Pendidikan Islam Menurut Ayyub DakhlalLah dalam kitabnya at-Tarbiah al-Islamiah inda al-Imam al- Ghazali menyatakan bahawa Imam al-Ghazali mendefinisikan Pendidikan Islam sebagai suatu proses pemeliharaan dan pembinaan syakhsiah kanak-kanak supaya menjadi seorang individu yang saleh dalam sebuah masyarakat yang saleh, seimbang, berkembang dan berdiri atas asas-asas yang kukuh yang memelihara sifat-sifat semulajadi manusia yang ditegakkan di atas keperluan wujudnya keseimbangan antara kehendak-kehendak jasad dan roh di samping kepentingan dunia dan akhirat.
Dari takrif yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali mengenai Pendidikan Islam ini menunjukkan bahawa Pendidikan Islam itu merupakan sesuatu yang dapat digunakan sebagai cara ataupun tujuan bagi menerapkan unsur-unsur sosial umat Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah untuk menuju kesempurnaan hidup manusia hingga mencapai insan kamil yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan bagi memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak. Pencapaian kesempurnaan hidup melalui proses pendidikan ini juga merupakan tujuan dari pendidikan Islam itu sendiri.
Perkataan Memantapkan Menurut Kamus Dewan halaman (996-997), perkataan memantapkan berasal dari perkataan mantap iaitu tabah hati, tetap hati (fikiran), tetap setia, tidak berubah- ubah, tetap, stabil.
Negara Zikir Gabungan perkataan Negara Zikir merupakan istilah yang lahir dari Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun 1428H/2007M, antara lain Baginda bertitah:
Beta, insya Allah akan terus berazam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah Negara Zikiryang sentiasa mengagungkan Allah, supaya kita selalu berada dalam perhatian dan pemeliharaan-Nya, sesuai dengan janji-Nya di dalam Surah al- Baqarah ayat 152, tafsirnya: Kamu ingati aku, nescaya Aku akan mengingati kamu pula.
2 Negara Zikir adalah imej sebuah negara yang menjunjung tinggi ajaran-ajaran Ugama Islam dan menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dan amalan dalam seluruh aspek kehidupan agar nikmat, kerahmatan dan keberkatan akan sentiasa mengiringi dan melindungi negara.
Firman Allah Subhanahu wa Taala,
Terjemahannya : Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. [al-Araaf, : 96]
Islam mula bertapak di negara ini lebih 500 tahun yang lalu. Sejak itu, Ugama Islam dan ajarannya terus berkembang dan dihayati oleh rakyat dan penduduk Negara ini. Ajaran Ugama Islam itu dipelajari oleh orang-orang Brunei menerusi pengajaran-pengajaran yang diadakan di rumah-rumah persendirian, balai-balai, sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian.
Dasar yang menjadikan pendidikan Islam itu bertapak kukuh di Negara Brunei Darussalam adalah menerusi perkara-perkara berikut:
i) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959 Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959, yang dipelopori oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien telah menggariskan kedudukan Islam dengan jelas dan tegas dalam Bahagian (II) Bab 3 ceraian (1) menyatakan:
Ugama rasmi bagi Negara Brunei Darussalam adalah Ugama Islam: Tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan sempurna oleh mereka yang mengamalkannya.
Mengenai dengan tafsiran Ugama Islam itu, dalam Perlembagaan tersebut di Bahagian (1) bab 2 ceraian (1) menyebutkan bahawa ugama Islam bermakna Ugama Islam menurut Ahlis Sunnah Waljamaah mengikut mazhab Shafiee.
ii) Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan Brunei 1984 Kedudukan ugama Islam bertambah jelas lagi sebagaimana Titah Pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalampada 1 J anuari 1984, iaitu:
3 Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wataala akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang Merdeka, Berdaulat dan Demokratik bersendikan ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahlis Sunnah Waljamaah, dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan
iii) Titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Kesungguhan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan pendidikan ugama mendapat keutamaan sering dinyatakan melalui titah-titah Baginda sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-21 antaranya:
Pendidikan pada khususnya mestilah jelas, bahawa keperluan umum tidak akan mengatasi keperluan ugama. Dalam makna, pendidikan ugama juga hendaklah sempurna, sementara di peringkat tinggi pula hendaklah mampu melahirkan ulama dan cendekiawan berwibawa. J angan sama sekali ia kurang atau dikurangkan kerana berdasarkan fakta sejarah di mana- mana sahaja, jika pendidikan ugama lemah, maka akan lemahlah pula bangsa. [23 Februari 2005]
iv) Falsafah Pendidikan Negara Falsafah Pendidikan Negara merupakan dasar pemikiran mengenai hal ehwal pendidikan bagi Negara Brunei Darussalam. Pelaksanaan pendidikan Islam adalah berpaksikan Falsafah Pendidikan Negara.
Perkara-perkara yang disebutkan tadi menjadi asas dan dasar dalam mencorak sistem pendidikan Islam untuk diterapkan dalam mengasuh dan mendidik anak bangsa ke arah melahirkan dan membentuk syakhsiah bangsa dan masyarakat Brunei yang kuat berpegang teguh dengan ajaran ugama Islam.
Pendidikan Islam Memantapkan Negara Zikir Asas Pendidikan Islam Pendidikan Islam itu berkisar kepada tiga perkara berikut: i. Aqidah
4 Insan saleh bermula dari dalam iaitu aqidah.Ia merupakan asas yang perlu diberi perhatian dan keutamaan, kerana aqidah yang sejahtera sahaja mampu menjamin kebahagiaan dan kecemerlangan hidup insan di dunia dan di akhirat.
ii. Syariah Ibadah adalah tugas utama manusia terhadap Allah Subhanahu wa Taala.Ibadah yang sempurna merupakan lambang kepatuhan dan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Taala. Kerana itu bukan dari golongan insan saleh, mereka yang tidak mahu melakukan ibadah. badah dalam Islam merupakan didikan Ilahi yang semestinya akan membuahkan kesan-kesan positif dalam pelbagai aspek kehidupan manusia
iii. Akhlak Akhlak terpuji merupakan lambang kecemerlangan dan keindahan peribadi seorang muslim sejati. Dengan memiliki akhlak yang terpuji menyebabkan seseorang itu dihormati dalam masyarakat berbanding dengan orang yang memiliki akhlak yang tercela akan dibenci dan dikeji oleh masyarakat.
Kesimpulannya ialah aqidah, syariah dan akhlak adalah perkara pokok dalam kehidupan manusia. Ia menjadi perkara asas kepada kemantapan negara zikir yang didokong oleh insan saleh yang mantap dan teguh aqidahnya serta tinggi budi pekerti akhlaknya.
Sejarah perjuangan Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasallam dalam membentuk masyarakat Islam dan membina tamadun yang yang sangat gemilang dan dihormati mengandungi pelbagai pengajaran dan pedoman untuk seluruh umat Islam.
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam membina umat Islam bermula dengan diri Baginda sehinggalah lahir satu kelompok muslim dan seterusnya berkembang menjadi satu ummah dan negara yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Taala.
Apakah rahsia kejayaan Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam ini? Sejarah menyaksikan tamadun Islam bermula dengan pendidikan dan puncak keberhasilannya juga menyaksikan perkembangan pendidikan yang gemilang.
5 Pendidikan pada zaman Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam memperlihatkan tahap-tahap kemajuan pemikiran yang berjaya mengubah sikap, pandangan hidup dan perlakuan manusia.
Di dalam usaha Baginda mengajak para penduduk Mekah kepada ajaran Islam, Baginda telah melakukan proses pembinaan individu muslim secara terancang menerusi pendidikan. Di awal peringkat perkembangan dakwah di Mekah, proses pembentukan menekankan kepada proses penanaman aqidah dan keyakinan kepada Allah Subhanahu wa Taala secara mendalam.
Sejarah telah menceritakan kepada kita mengenai pendidikan aqidah Bilal bin Abi Rabah yang tetap teguh mempertahankan aqidahnya walaupun menerima seksaan yang begitu berat dan pedih daripada tuannya Begitu juga dengan keluarga Ammar bin Yasir dan lain-lain lagi. Semua ini menggambarkan keteguhan pegangan aqidah mereka menerusi pendidikan yang mereka terima daripada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam.
Apabila Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam berhijrah ke Madinah, maka pendidikan Islam menjadi semakin berkembang dan pemikiran pendidikan Islam pada tahap ini bukan lagi sekadar menyediakan pembentukan seseorang mukmin. J ika dilihat kepada kurikulum pendidikan peringkat Madinah ini, isi pengajaran dan matlamat pendidikan adalah untuk memenuhi tuntutan perundangan dan perhubungan antarabangsa.
Di dalam Islam, pendidikan itu dipandang dari sudut yang sangat luas dan mendalam iaitu bukan sahaja untuk menggarap potensi diri ke arah yang lebih mencabar, malah juga untuk melahirkan peribadi-peribadi yang unggul dan berakhlak mulia serta dapat memenuhi segala keperluan tugasnya di bumi sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala,
Terjemahannya : Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [adz-Dzariyaat : 56]
Pada peringkat individu, pendidikan Islam dihasratkan melahirkan insan saleh iaitu manusia yang bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Taalayang menjunjung segala perintahnya, mengerjakan segala suruhannya serta menjauhi
6 larangannya. Insan saleh ialah manusia yang bukan sahaja beramal ibadat untuk kepentingan diri sendiri tetapi juga beramal ibadat dan bekerja untuk tujuan membangun masyarakat dan negara. Dengan terbentuknya sifat-sifat insan saleh dalam diri setiap individu, maka akan lahir pulamujtamak saleh atau masyarakat Islam yang saleh, yang teguh imannya dan mantap aqidahnya. Firman Allah Subhanahu wa Taala,
Maksudnya: Kamu (wahai Umat Nabi Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat yang maaruf dan melarang daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah. [Ali-Imran : 110]
Pendidikan Islam di Negara Brunei Darussalam Penerapan pendidikan Islam kepada setiap ahli masyarakat merupakan strategi penting bagi memantapkan gagasan negara sebagai sebuah Negara Zikir. Kekuatan dan kemantapan Negara Zikir bergantung kepada setakat mana individu dan masyarakat memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan baik dan berkesan.
Dalam pendidikan formal, pengajaran dan pembelajaran ugama diterapkan menerusi sistem persekolahan ugama selama 7 tahun iaitu bermula dari kelas Pra hingga darjah VI. Penerapan pendidikan ugama itu berkisar kepada tiga asas utama sebagaimana yang disebutkan di awal kertas ini iaitu aqidah, syariah dan akhlak. Ketiga-tiga asas pokok ini merupakan landasan menuju ke arah kesempurnaan insan bagi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat. Keutamaan peringkat awal pendidikan ialah pengukuhan aqidah, bimbingan dan latihan ke arah mengamalkan dan menghayati fardhu ain.
Bagi mengukuhkan dan memantapkan lagi pendidikan ugama di kalangan murid-murid sekolah ugama, mata pelajaran Bahasa Arab mula diperkenalkan di sekolah-sekolah ugama bermula pada tahun ini dan perlaksanaannya bagi peringkat pertama disasarkan kepada murid kelas Pra dan darjah I. Selain Bahasa Arab, Program Insyirah juga diperkenalkan iaitu program pengintergrasian ilmu ugama kepada penghayatan berugama melalui sistem pembelajaran. Ianya bertujuan mendokong pendidikan formal dan memberi nilai tambah kepada pengetahuan sedia ada murid. Program disasarkan bagi murid-murid kelas Pra,
7 Darjah I, II dan III. Terdapat empat (4) komponen pembelajaran diperkenalkan melalui Program ini iaitu Asuhan Budi, Warisan Kita, Bimbingan Bahasa dan Hafazan.
Di samping itu, penggunaan tulisan J awi juga sangat dititikberatkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemahiran dalam menguasai jawi berkait rapat dengan pendidikan ugama, oleh kerana itu usaha bagi menguatkan asas jawi dilaksanakan bermula dari kelas pra lagi dan diteruskan hingga ke darjah IV agar murid-murid dapat menguasai kemahiran jawi dan seterusnya menyumbang ke arah mengekalkan penggunaan tulisan jawi agar terus hidup dan subur di kalangan generasi bangsa, ugama dan negara.
Seterusnya pendidikan ugama diperkukuhkan lagi dengan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam di peringkat sekolah rendah, menengah, pra universiti, teknikal dan vokasional di bawah kawalan Kementerian Pendidikan. Kesinambungan pendidikan ugama juga diteruskan di peringkat pengajian tinggi. Mercu kegemilangan Pendidikan Islam di Negara ini dapat dilihat melalui penubuhan sekolah-sekolah ugama, sekolah-sekolah Arab, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan yang pada masa ini dikenali dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Bagi masyarakat awam, pendidikan ugama disalurkan melalui Kelas Bimbingan Ugama, bengkel-bengkel dan kursus-kursus dan diperkasakan lagi dengan penubuhan kumpulan Belia Masjid dan Muslimah Masjid. Pengukuhan kefahaman Islam juga disalurkan menerusi pendidikan yang diberikan melalui saluran media massa dan media cetak.
Pendidikan Ugama juga diberikan kepada saudara-saudara baru menerusi bimbingan-bimbingan yang diberikan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan mereka dapat menghayati ajaran Islam dengan lebih baik dan berkesan.
Sistem Pendidikan Negara Abad 21 atau SPN 21 Kurikulum SPN21 memfokus bidang pembelajaran yang luas bagi membolehkan pelajar mendapat pengetahuan dan kefahaman, kemahiran asas serta sikap dan nilai untuk memastikan perkembangan secara menyeluruh yang bersesuaian dalam
8 konteks abad ke-21. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memartabatkan pendidikan ugama Islam dalam Sistem Pendidikan Negara Abad 21 atau SPN 21 dengan meletakkannya sebagai core subject atau mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh setiap pelajar sebagaimana juga mata-mata pelajaran Bahasa Melayu, English, Matematik, Sains, dan seterusnya nanti mata pelajaran MIB. Demikian juga, usaha sedang berjalan untuk mewajibkan setiap anak Islam belajar ugama hingga Darjah Enam di persekolahan ugama.
Kesan Pendidikan Islam Di Negara Brunei Darussalam Dalam Kehidupan Berkeluarga, Bermasyarakat dan Bernegara. Pendidikan Islam yang diterima dan amalan berugama yang diamalkan sejak turun temurun telah memberi sumbangan yang besar dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara di Negara ini.
Masyarakat Brunei sejak dahulu lagi hidup dalam keadaan aman dengan menikmati kesejahteraan. Mereka mempunyai hubungan baik sebagai ahli keluarga, jiran tetangga, kawan sekampung, teman sepermainan dan rakan sekolah dalam suasana rukun damai. Malah mereka hidup berganding bahu dan saling bantu membantu antara satu sama lain dalam menyumbangkan khidmat tenaga membuat sesuatu urusan dan pekerjaan.
Amalan berpakaian menurut Islam diterapkan kepada pelajar-pelajar sekolah melalui pakaian seragam yang menutup aurat. Etika berpakaian menutup aurat juga diterapkan kepada pegawai dan kakitangan Kerajaan.
Penerapan pendidikan Islam dan gagasan Negara Zikir juga diterjemahkan dalam sistem pentadbiran kerajaan dengan mentarbiah pegawai dan kakitangan kerajaan membaca al-Quran sebelum memulakan tugas.
Mesyuarat-mesyuarat dan majlis-majlis rasmi dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan bacaan surah al-Asr atau doa. Majlis-majlis kenegaraan seperti Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dimulakan dengan acara keugamaan iaitu dengan sembahyang
9 berjemaah, bacaan surah Yasin dan Tahlil di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
Mengenai undang-undang pula, Negara Brunei Darussalam telah dan sedang berusaha untuk menyesuaikan undang-undang Negara ini supaya selaras dengan kehendak Syarak. Di samping itu, bagi kepentingan rakyat dan penduduk di Negara ini khasnya yang berugama Islam beberapa undang-undang baru telah digubal dan dikuatkuasakan berdasarkan hukum Syarak seperti Akta Daging Halal, Penggal 183, Perintah Darurat Undang-Undang Keluarga Islam 1999 dan lain-lain lagi.
Bagi melaksanakan tuntutan amar maaruf nahi mungkar, Kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan sentiasa memantau kegiatan-kegiatan dan aktiviti-aktiviti kehidupan masyarakat di Negara ini seperti fahaman-fahaman, ajaran-ajaran atau kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang boleh merosakkan aqidah dan amalan umat Islam. Berkat pendidikan Islam dan kawalan pihak-pihak berkuasa, Negara ini selamat dari ancaman ajaran-ajaran sesat dan kefahaman melampau yang boleh meracuni pemikiran rakyat dan menjejaskan kestabilan hidup berugama dan keharmonian hidup bernegara di Negara ini.
Usaha-usaha jitu kerajaan ke arah memperkasa kehidupan berugama telah memberi impak yang sangat besar kepada cara hidup masyarakat Brunei. Di sinilah pendidikan Ugama itu memainkan peranan, tanpa pendidikan yang berkesan proses perlaksanaan bagi menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap tidak akan dapat dicapai dengan berkesan dan gagasan Negara Zikir tidak akan menjadi kenyataan.
Cabaran Pendidikan Islam Di dalam era masa kini, berbagai-bagai cabaran telah dan akan terus dihadapi dan ditempuhi oleh umat Islam dan kita di Negara Brunei Darussalam ini juga tidak terlepas daripada menghadapi cabaran-cabaran tersebut khususnya dalam mendidik generasi bangsa, antaranya seperti berikut: i) Cabaran Globalisasi, Teknologi Maklumat dan Media Massa Globalisasi dan kecanggihan teknologi maklumat merupakan pusat kehidupan masa kini. Teknologi terus berkembang seiring dengan kepesatan ledakan ilmu.
10 Cabaran yang timbul daripada globalisasi, perkembangan teknologi maklumat, media massa dan gaya hidup global di alaf baru ialah cabaran terhadap nilai-nilai moral, akhlak dan kehidupan berugama yang dapat mempengaruhi nilai dan keperibadian individu muslim.
Dalam menghadapi cabaran ini, kita perlu membuat persiapan dengan menyusun strategi yang konkrit dan boleh dilaksanakan.
Antara saranan untuk menghadapi cabaran ini ialah dengan memperkasa keberkesanan pendidikan Islam menerusi pengemaskinian kurikulum yang lebih kreatif dan inovatif dengan memberi nafas baru dalam penerapannya yang relevan dengan masa kini agar dapat dihayati dan diamalkan dengan lebih berkesan. Pendekatan dalam pengajaran hendaklah dapat menarik minat pelajar. Langkah dan usaha untuk memantapkan dan meningkatkan lagi keberkesanan kurikulum pendidikan Islam perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
ii) Persepsi Masyarakat Mengenai Didikan Ugama Pendidikan ugama bukan hanya berlaku di sekolah sahaja malahan juga berlaku di luar sekolah seperti di rumah, kawasan persekitaran dan di mana jua. Peranan guru ataupun ustaz serta ustazah hanya terhad sewaktu masa persekolahan, manakala di luar sekolah pula, keluarga dan masyarakat menggantikan peranan tersebut.
Untuk itu, pendidikan Ugama tidak akan berkesan jika hanya sekolah sahaja yang memberi pendidikan tersebut sedangkan keluarga dan masyarakat tidak turut sama membantu atau sebaliknya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan pendidikan Ugama. Sekiranya amanah ini dilakukan secara satu pihak sahaja, mana mungkin hasil yang kita inginkan itu akan dapat berlaku.
Hari ini pengaruh persekitaran telah menjadi semakin hebat, kesannya lebih pantas dan pengaruhnya lebih menyeluruh berbanding dengan proses pendidikan formal yang berlangsung secara perlahan di bilik darjah. Manusia lebih banyak belajar daripada apa yang dilihat berbanding dengan apa yang didengar sahaja.
11
Inilah yang menjadi cabaran kepada penerapan Pendidikan Ugama iaitu apabila pendidikan yang diterima oleh para pelajar di sekolah tidak selari dengan apa yang mereka lihat dan alami di luar sekolah.
Contohnya, murid diajar tentang kewajipan menunaikan sembahyang tetapi apabila pulang ke rumah, dia melihat ahli keluarganya tidak menunaikan sembahyang.
iii) Persepsi Guru Terhadap Tugas Dan Peranan Keberkesanan pendidikan Islam sangat bergantung kepada keupayaan dan peranan guru Pendidikan Islam dalam melaksanakan tugasnya sebagai mudarris, muaddib, murabbi, mursyid dan muallim. Peranan ini sangat besar tanggungjawabnya.
Hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa ramai para guru yang mampu dan berkeupayaan untuk mengajar dan menyampaikan ilmu dengan baik kepada pelajarnya, tetapi hanya sebilangan kecil sahaja yang dapat mendidik para pelajar itu dengan didikan yang berkesan.
Untuk itu para guru perlu membuat transformasi daripada muallim, mudarris dan mursyid kepada murabbi dan muaddib. Kerana kemuncak peranan seorang guru ialah kemampuannya sebagai muaddib yang membabitkan pembentukan, pengembangan dan pengukuhan adab dan akhlak di kalangan pelajarnya.
Guru merupakan role model kepada pelajar dan masyarakat. Kerana itu Guru Pendidikan Islam harus mendahului guru lain di sekolahnya dan mendahului individu lain di dalam masyarakatnya dalam menampilkan imej keislaman yang sebenar samada dari segi keperibadian, keilmuan dan dalam segenap aspek kehidupan. Teladan yang baik dipandang sebagai suatu cara yang berkesan dalam membina akhlak dan menanam prinsip terpuji dalam jiwa pelajar, masyarakat dan negara.
Kesimpulan
12 Gagasan Negara Zikir merupakan hasrat bagi membentuk negara yang masyarakatnya sentiasa ingat dan taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala.
Pendidikan merupakan asas pembentukan masyarakat ke arah kesempuraan. Kejayaan dalam proses pembinaan masyarakat bergantung kepada pendidikan yang diterima oleh setiap ahli dalam masyarakat dalam setiap peringkat. Oleh yang demikian, kekuatan dan kemantapan Negara Zikir adalah sangat berkait rapat dengan keberkesanan pendidikan Islam yang diterapkan kepada semua lapisan masyarakat, yang bermula daripada pembentukkan insan saleh, keluarga bahagia, pembentukan masyarakat Amar Maaruf Nahi Mungkar dan seterusnya melahirkan negara berkat, penuh keamanan dan mendapat perlindungan Allah Subhanahu wa Taala. Firman Allah Subhanahu Wa Taala, Terjemahannya : Negeri kamu ini adalah negeri yang baik (aman makmur) dan Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Pengampun. [Surah Sabaa :15]