menunjukkan contoh
bengkel kimpalan yang menyediakan ruang pengajaran dan tunjuk cara. Bengkel
ini lebih menjurus kepada susun atur bengkel di sekolah.

TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
69

Rajah 3.16: Pelan lantai susun atur bengkel kimpalan
3.2.2 Kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran
Seperti mana dinyatakan di dalam Rajah 3.16, pelan lantai tersebut telah
menyediakan satu ruang yang sesuai untuk proses P&P dan tunjuk cara. Adalah
penting sebelum kerja-kerja amali dilaksanakan, pengajaran atau tunjuk cara
secara jelas tentang langkah-langkah kerja dan keselamatan perlu ditekankan
kepada pelajar.

Ruang P&P itu juga boleh juga dijadikan kelas teori, dengan syarat tiada kerja-
kerja amali dilakukan serentak dalam masa yang sama (sila lihat Rajah 3.17).


Rajah 3.17: Ruang P&P di bengkel jahitan
X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
70
3.2.3 Faktor Bunyi
Seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini, reka bentuk bengkel mestilah
sesuai dengan pembelajaran atau kerja yang hendak dibuat. Jika keperluan
bengkel yang kerjanya akan mengeluarkan bunyi yang kuat, maka bahan kalis
bunyi yang sesuai diperlukan. Penggunaan bahan kalis bunyi ini penting bagi
keselamatan pendengaran dan juga menjadikan suasana lebih kondusif. Kajian
telah menunjukkan bunyi bising yang berlebihan boleh mengurangkan tenaga
dan kecekapan manusia di samping akan menganggu pembelajaran lain.

Tahap kebisingan maksimum sesebuah bengkel mestilah dipastikan tidak
melebihi 150dB (desibel). Namun demikian, jika seseorang terdedah kepada
kebisingan pada tahap 90dB selama lapan jam berterusan, maka ini boleh
menyebabkan kehilangan pendengaran.
3.2.4 Faktor Pencahayaan dan Pengudaraan
Dalam merancang pembinaan bengkel yang efisyen, faktor pencahayaan dan
pengudaraan merupakan faktor penting yang perlu diambil kira. Pencahayaan
dan pengudaraan semula jadi boleh diwujudkan dengan membuka setiap
tingkap semasa proses pembelajaran atau kerja amali. Adalah menjadi perkara
wajib bagi penyelia/guru memastikan pelajar membuka semua tingkap dan
pintu sebelum memulakan pembelajaran atau amali. Pengudaraan yang baik
penting agar pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan kondusif
kerana sistem pengudaraan yang tidak baik akan menyebabkan gangguan
kesihatan dan ketidakselesaan.

Pengukuran mengikut skala nisbah antara keluasan tingkap dan keluasan lantai
adalah dicadangkan 5:1. Kedudukan tingkap juga mestilah sesuai bagi
membolehkan cahaya matahari dapat masuk dengan baik dan pengudaraan
boleh berlaku dengan lancar (sila lihat Rajah 3.18). Cahaya dalaman perlu
disediakan secukupnya selain cahaya matahari seperti yang dibincangkan.
Cahaya tambahan ini penting bagi meliputi segenap ruang pembelajaran. Lampu
kalimantang dan lampu limpah boleh digunakan.

TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
71

Rajah 3.18: Pencahayaan dan pengudaraan semulajadi
3.2.5 Faktor Warna
Penggunaan warna penting dalam persekitaran kerja terutama bagi membezakan
kawasan-kawasan tertentu. Seseorang perancang perlulah memahami teori
warna dan kod-kod warna keselamatan (theory of colour and safety colour code)
sebelum membuat keputusan menggunakan warna pada setiap ruang di dalam
bengkel. Warna-warna yang tepat perlu digunakan terutama pada bahagian-
bahagian mesin yang merbahaya dan penandaan kawasan-kawasan yang
berisiko tinggi. Beberapa contoh penggunaan warna boleh diambil kira seperti
berikut, sila rujuk Jadual 3.1.

Jadual 3.1: Contoh Penggunaan Warna
Warna-warna Penerangan
Merah Menunjukkan kawasan bahaya atau berisiko tinggi, alat pelindungan
kebakaran, bekas/tangki yang mengandungi bahan mudah terbakar
dan boleh juga menandakan berhenti atau untuk berhenti. Contohnya
memberhentikan pengaliran arus; suisnya boleh ditanda merah.
Kuning Menunjukkan sebagai amaran seperti kawasan licin dan sebagainya.
Hijau Menunjukkan kawasan selamat atau tempat letaknya kit keselamatan.
Ungu (Purple) Menunjukkan kawasan bahaya radiasi.

Beberapa contoh penggunaan warna boleh dilihat pada Rajah 3.19.

X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
72

Rajah 3.19: Penggunaan warna keselamatan
Sumber: http://green.kompasiana.com/polusi/2011/03/18/awas-ancaman-bahaya-
radiasi-nuklir/
http://www.synergysolusi.com/?page_id=280
3.2.6 Sistem Penstoran
Pengurusan stor kerajaan adalah berasaskan panduan perbendaharaan; tatacara
pengurusan stor dan Surat Pekeliling Bil. 12 Tahun 1995. Stor secara umumnya
didefinisikan sebagai tempat penerimaan, penstoran, pengeluaran dan
penyelenggaraan barang-barang. Tujuan utama penstoran ialah bagi memastikan
stok barang-barang sentiasa kedapatan apabila dikehendaki pelanggan. Ia juga
berfungsi untuk menyimpan barang dengan cara yang terbaik dengan memberi
perlindungan, penjagaan dan penyelenggaraan yang sewajarnya semasa dalam
simpanan.

Kawasan di mana stor ditempatkan hendaklah dititikberatkan supaya ia
mempunyai kemudahan pergerakan kenderaan, pemunggahan masuk dan
pengaliran keluar barang-barang.

Konsep stor yang dibincangkan di atas merupakan stor utama yang
menempatkan barang-barang atau alatan untuk keseluruhan jenis bengkel pada
sesebuah institusi. Pada setiap bengkel pula, terdapat sistem penstoran yang
tersendiri (mengikut bidang kursus) yang mana keluar-masuk alatan/mesin akan
berlaku pada setiap pembelajaran.

TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL W
73





Pengurusan bengkel yang baik sangat penting dan perlu menjadi satu
amalan.

Penyusunan dan penyimpanan alatan di bengkel boleh dibuat melalui
penggunaan panel alatan dan penstoran yang sesuai.

Terdapat tiga jenis reka bentuk pembinaan pelan lantai iaitu pelan lantai
proses, pelan lantai produk dan gabungan pelan lantai proses dan produk.

Faktor kemudahan ruang pengajaran dan pembelajaran, faktor bunyi, faktor
pencahayaan dan pengudaraan dan juga faktor warna perlu diambil kira
semasa perancangan pembinaan sesebuah bengkel.





1. Nyatakan bagaimana faktor bunyi dapat mempengaruhi
keberkesanan kerja di bengkel.

2. Selain daripada empat warna yang telah dibincangkan di atas,
jelaskan tiga warna yang menunjukkan kepentingan dan
kegunaan dalam keselamatan.
SEMAK KENDIRI 3.3
Rancang dan bina satu carta organisasi bengkel yang sesuai bagi Panitia
Kemahiran Hidup di sekolah.
AKTIVITI 3.1
X TOPIK 3 AMALAN PENGURUSAN BENGKEL
74

Faktor bunyi
Faktor pencahayaan
Faktor pengudaraan
Faktor warna
Kawasan kerja
Panel bergerak
Panel individu
Panel kumpulan
Panel pameran
Panel terbuka
Panel tertutup
Panel umum
Pelan lantai produk
Pelan lantai proses
Pengurusan bengkel
Penstoran
Ruang kerja

General safety & health standard. Dicapai pada November 15, 2011, daripada
http://dbs.idaho.gov.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1999). Pengajian kejuruteraan awam
tingkatan 4. Kuala Lumpur: DBP.
Ng Wee Choo, Salmiah Jaba, & Koay, W. C. (2005). Kemahiran hidup bersepadu:
Teras dan pilihan 2. Petaling Jaya: Vital Star Sdn. Bhd.
Setting up the workshop. Dicapai pada November 15, 2011, daripada
http://www.science-projects.org.