Anda di halaman 1dari 3

Sekiranya saya

Tahun 2014 melakar sejarah yang amat mengejutkan bagi seluruh rakyat Malaysia
kerana dilanda pelbagai tragedi bermula dengan isu misteri kehilangan pesawat MH 370
disusuli pula dengan tragedi menyayat hati pesawat MH 17 yang ditembak jatuh oleh
pihak yang tidak mahu bertanggungjawab. Pada bulan September baru-baru ini, kita
dikejutkan lagi dengan insiden kebocoran soalan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah
atau lebih dikenali sebagai UPSR. Melalui insiden-insiden ini, kerajaan menanggung
kerugian yang amat membebankan menyebabkan rakyat Malaysia turut merasa
tempiasnya.
Rentetan isu kebocoran soalan ini, individu yang paling banyak menerima kesan
terburuk adalah guru. Media dan masyarakat masing-masing menyalahkan guru sebagai
punca utama masalah kebocoran soalan ini. Profesion perguruan diperkotak katikkan
dan dihina dengan sewenang-wenangnya sekalipun dalang dsebalik isu ini belum
disahkan identitinya. Kementerian Pendidikan Malaysia turut menerima tamparan dan
tohmahan yang amat dahsyat disebabkan isu ini yang bukan sahaja berlaku pada tahun
ini malah pernah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya namun tidak dibesarkan dan
tidak dibuat penangguhan. Kredibiliti pengurusan pihak KPM dipersoalkan kerana tidak
berjaya menangani masalah kebocoran soalan hingga ke akar umbi. Namun demikian,
sikap suka menuding jari dan memberi tekanan kepada pihak-pihak tertentu tidak akan
membantu menangani isu seperti ini. Mudah bagi mereka untuk mengkritik dan
menyalahkan namun tidak kedengaran pula mereka memberikan idea-idea dan cadangan
bernas bagi mengatasi masalah kebocoran soalan ini.
Sekiranya saya diberikan tanggungjawab sebagai pegawai tertingi di dalam
Kementerian Pendidikan Malaysia, saya akan cuba menangani isu kebocoran soalan
menggunakan altenatif yang lebih positif berbanding alternatif menggantung tugas
pegawai KPM. Rasionalnya, penggantungan tugas akan mengeruhkan lagi keadaan di
mana KPM akan kekurangan tenaga pekerja untuk mengkaji semula dasar-dasar hala
tuju pendidikan di Malaysia. Cara yang terbaik bagi saya ialah dengan mengkaji semula
sistem peperiksaan dan penilaian di Malaysia. Adakah UPSR masih releven dijadikan
kayu ukuran untuk menilai prestasi murid? Murid seharusnya tidak terbeban dengan
sistem penilaian namun ini adalah sebaliknya. Penilaian yang berorientasikan-ujian
dilihat banyak memberikan tekanan kepada murid bukan sahaja di Malaysia malah di
seluruh dunia. Kenyataan ini disokong oleh satu kajian di China oleh Profesor Cheng
Pingyuan yang mengatakan bahawa gejala bunuh diri kanak-kanak dan remaja, lebih
daripada 90% daripada kes bunuh diri, kerana mereka tidak dapat menanggung tekanan
yang berat sistem pendidikan berorentasikan-ujian ini.
Oleh yang demikian, sistem penilaian pendidikan di Malaysia perlu diubahsuai
dengan membahagikan markah seperti 60% peperiksaan dan 40% kokurikulum dan
tugasan projek. Dengan ini, murid tidak terlalu tertumpu kepada peperiksaan semata-
mata dan seterusnya mengurangkan tekanan. Murid yang lemah akademik namun
cemerlang kokurikulum turut mendapat peluang untuk menonjolkan prestasi mereka.
Kebanyakan murid ini lemah akademik bukan kerana mereka kurang pandai namun
kerana mereka kerap meninggalkan kelas untuk berlatih atau menghadiri pertandingan di
sekolah lain. Oleh itu, murid-murid ini masih boleh mendapat keputusan yang baik
walaupun mereka aktif bersukan.
NUR ATIQAH ABDULLAH
8 PISMP MT 2