Anda di halaman 1dari 8

Kecergasan Fizikal

Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan mengenai kecergasan fizikal iaitu:



Falls (1980) menyatakan:
Kecergasan fizikal merupakan kecergasan untuk kesihatan merangkumi aspek-aspek
yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi
seseorang individu perlindungan dari ancaman penyakit-penyakit hipokinetik
(kekurangan pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan pelbagai penyakit
otot dan tulang.

Aris Fazil, et al. (2003) pula berpendapat:
Kecergasan fizikal adalah kemampuan dan keupayaan individu melakukan tugas serta
tanggungjawab harian tanpa cepat mengalami kelesuan, masih mempunyai tenaga
untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesenggangan dan dapat menghadapi segala
kecemasan yang berkemungkinan berlaku.

Wee (2001), berpendapat:
Kecergasan fizikal merupakan keupayaan untuk memenuhi keperluan kehidupan
seharian dan masih mempunyai tenaga untuk bertindak balas terhadap perkara yang
tidak diduga.
Seperti yang telah anda pelajari dalam Topik 1, dua jenis komponen kecergasan ialah:

Kecergasan Berlandaskan Kesihatan
Kecergasan yang berlandaskan kesihatan berkaitan dengan keupayaan seseorang itu
melakukan kerja-kerja hariannya dengan penuh semangat dan kemampuannya
mengelak dan menjauhkan diri daripada dijangkiti penyakit-penyakit cara hidup
sedentari. Penyakit-penyakit ini dikenali sebagai hipokinetik, sejenis penyakit/keadaan
yang dikaitkan dengan kekurangan aktiviti fizikal, seperti diabetes dan penyakit
jantung.

Kecergasan ini terdiri daripada 5 komponen:
Daya Tahan Kardiovaskular (Cardiovascular Endurance)
Ini bermaksud sistem kardiorespiratori (jantung), sistem peredaran darah dan paru-paru
berfungsi lebih cekap dan berkemampuan untuk mengedar darah dan oksigen ke
seluruh badan semasa sesuatu aktiviti senaman dilakukan.

Daya Tahan Otot (Muscular Endurance)
Keupayaan otot atau sekumpulan otot tulang melakukan pergerakan atau pengecutan
untuk beberapa waktu yang lama atau ulangan yang tinggi.

Kekuatan Otot (Muscular Power)
Merujuk kepada kuasa atau tenaga maksima yang dapat dijanakan oleh sesuatu atau
sekumpulan otot rangka.

Regangan/Kelenturan (Flexibility)
Elemen ini akan mengizinkan pergerakan anggota badan dengan bebas. Ia akan
menentukan kelenturan otot, tendon, sendi dan ligamen yang terpaut pada tulang.

Komposisi Badan (Body Composition)
Setiap orang harus memiliki sejumlah lemak badan untuk kesihatan yang baik. Lemak
ini dikenali sebagai lemak penting dan diperlukan sebagai sumber tenaga yang
tersimpan untuk tujuan pengawalan suhu badan, penyerapan gegaran dan pengawalan
nutrien penting dalam badan.
Kecergasan Berlandaskan Perlakuan Motor
Kecergasan jenis ini adalah penting untuk individu dan atlit yang mempunyai daya
tahan dan berprestasi tinggi seperti pelari pecut. Ia terdiri daripada 6 komponen iaitu:
Koordinasi (Coordination)
Ia berkait rapat dengan keberkesanan dan keseragaman yang cekap dalam pergerakan
tubuh badan seseorang individu.

Imbangan (Balance)
Imbangan ialah kebolehan untuk mengekalkan keseimbangan apabila pusat graviti
seseorang dan dasar yang menyokongnya diubah. Ia dapat mengekalkan kedudukan
ini dalam keadaan teguh semasa melakukannya ketika bergerak atau diam.

Kuasa (Power)
Kuasa adalah gabungan kekuatan otot dan kelajuan, ia merupakan keupayaan
seseorang melakukan sesuatu pergerakan pantas yang mengejut dalam jangka masa
yang singkat dengan kecekapan yang tinggi. Kuasa dihasilkan daripada proses
penguncupan otot yang kuat dalam masa yang singkat.

Ketangkasan (Agility)
Ia merupakan kebolehan seseorang mengubah arah pergerakan secara pantas dan
cekap. Ia juga boleh menukar kedudukan di ruang tertentu secara kemas dan mudah.

Masa tindak balas (Reaction Time)
Satu jangka masa yang diambil untuk bergerak dan bertindak selepas menerima
rangsangan untuk berbuat demikian. Ia selalu dikaitkan dengan faktor deria penglihatan
dan pendengaran.

Kelajuan (Speed)
Keupayaan seseorang individu melakukan pergerakan berturut-turut dengan pantas
dalam masa yang singkat mengikut sesuatu arah. Kelajuan individu berkait rapat
dengan masa tindak balas dan masa bergerak.

Secara keseluruhan, kecergasan fizikal merupakan aspek yang penting dalam
kesihatan kerana tanpa hidup yang cergas kita tidak akan mampu melakukan tugasan
harian dengan cepat dan kurangnya tenaga dalam badan untuk bertindak balas
terhadap perkara yang tidak diduga. Selain itu, kita juga akan memberi ruang kepada
pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, penyakit jantung koronari, angin ahmar dan
tekanan darah tinggi untuk memberi ancaman kepada kita. Justeru itu, bersenamlah
untuk mengekalkan tahap kecergasan anda kerana amalan hidup cergas dan aktif
adalah penting untuk kesihatan tubuh badan dan otak.



Senaman yang Sistematik Mengikut Perubahan Metabolisme Badan


Senaman yang dibuat secara sistematik akan memastikan perubahan fisiologi yang
berlaku pada tubuh anda dapat diterima dalam kadar normal. Sekiranya aktiviti
senaman dibuat secara mendadak, perubahan fisiologi ini memaksa badan melakukan
kadar bebanan kerja yang di luar kemampuannya. Ini akan mengakibatkan tubuh badan
anda mengalami komplikasi seperti kecederaan atau keletihan yang melampau.

Cara yang terbaik melakukan senaman adalah memadankannya dengan kadar
perubahan metabolisme badan anda. Mulakan dengan melakukan pergerakan ringan
dahulu supaya sistem kardiovaskular dan sistem respiratori badan anda dapat
dipertingkatkan ke tahap yang diperlukan. Begitu juga dengan sistem organ-organ yang
lain agar secara perlahan-lahan kadar metabolisme badan anda akan dapat menyaingi
kadar beban kerja yang perlu dilakukan.


Kesan Senaman dari Aspek Fisiologi

Senaman yang dilakukan secara tetap dan berterusan akan mempertingkatkan sistem
fisiologi tubuh badan anda. Pada peringkat permulaan, kadar denyutan jantung anda
akan meningkat kepada kadar kerja yang ditetapkan. Perubahan ini akan
mempertingkatkan kekuatan otot jantung untuk mengepam darah dalam volum yang
banyak melalui kadar denyutan yang paling minima. Perubahan juga berlaku pada
tahap ketahanan denyutan jantung di mana ia mampu melakukan kerja mengepam
darah dalam satu jangka masa yang lama tanpa kepenatan. Ini akan meningkatkan
daya tahan aerobik anda.

Selain daripada ini, kadar sistem keupayaan respiratori anda juga akan meningkat ke
kadar yang lebih tinggi. Ini akan membuat anda berupaya bernafas dengan lebih baik
dan kuat. Perubahan ini akan membuat kadar pengambilan oksigen meningkat di mana
secara langsung akan meningkatkan bekalan oksigen kepada sel-sel di dalam tubuh
badan anda. Ini akan membuatkan sel-sel tersebut dapat bekerja dengan lebih efisien.

Di samping itu, kadar tahap kekuatan otot, kuasa, kecergasan, ketangkasan dan
koordinasi anda juga akan bertambah dengan berlakunya perubahan fisiologi pada
tubuh badan anda. Keadaan ini akan menjadikan anda seorang individu yang cergas
dari segi fizikal berbanding individu yang sedentri. Anda akan menjadi lebih bertenaga
dan berupaya melakukan sebarang aktiviti fizikal dengan lebih lama tanpa mudah
mengalami kepenatan.

E-melkan IniBlogThis!Kongsi ke TwitterKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

Anda mungkin juga menyukai