Anda di halaman 1dari 27

Home

Objektif
Latar Belakang Kelab
Logo
Organisasi Kelab
Aktiviti
Keahlian Kelab
THURSDAY, JULY 19, 2012
Artikel Kalendar Hijrah

ASAS-ASAS SYARIE DAN KAEDAH PENETAPAN
TAQWIM HIJRIAH DI MALAYSIA

Dr. Azhari bin Mohamed

Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam

Surah al-Faatihah Ayat 2

Ayat di dalam surah pembukaan Al-Quran ini menarik perhatian manusia
kepada Allah dan segala apa jua penciptaanNya. Sebagai orang Islam,
kita seharusnya merasa terpanggil untuk menerokai alam buana ini,
sekurang-kurangnya untuk menimbulkan rasa keinsafan di atas
kekerdilan kita dan sehebat-hebatnya untuk mendekatkan diri kita
kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada
dirimu sendiri. Maka apakah kamu tiada memperhatikan? Dan di langit terdapat (sebab-sebab) rezekimu
dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu
Surah adz-Dzaariyaat Ayat 20-22

Sebenarnya minat kepada alam semesta telah lama bermula sejak
wujudnya manusia diatas muka bumi, hasil dari rasa kagum dan ingin
tahu terhadap kejadian-kejadian yang berlaku di langit dan perubahan-
perubahan dalam alam. Mutakhir ini menyaksikan minat yang tinggi
didalam bidang falak. Perkembangan ini berhubung kait dengan sains
teknologi dan penerokaan angkasa lepas.

Sejajar dengan kedatangan Islam serta pengembangan wilayah
takluknya, maklumat-maklumat berkaitan dengan perlakuan ibadat,
aktiviti ekonomi dan sosial, lokasi geografi, perhubungan dan
kemasyarakatan amat diperlukan. Ini lebih-lebih lagi dari segi penentuan
hala kiblat, perhitungan waktu solat, penetapan tarikh bulan hijri serta
penyediaan pandu arah perjalanan bagi tujuan dakwah, perdagangan,
politik dan pentadbiran urusan manusia sehari-hari.

Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam
kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami)
kepada orang-orang yang mengetahui
Surah al-AnAam Ayat 97


2.0 Sistem Bumi-Bulan-Matahari

"Dan Dia lah yang menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu
beredar di dalam garis edarnya.
- Surah Al Anbiyaa' Ayat 33

Hubungan di antara Ilmu Falak dan penentuan awal bulan hijrah sudah
tidak asing lagi bagi umat Islam di Malaysia. Ianya amat penting dalam
membentuk Takwim Hijriah dan seterusnya menentukan tarikh-tarikh
penting di dalam Islam seperti Ramadhan, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari
Raya Aidil Adha. Asas astronomi bagi Takwim Hijriah adalah berdasarkan
sistem qamariyyah di mana ianya berpandukan kepada peredaran bulan
mengelilingi bumi.

Bulan mempunyai saiz yang paling kecil berbanding dengan jasad
matahari dan bumi. Ia berbentuk bulat atau sepiar seperti bola dan jelas
kelihatan pada waktu malam. Bulan beredar mengelilingi bumi pada
orbitnya yang mengakibatkan terbentuknya bilangan bulan. Manakala
bumi pula berputar di paksinya yang membentuk Gerakan Harian
(Diurnal) sambil bergerak mengelilingi matahari dan terjadinya Gerakan
tahunan (Annual).

Gerakan Harian (Diurnal)

Gerakan Harian ialah putaran bumi pada paksinya dari barat ke timur. Ia
mengambil masa selama 24 jam bagi satu putaran genap. Gerakan harian
ini menyebabkan terjadinya fenomena siang dan malam. Bahagian bumi
yang mengadap ke matahari akan mengalami siang manakala bahagian
yang terlindung akan mengalami malam. Tempoh waktu siang dan malam
pada sesuatu tempat adalah bergantung kepada garislintang (latitud)
tempat tersebut. Bagi tempat-tempat yang berada di kawasan Katulistiwa
(latitud 0), tempoh waktu siang dan malamnya hampir sama. Putaran
bumi juga menyebabkan terjadinya matahari terbit dan terbenam.



Gerakan tahunan (Annual)

Bumi beredar mengelilingi matahari di atas orbitnya dalam tempoh masa
lebih kurang 365 hari iaitu satu tahun. Ini dikenali sebagai Gerakan
Tahunan (Annnual). Bumi beredar mengelilingi matahari pada arah
berlawanan jam dan orbitnya berbentuk eliptik (membujur). Oleh itu
jarak antara bumi dan matahari berubah-ubah semasa peredarannya.
Jarak paling dekat sekali (matahari-bumi) dikenali sebagai Perihelion dan
jarak paling jauh sekali (matahari-bumi) dipanggil Aphelion. Kesan
daripada kecondongan paksi bumi terhadap satah orbit bumi mengelilingi
matahari iaitu sebanyak 66.5menyebabkan lahirnya empat musim iaitu
musim panas , gugur, sejuk, dan bunga. Bagi kawasan-kawasan yang
berada di latitud yang tinggi iaitu samaada bahagian atas atau bawah dari
kawasan katulistiwa. Sekiranya di hemisfera utara mengalami musim
panas, maka di hemisfera selatan pula akan mengalami musim sejuk.

Peredaran Bulan

Dan Kami telah tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah sehingga (setelah dia sampai kemanzilah yang
terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan
bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya
- Surah Yasin ayat: 39-40

Bulan adalah satu badan cakerawala berbentuk bulat atau sepiar, beredar
mengelilingi bumi dari arah barat ke timur. Bulan mengambil masa
selama 27.32 hari bagi melengkapi satu pusingan mengelilingi bumi yang
mana ianya dipanggil bulan sideris (sidereal). Manakala tempoh waktu
yang diambil oleh

bulan untuk melengkapkan pusingan dengan bumi beserta matahari
(matahari, bulan dan bumi berkedudukan di atas longitud yang sama)
ialah selama 29.53059 hari dan dipanggil bulan sinodis (synodic) atau
dikenali juga sebagai satu bulan ijtimak. Tempoh satu bulan ijtimak tidak
sentiasa sama (29.53059 hari) di sebabkan pengaruh tarikan planet-
planet di sekeliling.



Fasa-Fasa Bulan

"Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: 'Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu
bagi manusia dan (bagi ibadat) haji ."
- Surah Al Baqarah Ayat 189





Fasa bulan ialah peringkat perubahan bentuk bulan yang bercahaya
sepanjang pusingannya di orbitnya mengelilingi bumi iaitu sebulan
ijtimak. Oleh kerana bumi beredar mengelilingi matahari di satah ekliptik,
maka kedudukan bumi relatif dengan kedudukan bulan dan matahari
sentiasa berubah-ubah. Perubahan ini mengakibatkan permukaan bulan
yang bercahaya dilihat dari bumi dalam keadaan yang berbeza-beza
bentuk. Akibatnya terjadilah fasa-fasa bulan.

Dalam tempoh peredaran bulan, wujud empat fasa utama bulan yang
dapat dilihat dari bumi:

Fasa Pertama : Ijtimak (bulan gelap) dan hilal
Fasa kedua : Bulan pada suku pertama
Fasa Ketiga : Bulan pada suku kedua (bulan
purnama)
Fasa Keempat : Bulan pada suku ketiga

Ijtimak (conjunction)

Ijtimak dikatakan berlaku apabila bumi, bulan dan matahari berada
didalam longitud yang sama, iaitu ketiga-tiga jasad tersebut
berkesedudukan didalam satu garisan. Akibat daripada penyusunan ini,
bulan akan membelakangi matahari. Bayang bulan akan terhasil dan
sekiranya ia jatuh keatas permukaan bumi, maka terjadilah gerhana
matahari.

Bulan Baru (astronomical new moon)

Bulan baru terhasil ketika ijtimak berlaku. Bagi kaum Cina, ia
menandakan permulaan atau hari pertama dalam bulan baru. Bulan baru
mustahil untuk dilihat dari bumi kerana kedudukannya itu tidak
memungkinkan ia untuk

mamantunkan cahaya matahari. Oleh kerana itu, bulan baru tidak boleh
dilihat, kecuali ketika gerhana matahari.
Hilal, Anak Bulan atau Bulan Sabit (moon crescent)

Selepas sahaja ijtimak berlaku, maka bulan akan terus beredar
mengelilingi bumi. Dalam masa yang sama, bumi pula berputar pada
paksinya. Oleh kerana putaran bumi adalah lebih laju daripada peredaran
bulan, maka bulan akan segera terbenam diufuk barat pencerap. Hilal
atau anak bulan atau bulan sabit hanya akan terbentuk dan wujud
selepas bulan itu keluar daripada garisan ijtimaknya dan berada di
kedudukan yang membenarkan ia memantunkan cahaya matahari kepada
pencerap di bumi. Justeru, bagi pencerap dibumi, hilal adalah
kenampakan pertama lengkuk cahaya tersebut. Bagi umat Islam, apabila
hilal telah kelihatan, ia menandakan permulaan atau hari pertama dalam
bulan baru.

Jarak Lengkung Bulan Matahari

Jarak lengkung merupakan salah satu daripada nilai yang penting bagi
Kriteria Imkanurukyah. Ia adalah jarak sudut yang dihitung dari titik
tengah bulan hingga ke titik pertemuan antara ufuk dengan piring
matahari ketika maghrib.

Tinggi Hilal

Ketinggian hilal yang juga disebut sebagai altitud adalah jarak sudut yang
diukur dari ufuk hingga ke titik tengah hilal.

Umur Hilal

Tempoh masa diantara waktu ijtimak dengan waktu hilal terbenam
dinamakan umur hilal. Lagi lama tempoh ini, maka lagi tinggi peluang
untuk melihat hilal. Ini adalah kerana bulan telah jauh meninggalkan
garisan ijtimak tersebut. Geometri kedudukannya adalah semakin besar
secara relatif kepada matahari dan bumi. Bentuk dan ketebalan cahaya
hilal bergantung keatas geometri ini.


3.0 Takwim

"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan Nya manzilah-manzilah
(tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan
(waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda
(kebesaran Nya) kepada orang-orang yang mengetahui"
Surah Yunus Ayat 5-6

Takwim atau kalendar boleh ditakrifkan sebagai satu rekod perjalanan waktu atau satu sistem
susunan masa. Taqwim membahagikan tahun menjadi bulan, bulan menjadi minggu dan
minggu menjadi hari.

Takwim memainkan peranan yang amat penting didalam kehidupan manusia sejak berzaman
lagi.

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat
menasihati supaya menetapi kesabaran

Surah Al-Asyr ayat 1 - 3


Ia boleh diibaratkan sebagai satu time planning mechanism yang
bersifata self correcting system dan berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti
sosial dan keagamaan bagi membantu manusia mentadbir kehidupan
mereka seharian, termasuklah amalan-amalan ketamadunan dan
keagamaan. Justeru, manusia menggunakan Takwim bagi merancang,
mengurus, mengatur, mentadbir dan melaksanakan aktiviti-aktiviti
hariannya, termasuklah perlakuan ibadat keagamaan, perayaan,
kebudayaan, pertanian dan sebagainya.


3.1 Takwim Islam dan Kalendar Miladiah

Hubungan di antara penentuan awal bulan hijriah dengan ilmu falak
syarie sudah tidak asing lagi bagi umat Islam. Ianya amat penting dalam
membentuk Takwim dan seterusnya untuk menentukan tarikh-tarikh
penting seperti awal Ramadhan, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil
Adha. Asas astronomi bagi Takwim Islam iaitu Takwim Hijriah adalah
berdasarkan sistem qamariyyah di mana ianya berpandukan kepada
peredaran bulan mengelilingi bumi.

Mereka itu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang bulan sabit katakanlah, bulan sabit itu tanda-
tanda waktu bagi orang-orang puasa, raya puasa dan waktu-waktu ibadah dan berhaji
Surah Al-Baqarah: 189

Menurut ilmu astronomi, perkiraan bulan baru dikatakan bermula ketika
berlakunya waktu ijtimak, sementara menurut ilmu falak syarie, perkiraan
awal bulan baru Hijriah dikira bermula selepas peristiwa ijtimak dengan
terlihatnya hilal di ufuk barat selepas matahari terbenam.

"Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu kami hapuskan tanda malam dan kami
jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui
bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah kami terangkan dengan jelas."
Surah Al Israk Ayat 12

Apabila hendak membangunkan sesebuah Takwim, ianya boleh di
asaskan sama ada kepada kedudukan bulan (seperti Takwim Hijriah) atau
matahari (Kalendar Miladiah) atau kedua-duanya sekali (Kalendar Cina
dan Hebrew).

Jadual-jadual berikut menyenaraikan ciri-ciri persamaan dan perbezaan
diantara Taqwim Islam dan Kalendar Miladiah:



Taqwim Islam


Kalendar Miladiah
Ciri-Ciri Umum
berasas kepada peredaran bulan
mengelilingi bumi
mula diperkenalkan pada tahun
638 Miladiah oleh Saidina Umar ibn
Al-Khattab
bersempena dengan penghijrahan
Rasulullah s.a.w. dari Kota Mekah ke
Kota Madinah dalam bulan
September 622M
1 Muharram 1H = 16 Julai 622M
tahun baru disambut selepas 12
kali kenampakan hilal

Ciri-Ciri Umum
berasaskan kepada peredaran
bumi mengelilingi matahari
berasal daripada Kalendar Julian
(Julius Caesar) yang diperkenalkan
sejak tahun 45BC
hanya mula digunakan secara
resmi sejak Mac 1582M setelah
melalui pengubahsuaian oleh Pope
Gregory XIII pada tahun 1545M
tahun baru disambut selepas 1
peredaran bumi mengelilingi
matahari


Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia
menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram.
Surah At-Taubah Ayat 36

Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (sesuatu bulan kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang
lain) adalah menambah kekufuran: kerana mereka menghalalkannya pada satu tahun dan
mengharamkannya pada tahun yang lain pula, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan
yang dihormati yang empat) yang telah diharamkan oleh Allah (berperang di dalamnya), dan menjadikan
yang haram itu sebagai halal. . . .
Surah at-Taubah Ayat 37



Taqwim Islam


Kalendar Miladiah
Bulan
1 tahun mempunyai 12 bulan
(Muharram, Safar, Rawal, Rakhir,
Jawal, Jakhir, Rejab, Syaaban,
Bulan
1 tahun mempunyai 12 bulan
(Januari, Februari, Mac, April, Mei,
Jun, Julai, Ogos, September,
Ramadan, Syawal, Zkaedah, dan
Zhijjah)
bulan Ramadan penghulu bulan
tiada intercalation atau
penambahan bilangan bulan
awal bulan bermula keesokkan
harinya dengan kebolehnampakan
hilal pada waktu maghrib hari ke-29,
sekiranya tidak ia akan bermula hari
lusa

Oktober, November dan Disember)
tiada intercalation atau
penambahan bilangan bulan
awal bulan baru bermula secara
tetap, iaitu apabila bilangan hari
dalam bulan lepas telah cukup





Sesungguhnya kami umat yang ummi tidak tahu menulis dan tidak tahu mengira, sebulan adalah seperti
ini dan seperti ini; yakni sekali 29 (hari) dan sekali 30 (hari)
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


barangsiapa diantara kamu hadir (dinegeri tempat tinggalnya) dibulan itu, maka hendaklah ia
berpuasa pada bulan itu .
Surah Al-Baqarah Ayat 185


Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu kerana melihat hilal. Bila hilal tertutup
atasmu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaaban tiga puloh
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim




Taqwim Islam


Kalendar Miladiah
Hari
bermula hampir 6 jam lebih awal
dari hari Miladiah
bermula dari dan berakhir pada
waktu matahari terbenam
kitaran hari = 24 jam 1 minit
Hari Jumaat penghulu hari
malam kepunyaan hari siang
esoknya (hari Khamis, malam
Jumaat)
mempunyai 354/355 (354.36 hari)
didalam setahun
bilangan hari dalam bulan tidak
semestinya sama dari tahun ketahun
29/30 hari (29.53 hari); 1 tahun =
354/355 hari = 12 bulan (354.36
hari)
hari kebesaran dirayakan dalam
musim yang berlainan (1
pusingan=33 tahun M)
Hari
bermula lewat dari hari Islam
bermula dari dan berakhir pada
waktu tengah malam
kitaran hari = 24 jam
Hari Ahad hari rehat
malam kepunyaan hari siang
(hari Khamis, malam Khamis)
bilangan hari dalam bulan adalah
tetap dari tahun ketahun
penambahan 1 hari dalam bulan
Februari pada tahun lompat
mempunyai 365/366 (365.242
hari) didalam setahun
28/29/30/31 hari - diagih dari
365/366 hari (tahun matahari)
tahun lompat setiap 4 tahun dan
kurun lompat setiap 400 tahun
hari-hari penting disambut
didalam musim yang sama



"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan Nya manzilah-manzilah
(tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu).
Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran
Nya) kepada orang-orang yang mengetahui"
Surah Yunus Ayat 5

Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), dibawah pengawasan
Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam Kebangsaan berperanan
menyediakan Taqwim Islam Malaysia (TIM) untuk kegunaan resmi rakyat
di negara ini. JUPEM adalah agensi yang dipertanggungjawab
menyediakan data-data teknikal dalam penyediaan Taqwim Islam
Malaysia untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Setiap tahun
operasi penyediaan Takwim Islam Malaysia oleh JUPEM akan melalui
beberapa peringkat dimana setiap satunya akan disahkan oleh Jawatan
Kuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pusat Islam
Malaysia.


3.2 Kaitan Antara Takwim Islam dan Kalendar Miladiah

Didalam Al-Quran, terdapat satu surah yang memberi pertalian atau
kaitan diantara tahun Islam/Hijriah dan tahun Miladiah. Surah yang
dimaksudkan itu berbunyi:

Dan mereka tinggal dalam gua mereka tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun (lagi).
Surah Al Kahfi ayat 25.


Dari ayat diatas, jelas diceritakan bahawa jumlah bilangan tahun
pemuda-pemuda Ashhabul Kahfi tidur didalam gua ialah (300 + 9 ) tahun
atau 309 tahun. Bagaimanapun, oleh kerana ketika itu, kalendar Miladiah
masih belum digunakan secara meluas diseluruh dunia (lihat para 2.1),
maka kita boleh rumuskan disini

bahawa tentulah sistem tahun yang dimaksudkan didalam surah diatas
adalah sistem tahun Islam (taqwim Hijriah hanya digunakan selepas 16
tahun penghijrahan Rasulullah SAW).

Berdasarkan hadis Nabi dan juga ayat Al-Quran (rujuk para 2.1), bilangan
309 tahun ini boleh ditukarkan kepada bilangan hari dalam sistem tahun
Islam melalui perkiraan berikut:

Bilangan hari dalam tahun Islam
= (Bilangan hari dalam bulan Islam) x
(Bilangan
bulan dalam tahun Islam)
= ( 29.5 hari x 12 bulan )
= 354 hari

Oleh itu, secara puratanya, jumlah bilangan hari dalam satu tahun Hijriah
adalah sebanyak 354 hari. Dari jumlah ini, kita dapat menghitung jumlah
bilangan hari pemuda-pemuda Ashhabul Kahfi berada didalam gua:

Jumlah bilangan hari = 309 tahun x (Bilangan hari dalam tahun
Hijriah)
= 309 x 354 hari
= 109,386 hari

Bilangan 109,386 ini adalah merupakan jumlah hari dalam 309 tahun
dalam sistem kalendar Islam atau Taqwim Hijriah. Persoalannya,
mengapakah ayat 25 Surah Al Kahfi menyebut tiga ratus tahun dan ditambah
sembilan tahun . Mengapakah tidak disebut 309 tahun sahaja? Adakah 300
tahun itu berasaskan sistem kalendar yang lain?

Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, kita boleh cuba
bahagikan jumlah bilangan 109,386 hari dengan 300 tahun untuk
mengetahui berapakah bilangan hari dalam setahun berdasarkan sistem
tersebut.

Jumlah bilangan hari dalam setahun
= (109,386 hari) (300 tahun)
= 364.62
365 hari

Angka 365 hari setahun ini sebenarnya merupakan jumlah hari yang
diambil oleh bumi untuk mengelilingi matahari (angka sebenar adalah
365.242 hari). Angka inilah yang digunakan sebagai asas kepada
pembentukan sistem kalendar matahari atau disebut kalendar Miladiah.

Oleh itu, dapatlah disimpulkan disini bahawa berdasarkan nas-nas Al-
Quran dan hadis, secara puratanya bilangan hari dalam Taqwim Hijriah
adalah 354 hari dan bilangan hari dalam Kalendar Miladiah adalah 365
hari, seterusnya memberikan perbezaan diantara kedua-duanya sebanyak
11 hari. Dan semua fakta-fakta saintifik ini telah pun dinyata dan
diterangkan didalam Al-Quran melalui surah Al Kahfi lebih 1400 tahun
dahulu!

Katakanlah: Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua); kepunyaanNya lah semua
yang tersembunyi di langit dan di bumi ..
Surah Al Kahfi ayat 26.


Wallahualam bissawab.


3.3 Jenis-jenis Takwim Islam

Walaupun pada asasnya Takwim Hijrah berdasarkan kepada peredaran
bulan,

tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim,
bergantung kepada tujuan pemakaian dan keadaan masa. Pelbagai
peringkat takwim telah di bentuk dan digunapakai di Malaysia sehingga
kini seperti:

Takwim Istilahi

Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun
berselang-seli diantara 30 dan 29 hari untuk menjadikan 354 hari
setahun.

Takwim Ijtimak Hakiki

Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di
mana penentuan awal bulan Hijriah dikira berpandukan selepas
berlakunya ijtimak hakiki. Sekiranya ijtimak berlaku sebelum matahari
terbenam pada hari yang ke-29 bulan Hijriah, maka sejak terbenamnya
matahari itulah dikira sebagai awal bulan Hijriah yang baru atau dengan
lain perkataan, esoknya adalah 1 haribulan. Sebaliknya jika ijtimak
berlaku selepas terbenamnya matahari pada hari tersebut, maka
keesokan harinya dijadikan 30 haribulan.

Takwim Ijtimak Wujudul Hilal

Takwim jenis ini juga berdasarkan sistem ijtimak bumi-bulan-matahari.
Bagaimanapun, penentuan awal bulannya bergantung kepada samada
hilal itu wujud atau tidak di atas ufuk pada saat matahari terbenam pada
hari ke-29 bulan Hijriah. Sekiranya hilal itu wujud, maka bermula dari
waktu terbenam matahari itulah bulan baru atau 1 haribulan itu dikira.
Begitulah sebaliknya dan takwim ini digunakan di Malaysia sebelum 1996
bagi penentuan awal 10 bulan selain Ramadan dan Syawal.

Takwim Imkanur Rukyah

Takwim Imkanur Rukyah pula terbentuk bila mana penentuan bagi setiap
awal bulan Hijriah dibuat berdasarkan ketetapan kriteria Imkanur Rukyah
yang tertentu. Takwim ini digunakan di Malaysia bagi kesemua bulan
Hijriah sejak 1996 berdasarkan kriteria yang telah dipersetujui dalam
tahun 1991.


4.0 Kaedah Penentuan Awal Bulan Hijrah

Di Malaysia, penentuan awal bulan hijrah melibatkan dua kaedah iaitu:

i. Penentuan secara falak (hisab)
ii. Penentuan secara rukyah (melihat)

Kedua-dua kaedah ini berhubungkait di antara satu sama lain di dalam
urusan penentuan awal bulan hijriah di Malaysia. Setiap awal bulan
ditentukan dengan terlihatnya hilal selepas berlakunya ijtimak iaitu
apabila bulan, bumi dan matahari berada di garisan atau longitud yang
sama. Bilangan hari pula dikira dari kedudukan ini sehingga bulan kembali
ke kedudukan ijtimak seterusnya iaitu selama 29.53 hari.

Menurut astronomi moden, perkiraan bulan baru adalah bermula ketika
berlakunya waktu ijtimak, sementara menurut ilmu falak syarie,
perkiraan awal bulan baru Hijrah bermula selepas peristiwa ijtimak dan
hilal dikira berada di ufuk barat ketika matahari terbenam. Oleh itu,
berlakulah perbezaan diantara tahun Hijrah dengan tahun Miladiah
sebanyak 10 atau 11 hari.



Konsep paling asas sekali didalam penentuan awal bulan Hijriah di
Malaysia adalah mengkaji sifat bulan pada penghujung petang hari yang
ke-29 bulan Hijriah, dengan mengambilkira:




i. Dua faktor konfigurasi bulan, iaitu:

Ketinggian hilal, iaitu jarak sudut dari ufuk ke pusat bulan, dan
Jarak lengkung, iaitu jarak sudut dari piring matahari ke pusat bulan.





ii. Satu faktor kematangan bulan, iaitu:

Umur bulan, iaitu tempoh masa dari waktu ijtimak sehingga bulan
terbenam.




Jika sekiranya sifat bulan pada penghujung petang hari yang ke-29
mengikut hitungan membenarkan kebolehnampakan hilal, maka tarikh
keesokkannya menjadi 1 haribulan. Jika keadaan berlaku sebaliknya,
maka keesokkannya adalah 30 haribulan. Sifat bulan ini boleh ditentukan
berdasarkan kriteria Ketetapan Imkanur Rukyah.


4.1 Kriteria Ketetapan Imkanur Rukyah

Bulan Hijrah bermula pada waktu maghrib (matahari terbenam) hari
'terlihatnya' hilal. Kecanggihan teknologi dan perkiraan sekarang
memungkinkan kita untuk membuat perkiraan tentang kedudukan bulan
dengan tepat. Bagaimanapun, samada hilal boleh dilihat di sesuatu lokasi
atau tidak agak sukar untuk dijangkakan.

Kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa faktor seperti
keadaan cuaca, ketinggian bulan ketika maghrib, jarak lengkung bulan-
matahari ketika maghrib, tempoh masa antara matahari terbenam dan
bulan terbenam, pencemaran udara, peralatan optik, pencerap dan
sebagainya. Oleh itu, kaedah ketetapan kriteria Imkanur Rukyah
(kebolehnampakan hilal) yang mengambilkira faktor-faktor tersebut
digunakan bagi menentukan permulaan bulan Hijriah. Kriteria ini boleh
disesuaikan berdasarkan laporan-laporan rukyah yang dibuat dari masa
kesemasa.

Kriteria Imkanur Rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal bagi
Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November
1978 dengan ketetapan:

Ketinggian hilal tidak kurang dari 5 ketika matahari terbenam.
Jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 8 ketika
matahari terbenam.

Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerima pakai
Deklirasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif:

Umur bulan tidak kurang dari 8 jam ketika hilal terbenam.

Pada 1 Jun 1992, bertempat di Labuan, Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-
Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS)
telah bersepakat untuk mengubahsuai Kaedah Imkanur Rukyah yang
sedia ada.

Kriteria Ketetapan Imkanur Rukyah adalah:

Sebelum matahari terbenam, ijtimak telah berlaku 29 haribulan Hijriah
dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat
memenuhi salah satu syarat-syarat berikut :

Di ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang
dari 2 dan jarak lengkung 3 atau

Di ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas
ijtimak berlaku).

Kaedah Imkanur Rukyah ini pada mulanya diguna bagi penentuan awal
bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah sahaja manakala bulan-bulan lain
secara kaedah Wujudul Hilal. Pada tahun 1996, Jawatankuasa Teknikal
Kalendar Islam Malaysia telah menetapkan penggunaan kaedah Imkanur
Rukyah untuk semua bulan Hijriah dalam perlaksanaan Takwim Islam
Malaysia. Secara ringkasnya, sejarah

evolusi kriteria tersebut adalah seperti berikut:





SIFAT BULAN











Mekanisme Penetapan Awal Bulan Hijriah di Malaysia

Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam Kebangsaan telah ditubuhkan di akhir tahun 80an.
Ianya terletak di bawah Jawatankuasa Induk Penetapan Puasa dan Hari Raya yang
dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di mana dahulunya dikenali
sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri. Jawatankuasa Induk
ini ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama
Islam Malaysia pada 14 Disember 1989. JUPEM merupakan salah satu anggota Ahli
Jawatakuasa Teknikal Kalendar Islam Kebangsaan. Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) dilantik
setiap 2 tahun sekali di mana ada yang dilantik melalui jabatan dan ada yang dilantik secara
perseorangan. Ianya adalah terdiri daripada pegawai berugama Islam dari agensi-agensi yang
teribat secara langsung di bidang ini.

Semasa Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei
Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura
(MABIMS) kali pertama yang diadakan di Bandar Seri Begawan pada
tahun 1989, ketetapan telah dibuat untuk mengadakan penyelarasan
dalam penyediaan taqwim Hijrah di kalangan negara-negara anggota.

Pada tahun 1992 bertempat di Labuan, MABIMS telah bersepakat bahawa
penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah di kalangan
negara-negara anggota dibuat berdasarkan rukyah dan hisab dengan
mengguna kaedah Imkanur Rukyah, manakala bulan-bulan yang lain
dengan kaedah Wujudul Hilal (secara hisab) sebelum maghrib.

Dalam tahun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167 telah
berkenan supaya Malaysia merayakan Aidil Adha pada 10 Zulhijjah dan
tidak lagi mengikut sebagaimana ketetapan sehari selepas hari Wukuf di
Padang Arafah.

Manakala pada tahun 1996, Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam telah
mengesyorkan kaedah Imkanur Rukyah agar diperluaskan bagi
penentuan kesemua bulan-bulan Hijriah sebagai asas kepada Takwim
Islam Malaysia. Justeru, mulai tahun 1996, kesemua bulan-bulan Hijriah
ditentukan melalui ketetapan kriteria Imkanur-Rukyah.


4.3 Kronologi Penetapan Awal Bulan Hijriah


Kriteria Imkanur
Rukyah dan
Tahun

Ketika Matahari terbenam
Ketika bulan
terbenam

Ketinggian
Jarak
Lengkung

Umur Bulan
KIR78 5 8 -
KIR84 5 8 8 jam
KIR91 2 3 8 jam
Secara ringkasnya, sejarah penetapan awal bulan Hijriah adalah seperti
berikut:

1972 1977:
Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam menetapkan bahawa
permulaan puasa dan hari raya puasa berdasarkan Rukyah dan hisab
falak
Anak bulan Ramadan dan Syawal, kiranya tidak kelihatan kerana

terlindung oleh keadaan cuaca, pada hal mengikut kiraan falak bulan itu
tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak boleh digunakan


Majlis Raja-Raja ke-78 dalam tahun 1967

Hari Raya Aidil Adha adalah sehari selepas wukuf di Padang Arafah

Bulan-bulan selainnya, berdasarkan kepada Ijtimak Wujudul Hilal
Bila ijtimak berlaku sebelum mh terbenam pada hari ke-29 dan bulan
wujud atas ufuk


1978:
Muktamar Hilal bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah, di
Instanbul, Turki
Bahawa asal hukum ialah rukyah, sama ada dengan mata kepala atau
dengan menggunakan alat-alat moden,
Bahawa bagi menentukan kemungkinan penglihatan anak bulan itu mesti
memenuhi DUA syarat utama iaitu:
Kedudukan matahari dan bulan waktu matahari jatuh tidak kurang dari
8, . . .
Ketinggian anak bulan pada ketika matahari jatuh tidak kurang dari 5.



1978 1983:
Rukyah semata-mata


1984?:
Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menerima pakai
Deklarasi Istanbul 1978 dengan tambahan syarat alternatif:
Umur hilal pada ketika matahari masuk pada hari rukyah tidak kurang
dari 8 jam selepas ijtimak.


1984 sekarang:
Rukyah dan hisab falak
Pada 4 November 1991, Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal
Puasa dan Hari Raya mengubahsuai Kriteria Imkanur-Rukyah
Ketika mh ghurub, ketinggian hilal > 2, dan jarak lengkung bulan-
mh > 3 atau
Ketika hilal terbenam, umurnya > 8 jam
bagi penentuan 2 bulan utama (Ramadan & Syawal) dan kaedah Wujudul
Hilal bagi bulan-bulan lain

Pada 1 Jun 1992, Pertemuan Tidak Resmi MABIMS di Labuan bersepakat
untuk menerimapakai kriteria tersebut


Pada 16 Jun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167 bersetuju
agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di Padang
Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Ktiteria Imkanur-Rukyah,
iaitu pada 10 Zulhijjah

Sejak 1996, Mesyuarat JK Teknikal Kalendar Islam menetapkan
penggunaan kaedah Imakanur-Rukyah bagi semua bulan



4.4 Penyediaan Takwim Islam Malaysia oleh JUPEM

Proses kerja dalam penyediaan Takwim Islam dengan menggunakan
BukuJapanese Ephemeris adalah seperti berikut:

i. Data-data mengenai ijtimak iaitu tarikh dan masa diperolehi dari jadual Phase Of The Moon,
di dalam Buku Japanese Ephemeris.

ii. Selepas siap menyediakan data di atas, hitungan pertama dijalankan

dengan memasukkan data-data seperti tarikh, waktu matahari dan bulan
terbenam serta Sudut Istiwa (Declination), Jarak Hamal (Right Ascension)
dan paralak (parallax) matahari dan bulan.

iii. Selepas hitungan pertama siap dijalankan, hitungan kedua dilakukan
dengan menggunakan program Rukyah 93.bagi mendapat nilai-nilai
seperti waktu matahari dan bulan terbenam, altitud matahari dan bulan,
azimut matahari dan bulan serta jarak lengkung antara pusat bulan dan
matahari (elonggation).

iv. Hitungan dan rumusan seterusnya dibuat secara manual untuk
menentukan kedudukan hilal dan matahari bagi stesen kajian iaitu stesen
paling timur dan paling barat Malaysia (Tg. Atiam, Sabah dan Tg.
Chinchin, Kedah).





v. Apabila selesai semua hitungan, hasilnya disemak dan Kriteria Imkanur
Rukyah digunapakai. Sekiranya hasil (pada hari 29 setiap bulan Hijriah)
memenuhi syarat Imkanur Rukyah, maka keesokan harinya adalah awal
bulan baru. Sebaliknya jika ia tidak memenuhi syarat Imkanur Rukyah,
maka bulan itu akan menjadi 30 hari.

vi. Kalendar disediakan apabila selesai semakan dilakukan bagi tahun yang
diperlukan.

vii. Hasil kerja ini kemudiannya dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa
Teknikal Kalendar Islam bertempat di JAKIM, Pusat Islam Malaysia untuk
semakan, perbandingan dan pengesahan.

viii. Apabila keputusan atau katasetuju mutakhir diperolehi dari mesyuarat
tersebut, edaran Kalendar Islam pun dibuat.





Hasil Hisab JUPEM Bagi Permulaan Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah 1431 H (2010
M)

Berikut disertakan hasil kiraan bagi kedudukan bulan dan matahari di
lokasi paling barat Malaysia, iaitu Kampung Tanjung Chinchin, Langkawi.
di Langkawi
.

Bagaimanapun, perlu dinyatakan disini bahawa ketetapan akhir bagi
tarikh mula puasa dan raya akan dibuat melalui pengisytiharan oleh
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam hari merukyah hilal
melalui media eletronik dan massa.

Hari Mula Puasa Bagi Tahun 2010 M (1 Ramadan 1431 H)

Tarikh 29 Syaaban 1431 H = 10 Ogos 2010 M
Ijtimak berlaku = 10 Ogos 2010 M M jam 11.08 pagi
Bulan terbenam = 7.46 petang
Azimuth bulan ketika matahari terbenam (maghrib) = 280 29 26
Matahari terbenam = 7.37 petang
Azimuth matahari ketika maghrib = 285 42 00

Ketinggian hilal atas ufuk ketika maghrib = 01 43
dan jarak lengkong antara tengah hilal ke piring matahari ketika maghrib
= 05 26
Umur hilal dari ijtimak hingga terbenam = 08 jam 38 minit


Memandangkan hasil hisab menunjukkan bahawa Kriteria Imkanurukyah
1991 telah di penuhi, maka,
1 Ramadan 1431 H = 11 Ogos 2010 M (Rabu)

Hari Raya Aidil Fitri Bagi Tahun 2010 M (1 Syawal 1431 H)

Tarikh 29 Ramadan 1431 H = 8 September 2010 M
Ijtimak berlaku = 8 September 2010 M jam 6.30 petang
Bulan terbenam = 7.13 petang
Azimuth bulan ketika matahari terbenam (maghrib) = 271 27 09
Matahari terbenam (maghrib) = 7.25 petang
Azimuth matahari ketika maghrib = 275 45 44

Ketinggian hilal atas ufuk ketika maghrib = -03 20
dan jarak lengkong antara tengah hilal ke piring matahari ketika maghrib
= 05 08
Umur hilal dari ijtimak hingga terbenam = 00 jam 44 minit


Memandangkan hasil hisab menunjukkan bahawa Kriteria Imkanurukyah
1991 tidak di penuhi, maka hari berikutnya menjadi 30 Ramadan 1431H
(09 September 2010 M). Oleh itu,
1 Syawal 1431 H = 10 September 2010 M (Jumaat)



Hari Raya Aidil Adha Bagi Tahun 2010 M (10 Zulhijjah 1431 H)

Tarikh 29 Zulkaedah 1431 H = 6 November 2010 M
Ijtimak berlaku = 6 November 2010 M jam 12.52 tgh
Bulan terbenam = 7.04 petang
Azimuth bulan ketika matahari terbenam (maghrib) = 249 11 48
Matahari terbenam (maghrib) = 7.01 petang
Azimuth matahari ketika maghrib = 253 58 13

Ketinggian hilal atas ufuk ketika maghrib = 00 21
dan jarak lengkong antara tengah hilal ke piring matahari ketika maghrib
= 04 41
Umur hilal dari ijtimak hingga terbenam = 06 jam 12 minit


Memandangkan hasil hisab menunjukkan bahawa Kriteria Imkanurukyah
1991 tidak di penuhi, maka hari berikutnya menjadi 30 Zulkaedah 1431
H
(7 November 2010 M) dan 1 Zulhijjah 1431 H adalah bersamaan dengan
8 November 2010 M. Oleh itu,
10 Zulhijjah 1431 H = 17 November 2010 M (Rabu)



5.0 Isu Penetapan Tarikh Hari Raya Aidil Adha di Malaysia

Umum mengetahui bahawa polemik mengenai kaedah penetapan tarikh sambutan Hari Raya
Aidil Adha bukanlah sesuatu perkara yang baru. Malah, ianya berlaku bukan sahaja di
Malaysia, bahkan juga di lain-lain Negara. Secara amnya, amalan menyambut Hari Raya
Aidil Adha terbahagi kepada dua cara.

Pertamanya, ia disambut sehari selepas hari Wukuf di Padang Arafah yang ditetapkan
melalui pengisytiharan oleh pihak Arab Saudi. Dari tahun 1977 hingga 1995, amalan ini
dipraktiskan di Malaysia. Antara pendapat yang menyokong kepada amalan ini termasuklah
bahawa Hari Raya Aidil Adha pada asasnya adalah untuk jemaah yang sedang menunaikan
fardhu Haji di Mekah dan oleh itu kita perlulah menyambut Hari Raya Aidil Adha secara
serentak bersama-sama mereka.
atau,

Keduanya, ia disambut mengikut ketetapan tarikh 10 Zulhijjah yang dibuat melalui
penentuan tarikh kebolehnampakan hilal Zulhijjah. Sebenarnya di Malaysia, praktis ini telah
digunapakai sejak sekian lama sehingga tahun 1977. Kita mengamalkannya semula dalam
tahun 1995 sehingga sekarang selepas melalui beberapa siri Muzakarah dan kajian. Ianya
dibuat dengan berpegang kepada pendapat bahawa asas penetapan tarikh Hari Raya Aidil
Adha tidak seharusnya berbeza dengan kaedah penetapan tarikh awal Ramadhan, Syawal
serta bulan-bulan Hijriah yang lain dan hendaklah dibuat menggunakan asas yang sama, iaitu
rukyah dan hisab.

o Ibadat Haji telah difardhukan dalam tahun 6 Hijrah.

Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan
berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh supaya
mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari
yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka
makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang
sengsara lagi fakir.
Surah Al Hajj ayat 27-28

Manakala, Hari Raya Aidil Adha telah mula disambut dalam tahun 1 Hijrah di Madinah.

Dari Anas r.a. berkata: Setelah Rasulullah S.A.W. tiba di Madinah, di dapati bagi orang-
orang Madinah ada dua hari mereka bermain-main. Maka Rasulullah S.A.W. bertanya
Aapakah dua hari ini?, mereka menjawab Kami bermain-main pada dua hari tersebut pada
zaman Jahiliah. Sabda Rasulullah S.A.W. Bahawa sesungguhnya Allah Taala telah
menukarkan kepada kamu hari yang lebih baik daripada keduanya iaitu Hari Adha dan hari
Fitri
Hadis

Ibadat Haji juga terikat dengan tempat dan masa, iaitu di Mekah dan sekitarnya.Sambutan
Hari Raya Aidil Adha pula boleh disambut pada hari-hari tertentu tetapi tidak terikat dengan
tempat. Oleh kerana tidak ada kaitan diantara ibadat Haji dengan sambutan Hari Raya Aidil
Adha, maka boleh disimpulkan bahawa penetapan tarikh rayanya tidak seharusnya
bergantung kepada pengisytiharan hari Wukuf. Dengan sebab itu, Hari Raya Aidil Adha juga
dikenali sebagai Hari Raya Korban, dan bukannya Hari Raya Haji bagi kita di luar Mekah.



o Hubungan diantara pergerakan bulan dengan Taqwim Islam adalah jelas. Demikian menurut
ayat di bawah:

Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan
ditetapkanNya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu,
supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak
menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-
tanda (kebesaranNya) kepada orang-orang yang mengetahui
Surah Yunus ayat 5-6

Allah menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hilal dan waktu berhaji:

Mereka itu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang bulan sabit katakanlah, bulan sabit itu tanda-
tanda waktu bagi orang-orang puasa, raya puasa dan waktu-waktu ibadah dan
berhaji
Surah Al-Baqarah ayat 189



Hadis Nabi juga menjelaskan tentang hari Wukuf di Padang Arafah pada 9
Zulhijjah:

Bahwa Rasulullah saw menyuruh seseorang buat menyerukan: Haji itu ialah Arafah! Barangsiapa
datang pada malam tanggal sepuluh sebelum fajar terbit, bererti ia telah mendapatkan Arafah.

Hadis riwayat Ahmad dan Ashhabus Sunan dari Abdurrahman bin Yamur ( Fikih Sunnah )


o Malaysia berada di timur Mekah dan terpisah dengan 5 Zon Waktu. Ini bermakna bahawa
waktu di Malaysia mendahului waktu di Mekah sebanyak +5 jam. Dalam kata lain, jam 12.00
tengahari di Mekah adalah bersamaan dengan jam 5 petang di Malaysia. Sekiranya kita
berpegang kepada kaedah penetapan Hari Raya Aidil Adha berdasarkan kepada sehari
selepas Wukuf, maka akibat daripada perbezaan zon waktu ini, ibadat-ibadat seperti laungan
takbir Raya, solat sunat Aidil Adha serta ibadat korban yang dilakukan di Malaysia
sebenarnya telah mendahului ibadat-ibadat yang sama di Mekah.



o Selain daripada perbezaan Zon Waktu, Malaysia dan Mekah juga terpisah dengan jarak sejauh
1700 km. Dalam era globalisasi dan internet seperti masakini, faktor geografi bukanlah satu
isu besar. Bagaimanapun, sekiranya kita kembali semula kepada zaman 1,429 tahun dahulu,
sementelah 200 tahun dahulu, keadaan tidak akan memungkinkan umat Islam untuk bertukar-
tukar apa jua maklumat dengan pantas keterbatasan teknologi, pengangkutan serta
komunikasi. Oleh itu, persoalan timbul mengenai bagaimana pengetahuan mengenai tarikh
hari Wukuf boleh disampaikan kepada semua umat Islam di segenap pelusok dunia untuk
merayakan Aidil Adha sekiranya itulah tuntutan syarak. Ini tentulah menjadi masalah besar
bagi umat Islam, malah mustahil untuk diikuti, melainkan tarikh raya tersebut ditetapkan
dengan penentuan awal bulan Zulhijjah dan seterusnya 10 Zulhijjah. Oleh sebab itu, adalah
tidak menjadi keterlaluan sekiranya dianggap bahawa kaedah penetapan Hari Raya Aidil
Adha sehari selepas Wukuf bagi umat Islam di luar Tanah Arab adalah satu fatwa baru yang
direka dan yang tiada mempunyai apa-apa kaitan langsung dengan sunnah.

o Perayaan Hari Raya Aidil Adha yang ditetapkan sehari selepas hari Wukuf supaya serentak
dengan para jemaah Haji disifatkan sebagai melambangkan penyatuan Ummah. Sekiranya
pendapat ini boleh dijadikan pegangan, maka mengapa tidak diperluaskan kepada ibadat solat
untuk dilakukan secara serentak juga!

Penetapan tarikh Hari Raya Aidil Adha pada masa kini sudah tidak menjadi isu lagi dan ianya
sudah lama selesai. Perkara ini telah pun dibincang serta dibahas dengan panjang lebar dan
telah menjadi salah satu daripada resolusi Islamic Fiqh Academy yang diadakan dari 11
hingga 16 Oktober 1986 di Jordan. Resolusi ini telah membuat ketetapan dan
memutuskan agar semua negara Islam menentukan permulaan bulan
hijriah termasuk Zulhijjah menggunakan asas yang sama bagi Aidil Fitri
dan Aidil Adha.
o

o Pada 16 Jun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang ke-167 telah bersidang dan
bersetuju, antara lainnya, agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di
Padang Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Ktiteria Imkanur-Rukyah. Keputusan
ini dicapai setelah ianya dibincang dan dibahaskan diperingkat Jawatankuasa Penyelarasan
Rukyah dan Takwim Islam Pertemuan MABIMS, Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan
Awal Puasa dan Hari Raya serta Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Oleh
itu, kita perlulah mengikut ketetapan awal puasa dan raya seperti mana yang dibuat oleh
pihak pemerintah.

Hai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasulmu dan Ulil Amri di kalangan kamu
59 dalam Surah Al-Nisa


5.1 Kronologi Keputusan Penetapan Tarikh Hari Raya Aidil Adha

Secara ringkasnya, sejarah penetapan tarikh Hari Raya Aidil Adha di
Malaysia adalah seperti berikut:

Sebelum 1977:
Tarikh Hari Raya Aidil Adha ditentukan berdasarkan rukyah hilal
bulan Zulhijjah



21-22.4.1977:
Persidangan Fatwa Majlis Kebangsaan ke-13
Malaysia menetapkan Hari Raya Aidil Adha berdasarkan hari Wukuf
di Arafah, selaras dengan persetujuan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-78
pada 12 Oktober 1967



1-2.7.1985:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-13
Membincangkan cadangan supaya kaedah penetapan Hari Raya Aidil
Adha ditentukan berdasarkan rukyah hilal bulan Zulhijjah
Bagaimanapun, cadangan tidak diterima

14-15.3.1991:
Mesyuarat MABIMS di Kuala Lumpur
Membuat keputusan bahawa langkah-langkah pelaksanaan perlulah
diambil oleh negara-negara anggota untuk mencari kemungkinan
menyelaraskan Penentuan Hari Raya Idul Adha


6-10.9.1991
:
Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Pertemuan
MABIMS Pertama di Pulau Pinang
Bersetuju mengadakan penyelarasan rukyah antara negara-negara
anggota bagi penentuan awal Ramadhan, Syawal dan awal Zulhijjah

4.11.1991:
Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya di Pusat
Islam Kuala Lumpur
Jawatankuasa Farwa Majlis Kebangsaan hendaklah mengkaji semula
kaedah penetapan 10 Zulhijjah mengikut matlak

20.11.1991:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-28
Kriteria kebolehnampakan (Imkanur Rukyah) anak bulan bagi bulan
Hijrah bagi menetapkan awal Zulhijjah perlu diseragamkan dengan
criteria penetapan awal puasa dan Hari Raya Puasa



16.6.1994:
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167
Bersetuju agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di
Padang Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Ktiteria Imkanur-
Rukyah

10.5.1995:

Malaysia bersama-sama dengan negara-negara anggota MABIMS mula
menyambut Hari Raya Aidil Adha berdasarkan penentuan awal bulan
Zulhijjah, iaitu pada 10 Zulhijjah



6.0 Penutup

Di dalam era teknologi dan komunikasi yang semakin canggih, keperluan
bagi umat Islam untuk merancang dan melaksanakan segala aktiviti-
aktiviti keagamaan dan sosial semakin meningkat. Dari perlakuan ibadat-
ibadat keagamaan dan kebudayaan, tugasan harian dan prestasi
pencapaian di tempat kerja, sasaran Wawasan 2020, sambutan hari-hari
perayaan, aktiviti pertanian, hari gaji sehinggalah kepada penetapan
tarikh pilihanraya, hari perkahwinan, hari perpindahan ke kediaman baru
dan sebagainya, kita tidak dapat memikirkan

kehidupan tanpa takwim. Kebergantungan manusia yang tinggi kepada
Takwim tidak dapat dinafi dan dielakkan lagi.

Oleh itu, usaha-usaha perlulah dilakukan untuk memertabatkan semula
penggunaan Takwim Islam didalam segala urusan kehidupan kita. Apabila
usaha-usaha ini terlaksana dan kefahaman serta keyakinan kepadanya
ditingkatkan, ianya akan menghilangkan sebarang kesangsian dan
perasaan was-was didalam penggunaannya. Sekaligus, maka
keseragaman di dalam sambutan hari-hari kebesaran Islam akan
tercapai.












Posted by astrouitm at 7:27 AM
Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook
Newer PostOlder PostHome

ANDA PENGUNJUNG KE:


Kunjungan anda amat kami hargai

FOLLOWERS
LABELS
Bengkel Kesedaran Falak Syari'e dan Astronomi 1432H(1)
Majlis Pelancaran Kelab Astronomi UiTM Perlis (2)
Mesyuarat Agung Tahunan Pertama AstroUiTM (1)
Pertandingan Mencipta Logo (1)
Program Seminar Falak Syarie dan Astronomi Islam (1)

Majlis Pelancaran Kelab Astronomi UiTM Perlis
Program Seminar Falak Syarie dan Astronomi Islam

BLOG ARCHIVE



click to create your own
BORANG SOAL SELIDIK
Nama:

Alamat Email:

Aktiviti astronomi yang menarik minat anda?
Aktiviti cerapan
Seminar
Forum
Lawatan sambil belajar
Bagaimana anda mengetahui tentang kelab ini?

Nyatakan sebarang komen dan cadangan anda
terhadap kelab.

Submit Form


This contact form was created by Freedback.
FEEDJIT FEED THE FISH...
Template images by enot-poloskun. Powered by Blogger.

Anda mungkin juga menyukai