Anda di halaman 1dari 24

PENGENALAN

Pendidikan luar menitikberatkan kefahaman dan penghayatan individu tentang


betapa pentingnya pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam pelaksanaan
pendidikan luar. Program pendidikan luar dilihat dapat memupuk kesedaran
masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya hidup
Malaysia. Pelajar diorientasikan dengan ilmu dan amalan dalam pendidikan luar
bagi membentuk sahsiah dan sikap yang positif dalam menghadapi cabaran
hidup. Kurikulum pendidikan luar yang terancang dan persekitaran yang
kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan
potensi pelajar ke tahap optimum.



Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menerangkan lima konsep pendidikan luar merentasi kurikulum;
2. Menghuraikan lima kaedah pengajaran dalam pendidikan luar
merentasi kurikulum; dan
3. Merancang aktiviti luar merentasi kurikulum.
HASIL PEMBELAJARAN
T
T
o
o
p
p
i
i
k
k
2
2

Pengintegrasian
Mata Pelajaran
dalam
Pendidikan
Luar
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

23
PENGINTEGRASIAN PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN DALAM PENDIDIKAN
LUAR
Pendidikan luar memberikan situasi pembelajaran yang berlainan kepada pelajar
dan menimbulkan motivasi untuk belajar. Aktiviti pendidikan luar yang terdiri
daripada aktiviti fizikal dapat membantu mengurangkan rasa tertekan pelajar di
dalam kelas.

Aktiviti luar memerlukan hubungan komunikasi serta kerjasama yang erat antara
pelajar dengan pelajar dan juga antara pelajar dengan guru. Hubungan
komunikasi ini akan membentuk perpaduan yang akan menjalinkan ikatan
antara ahli dalam kelas serta pelajar dengan guru. Dengan sistem komunikasi
yang berkesan, pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih
efektif lagi.

Kesemua aspek ini akan menyediakan keadaan yang sesuai untuk pelajar dalam
keadaan yang menyeronokkan, selain memberikan kesan yang positif terhadap
kefahaman pelajar. Menyedari hakikat ini, pendidik dewasa ini
mengintegrasikan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan luar.
PENDIDIKAN LUAR MERENTASI
KURIKULUM
Kurikulum didefinisikan sebagai rancangan pendidikan yang mengandungi
segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma. Kurikulum juga
mengandungi unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang menjadi pilihan
masyarakat untuk diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Dalam konsep pendidikan luar merentasi kurikulum, guru mengajar subjek yang
berlainan dengan menjadikan pendidikan luar sebagai aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Dalam melaksanakan pengajaran geografi contohnya, pendidikan
luar boleh dirancang supaya pelajar dapat berinteraksi dengan alam semula jadi
untuk mengukuhkan lagi kefahaman. Rajah 2.1 mengilustrasi lima konsep bagi
pendidikan luar merentasi kurikulum.






2.2
2.1
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


24

Rajah 2.1: Lima konsep pendidikan luar merentasi kurikulum
2.2.1 Penyebatian Mata Pelajaran Akademik
Penyebatian merupakan strategi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia
menyatupadukan isi pengetahuan daripada satu mata pelajaran dengan mata
pelajaran yang lain. Dengan kata lain, penyebatian merupakan proses
menyatukan isi atau kandungan daripada beberapa mata pelajaran.

Contohnya, dalam pendidikan luar, terdapat pelajaran membaca kompas.
Aktiviti ini berkonsepkan penyebatian mata pelajaran matematik dan geografi ke
dalam pendidikan luar. Kebanyakan proses penyebatian berlaku secara antara
disiplin, di mana beberapa ilmu pengetahuan daripada bidang yang berlainan
disebatikan dalam satu mata pelajaran (rujuk Rajah 2.2). Selain daripada mata
pelajaran, nilai juga boleh disebatikan ke dalam aktiviti pendidikan luar.


Rajah 2.2: Model penyebatian mata pelajaran geografi
dan matematik dalam pendidikan luar
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

25
(a) Empat Ciri Penyebatian:
(i) Fasilitator harus mempunyai pengetahuan terhadap mata pelajaran
yang hendak disebatikan;
(ii) Penyebatian akan membantu pemahaman pelajar;
(iii) Penyebatian bergantung kepada kebolehan dan pencapaian pelajar;
dan
(iv) Penyebatian harus berdasarkan fokus kepada objektif mata pelajaran.

(b) Tiga Tujuan Strategi Penyebatian:
(i) Membolehkan beberapa kemahiran dikuasai secara serentak;
(ii) Menimbulkan suasana pembelajaran yang lebih terbuka; dan
(iii) Membolehkan pelajar mengulang kaji subjek tertentu secara tidak
langsung.
2.2.2 Penerapan Nilai-nilai Murni
Nilai-nilai murni sewajarnya menjadi asas kepada pembinaan dan pembangunan
manusia. Masyarakat perlu mempertahankan nilai-nilai yang baik atau murni
bagi mengatasi segala kejahilan, kemungkaran, kejahatan dan kemusnahan.
Untuk membina insan sempurna dari segi jasmani, emosi dan intelek, aspek nilai
murni harus diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk mewujudkan
insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, penerapan
nilai-nilai murni perlulah dilakukan dalam semua kaedah pengajaran. Ia perlu
bersifat sarwajagat, selaras dengan tuntutan agama, budaya dan norma
masyarakat Malaysia. Rajah 2.3 menunjukkan contoh penerapan aspek rohani.

TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


26

Rajah 2.3: Penerapan aspek rohani

Masalah sosial dan krisis moral tidak akan dapat dibendung sekiranya nilai- nilai
murni tidak dipertahankan oleh masyarakat. Nilai-nilai murni ini amat perlu
dalam melaksanakan segala dasar kerajaan, contohnya, dasar pembangunan,
dasar sosial, urusan perniagaan, hubungan, peraturan dan undang-undang.

Penerapan nilai-nilai murni hendaklah dilakukan secara bersahaja dan tidak
langsung. Kita tidak boleh menerapkan kesemua nilai murni dalam satu mata
pelajaran atau pada satu masa. Walau bagaimanapun, setiap aktiviti mempunyai
beberapa nilai murni dan usaha menerapkan nilai-nilai murni hendaklah
merupakan satu proses yang berulang dan berterusan. Jadual 2.1 menerangkan
tentang nilai-nilai murni yang ditekankan dalam beberapa program.

TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

27
Jadual 2.1: Penerapan Nilai-nilai Murni di dalam Program
Program Nilai-nilai Murni
Kurikulum Baru
Sekolah Rendah
(KBSR)
Kebersihan dari segi mental dan fizikal
Belas kasihan
Kesederhanaan
Kerajinan
Berterima kasih
Kejujuran
Keadilan
Hormat-menghormati
Semangat bermasyarakat
Kasih sayang
Tidak angkuh
Kebebasan
Kurikulum Baru
Sekolah Malaysia
(KBSM)
Baik hati
Berhemah tinggi
Kasih sayang
Kebebasan
Kejujuran
Rasional
Bekerjasama
Kesyukuran
Berdikari
Hormat-menghormati
Keadilan
Keberanian
Kebersihan fizikal dan mental
Kerajinan
Kesederhanaan
Semangat bermasyarakat
Program
pendidikan luar
yang berasaskan
pendidikan
Berdisiplin
Bersemangat waja
Berkeyakinan diri
Setia kepada negara
Sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran dan dugaan
Semangat bekerjasama
Perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini
Berdikari
Menepati masa
Sabar
Bersyukur
Cintakan negara
Bersikap positif


TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


28
Sebagai pengajar, nilai yang baik harus ditunjukkan sama ada bersemuka atau
tanpa bersemuka dengan pelajar. Pengajar mestilah menunjukkan sembilan sifat
yang berikut:

(a) Menepati masa;
(b) Bersopan santun;
(c) Peka terhadap masalah pelajar;
(d) Sentiasa mempunyai objektif;
(e) Mempelbagaikan kaedah pengajaran;
(f) Memberi peluang kepada pelajar untuk berbincang;
(g) Sentiasa memberi dorongan kepada pelajar dalam apa situasi sekalipun;
(h) Bersedia menerima temu janji dengan pelajar; dan
(i) Sabar.

Lima contoh penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan luar ialah:

(a) Pendidikan luar dilakukan secara berpasangan dan berkumpulan;
(b) Tema yang digunakan menggambarkan nilai-nilai murni;
(c) Aktiviti pendidikan luar mencabar fizikal dan minda. Nilai berdikari dan
keyakinan diri boleh diterapkan;
(d) Pelaksanaan aktiviti pendidikan luar tidak bertentangan dengan aspirasi
dan nilai agama, budaya serta norma masyarakat Malaysia; dan
(e) Penggunaan bahasa dan ayat dalam penerangan melambangkan
masyarakat Malaysia yang bersopan.
2.2.3 Kaedah Pengajaran dalam Pendidikan Luar
Menurut Rashidi dan Abdul Razak (1996), kaedah pengajaran bermaksud proses
dan tindakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran ialah
cara untuk melaksanakan proses pembelajaran. Terdapat berbagai-bagai kaedah
yang diperkenalkan oleh ahli ilmuwan dalam melaksanakan proses pengajaran.
Para pendidik seharusnya bijak memilih kaedah pembelajaran. Keberkesanan
kaedah pembelajaran bergantung kepada latar belakang kumpulan pelajar.
Dengan kata lain, kumpulan pelajar yang berlainan latar belakang memerlukan
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

29
kaedah pembelajaran yang berbeza. Setiap kaedah yang digunakan juga
bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh guru.

Ahli pendidik telah berusaha untuk mendapatkan satu kaedah pengajaran yang
paling berkesan dan mereka mendapati penggunaan kemahiran dalam satu
kaedah yang tertentu adalah tidak mencukupi untuk menjadi guru yang
berkesan. Guru perlu kreatif dan pandai memilih kombinasi kaedah yang sesuai
serta merancang secara sistematik. Kombinasi kaedah yang berkesan akan dapat
meningkatkan perkembangan pembelajaran pelajar. Oleh itu, dalam mereka
bentuk program pendidikan luar, cara mengaplikasikan kaedah pembelajaran
perlulah dititikberatkan supaya bersesuaian dan boleh mencapai objektif
pengajaran. Rajah 2.4 mengilustrasikan lima kaedah pengajaran dalam
pendidikan luar.


Rajah 2.4: Lima kaedah pengajaran dalam pendidikan luar

(a) Perbincangan
Perbincangan perlu melibatkan interaksi dua hala antara pelajar dengan
pelajar atau pelajar dengan guru. Jadi, kaedah perbincangan merupakan
kaedah dinamik yang dapat merangsang perhubungan ahli bilik darjah dan
melibatkan pelajar secara aktif dalam pembelajaran. Melalui kaedah ini,
pelajar akan belajar dan dapat mempraktikkan cara berbincang antara satu
sama lain, berkongsi maklumat serta memberi dan menerima pendapat
untuk mendapatkan satu persetujuan bagi menyelesaikan sesuatu masalah
atau tugasan yang berkaitan. Pelajar juga dapat dilatih berfikiran secara
kritis, kreatif dan analitik.

Sepanjang sesi perbincangan, pelajar akan mempraktikkan prinsip, konsep
dan prosedur yang telah mereka pelajari. Pelajar akan dapat berfikiran
rasional, menerima perbezaan pemikiran sebagai keuntungan dan sentiasa
berusaha memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah.
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


30
Sesi perbincangan menggalakkan mereka menilai dengan logik kenyataan
pandangan sendiri atau rakan-rakan yang lain. Kefahaman pelajar terhadap
topik perbincangan dapat diperkukuhkan dan kemahiran interpersonal
juga dapat ditingkatkan melalui perbincangan. Perbincangan juga memberi
maklum balas serta-merta kepada guru tentang kefahaman pelajar terhadap
konsep yang berkaitan.

Terdapat tiga kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru berhubung kait
dengan kaedah perbincangan ini iaitu:

(i) Menyoal atau mencetus isu perbincangan;
(ii) Mengurus aliran maklumat atau jawapan; dan
(iii) Memberi reaksi terhadap soalan pelajar.

Perbincangan juga boleh dijadikan sebagai alat dalam mengukur dan
menilai pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar. Kaedah perbincangan
ini juga boleh mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar. Kaedah
perbincangan sesuai dilaksanakan untuk individu, kumpulan kecil dan
sederhana.

(b) Tunjuk Cara
Kaedah tunjuk cara bertujuan bagi menjelaskan konsep dan proses guru
menggunakan kemahiran yang perlu ditunjuk lebih awal. Kaedah ini
digunakan bagi menunjukkan cara kerja. Tunjuk cara merupakan kaedah
pengajaran yang memberi peluang kepada pelajar melihat secara langsung
sesuatu tugasan dilaksanakan. Contohnya, guru menunjukkan bagaimana
untuk menjalankan aktiviti kembara kepada semua pelajar menggunakan
perisian multimedia dengan bantuan projektor paparan hablur cecair atau
LCD (liquid crystal display). Pelajar dapat melihat sendiri urutan langkah
yang perlu dilaksanakan.

(c) Pembelajaran Koperatif
Pembelajaran koperatif sesuai digunakan dalam keadaan di mana terdapat
pelajar berkeupayaan fizikal yang berlainan. Pelajar akan bekerja dalam
kumpulan kecil ke arah pencapaian objektif dan matlamat pembelajaran
yang sama. Contohnya, dalam menjalankan aktiviti kembara, setiap pelajar
dalam sesuatu kumpulan bekerjasama membantu ahli kumpulan. Seorang
pelajar tidak dapat menyempurnakan aktiviti kumpulan secara individu,
sebaliknya, perlu bergantung kepada ahli-ahli lain dalam kumpulannya.


TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

31
Interaksi sosial menekankan aspek kehidupan berkumpulan supaya pelajar
dapat berinteraksi dan belajar antara satu sama lain. Guru berperanan
untuk memupuk perhubungan kumpulan selain daripada pengajaran. Ini
bermakna, guru sebagai fasilitator perlu menggalakkan interaksi antara
pelajar serta menyelia aktiviti-aktiviti pembelajaran.

Kaedah ini boleh membina kemahiran berkomunikasi secara lisan,
kemahiran sosial, berfikiran kritis untuk sama-sama menyelesaikan
masalah atau terlibat dalam satu projek yang bermakna. Kaedah ini juga
menggalakkan pelajar berdikari, bebas memberi dan mendengar pendapat
serta menghormati pendapat orang lain. Di samping itu, nilai-nilai murni
juga dapat diserapkan melalui kaedah ini. Contohnya, nilai kerjasama,
bertanggungjawab, toleransi, perpaduan dan persefahaman antara ahli
dalam kumpulan. Beberapa kajian menunjukkan pelajar yang bekerja
dalam satu pasukan akan dapat belajar antara satu sama lain.

(d) Eksplorasi Penemuan
Kaedah eksplorasi penemuan merangsang pelajar mencari jawapan
terhadap sesuatu masalah melalui proses celik akal dengan tujuan untuk
meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu proses perisian.
Guru bertindak sebagai fasilitator atau pengurus pembelajaran serta
seharusnya dapat menyediakan persekitaran pembelajaran agar eksplorasi
penemuan dapat dilaksanakan.

Siti Fatimah (1998) menyatakan bahawa prinsip utama dalam kaedah
eksplorasi penemuan ini ialah pelajar menemui sesuatu dengan cara
perlakuan, bukan secara mendengar atau membaca. Soalan-soalan ini
merupakan rangsangan kepada pelajar untuk membuat penemuan. Dalam
strategi pembelajaran ini, pembelajaran dilakukan melalui aktiviti pelajar
secara langsung. Cara ini lebih berkesan kerana segala maklumat yang
diperoleh melalui penemuan akan menghasilkan ingatan yang lebih kukuh.
Pembelajaran ini berpusatkan murid dan guru bertindak sebagai fasilitator
(Lee, 1994).

Guru juga perlu merangsang pelajar berfikir, memberi motivasi dan
dorongan serta memainkan peranan yang penting bagi meningkatkan
semangat pelajar untuk terus mendapatkan pengetahuan melalui kaedah
ini. Tujuan kaedah eksplorasi penemuan ialah mengukuhkan kefahaman
pelajar tentang kandungan pelajaran melalui perbuatan dan penglibatan
aktif pelajar. Prosedur dan peraturan untuk mencari jawapan mungkin
boleh didapati daripada pengalaman pelajar dan pengetahuan sedia ada.
Program pendidikan luar yang dibina berdasarkan kepada eksplorasi
penemuan mestilah merangsang pelajar berfikir.
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


32
(e) Projek
Terdapat beberapa projek yang boleh dijalankan oleh para guru berasaskan
kepada pengajaran dan pembelajaran. Projek ialah aktiviti pembelajaran
secara individu atau kumpulan yang banyak dilakukan di luar kelas. Projek
memerlukan tempoh masa tertentu untuk disiapkan. Sesuatu projek boleh
merangkumi beberapa konsep dan kemahiran yang telah dipelajari.

Kaedah projek yang berkonsepkan belajar sambil mempraktikkan (learning
by doing) boleh mempercepatkan pembentukan kefahaman dalam proses
pembelajaran.

Projek atau tugasan menjadi matlamat kepada kemahiran yang hendak
diperoleh. Guru perlu menyenaraikan kriteria yang hendak dihasilkan
setelah pelajar menguasai kemahiran tersebut melalui aktiviti
berkumpulan.

Melalui kerja berkumpulan berasaskan projek, pelajar perlu mengenal pasti,
menganalisa, mereka bentuk, membangun, melaksana dan
menyelenggarakan sistem yang telah dibina. Objektif projek perlulah
diberitahu pada awal pembelajaran supaya pelajar lebih bermatlamat dan
boleh merancang strategi dalam menyiapkan projek berkenaan dengan
jayanya.
2.2.4 Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir secara kritis merupakan satu daripada komponen utama
kemahiran berfikir. Perkataan kritis berasal daripada bahasa Yunani kritikos
yang bermakna mampu menilai. Pada asalnya, pemikiran kritis dicipta untuk
mengelakkan kesilapan, kekeliruan dan andaian yang salah. Kemahiran ini
memberi tumpuan kepada kebolehan menilai kemunasabahan sesuatu idea iaitu
menimbang secara menyeluruh kebaikan dan keburukan dengan memberi alasan
dan hujah yang sah, jelas dan bernas. Ini dapat menghindarkan kesilapan
berulang dan membolehkan kesilapan diperbetulkan (Bahagian Pendidikan
Guru, 1995).

Pemikiran kreatif merupakan satu daripada proses berfikir. Pemikiran tersebut
lebih menekankan kepada hemisfera otak kanan berbanding hemisfera otak kiri.
Namun, otak kanan kurang diberikan perhatian dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah. Oleh itu, hemisfera otak kanan perlu diberikan
penekanan dalam bilik darjah supaya kreativiti murid dapat dikembangkan ke
tahap yang sewajarnya (Bahagian Pendidikan Guru, 1995).

TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

33
Daripada definisi ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa berfikir secara kritis
dapat membantu meningkatkan kefahaman, kejelasan dan keupayaan untuk
menggunakan maklumat dengan berkesan. Dengan ini, kita akan dapat membuat
pertimbangan yang lebih bijak dan berkesan untuk membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah. Sementara itu, kreatif ialah kecekapan dan keupayaan
membangunkan minda untuk meneroka pelbagai kemungkinan dalam
menghasilkan sesuatu yang baru, asli, luar biasa dan bernilai, sama ada bersifat
maujud, abstrak atau gugusan.

Dalam membangunkan pendidikan luar, pengguna perlu diberikan peluang
untuk berfikir secara kritis dengan sembilan cara yang ditunjukkan dalam Jadual
2.2.

Jadual 2.2: Sembilan Cara Berfikir Secara Kritis
Cara Berfikir Secara Kritis Penerangan/Kriteria
Mengenal pasti kriteria serta unsur
satu konsep atau objek
Sifat, ciri-ciri dan kualiti.
Membanding dan mencari persamaan
dan perbezaan
Sifat, ciri-ciri, kualiti serta unsur satu peristiwa
atau objek.
Mengumpul dan mengelaskan objek
atau fenomena
Ciri-ciri atau sifat.
Membuat urutan Menyusun objek atau maklumat mengikut
tertib berdasarkan kualiti, kuantiti, ciri-ciri
atau sifat.
Menyusun mengikut keutamaan Menyusun objek mengikut tertib berdasarkan
kepentingan atau kesegeraan.
Menganalisis Mengolah maklumat dengan menghuraikan
kepada bahagian yang lebih kecil bagi
memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta
mencari makna yang tersirat.
Mengesan pengaruh Mengesan pandangan atau pendapat yang
berpihak atau menentang sesuatu.
Menilai Membuat pertimbangan tentang sesuatu
perkara daripada satu kebaikan dan
keburukan berdasarkan bukti atau dalil yang
sah.
Membuat kesimpulan Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu
kajian berdasarkan kepada hipotesis atau
mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan
kepada penyiasatan.
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


34
Pengguna juga diberikan peluang untuk berfikir secara kreatif dan 10 caranya
ditunjukkan dalam Jadual 2.3.

Jadual 2.3: Sepuluh Cara Berfikir Secara Kreatif
Cara Berfikir Secara
Kreatif
Deskripsi
Menjana idea Menjana idea secara spontan berkaitan dengan sesuatu perkara.
Menghubung kait Membuat perkaitan untuk mencari sesuatu struktur atau corak
perhubungan.
Membuat inferens Membuat kesimpulan awal sama ada benar atau tidak,
berdasarkan maklumat daripada pemerhatian.
Meramalkan Membuat jangkaan terhadap sesuatu peristiwa berdasarkan
pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau data yang boleh
dipercayai.
Membuat hipotesis Membuat penyataan umum menghubungkaitkan pemboleh
ubah bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa.
Kenyataan ini boleh diuji untuk membuktikan kesahihannya.
Mensintesiskan Menggabungkan idea, unsur, item atau perkara yang berasingan
untuk menghasilkan gambaran yang menyeluruh dalam bentuk
penyataan, esei, lukisan dan artifak.
Mengitlak Membuat penyataan umum terhadap keseluruhan kumpulan
maklumat berdasarkan pemerhatian ke atas sampel kumpulan
itu.
Membuat gambaran
mental
Membuat tanggapan atau membayangkan sesuatu idea, konsep,
keadaan atau gagasan dalam minda atau fikiran.
Menganalogi Membentuk kefahaman tentang sesuatu konsep serta
mengaitkan konsep itu dengan perkara yang mudah, maujud
dan mempunyai ciri-ciri yang serupa.
Mereka cipta Menghasilkan sesuatu yang baru atau melakukan
pengubahsuaian kepada sesuatu yang sedia ada dalam bentuk
maujud.

TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

35
Antara tujuan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran adalah untuk membolehkan pelajar:

(a) Mendapat latihan berfikir secara kritis dan kreatif semasa membuat
keputusan dan menyelesaikan masalah dengan bijak;
(b) Mengaplikasikan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berfikir secara
lebih praktik sama ada di dalam atau luar sekolah;
(c) Menghasilkan idea atau ciptaan yang kreatif dan inovatif;
(d) Mengatasi kesilapan berfikir terburu-buru, bercelaru, kabur dan sempit;
(e) Meningkatkan aspek kognitif dan afektif dalam perkembangan intelek
mereka;
(f) Bersikap terbuka dalam menerima dan memberi pendapat serta membina
keyakinan diri untuk memberi hujah; dan
(g) Membuat pertimbangan berdasarkan kepada alasan dan bukti serta berani
memberi pandangan dan kritikan.
2.2.5 Pembentukan Sahsiah
Menurut Kamus Dewan, sahsiah membawa maksud keperibadian. Kagan dan
Segal (1988) mendefinisikan sahsiah sebagai personaliti seseorang individu yang
merangkumi proses berfikir, merasa tingkah laku dan hubungannya dengan
persekitaran. Sahsiah adalah cara individu mengorganisasikan watak, perangai,
intelek, postur pergerakan badan dan menentukan penyesuaian yang unik
terhadap persekitaran. Sahsiah dengan kata lain merujuk kepada cara
pembentukan peribadi seseorang individu secara keseluruhan. Sahsiah
merangkumi perangai, kecergasan, sentimen, sikap, minat, kepercayaan,
interaksi, bentuk badan, cita-cita dan nilai-nilai murni.

Aktiviti pendidikan luar dilihat dapat merangsang pembentukan sahsiah yang
baik kepada peserta. Nilai-nilai murni yang sentiasa ditanam dalam aktiviti
pendidikan luar dapat membantu merangsang pembentukan sahsiah. Aktiviti
fizikal yang dirancang dengan teliti akan merangsang pembentukan personaliti
yang baik. Keupayaan pelajar berinteraksi dengan alam persekitaran secara
langsung akan membolehkan pelajar membentuk kemantapan sahsiah.

TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


36

AKTIVITI PENDIDIKAN LUAR
BERTERASKAN PENDIDIKAN ALAM
SEKITAR
Malaysia telah dikenal pasti sebagai salah satu dari 12 kawasan mega diversiti di
dunia yang mempunyai sumber kekayaan biologi yang terunggul. Hutan hujan
tropika yang kaya dengan sumber biologi dan ekosistem yang kompleks meliputi
sebahagian besar daripada muka bumi negara ini. Terdapat lebih daripada 15,000
tumbuhan berbunga, 750 spesies burung, 286 spesies mamalia, 150,000 spesies
invertebrata, 1,000 spesies kupu-kupu, 12,000 spesies rama-rama dan 4,000
spesies ikan di negara ini (MOSTE, 1997; EPU, 1993; WCMC, 1994).

Hutan hujan tropika adalah khazanah yang amat berharga kepada kita. Namun,
dewasa ini, pencinta alam amat bimbang dengan apa yang telah berlaku di
negara kita. Apabila jumlah penduduk meningkat, permintaan untuk tanah juga
meningkat. Penebangan kawasan hutan untuk dijadikan penempatan,
perindustrian dan lebuh raya berlaku bagi memenuhi keperluan pembangunan.

Keseimbangan ekosistem telah terganggu akibat kemusnahan alam yang
menimbulkan pelbagai isu alam sekitar seperti pemusnahan hutan, pencemaran
kesan rumah kaca, hakisan kepupusan spesies dan lain-lain. Contoh yang nyata
ialah kejadian banjir lumpur, banjir kilat yang kerap berlaku dewasa ini. Kejadian
ini telah meragut banyak nyawa, harta benda dan memusnahkan kehidupan
flora dan fauna.

Isu-isu ini telah mendorong pihak pemimpin untuk bertindak bersama-sama bagi
memperbaiki kualiti alam sekitar. Salah satu tindakan yang telah dipersetujui
adalah perancangan serta pelaksanaan satu program pendidikan yang berkesan
bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemeliharaan
dan pemuliharaan alam sekitar.

Pendidikan Alam Sekitar ialah pembelajaran untuk memahami interaksi manusia
dengan alam sekitar dan bagaimana alam sekitar diuruskan dengan bijaksana
dan bertanggungjawab ke arah kelestarian hidupan di bumi. Proses ini
melibatkan pendidikan tentang alam sekitar, melalui alam sekitar dan untuk
2.3
Huraikan kenyataan Pendidikan Luar Merentasi Kurikulum.
LATIHAN 2.1
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

37
alam sekitar. Rajah 2.5 memperlihatkan empat kajian berkenaan pendidikan alam
sekitar.


Rajah 2.5: Empat kajian pendidikan alam sekitar
2.3.1 Kajian Alam Sekitar
Kajian alam sekitar bermakna pemerhatian dan analisis secara terperinci
mengenai sesuatu isu atau perkara yang berkaitan dengan alam sekitar. Program
pendidikan luar dilihat amat berupaya untuk menanam kesedaran serta memberi
pendidikan alam sekitar. Dalam aktiviti kembara, peserta boleh menghayati
hutan, tumbuh-tumbuhan, bunga, buah-buahan, serangga, burung, ikan dan
sebagainya.
2.3.2 Kajian Flora dan Fauna
Mengamati dan memerhatikan alam sekitar akan memberi satu keseronokan,
sehingga ada orang sanggup memperuntukkan kewangan yang tinggi semata-
mata kerana minat memelihara binatang peliharaan. Contoh kajian alam sekitar
yang boleh dilakukan ialah mengenal pasti habitat.

Mengenal Pasti Habitat
Syarat utama dalam mengenali habitat adalah peserta dilarang daripada
mengganggu ekologi. Dengan kata lain, peserta hanya boleh memerhati sahaja.
Kenalilah satu atau lebih habitat yang sesuai seperti kolam buatan, sungai dan
sebagainya. Lukiskan pelan kawasan habitat termasuk melukis haiwan dan
tumbuhan yang tumbuh di persekitaran habitat tersebut. Sediakan satu senarai
bahan-bahan untuk kajian seperti buku rujukan, buku catatan, pembaris,
teropong, kertas lukisan dan alat tulis.

TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


38
Buat pemerhatian serta rekodkan senarai flora dan fauna yang ditemui di dalam
kawasan kajian. Bandingkan senarai ini dengan hasil tinjauan habitat kedua
anda, sekiranya ada. Perhatikan perbezaan organisma yang hidup dan peranan
serta cara pemakanan mereka. Seterusnya, ambil sampel pH air, suhu di punca
serta kawasan yang paling dalam di sungai atau kolam berkenaan.

Pelajar juga boleh diminta membuat kajian dan melukis siratan makanan serta
hubungan sistem ekologi dalam sesuatu kawasan kajian (lihat Rajah 2.6). Berikut
adalah contoh aktiviti kajian:

Sila nyatakan organisma pengeluar, pengguna primer dan pengguna sekunder.
Senaraikan ancaman yang dapat dilihat menjejaskan habitat berkenaan. Salah
satu ancaman yang ketara dan nyata berlaku adalah pencemaran.

(a) Senaraikan sumber pencemaran kepada kawasan kajian anda dan langkah-
langkah untuk mengurangkan pencemaran tersebut.

(b) Semasa membuat pensampelan, rekodkan juga jenis sampah sarap yang
ditemui.


Rajah 2.6: Kajian rantaian makanan
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

39
2.3.3 Kajian Pencemaran Air
Air merupakan sumber terpenting bagi kehidupan manusia. Tanpa air, dunia
akan menjadi sebuah planet yang tidak bernyawa. Tiga perempat daripada
bahagian bumi diliputi oleh air dan lebih dua pertiga daripada berat badan
manusia adalah terdiri daripada air.

Pada amnya, seorang manusia menggunakan 1,000 liter air setahun sebagai
minuman. Namun, dalam usaha kita untuk mendapatkan bekalan air yang
bersih, terdapat banyak faktor yang menghalang. Menurut kajian, hanya 25%
sahaja daripada sungai di Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai sungai
yang benar-benar bersih. Ancaman utama bekalan air kita ialah bahan buangan
daripada kawasan perumahan dan perindustrian.

Bahan buangan perumahan terdiri daripada sampah sarap, kumbahan manusia
dan bahan pencuci, manakala, kawasan perindustrian pula terdiri daripada
bahan kimia berbahaya seperti fosfat, sianida dan asid sulfurik. Pengaliran air
yang bercampur dengan tanah, baja, racun serangga serta minyak ini juga
menyumbang kepada pencemaran air. Tindakan inilah yang menyebabkan
keseimbangan ekosistem bumi terganggu. Implikasinya adalah banjir, kurang
bekalan air yang bersih dan hakisan tanah. Rajah 2.7 menunjukkan poster tentang
pencemaran air.


Rajah 2.7: Pencemaran air
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


40
Justeru, kesedaran manusia amat perlu bagi memainkan peranan yang aktif
untuk mengurangkan masalah pencemaran air. Aktiviti pendidikan luar dilihat
sebagai jalan terbaik bagi mewujudkan kesedaran terhadap masyarakat.

Peserta kursus perlu mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan pencemaran
air, sebelum merancang pencegahan. Antara faktor pencemaran ialah:

(a) Mengetahui jenis sampah yang dihasilkan di sungai;
(b) Mengetahui berapa banyak sampah yang dihasilkan di sungai;
(c) Mengkaji kaedah yang terbaik untuk menguruskan sisa pepejal di sungai;
(d) Menunjukkan betapa pentingnya sampah sarap dikurangkan; dan
(e) Menjalankan kajian kemungkinan kebolehlaksanaan untuk mendapatkan
kaedah yang paling berkesan bagi mengatasi atau meminimumkan masalah
tersebut.

Petunjuk kualiti air juga perlu diberikan kepada peserta kursus sebagai garis
panduan kepada pelajar. Contohnya, warna dan bau air boleh menjadi penunjuk
kualiti apa yang sedang berlaku terhadapnya. Jadual 2.4 menunjukkan keadaan
air dan jangkaan kepada penyebab pencemaran.

Jadual 2.4: Keadaan Air dan Jangkaan Penyebab Pencemaran
Keadaan Air Jangkaan Penyebab Pencemaran
Air berwarna hijau Tumbuhan kecil yang dinamakan rumpair tumbuh di
dalamnya
Air berlumpur Kandungan kelodak atau mendapan yang tinggi (ikan
atau hidupan lain sukar bernafas)
Lapisan berkilau Berlaku tumpahan minyak di permukaan
Busa atau berbuih Mungkin sabun mengalir ke dalam sungai
Berbau seperti telur busuk Terdapat kumbahan
Lapisan kuning jingga atau
kemerahan di permukaan air
Kilang membuang bahan pencemaran ke dalam sungai






TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

41
2.3.4 Kajian Tempatan
Terdapat berbagai bentuk kajian yang boleh dilakukan terhadap keadaan
tempatan kawasan kajian. Dua bidang kajian tempatan yang perlu dilakukan
digambarkan dalam Rajah 2.8.


Rajah 2.8: Dua bidang kajian tempatan

(a) Kajian Sejarah Kawasan
Kebanyakan tempat di Malaysia mempunyai sejarah yang unik. Bahan-
bahan atau tinggalan sejarah boleh dalam pelbagai bentuk, contohnya,
makam, kubur, perigi, rumah, batu bersurat dan lain-lain. Bahan-bahan ini
mungkin kesan peninggalan kesultanan, peperangan, makam pahlawan-
pahlawan dan lain-lain (Rajah 2.9). Fakta-fakta tentang peninggalan sejarah
boleh didapati dengan menemu bual penduduk tempatan, meneliti kesan
sejarah dan membaca buku atau jurnal mengenai sejarah.


Rajah 2.9: Kajian sejarah kawasan

Dengan membuat kajian mengenai sejarah, peserta pendidikan luar akan
mendapat ilmu pengetahuan dan seterusnya, memperoleh iktibar daripada
cerita sejarah. Kajian sejarah juga boleh melahirkan insan yang dapat
berfikir secara kreatif dan kritis. Dalam melaksanakan aktiviti ini, peserta
perlu membuat catatan dalam bentuk lukisan tentang peninggalan sejarah.
Peserta kursus juga perlu mencari fakta sejarah sama ada dalam bentuk
cerita, bahan bercetak untuk dibentangkan dalam forum atau bengkel.
Selain itu, peserta perlu diajukan soalan dalam bentuk rangsangan berfikir.
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


42
(b) Kajian Geografi
Kajian geografi dilakukan oleh peserta pendidikan luar dengan cara
menyiasat, menyelidik dan menganalisis tentang bentuk muka bumi (Rajah
2.10). Peserta perlu mengembara dan membuat kajian tentang sungai, batu-
batan, kampung, perbandaran, lembah dan bukit bukau sesuatu kawasan.
Kajian juga dilakukan bagi melihat hubungan bentuk muka bumi dengan
pekerjaan penduduk sesuatu kawasan berserta jujukan penempatan.
Kemahiran geografi diterapkan dalam aktiviti pendidikan luar. Contohnya,
membaca kompas, mengukur ketinggian dan membaca peta.


Rajah 2.10: Kajian geografi

Peserta kursus akan dibekalkan dengan peta, kompas dan peralatan lain
untuk membuat kajian tentang struktur muka bumi sesuatu kawasan.
Peserta perlu menghasilkan lukisan tentang muka bumi sesuatu kawasan
serta membuat hubung kait dan memberikan ciri-ciri hubungan antara
bentuk muka bumi dengan aktiviti sosial penduduk. Aktiviti-aktiviti kajian
geografi boleh menanamkan nilai positif seperti kesyukuran dan kesedaran
kepentingan alam sekitar terhadap masyarakat.

(i) Sistem komunikasi yang berkesan membolehkan pelaksanaan
pengajaran serta pembelajaran yang lebih berkesan.

(ii) Penyebatian menyatupadukan isi pengetahuan daripada satu mata
pelajaran dengan mata pelajaran yang lain.

TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

43


Pendidikan luar merentasi kurikulum memaparkan tentang lima konsep iaitu
penyebatian mata pelajaran akademik, penerapan nilai-nilai murni, kaedah
pengajaran dan pendidikan luar, kemahiran berfikir dan pembentukan
sahsiah.

Penerapan nilai-nilai murni menjadi asas kepada pembinaan dan
pembangunan manusia.

Kaedah perbincangan, tunjuk cara, pembelajaran koperatif, eksplorasi
penemuan dan projek adalah lima kaedah pengajaran dalam pendidikan luar.

Pendidikan alam sekitar bertujuan untuk memahami interaksi manusia
dengan alam.


Alam sekitar
Berfikir secara kritis
Berfikir secara kreatif
Kajian flora dan fauna
Kurikulum
Nilai-nilai murni

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pencemaran air. Sila
nyatakannya.
LATIHAN 2.2
TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR


44

1. Berikan ciri-ciri proses penyebatian mata pelajaran akademik.

2. Nyatakan tujuan strategi penyebatian mata pelajaran akademik.

3. Nyatakan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam Kurikulum Baru Sekolah
Malaysia (KBSM).

4. Apakah tiga kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru berhubung kait
dengan kaedah perbincangan?

1. Nyatakan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam Kurikulum Baru Sekolah
Rendah (KBSR).

2. Berikan contoh penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan luar.

3. Sila isi tempat kosong di bawah:

Keadaan Air Jangkaan Penyebab Pencemaran
Air berwarna hijau

Air berlumpur

Lapisan berkilau

Busa atau berbuih

Berbau seperti telur busuk

Lapisan kuning jingga atau
kemerahan di permukaan air


TOPIK 2 PENGINTEGRASIAN MATA PELAJARAN DALAM PENDIDIKAN LUAR

45

Abdul Alim Abdul Rahim dan Balkis Wan Daud. (1993). Panduan ekspedisi
pengakap Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Alim Abdul Rahim. (1992). Panduan perkhemahan, simpulan dan
pioneering. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Ford, P. (1981). Principles and practices of outdoor/environmental education.
New York: Wiley.

Hammerman, D. R., Hammerman, W. M. & Hammerman, E. L.(1985). Teaching
in the outdoors. Danville, IL: Interstate.

Lewis, C. A. (1975). The administration of outdoor education programs.
Dubuque, IA: Kendall-Hunt.

Maznah Hassan. Persepsi Guru Pelatih KDPM Terhadap Perlaksanaan Program
Pendidikan Luar.

Modul Bina Insan Guru. (2000). Bahagian Pendidikan Guru Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Modul Pendidikan Luar. (1993). Bahagian Pendidikan Guru Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Priest, S. (1986). Redefining Outdoor Education, Journal of environmental
education, 17(3), 13.