Anda di halaman 1dari 14

1

1.0 Pengenalan
Dalam konteks Tanah Melayu atau British Malaya seperti yang disebut oleh pihak penjajah,
maka rakyat sedar bahawa mereka berada di belenggu penjajahan British. Perlu ditegaskan
bahawa semangat kebangsaan pada awal kurun ke 20 itu wujud di kalangan orang Melayu. Ini
kerana sehingga perang dunia ke-2, kaum-kaum Cina dan India mempunyai kiblat taat setia
yang tidak serupa. Kiblat taat setia orang Melayu ialah terhadap Tanah Melayu, taat setia
orang Cina ialah terhadap negara China dan taat setia orang India adalah terhadap negara
India. Maka orang Melayu sahaja yang memikul tanggungjawab untuk membebaskan tanah
Melayu daripada belenggu penjajah British pada tahap-tahap awal. Semangat nasionalisme ini
turut hadir dengan kesedaran daripada orang Melayu terhadap penindasan penjajah kepada
orang Melayu. Kaum Cina dan India hidup dalam keadaan yang selesa berbanding kaum
Melayu di kampung dengan melakukan ekonomi sara diri ketika itu. Mereka hiudp dalam
keadaan yang serba kekurangan serta tertindas di tanah sendiri. Penjajah khususnya British
sememangnya sengaja meletakkan orang Melayu di kampung-kampung kerana mereka
percaya bahawa orang Melayu tidak wajar dimajukan di tanah sendiri. Oleh kerana mentaliti
orang British percaya bahawa orang Melayu mempunyai sikap yang malas, maka British tidak
memandang hak-hak yang patut mereka perolehi seperti pendidikan, kemajuan ekonomi di
bandar, dan lain-lain.
Secara umumnya, gerakan kesedaran di Tanah Melayu timbul serentak dengan
permulaan Gerakan Reformis Islam di Tanah Melayu. Orang Melayu mula sedar akan
kemunduran mereka berbanding dengan kaum lain. Dalam pembentukan dan memerdekakan
sesebuah negara, peperangan dan keganasan tidak dapat dielakkan.Di negara Malaysia
sebelum kemerdekaan, banyak berlaku keganasan demi untuk memperjuang kemerdekaan.
Semenjak Melaka dijajah pada 24 ogos 1511, kita tidak dapat lari daripada melakukan
penentangan, pemberontakan dan keganasan untuk menghalau penjajah.Tujuannya hanyalah
satu, kebebasan atau kemerdekaan.Bermulanya campur tangan British di Tanah Melayu sejak
1874, ia telah memberikan pelbagai perubahan sama ada baik atau tidak. Hasil daripada
perubahan ini, ia telah menimbulkan kebangkitan di kalangan penduduk supaya menentang
British. Ia kemudiannya telah menggalakkan perkembangan semangat kebangsaan dan
semangat nasionalisme kepada masyarakat di Tanah Melayu.

2

Hans Kohn dalam bukunya yang bertajuk The Idea Nationalism : A Study In Its Origin
And Background menjelaskan nasionalisme itu sebagai satu keadaan fikiran, yang menyerap
masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan didakwa menyerap masuk dalam kalangan
anggotanya iaitu mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul,
dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan punca
kesejahteraan ekonomi. Oleh itu kesetiaan ulung manusia tertumpu kepada bangsanya kerana
kehidupannya sendiri adalah dipercayai berdasarkan kepada dan kemungkinan oleh kebajikan
bangsanya. Manakala Smith dalam bukunya yang bertajuk Theories of Nationalisme
mentakrifkan nasinalisme sebagai suatu pergerakan ideologikal untuk pencapaian dan
pemeliharaan pemerintahan sendiri dan kemerdekaan bagi suatu golongan yang sebahagian
daripada anggotanya-anggotanya memandangnya sebagai satu bangsa yang sebenar atau bakal
bangsa seperti bangsa-bangsa yang lain.
Nasionalisme pada dasarnya mencantumkan tiga hal yang dianggap unggul iaitu
penentuan nasib sendiri secara berkumpulan bagi rakyat, penegasan keperibadian dan sifat
tersendiri. Secara umumnya nasionalisme adalah satu fenomena sejagat yang mengiktiraf hak
setiap bangsa untuk menubuhkan negaranya sendiri, menengakkan kedaulatan rakyat dan
menuntut kesetiaan ulung individu disalurkan kepada negara bangsa itu. Keadaan tersebut
digambarkan menerusi perasaan cinta dan taat setia yang mendalam terhadap tanah air yang
kemudiannya mendorong kepada lahirnya keinginan dan keazaman untuk berjuang bagi
membebaskan tanah air daripada pemerintahan kuasa. Oleh itu, semangat untuk mencapai
kemerdekaan bagi negara adalah penting agar rakyat dapat bernaung dibawah tampuk
pemerintahan sendiri dan bukannya dikuasai oleh kuasa asing.







3

2.0 Perkembangan Semangat Nasionalisme di Tanah Melayu
Kajian awal yang dilakukan oleh para sarjana sejarah membahagikan perkembangan
semangat nasionalisme di Tanah Melayu kepada tiga tahap. William R. Roff membuat
pembahagian melalui tiga peringkat. Peringkat pertama pada tahun 1900 sehingga 1920
dipelopori oleh golongan berpendidikan agama. Peringkat kedua pada tahun 1920 sehingga
1930 oleh golongan yang berpendidikan Melayu dan peringkat ketiga pada tahun 1930
sehingga 1941 oleh golongan berpendidikan Inggeris. Pembahagian yang dibuat oleh Roff
adalah berdasarkan latar belakang pendidkan yang diterima oleh golongan nasionalisme yang
terlibat. Menurutnya latar belakang ini amat mempengaruhi corak gerakan bagi setiap
peringkat. Manakala Radin Soernarno pula membuat pembahagian berdasarkan matlamat dan
tujuan yang berbeza bagi setiap perkembangan nasionalisme iaitu peringkat pertama pada
tahun 1906-1926 adalah peringkat keagamaan. Peringkat kedua pada tahun 1926-1937
peringkat ekonomi dan sosial dan peringkat ketiga pada tahun 1937-1941 adalah peringkat
politik. Kedua-dua pembahagian ini adalah merupakan suatu usaha untuk melihat kerelevenan
sesuatu peringkat. Melihat pembahagian ini, Khoo Kay Kim berpendapat W.R.Roff pada
dasarnya tidak mencabar tafsiran Radin Soernarno. Tetapi beliau dapat membincangkan
dengan lebih mendalam walaupun peristiwa-peristiwa yang dibincangkan tidak jauh berbeza
dengan apa yang telah diutarakan oleh Raden Soernarno. Raden dan Roff tidak memberi
takrif tentang konsep nasionalisme Melayu kerana tugasnya amat berat.
Menurut Firdaus Haji Abdullah (1985) beliau membahagikan perkembangan
nasionalisme Melayu kepada tiga tahap. Namun agak berbeza berbanding dengan apa yang
diperkatakan oleh W.R Roff dan Raden Soernarno. Beliau membahagikan perkembangan
semangat kebangsaan orang Melayu kepada tiga tahap mengikut kelas masyarakat orang
Melayu ketika itu iaitu tahap pertama birokrat tradisional berpendidikan Inggeris, tahap kedua
ialah penulis dan guru berpendidikan Islam dan tahap ketiga ialah wartawan dan guru
berpendidikan vernakular. Tiga tahap ini kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan
besar iaitu kumpulan nasionalis konservatif dari tahap satu dan kumpulan nasionalis radikal
dari tahap kedua dan ketiga. Dalam hal ini, pengkaji mengambil pendekatan pembahagian
berdasarkan latar pendidikan berasaskan perkembangan pendidikan di negara ini. Tahap
pertama, bagi orang Melayu pendidikan awal yang diperolehi oleh mereka adalah pendidikan
agama berlandaskan pendidikan pondok. Ini kerana orang Melayu pada ketika itu kurang
yakin dengan sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh orang Inggeris kerana risau anak-
4

anak mereka akan dikristiankan. Dari sinilah ramai golongan cerdik pandai atau nasionalis
agama.
Apabila berlaku evolusi dalam sistem pendidikan dengan tertubuhnya sekolah Melayu
dan maktab perguruan dibuka maka orang Melayu mula celik dan rela menghantar anak-
anaknya ke sekolah Melayu yang didirikan oleh pihak Inggeris. Walaupun ada pembahagian
perkembangan semangat nasionalisme, setakat ini ada konsesus bahawa nasionalisme Melayu
bermula pada tahun 1906, iaitu lahirnya Al-Imam, suara Kaum Muda yang banyak memberi
perhatian kepada masalah kepincangan masyarakat Melayu ketika itu. Perkembangan
nasionalisme Melayu dalam kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya dalam kalangan
orang Melayu dipengaruhi oleh pergerakan Islah di Timur Tengah. Pada masa ini, Timur
Tengah terutamanya Makkah dan Kaherah menjadi tumpuan utama oleh pelajar dari serata
dunia unutk menimba ilmu daripada ulama-ulama hebat. Pembaharuan pemikiran yang
dibawa golongan ini menyebabkan mereka digelar Kaum Muda dan bertentangan dengan
golongan agama rasmi, pembesar Melayu yang tradisional dan ulama kampung yang
seluruhnya dikenali sebagai Kaum Tua.
Kedua-dua golongan ini saling berlumba dalam memberi penjelasan kepada
masyarakat. Disamping menubuhkan madrasah dan pondok, golongan ini juga menyebarkan
kesedaran sosial dan politik dalam kalangan orang Melayu melalui penerbitan akhbar iaitu Al-
Imam. Penerbitan akhbar ini dianggap sebagai manifestasi penyebaran pemikiran-pemikiran
tokoh-tokoh islah Mesir ke dalam masyarakat Melayu. Akhbar Al-Imam telah banyak
menyindir penjajah British yang dianggap sebagai bangsa ajni (kafir) di merata tempat
termasuk Mesir, Afganistan, China dan Tanah Melayu. Namun begitu sindiran ini dilakukan
dengan membuat pelbagai kiasan. Akhbar ini juga menuduh raja dan pembesar Melayu tidak
mahu memikirkan dan memperjuangkan kepentingan anak watan Tanah Melayu.
Selain itu, dalam aspek sosial akhbar ini memberi perhatian serius dengan mengkritik,
mencadangkan dan menganjurkan pelbagai gagasan untuk menempa kemajuan bangsa
Melayu. Usaha-saha tersebut berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak, perjuangan hak
wanita, persoalan kegiatan ekonomi, menggalakkan penubuhan syarikat kerjasama,
kepentingan perpaduan, galakan membaca dan aktiviti kesusasteraan. Peranan yang
dimainkan oleh akhbar Al-Imam hanya pendek sahaja kerana mempunyai masalah kewangan.
Kaum Tua juga menerbitkan akhbar untuk menyanggah segala hujah Kaum Muda dengan
5

penerbitan akhbar Lidah Benar di Kelang, Selangor. Sebahagian besar halaman Lidah Benar
dimuatkan dengan rencana yang menyokong pendapat dari Kaum Tua.
Soal tentang peranan golongan agama berpendidikan Timur Tengah (Kaum Muda)
terutamanya dari Kaherah dan Makkah, Abdul Samad Idris (1982) menyatakan pendapatnya
bahawa, sejak tahun 1906 lagi kesedaran kebangsaan mula tumbuh dalam kalangan anak-anak
muda Melayu lepasan pendidikan Timur Tengah. Mereka ini hanya membangunkan
masyarakat Melayu melalui tulisan di akhbar dan majalah. Mereka belum lagi berani bergerak
secara politik dan menentang penjajah British. Gerakan Kaum Muda yang digerakkan oleh
bekas penuntut dari Mesir bukanlah sebuah pertubuhan tetapi satu angkatan yang bercorak
agama. Inilah yang dapat dirumuskan tentang gelombang kesedaran kebangsaan dari Timur
Tengah. Kaum Muda belum lagi menentang kuasa penjajah secara terang-terangan, tetapi
sekadar berkiasan dan sindiran melalui pena.
Tahap kedua adalah kegiatan nasionalisme melayu disertai oleh golongan
berpendidikan Melayu. Kebanyakan dari mereka adalah guru-guru lepasan Maktab Perguruan
Sultan Idris, Tanjung Malim, Kolej Teknik Kuala Lumpur, Kolej Pertanian Serdang dan
Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Maktab Perguruan Sultan Idris (Sultan Idris
Training College-SITC) telah ditubuhkan pada tahun 1922 yang bertujuan melahirkan bakal-
bakal guru unutk mengisi jawatan guru di sekolah-sekolah Tanah Melayu. Pengelompokan
pelajar Melayu dari seluruh Tanah Melayu di SITC telah melahirkan kesedaran dalam
kalangan mereka untuk turut serta menangani masalah masyarakat Melayu ketika itu. Melalui
pengalaman dan pembacaan yang bertambah luas daripada akhbar tempatan dan hasil sastera
Indonesia serta melalui hubungan dengan guru-guru mereka yang muda dan radikal, generasi
penuntut SITC sudah mula perubahan politik dan sosial yang mendesak serta masalah yang
berhubungan dengan orang Melayu. Hal ini ditambah dengan pengaruh nasionalisme yang
datang dari Indonesia.
Pada tahun 1929, Ibrahim Yaacob telah menubuhkan sebuah gerakan pelajar secara
haram yang diberi nama Ikatan Pemuda Pelajar. Kemudian, pada tahun 1930 beliau
menubuhkan Ikatan Semenanjung Borneo. Gerakan ini dianggotai oleh 35 orang pelajar SITC
antaranya ialah Ibrahim Haji Yaacob, Muhammad Isa Mahmud, Hassan Haji Manan, Yaakob
Muhammad Amin dan Abdul Karim Rashid. Gerakan sulit yang berjalan di SITC mulai
malap selepas tahun 1932 setelah Inggeris mula dapat menghidu gerak geri pemimpin dalam
gerakan tersebut. Pihak Inggeris telah mengambil langkah dengan menghancurkan gerakan
6

nasionalisme yang bergerak secara sulit. Ibrahim Yaacob telah dihantar bertugas di Bentong
Pahang kerana Inggeris menganggapnya sebagai ancaman.
Pada tahun 1938, Ibrahim Yaacob telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM).
Majlis penubuhannya telah diadakan di rumah Cikgu Hassan Haji Manan di Jalan Pasar,
Kuala Lumpur. KMM ditubuhkan untuk menuntut kemerdekaan Malaya yang bersatu dengan
Indonesia di bawah ikatan Indonesia Raya. Menurut Mustapha Hussain menjelaskan dalam
memoirnya, KMM telah didaftarkan sebagai sebuah badan sosial dengan mengambil
peraturan-peraturan Liga Pemuda India Selangor sebagai perlembagaannya. Roff menjelaskan
bahawa, KMM telah memohon dan mendapatkan pengecualian daripada pendaftar di bawah
Undang-undang Pertubuhan lebih dua tahun kemudiannya, iaitu dalam bulan Disember tahun
1940. Namun, KMM tidak menerbitkan sebarang manifesto, undang-undang tubuh dan daftar
para pegawainya. Ibrahin Yaacob kemudiannya ditangkap bersama rakan-rakannya oleh pihak
Inggeris di bawah Undang-undang Pertahanan dalam masa perang dan dijatuhkan hukuman
penjara selama peperangan. Ketika pendudukan Jepun, Ibrahim Haji Yaacob dibebaskan oleh
pihak Jepun.
Dalam jangka masa sepuluh tahun terakhir sebelum Perang Dunia Kedua, gerakan dan
kegiatan nasionalisme Melayu semakin ketara dengan matlamat politik tidak lagi
dikesampingkan. Bayak persatuan telah ditubuhkan untuk menjaga kepentingan masyarakat
Melayu. Pada tahun 1934, Persaudaran Sahabat Pena Malaya (PASPAM) telah ditubuhkan di
Pulau Pinang. PASPAM telah dinaungi oleh tokoh Kaum Muda iaitu Syeikh Abdullah
Maghribi yang bertindak sebagai Penasihat Umum. Walaupun pertubuhan ini lebih cenderung
kepada kegiatan kesusasteraan, namun peranannya dalam gerakan nasionalisme Melayu tidak
dapat ditolak begitu sahaja. Sungguhpun persatuan ini bukan sebuah pertubuhan politik,
persatuan ini mula berperanan sebagai sebuah gerakan kebangsaan dan pada bulan November
1934, PASPAM mengadakan persidangan kebangsaannya yang pertama di Taiping iaitu
merupakan mesyuarat pertama di peringkat se Malaya yang diadakan dalam kalangan orang
Melayu yang bukan pegawai. Menjelang Mei 1935, PASPAM mempunyai keahlian lebih
daripada 1,000 orang di seluruh negara dan meningkat hampir 10,000 ahli menjelang
pertengahan 1937. Situasi-situasi ini semua memberi inspirasi kepada penduduk Tanah
Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Justeru, apabila pihak British
memperkenalkan sesuatu dasar baru, orang Melayu akan mula bangkit menentang seperti
apabila Malayan Union deperkenalkan.
7

3.0 Faktor yang Mempengaruhi Perkembangan Nasionalisme Melayu
3.1 Peperangan antara Rusia dan Jepun
Peperangan Rusia dan Jepun pada tahun 1905 telah menarik perhatian dunia
khususnya masyarakat di Tanah Melayu. Ini adalah kali pertama sebuah negara Asia
telah dapat menewaskan sebuah kuasa besar Eropah. Kekalahan Rusia ke atas Jepun
dalam peperangan tersebut telah memberi suatu kesan yang sangat penting kepada
negara-negara Asia yang mana ianya telah menimbulkan semangat kebangsaan dalam
kalangan penduduk Asia termasuklah di Tanah Melayu. Kemenangan Jepun itu telah
mendorong para nasionalis untuk berjuang membebaskan negara dari kongkongan
penjajah Barat.
3.2 Pengaruh Gerakan di Turki
Kewujudan semangat nasionalisme di Tanah Melayu juga disebabkan pengaruh dari
gerakan-gerakan nasionalisme di luar negara seperti di Turki, Mesir, Indonesia, China
dan juga di India. Umat Islam di Tanah Melayu sangat menghormati Empayar Turki
dan segala perkembangan di Turki mempengaruhi mereka. Turki mengisytiharkan
peperangan jihad terhadap kuasa Berikat (Amerika Syarikat, Britain dan Perancis).
British cuba menyekat berita dari luar tetapi gagal. Masih ada berita yang sampai ke
Tanah Melayu melalui surat khabar dan surat peribadi pejuang-pejuang Pan-Islam.
Pejuang Islam di Singapura, iaitu Kassim Ismail Mansur dan Nur Alam Syah
mempengaruhi dasar India yang beragama Islam melancarkan dahagi. Askar-askar
India diberikan keyakinan bahawa pakatan Jerman-Turki akan menang dalam Perang
Dunia Pertama. Pada bulan Februari, askar India melancarkan dahagi di Singapura,
tetapi dapat dihapuskan oleh askar British. Askar-askar India berjaya membunuh lebih
40 orang British dan hampir berjaya menakluki Singapura.
Bagi gerakan Khilafat pula, pakatan di antara Jerman-Turki tewas dalam
Perang Dunia Pertama. British sedang cuba menguasai Turki. Orang Islam di India
pula membentuk Gerakan Khilafat untuk mengekalkan kuasa Turki dan sistem
Khilafat. Gerakan Khilafat yang ditubuhkan di Singapura dikawal rapi oleh British.
Yang terakhir sekali ialah Gerakan Turki Muda yang dipimpin oleh Mustapha Kamal
Attaturk yang bergerak untuk memodenkan Turki. Golongan Turki Muda
menyebarkan semangat kebangsaan di Turki. Turki diisytiharkan sebagai sebuah
8

negara republik pada tahun 1923 dan sistem Khilafat dimansuhkan. Abdul Kadir
Adabi mengecam gerakan Turki Muda kerana memansuhkan sistem Khilafat.
Golongan Turki Muda dikatakan tidak mementingkan agama dan undang-undang
Islam dalam perkembangannya. Abdul Kadir Adabi atau Abdul Kadir bin Ahmad
adalah seorang penulis dari Kelantan. Akhbar Pengasoh, al-Ikhwan dan Saudara turut
menyiarkan tentangan terhadap Turki Muda.
3.3 Pengaruh dari Jepun
Sejak tahun 1868, Jepun muncul sebagai negara yang moden dan kuat. Pemimpin-
pemimpin Meiji seperti Maharaja Mutsushito telah memodenkan negara Jepun. Jepun
telah mengubahsuai teknologi Barat untuk kegunaannya. Jepun juga berjaya meniru
teknologi daripada Barat, dan sekaligus membuktikan rakyat Asia adalah bijak.
Perkara ini telah mewujudkan ilham dan keazaman dalam jiwa rakyat Asia. Antara
kemenangan Jepun terbesar ialah apabila dapat mengalahkan kuasa besar Eropah.
Kesan daripada kemenangan ini, orang Asia dan Melayu mulai sedar akan kepentingan
pelajaran, teknologi dan perpaduan. Faktor-faktor inilah yang menjadikan rakyat kuat
menentang penjajah. Dalam masa yang sama, ianya juga memberi kesan kepada
pemikiran tokoh-tokoh awal Tanah Melayu.
Dalam peperangan yang berlaku di antara Rusia dengan Jepun (1904-1905)
menyaksikan Jepun telah memperolehi kemenangan. Kejayaan ini telah memberi
ilham dan kesedaran kepada orang Asia termasuk orang Melayu bahawa barat tidaklah
sekuat seperti yang digeruni oleh mereka. Peperangan tersebut telah membuktikan
bahawa, sesebuah negara tidak mengira saiznya, boleh menjadi kuat seperti Jepun
melalui kemajuan teknologi dan pendidikan. Pada tahun 1907, seorang tokoh bernama
Abdullah Abdul Rahman telah menghasilkan karya berjudul 'Mataharai Memancar'
(The Rising Sun) yang menceritakan sejarah Jepun. Karya ini telah dialihbahasakan
oleh beliau daripada karya Mustafa Kamal dari Turki yang asalnya daripada bahasa
arab. Menurut Za'ba, karya ini telah berjaya merangsang pembaca serta menimbulkan
perasaan bangga dan harapan untuk membawa pembaharuan di timur dan termasuklah
kepada pembaca Melayu. Masyarakat Melayu mula percaya bahawa dengan adanya
teknologi dan pendidikan, mereka juga boleh menghalau keluar orang British dari
Tanah Melayu. Hakikat ini telah disedari oleh golongan terpelajar di Tanah Melayu.
Di antara mereka ialah Syed Sheikh al-Hadi yang mula menggalakkan orang Melayu
9

memajukan diri mereka dalam aspek ekonomi dan sosial, melalui ajaran Islam.
Perkembangan di Jepun mengalahkan kuasa Rusia telah membawa kesedaran dan
keyakinan bahawa orang Melayu juga boleh mempertahankan kepentingan mereka
daripada terus ditindas oleh pihak British.
3.4 Pengaruh dari Indonesia
Gerakan kemerdekaan rakyat Indonesia menentang pemerintahan Belanda telah
memberi semangat kepada golongan Melayu yang inginkan pembebasan daripada
penjajahan British. Beberapa parti politik telah ditubuhkan ditubuhkan di Indonesia.
Antaranya ialah Sarekat Islam. Sarekat Dagang Islam diasaskan oleh Raden Mas
Tirtoadisoeryo pada tahun 1909. Nama Sarekat Dagang Islam ditukar kepada Sarekat
Islam pada tahun 1912. Sarekat Islam ialah parti politik yang pertama di Indonesia.
Pemimpin Sarekat Islam yang terkenal ialah Omar Said Tjokroaminoto dan Agus
Salim.
Agama Islam menjadi faktor utama menyatukan orang Islam di Indonesia
supaya menentang penjajah Belanda. Cawangan Sarekat Islam di Johor ditubuhkan
oleh Haji Ibrahim bin Sidin dari Singapura. Cawangan Sarekat Islam di Johor tidak
mendapat sambutan yang memuaskan. Penentangan terhadap British di Terengganu
(1928) dimulakan oleh Syarikatul Islam yang diketuai oleh Sayid Muhammad dari
Johor. Pertubuhan sulit ini berpengaruh kuat di Beserah hingga ke Kemaman. Sayid
Muhammad dipercayai ingin meluaskan cawangan Sarekat Islam di Terengganu.
Pengaruh Sarekat Islam tersebar ke Tanah Melayu pada 1920-an melalui ceramah dan
kelas agama oleh guru-guru agama dari Sumatera. Selain itu, Parti Nasional Indonesia
(PNI) diasaskan oleh Sukarno dan Sartono pada tahun 1927. Pemuda-pemuda
Indonesia memperjuangkan kebebasan mereka melalui tulisan, pergerakan sosial dan
kebudayaan. Pelajar MPSI dipengaruhi oleh perjuangan PNI yang mengamalkan dasar
tidak bekerjasama dengan penjajah. Dasar tidak bekerjasama ini telah diamalkan oleh
pejuang nasionalis di India yang diketuai oleh Mahatma Gandhi. PNI mengamalkan
ideologi yang menganjurkan revolusi untuk menggulingkan kerajaan Belanda.
Pengaruh dari luar yang tersebar melalui majalah dan akhbar dapat membangkitkan
semangat kebangsaan dalam kalangan orang Melayu.

10

3.5 Gerakan Kesedaran Kebangsaan di Filipina dan India
Gerakan kesedaran kebangsaan di Filipina diketuai Jose Rizal dengan memimpin
perjuangan rakyat Filipina menentang penjajahan Sepanyol. Beliau telah menubuhkan
Liga Filipina untuk memajukan orang Filipina dan menuntut Sepanyol memberi
layanan adil kepada rakyat. Melalui gerakan ini juga telah memberi kesedaran kepada
penduduk di Tanah Melayu untuk bangkit dari terus dikuasai oleh kuasa asing.
Gerakan di India pula dipimpin oleh Mahatma Gandhi. Tujuan gerakan ini adalah
untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Penduduk di Tanah Melayu
turut mempunyai keinginan yang sama iaitu ingin membebaskan diri daripada
penjajahan Brirish. Dengan itu, gerakan ini telah memberi semangat serta kesedaran
kepada penduduk Tanah Melayu untuk terus bangun dari penindasan yang berleluasa
di negara sendiri.
3.6 Kesedaran tentang Kemunduran Orang Melayu
Faktor kesedaran orang melayu tentang kemunduran mereka juga turut menjadi punca
dalaman kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu. Orang Melayu menjadi
penduduk pribumi tetapi masih tertinggal jauh dalam bidang ekonomi dan sosial.
Walaupun ekonomi Tanah Melayu yang berasaskan getah dan bijih timah berkembang
pesat, tetapi orang Melayu tersisih daripada kegiatan ekonomi komersial tersebut.
Kegiatan ekonomi kapitalis dikuasai oleh orang Cina dan pedagang-pedagang Eropah.
Banyak ladang getah dan lombong bjih timah dimiliki dan diusahakan oleh orang
Eropah. Manakala orang cina pula menguasai sektor ekonomi di kawasan bandar
seperti menjadi peniaga. Keadaan ini mula disedari oleh peniaga-peniaga keturunan
arab yang tinggal di Negeri-Negeri Selat terutamanya Singapura.
Dalam bidang pendidikan pula, orang Melayu tertinggal jauh kerana sistem
pendidikan Melayu tidak mempunyai nilai untuk meningkatkan taraf dan kedudukan
orang melayu dalam bidang ekonomi. Orang melayu mula sedar bahawa mereka perlu
mempertahankan hak mereka di Tanah Air sendiri apabila orang cina Peranakan di
Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mendesak supaya diberi
hak yang sama dengan Melayu daripada kerajaan British. Orang Melayu sedar
permintaan orang Cina tersebut akan menggugat kedudukan mereka sebagai penduduk
pribumi. Situasi ini telah menyemarakkan semangat nasionalisme orang melayu untuk
mempertahankan kedudukan mereka di Tanah Melayu.
11

3.7 Dasar pemerintahan British
Antara lain, dasar penjajahan Barat juga telah menimbulkan semangat nasionalisme ke
dalam jiwa penduduk Tanah Melayu. Ketika penaklukan British ke atas Tanah
Melayu, pihak British telah berpuas hati dengan kaedah pengukuhan kuasa, pengaruh
dan kedudukan ekonomi mereka di Tanah Melayu. Pihak British telah memulakan
proses menginstitusikan pelbagai bidang kerajaan yang merangkumi hampir semua
aspek kehidupan politik, ekonomi dan sosial. Usaha mencapai tujuan ini paling pesat
dilakukan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Akibat daripada keadaan ini, institusi
Melayu tradisional dan elit melayu tradisional mendapati diri mereka terpaksa
mengambil peranan yang semakin kecil dalam hal ehwal kerajaan dan pentadbiran.
Tambahan pula, pihak British telah mula membawa masuk imigran cina dan
india secara besar-besaran untuk mengeksploitasi sumber-sumber ekonomi yang masih
belum diterokai oleh masyarakat melayu dengan sepenuhnya. Keadaan menjadi lebih
buruk menjelang tahun 1921, dimana daripada jumlah 1,320,000 orang penduduk
Negeri-negeri Melayu Bersekutu, 511,000 adalah orang melayu, 495,000 orangcina
dan 305,000 orang india. Keadaan ini menyebabkan kaum pendatang mula menguasai
ekonomi di Tanah Melayu. Kaum Melayu mulai sedar yang mereka telah ketinggalan
dalam pembangunan ekonomi dan sosial. Langkah-langkah yang di ambil oleh pihak
british ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang melayu, kerana
sedar hak mereka sebagai rakyat pribumi sedikit demi sedikit diambil alih oleh pihak
pendatang dan kaum penjajah.
3.8 Sistem Pendidikan
Terdapat sekolah-sekolah pondok, madrasah, sekolah-sekolah melayu dan sekolah
Inggeris yang disediakan bagi orang Melayu. Sekolah-sekolah Melayu telah mula
dibuka dikawasan-kawasan barat dan selatan Tanah Melayu sejak tahun 1880-an lagi.
Pada dasarnya, tujuan British bukanlah untuk melahirkan golongan cerdik pandai
dalam kalangan orang melayu. Mereka hanya ingin melihat anak-anak orang Melayu
menjadi lebih pandai sedikit daripada ibu bapa mereka. Bagi yang belajar di sekolah
Inggeris pula adalah anak-anak golongan bangsawan yang ingin dijadikan oleh orang
British sebagai pegawai dan pentadbir bawahan sahaja. Oleh kerana penyediaan
sekolah-sekolah Melayu oleh orang Inggeris ini bukan satu yang ikhlas, maka tidak
terdapat buku-buku teks dan kurikulum yang sesuai.
12

3.9 Perkembangan Sistem Perhubungan
Sistem perhubungan yang telah dimajukan oleh pihak British adalah demi kepentingan
ekonomi mereka. Walau bagaimanapun ianya telah membantu menyelesaikan
halangan geografi dalam kalangan masyarakat Melayu. Umpamanya, pada tahun1910
terdapat lebih daripada 2,400 kilometer jalanraya berturap. Sistem perhubungan ini
dapat membantu merentasi ke kampung, daerah dan juga negeri lain. Masyarakat
Melayu tidak kira dari daerah atau negeri yang berlainan dapat berhubung di antara
satu sama lain. Keadaan ini secara tidak langsung dapat menyatupadukan penduduk
Melayu, yang seterusnya mewujudkan identiti kebangsaan. Idea dan pemikiran
pemimpin-pemimpin Melayu yang berjiwa kebangsaan tersebar dengan pantas kepada
masyarakat di kawasan perkampungan, melalui sistem perhubungan jalan raya dan
jalan keretapi.
4.0 Kesan Perkembangan Nasionalisme di Tanah Melayu
Walaupun pergerakan sebelum Perang Dunia Kedua tidak berjaya membebaskan Tanah
Melayu daripada belenggu penjajahan, namun pergerakan ini berjaya meninggalkan beberapa
kesan positif sebagai satu asas kepada kemerdekaan pada tahun 1957. Kesan yang pertama
ialah, fahaman kebangsaan, kedaerahan dan kenegerian dapat dihapuskan dan diwujudkan
pula semangat kekitaan. Kesan kedua ialah orang Melayu menyedari bahawa mereka
ketinggalan dalam bidang ekonomi di negara mereka sendiri berbanding dengan kaum
imigran. Seterusnya, mereka menyedari tentang kepentingan pendidikan bagi pencapaian
mobiliti sosial. Atas kesedaran ini kaum petani dan nelayan mula menghantar anak-anak
mereka ke sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris. Kesan akhir ialah kegiatan pergerakan
kebangsaan ini telah diteruskan selepas Perang Dunia Kedua terutamanya yang berpendidikan
Inggeris seperti Raja Chulan dan Dato Onn Jaafar, sehingga berjaya mendapat kemerdekaan
dari pihak Inggeris. Antara lain ialah kemunculan parti-parti politik yang tersusun seperti Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
(UMNO). Perpaduan kaum juga dapat diwujudkan kesan daripada perkembangan
nasionalisme ini.



13

5.0 Kesimpulan
Melihat kepada perkembangan semangat nasionalisme Melayu, dapat disimpulkan bahawa
semangat cintakan tanah air atau negara perlu diterapkan dalam jiwa khususnya kaum
Melayu. Ini kerana, tokoh-tokoh nasionalisme Melayu telah berjuang habis-habisan dalam
mengembleng tenaga dalam menyedarkan dan menjaga kepentingan orang Melayu di tanah
sendiri. Usah digadaikan maruah perjuangan yang telah diusahakan oleh tokoh-tokoh pejuang
nasionalisme negara. Secara umumnya, nasionalisme Melayu yang bergerak di Tanah Melayu
ini bertindak bukan sahaja untuk menentang dan menamatkan penjajahan Barat iaitu
penjajahan dari pihak Portugis, Belanda dan British, tetapi ianya juga telah mengubah nilai-
nilai serta institusi politik dengan menekankan negara bangsa yang bebas dan berdaulat.
Nasionalisme yang wujud di Tanah Melayu ini tidaklah menekankan soal penentangan ikatan
darah, bangsa dan budaya tetapi ianya lebih menekankan soal penentangan terhadap
penjajahan Barat ke atas Tanah Melayu.













14

6.0 Rujukan
Alias Mohamed. (1982). Wasiat Nasionalisme Melayu. Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur:
Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Barbara Watson dan Leornad Y. Andaya. (1982). Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur:
MacMillan Publishers.
Ishak Saat. (2007). Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam, Selangor: Karisma
Publication Sdn. Bhd.
Ismail Said. (2010). Perkembangan Sejarah Negara. Punchong, Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
William R. Roof. (1967). The Origins Of Malay Nationalism. Universiti Malaya Press:
Kuala Lumpur.