Anda di halaman 1dari 4

Sifilis

Sifilis adalah penyakit kelamin (STD) yang berjangkit, disebar melalui


hubungan seks sama ada melalui vagina, dubur atau oral. Ia juga boleh disebar dari
seorang ibu kepada bayinya semasa kehamilan. Sifilis disebabkan oleh bakteria
Treponema pallidum. Sifilis merupakan penyakit kelamin yang berbahaya dan boleh
mengancam nyawa.
Sifilis disebarkan melalui hubungan langsung dengan pesakit sifilis.
Ulser/kudis sifilis berlaku terutamanya pada kawasan alat kelamin, faraj, dubur, atau
di dalam rektum. Ulser juga boleh berlaku pada bibir dan di dalam mulut dan
penyebaran berlaku semasa melakukan hubungan seks vagina, dubur atau oral.
Wanita hamil yang dijangkiti penyakit ini boleh menyebarkan kuman sifilis kepada
bayi yang dikandungnya. Sifilis tidak boleh merebak melalui tempat duduk tandas,
tombol pintu, kolam renang, tab mandi, pakaian dikongsi, atau perkakas makan.

Peringkat 1: Peringkat rendah
Satu atau lebih ulser/kudis akan kelihatan di zakar, labia (bibir faraj), dubur
dan kadang-kadang pada mulut dan bibir. Ulser ini dipanggil chancre (klik untuk
imej chancre amaran: visual sensitif) dan akan hilang selepas beberapa minggu.
Permulaan gejala peringkat pertama terjadi sekitar 10 hingga 90 hari (purata
21 hari) setelah dijangkiti kuman sifilis. Chancre biasanya bulat, keras, kecil, dan
tidak menyakitkan. Ia muncul di tempat di mana sifilis memasuki badan. Chancre
bertahan selama 3 hingga 6 minggu, dan akan sembuh tanpa rawatan. Walau
bagaimanapun, jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan beralih ke peringkat 2.

Peringkat 2: Peringkat sekunder
Peringkat ini biasanya bermula dengan timbulnya ruam pada satu atau lebih
bahagian badan. Ruam ini biasanya tidak akan menyebabkan kegatalan dan akan
keluar ketika chancre /ulser sifilis sedang sembuh atau beberapa minggu selepas
chancre telah sembuh. Ciri ruam sifilis peringkat 2 adalah kelihatan kasar, merah,
atau tompok-tompok coklat kemerahan di kedua-dua tapak tangan dan bahagian
tapak kaki. Walau bagaimanapun, ruam mungkin tampil berbeza nipis, tidak jelas
dan berlaku pada bahagian badan yang lain, menyerupai ruam biasa sehingga ianya
tidak disedari sebagai ruam sifilis. Selain ruam, antara gejala sifilis peringkat 2 yang
lain termasuk:
demam
bengkak kelenjar limfa
sakit tekak
keguguran rambut
sakit kepala
hilang berat badan
sakit otot dan keletihan
Pada peringkat ini, sifilis adalah sangat mudah berjangkit dan boleh
menjangkiti pasangan dengan mudah melalui hubungan seks. Rawatan boleh
dilakukan pada bila-bila masa sepanjang peringkat 1 dan 2 dan ianya boleh sembuh.
Tanpa rawatan, tanda-tanda dan gejala sifilis peringkat 2 mungkin hilang selepas
beberapa minggu. Nanum jika rawatan tidak diberikan, jangkitan akan kembali dan
beralih ke peringkat 3.

Peringkat 3: Peringkat pendam/sembunyi
Sifilis peringkat 3 adalah terpendam (tersembunyi) dan peringkat ini bermula
apabila gejala peringkat 1 dan 2 telah hilang. Tanpa rawatan, pesakit sifilis akan
terus mempunyai sifilis walaupun tiada tanda-tanda atau gejala; jangkitan adalah
kekal di dalam badan. Peringkat pendam ini boleh bertahan selama bertahun-tahun,
kadangkala sehingga 20 tahun sebelum beralih ke peringkat 4 iaitu peringkat
lewat/akhir.

Peringkat 4: Peringkat lewat / akhir
Sifilis Peringkat 4 terjadi pada kira-kira 15% daripada mereka yang pernah
dijangkiti sifilis yang tidak mendapatkan rawatan. Peringkat ini boleh muncul 10-20
tahun selepas jangkitan pertama diperolehi.
Di peringkat akhir sifilis, penyakit ini kemudiannya merosakkan organ-organ
dalaman, termasuk otak, saraf, mata, jantung, saluran darah, hati, tulang dan sendi.
Tanda dan gejala peringkat lewat/akhir sifilis termasuk kesukaran menyelaras
pergerakan otot, lumpuh, kebas, kabur penglihatan dan buta, dan juga demensia
(nyanyuk/hilang akal). Kerosakan ini boleh menjadi cukup serius sehingga
menyebabkan kematian.
Sesetengah doktor/pakar perubatan boleh mengesahkan dan mengesan
sifilis dengan memeriksa spesimen yang diambil dari chancre (ulser/lepuh/kudis sifilis)
menggunakan mikroskop khas yang dipanggil mikroskop medan-gelap. Jika bakteria
sifilis hadir dalam spesimen, ianya dapat dilihat melalui mikroskop tersebut.
Ujian darah juga boleh menentukan sama ada seseorang mempunyai sifilis.
Sejurus selepas jangkitan berlaku, badan akan menghasilkan antibodi sifilis yang
boleh dikesan oleh ujian darah. Ujian darah adalah tepat, selamat dan murah.
Selepas penyakit telah berjaya dirawat, tahap rendah antibodi sifilis mungkin akan
kekal di dalam darah untuk beberapa bulan atau tahun. Oleh kerana sifilis yang tidak
dirawat pada wanita hamil boleh menjangkiti dan mungkin membunuh bayi yang
dikandung, setiap wanita hamil perlu menjalani ujian darah untuk sifilis.
Cara terbaik untuk mengelakkan penyebaran penyakit kelamin, termasuk
sifilis, adalah menahan diri dari hubungan seksual atau berada dalam hubungan
yang saling monogami dengan pasangan yang telah diuji dan disahkan tidak
dijangkiti.
Mengelakkan penggunaan alkohol dan dadah juga boleh membantu
mencegah penyebaran sifilis kerana aktiviti-aktiviti ini boleh membawa kepada
kelakuan seksual yang berisiko. Adalah penting bagi setiap pasangan seks untuk
bercakap/memaklumkan antara satu sama lain mengenai status kesihatan seksual
mereka dan sejarah STD lain supaya tindakan pencegahan dapat diambil.
Penyakit ulser alat kelamin seperti sifilis, boleh berlaku di kedua-dua kawasan
kemaluan lelaki dan perempuan yang dilindungi oleh kondom, serta di kawasan yang
tidak dilindungi. Penggunaan kondom yang betul dan konsisten hanya boleh
mengurangkan risiko sifilis, serta herpes kemaluan apabila kawasan yang dijangkiti
itu dilindungi, dan bukan langkah pencegahan 100%. Kondom yang dilincirkan
dengan spermisid juga tidak akan membantu dalam mengelakkan penyebaran dan
bukan pencegahan untuk STD atau HIV.
Penyebaran STD termasuk sifilis tidak boleh dielakkan dengan membasuh
kemaluan, membuang air kecil, atau douching selepas seks. Sekiranya terdapat
lelehan/lendiran /keputihan luarbiasa, sakit, atau ruam, khususnya di kawasan
pangkal paha, anda harus berhenti dari melakukan hubungan seks dan berjumpalah
doktor dengan segera.

Anda mungkin juga menyukai