Anda di halaman 1dari 12

Laporan perlaksanaan internship

Nama pelajar : Nor Hanani bt Abdul Halim.


Program : Ijazah Sarjana Muda Perguruan.
Nama sekolah : Sekolah Kebangsaan Bukit Panau.
Nama projek/aktiviti : Program Mentor Mentee UPSR 2014.
Tempoh perlaksanaan : Empat minggu (setiap hari Isnin dan Rabu).
Objektif:
1) Membantu, membimbing, menasihati dan menunjuk ajar murid (mentee) dalam
setiap aspek pembelajaran mereka agar murid dapat belajar dengan berkesan.
2) Memantau perkembangan pelajaran Mentee dari semasa ke semasa agar
mencapai sasaran yang ditetapkan oleh sekolah.
3) Mewujudkan perhubungan mesra di antara pelajar dan guru dan seterusnya guru
boleh membantu menyelesaikan masalah mereka khususnya yang berkaitan
dengan pelajaran.
4) Membimbing murid (mentee) dalam aspek emosi.
5) Mewujudkan sikap hormat dan sayang murid-murid terhadap rakan mereka,
guru-guru dan sekolah.
Strategi perlaksanaan:
1) Melakukan perbincangan dan agihan tugas dengan rakan praktikum yang lain
2) Kolaborasi dengan pentadbir sekolah, guru pembimbing, guru kaunselor, dan
guru tahun enam bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan.
3) Penyiapan kertas kerja sebagai panduan untuk melaksanakan program.
4) Berbincang dengan guru kaunseling tentang aktiviti yang dijalankan.
5) Membuat pemurnian kertas cadangan dengan pentadbir atasan sekolah
6) Penyiapan pamplet.
7) Mendapatkan kelulusan dari Guru Besar.
8) Membuat taklimat tentang program yang dianjurkan untuk maklumat semua
guru.
9) Membuat pengagihan kumpulan murid tahun enam.
10) Melaksanakan aktiviti bersama murid tahun enam setiap hari Isnin dan Rabu.

Refleksi:
A. Kekuatan projek/aktiviti
Selama empat minggu program ini dijalankan, saya dapati terdapat banyak
kekuatan dan kelebihan yang boleh diperolehi oleh saya, murid, dan pihak sekolah.
Sebagai guru pelatih, saya dapat belajar cara untuk merancang setiap aktiviti berkaitan
motivasi yang sesuai dengan tahap seseorang murid. Oleh kerana murid-murid yang
menjadi mentee saya terdiri daripada kelas yang berbeza, maka saya haruslah bijak
merancang aktiviti agar objektif dan matlamat program ini dapat dicapai. Pengalaman
merancang dan melaksanakan aktiviti membantu saya menyediakan diri untuk
menghadapi dunia kerjaya sebenar sebagai seorang guru kelak. Selain itu, program ini
dapat membantu saya untuk meningkatkan interpersonal di dalam diri sebagai seorang
guru. Komunikasi antara murid dan guru berjalan dengan lancar sekaligus mengeratkan
hubungan silaturrahim. Di samping itu, ia dapat membantu saya bagi mengenal pasti
masalah-masalah yang menjadi punca kepada kemerosotan pembelajaran yang
dihadapi oleh seseorang murid. Daripada punca-punca permasalahan yang telah
dikenalpasti, langkah penyelesaian bagi membantu mereka dapat difikirkan.
Bahkan bukan itu sahaja, setiap murid tahun enam juga mendapat kelebihan di
sebalik kekuatan program yang dijalankan. Mereka yang mempunyai masalah
merasakan diri mereka dihargai dan mudah untuk berkongsi masalah dengan mentor
masing-masing. Ini kerana ada sebilangan besar murid yang segan untuk berkongsi
masalah dengan guru-guru lain. Selain itu, pemikiran mereka yang dahulunya negatif
dapat diubah menjadi positif apabila adanya dorongan dan kata-kata semangat
daripada mentor. Mereka dapat meletakkan matlamat UPSR masing-masing dan perlu
berazam untuk mencapainya. Matlamat yang tinggi berbekalkan usaha yang gigih pasti
akan memperolehi kejayaan.
Seterusnya, pihak sekolah juga turut mendapat kelebihan di sebalik program yang
dijalankan. Oleh kerana program ini merupakan program yang julung kalinya diadakan
di sekolah ini, maka, ia memberi ruang dan peluang kepada warga sekolah untuk
melihat sejauh mana kejayaan program yang dijalankan oleh kami. Selain itu, ia turut
membantu guru-guru tahun enam dalam usaha untuk memberikan semangat kepada
murid-murid untuk terus belajar memandangkan UPSR semakin hampir. Sedikit
sebanyak program ini membantu meringankan tugas guru-guru di sekolah ini. di
samping itu, sikap dan tingkah laku murid-murid tahun enam juga semakin positif
setelah program ini dijalankan. Peningkatan penglibatan semua murid tahun enam
sekaligus membantu mengurangkan sikap murid yang gemar memonteng.
B. Kelemahan projek/aktiviti
Disebalik kekuatan sesuatu program yang dijalankan, masih lagi terdapat beberapa
kelemahan yang telah dikenal pasti. Ini kerana program ini adalah pertama kalinya
dilaksanakan di sekolah ini. Antara kelemahannya adalah pengurusan waktu
perjumpaan mentor mentee. Oleh kerana murid-murid tahun enam semakin hampir
menghadapi peperiksaan percubaan, tempoh masa perjumpaan bersama mentor
sangat singkat. Kesannya, proses penyampaian maklumat kurang berkesan ditambah
pula dengan jumlah mentee yang ramai bagi setiap mentor.
Selain itu, jumlah murid-murid tahun enam yang terlalu ramai dan berbeza kelas
kadang kala menyukarkan saya sewaktu melaksanakan aktiviti. Ini kerana kadang kala
aktiviti yang dijalankan tidak dapat diikuti oleh murid yang lemah. Kebiasaanya murid
kelas pertama lebih banyak berkomunikasi.
Di samping itu, pemilihan kawasan sewaktu melaksanakan program terlalu sempit
bagi memuatkan kesemua kumpulan. Apabila ianya berlaku, ini menyebabkan suasana
menjadi tidak kondusif. Setiap mentor sukar untuk melaksanakan aktiviti secara
berasingan daripada mentor lain. Komunikasi juga turut terganggu kerana kawasan
yang digunakan terlalu bising terutamanya ketika waktu rehat.
Cadangan penambahbaikan
Bagi memastikan program ini dapat dijalankan dengan lancar untuk tahun
hadapan, beberapa cadangan penambahbaikan haruslah difikirkan untuk setiap
kelemahan yang timbul. Cadangan penambahbaikan yang pertama ialah
memanjangkan tempoh masa perlaksanaan perjumpaan mentor mentee. Namun begitu
perjumpaan ini haruslah tidak menganggu proses pengajaran dan pembelajaran guru di
dalam bilik darjah. Selain itu, memastikan setiap mentor hanya mempunyai jumlah
mentee yang tidak lebih daripada lima orang. Ianya bertujuan bagi memastikan smeua
mentor dapat memberikan sepenuh perhatian sewaktu menjalankan aktiviti.
Di samping itu, program ini haruslah dijalankan di kawasan yang sunyi seperti di
perpustakaan. Kawasan yang dipilih haruslah tidak menggangu komunikasi kumpulan
mentor mentee yang lain. Mentor harulah bijak merancang aktiviti yang bersesuaian
dengan kawasan yang telah ditetapkan.
Selain itu, pemilihan mentee bagi setiap kumpulan haruslah sesuai. Pastikan
mentee yang dipilih tidak terlalu lemah dan terlalu bagus bagi setiap kumpulan. Mentor
haruslah bijak memilih ahli mentee yang mempunyai tahap kecemerlangan akademik
yang hampir sama di antara satu sama lain.
Kesimpulan
Kesimpulannya, program yang dijalankan ternyata memberikan kelebihan kepada saya,
murid dan pihak sekolah bagi membantu semua murid tahun enam dari segi emosi
sebelum menghadapi peperiksaan. Walaupun terdapat beberapa kelemahan di sebalik
program yang dijalankan, kesemua mentor yang terdiri daripada guru pelatih dapat
mencapat objektif dan matlamat yang telah dinyatakan.



LAPORAN PROGRAM MENTOR MENTEE UPSR 2014

Pada 7 Julai 2014, satu taklimat ringkas bersama-sama pihak pentadbir dan
mentor telah diadakan bertempat di bilik mesyuarat. Taklimat berkaitan program
internship yang akan dijalankan selama sebulan berada di sekolah ini didahului dengan
penerangan ringkas daripada wakil guru pelatih.

Rajah 1: Mesyuarat pertama bagi Program Internship bersama pentadbir sekolah

Setelah kata persetujuan diterima, program pertama yang dilakukan oleh
kesemua guru pelatih ialah program Mentor Mentee UPSR 2014. Program ini dijalankan
sepanjang masa sepanjang sebulan berada di sekolah ini. Murid - murid Tahun 6 dari
kelas 6 Gemilang, 6 Bestari dan 6 Cemerlang seramai 95 orang telah diwajibkan untuk
mengikuti proram yang diatur ini. Setiap hari Isnin dan Rabu perjumpaan mingguan
untuk semua mentor mentee dilakukan yang memakan masa selama 30 minit sahaja.
Program ini ialah satu program yang dirangka khusus kepada murid-murid Tahun 6
yang bakal menduduki peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR).Setiap murid dibahagikan kepada lapan kumpulan yang ahlinya terdiri daripada
kelas yang berbeza. Setiap kumpulan terdiri daripada 12 orang murid dan mendapat
seorang mentor iaitu guru pelatih sendiri yang bertujuan dapat membimbing mereka
dengan baik dalam memastikan kelancaran akademik mereka.
Pada 7 Julai 2014 iaitu pada hari Isnin, kesemua guru pelatih telah membuat
satu perjumpaan bersama murid-murid Tahun 6 di Dewan Saidina Omar. Perjumpaan
ini dilakukan bagi mengagihkan ahli kumpulan yang telah dibantu oleh guru Tahun 6
iaitu Puan Rahayu bt Ahmad.

Rajah 2 dan 3: Pengagihan murid-murid kepada lapan kumpulan
Setelah selesai pengagihan kumpulan dilakukan, setiap kumpulan yang dibentuk
diberikan seorang mentor. Saya selaku mentor bagi kumpulan enam mengambil
tanggungjawab pertama dengan mengadakan sesi suai kenal. Mentee seramai 12
orang terdiri daripada lima orang murid daripada kelas 6 Gemilang, empat orang tahun
6 Bestari, dan tiga orang tahun 6 Cemerlang. Aktiviti pertama dilakukan bersama ialah
ice breaking iaitu suai kenal. Setiap mentee perlu menceritakan latar belakang mereka
dengan tujuan untuk memastikan setiap mentee selesa diantara satu sama lain.
Setelah suai kenal dilakukan, aktiviti kedua iaitu sharing is caring dilakukan.
Setiap mentee perlu menceritakan keputusan UPSR terbaru mereka dengan rakan-
rakan yang lain. Aktiviti ini ternyata memudahkan saya untuk mengenal pasti murid-
murid yang cemerlang, sederhana dan lemah. Hasil daripada aktiviti ini didapati
seramai tiga orang murid mendapat 5A. Perkongsian keputusan ini sangat membantu
murid yang lemah untuk menaikkan semangat dan keyakinan mereka sekaligus tips-tips
kecemerlangan dapat dikongsi bersama.
Seterusnya, ketua dan penolong kumpulan dilantik dari kalangan mentee.
Setelah perbincangan dilakukan, Muhd Azim bin Mahadi dari kelas 6 Bestari dilantik
sebagai ketua kumpulan. Selesai sahaja perlantikan ketua kumpulan, perbincangan
nama kumpulan pula dilakukan. Muhd Azim sebagai ketua kumpulan memainkan
peranan penting sebagai ketua kumpulan bagi mengawal aktiviti perbincangan. Namun
begitu aktiviti ini tidak dapat diselesaikan kerana kesuntukan masa. Oleh itu, saya
sebagai mentor memberikan tugasan kepasa setiap mentee untuk memikirkan nama
kumpulan yang sesuai dan perjumpaan seterusnya dilakukan keesokan harinya.
8 Julai 2014 iaitu hari Selasa tepat pada pukul 10.30 pagi, ahli mentee
berkumpul di Dewan Saidina Omar. Perjumpaan dimulakan dengan membaca doa
terlebih dahulu yang telah diketuai olah Muhd Azim. Seterusnya, tanpa membuang
masa, perbincangan nama kumpulan dilakukan dan setelah kesemua mentee
bersetuju, kumpulan ini diberikan nama Squad 5A. Squad mewakili 12 orang mentee
yang bersatu padu, sehati sejiwa dan bekerjasama manakala 5A merupakan target
kesemua mentee untuk UPSR pada tahun ini. Kesimpulannya, nama kumpulan ini
mengambarkan bahawa mereka seramai 12 orang akan bersatu padu, sehati sejiwa
dan bekerjasama dalam memastikan keputusan 5A akan berada di dalam genggaman
mereka.
Seterusnya, aktiviti dari hati ke hati dilakukan secara seorang demi seorang.
Perkongsian masalah dilakukan dan setiap mentee haruslah merahsiakan masalah-
masalah yang diceritakan oleh mentee yang lain. Kata-kata semangat bukan sahaja
diberikan oleh saya tetapi juga kepada saya sendiri sebagai seorang mentor. Terdapat
juga sebahagian mentee yang berasa segan untuk menceritakan masalah mereka dan
saya telah mengambil langkah dengan meminta mereka untuk menceritakan masalah
dan azam untuk berubah di atas sekeping kertas. Hasil daripada aktiviti yang dilakukan
ini didapati majoriti ahli mentee kurang mengemari mata pelajaran Sains dan berazam
untuk tidak bermain semasa berada di dalam bilik darjah dan berjaya dengan
cemerlangnya untuk memastikan 5A berada di dalam genggaman dan ingin melihat ibu
bapa, keluarga dan guru-guru berasa bangga dengan mereka.
Oleh itu, saya telah melakukan aktiviti seterusnya iaitu The Motivation.
Pendefinisian motivasi diterangkan satu persatu kepada setiap mentee agar mereka
dapat memahami definisi sebenarnya. Motivasi terdiri daripada dua perkataan iaitu
motive dan action. Kedua-duanya haruslah ada bagi memastikan kejayaan menjadi
milik kita.
Perjumpaan seterusnya dilakukan pada 14 Julai 2014 iaitu pada hari Isnin.
Perjumpaan kali ini adalah perjumpaan bersama-sama dengan kumpulan dan mentor
yang lain. Setiap murid Tahun 6 berkumpul mengikut kumpulan. Perjumpaan bersama
ini dilakukan bagi mengedarkan satu borang maklumat diri murid yang turut
mengandungi target UPSR dan moto hidup. Setiap murid mengisi borang maklumat diri
murid ini dibawah pengawasan mentor masing-masing. Tujuan aktiviti ini dilakukan
adalah bagi melihat dengan lebih jelas lagi maklumat diri setiap murid dan
memudahkan proses rekod dan penyimpanan.

Rajah 4: Mentor mengagihkan borang maklumat diri kepada setiap mentee

Rajah 5 dan 6 : Murid-murid sedang mengisi borang maklumat diri
Seterusnya, selesai sahaja mengisi borang maklumat diri murid, setiap murid
diedarkan pula surat Aku Janji. Surat ini mengandugi bait-bait perkataan janji yang perlu
dilafazkan olah mereka yang mempunyai enam perkara. Muhd Iqbal dari kelas 6 Bestari
dilantik bagi mengetuai bacaan Aku Janji ini. Selesai sahaja aktiviti, setiap murid
perlulah menanda tangani surat tersebut beserta nama dan tarikh. Surat ini perlulah
disimpan dan dibawa setiap kali perjumpaan dilakukan.

Rajah 7: Murid-murid perlu menandatangani surat Aku Janji


Rajah 8: Murid membaca ikrar secara beramai-ramai
Program ini diteruskan setiap minggu sehingga minggu terakhir kami berada di
sekolah ini bagi program Internship. Diharapkan segala pengisian ilmu kepada setiap
mentee dapat membantu mereka untuk bersedia dari segi fizikal dam mental sebelum
peperiksaan. Program ini juga ternyata membantu kami sebagai guru pelatih untuk
bersedia menjadi seorang guru kelak dalam memastikan kejayaan menjadi milik setiap
murid.
Disediakan oleh:

_____________________________
(NOR HANANI BINTI ABDUL HALIM)
Guru Pelatih IPGKSM

Disemak oleh:

_____________________________
(EN MUHAMMAD RIZAL B. AHMAD)
Mentor,
Program Internship SKBP 2014
CATATAN REFLEKSI
1. Isu/perkara yang difokus

Berdasarkan program yang dirancang, perkara yang ingin difokuskan ialah persediaan
aktiviti sepanjang empat minggu bersama mentee yang telah dipilih. Kesesuaian aktiviti
setiap minggu amat penting agar objektif program ini dapat dicapai seperti mana yang
dinyatakan.

2. Analisis isu/perkara yang difokus

2.1 Kekuatan

Antara kekuatan yang dapat diperolehi disebalik penyesuaian aktiviti setiap
minggu ialah mentor dapat mengenal dengan lebih mendalam setiap mentee yang telah
dipilih kerana mereka terdiri daripada murid-murid yang berbeza tahap kecerdasan.
Kesesuaian aktiviti amat penting bagi memastikan objektif program dapat dicapai.

Selain itu, ia turut membantu mentor untuk menimba pengalaman daripada
kaunselor sekolah tentang penyusunan aktiviti motivasi yang sesuai. Aktiviti yang
dilakukan haruslah mampu menarik minat dan meningkatkan tahap motivasi di dalam
diri

Disamping itu, hubungan silaturrahim diantara mentor dan mentee juga dapat
diwujudkan. Kepercayaan mentee diantara rakan dan mentor ternyata dapat
ditingkatkan setiap minggu hasil daripada luahan perasaan dan interaksi yang
ditunjukkan. Sebahagian besar mentee yang dahulunya pendiam kini mulai berani
untuk berkomunikasi di khalayak ramai telah membuktikan bahawa mereka sudah yakin
pada diri sendiri.


2.2 Kelemahan

Walaubagaimanapun, terdapat juga kelemahan disebalik penyusunan dan penyesuaian
aktiviti yang dijalankan. Aktiviti yang dirancang ada kalanya tidak membantu mentee-
mentee yang lemah dan pendiam. Mereka mengambil masa yang terlalu lama untuk
menonjolkan diri. Kesannya, mentor tidak dapat mencungkil masalah yang telah
dihadapi oleh mereka sekaligus menyukarkan proses untuk meningkatkan keyakinan
diri.

Selain itu, kesuntukan waktu turut berlaku setiap kali aktiviti dijalankan. Ini
kerana sesi perjumpaan hanyalah singkat iaitu pada waktu rehat sahaja. Penambahan
waktu perjumpaan pula tidak dibenarkan oleh pihak sekolah memandangkan kesemua
mentee terdiri daripada murid-murid tahun enam.

3. Cadangan penambahbaikan

Oleh itu, bagi memastikan kelemahan disebalik program ini dapat diatasi, beberapa
cadangan penambahbaikan haruslah dilakukan. Antaranya ialah aktiviti yang disusun
dan dilakukan haruslah sesuai dengan tahap kesemua mentee. Jika aktiviti yang
dilakukan tidak memberi kesan kepada mentee, maka mentor haruslah bijak untuk
mengubah aktiviti yang sesuai agar objektif program dapat dicapai.

Selain itu, waktu perjumpaan dan perlaksanaan aktiviti haruslah dipanjangkan.
Jika ianya tidak dibenarkan, maka mentor haruslah bijak mengurus waktu yang telah
ditetapkan dengan sebaik baik. Komunikasi diantara mentor dan mentee haruslah
berkesan agar aktiviti berjalan dengan lancar.

Anda mungkin juga menyukai