Anda di halaman 1dari 4

Adakah anda bersetuju dengan kurikulum pendidikan moral di sekolah Malaysia? Justifikasikan.

Pendidikan Moral merupakan subjek yang penting bagi membentuk serta mendidik pelajar untuk
menjadi insan yang berakhlak dan berkeperibadian yang mulia dengan menumpukan kepada
aspek pemikiran, tingkah laku dan juga perasaan. Hal yang demikian kita dapat melihat fungsi
Pendidikan Moral dalam membentuk generasi muda dengan nilai-nilai murni seperti
menghormati orang tua, amanah, adil, berdisiplin, berhemah tinggi dan sebagai. Oleh itu, saya
amat bersetuju dengan kurikulum Pendidikan Moral di sekolah Malaysia kerana mampu untuk
membentuk kekuatan rohani dan moral dalam diri generasi muda melalui amalan nilai-nilai
murni masyarakat yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam di Malaysia.
Kurikulum yang telah digariskan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral banyak
memberi pendedahan kepada murid untuk menguasai kemahiran-kemahiran berfikir secara
intensif, berfikir secara kritikal, kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran komunikasi
berkesan, kemahiran membuat keputusan dan sebagainya (Rosnani Hashim, 2013). Kemahiran
ini mampu untuk menjadi pertahanan dan kekuatan dalam diri murid bagi mengharungi dunia
globalisasi yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Sekiranya kemahiran ini dapat dikuasai oleh
murid-murid, mereka dapat meramalkan masalah dan mampu mendekati masalah secara kritis,
logik, induktif, dan deduktif bagi mencari cara penyelesaian yang terbaik dan membantu murid-
murid tidak melakukan kesilapan semasa membuat keputusan. Oleh itu, kemahiran-kemahiran
ini dapat membantu murid menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan dan menyesuaikan
diri dengan persekitaran.
Melalui Pendidikan Moral juga murid akan diterapkan dengan nilai perkembangan diri
yang amat diperlukan oleh murid seperti percaya kepada Tuhan, amanah, harga diri,
bertanggungjawab, berhemah tinggi, toleransi, dan berdikari. Sekiranya semua nilai ini dapat
dikuasai oleh murid, negara akan melahirkan generasi yang bebas daripada masalah sosial yang
semakin menular ke dalam diri generasi muda seperti vandalisme, penagihan dadah, ponteng
sekolah, rogol, dan sebagainya. Generasi akan terhindar daripada masalah sosial yang
kebanyakannya daripada budaya barat melalui kepercayaan kepada Tuhan. Pegangan yang
kukuh terhadap agama mampu mengelakkan murid hidup tanpa arah tujuan dalam mencari
kebenaran. Hidup dengan mengamalkan agama menjadikan kehidupan kita lebih tenang,
harmoni, dan damai (Shamsul Kamarudin, 2011). Tambahan lagi, agama mengajarkan murid
menjalani kehidupan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
Pembangunan yang pesat membawa kepada amalan penerokaan hutan yang pesat
sehingga beratus-ratus hektar hutan telah ditebang untuk membina jalan raya, perumahan,
bangunan, dan sebagainya. Menurut www.mtc.my (2007) Laporan FAO yang diterbitkan pada
2005 menyatakan Malaysia kehilangan hutan setiap tahun sebanyak 237,000 hektar. Tambahan
lagi dengan pelbagai jenis pencemaran yang berlaku akibat daripada tindakan manusia yang
hanya mementingkan pembangunan sehingga berlakunya pencemaran air, udara, hujan asid, dan
sebagainya. Lantaran itu, mata Pelajaran Moral telah menerapkan nilai-nilai murni seperti
menyayangi dan menghargai alam sekitar, kemampatan alam sekitar, peka terhadap isu-isu alam
sekitar dan sebagai mampu melahirkan modal insan yang mengambil berat terhadap penjagaan
alam sekitar. Hal ini murid akan mengetahui kepentingan hutan dan alam sekitar kepada manusia
serta keburukannya sekiranya tidak dijaga dengan baik. Oleh itu, Pendidikan Moral mampu
melahirkan generasi yang akan mengambil alih kepimpinan pada masa hadapan yang
mementingkan penjagaan alam sekitar dalam membangunkan negara.
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduknya yang berbilang kaum
seperti Melayu, Cina, dan India. Hal yang demikian setiap masyarakat perlu menjaga sensitiviti
masyarakat yang lain agar sejarah hitam yang tidak akan terpadam di Malaysia seperti rusuhan
kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang menyebabkan keamanan negara kita tergugat berlaku
semula. Lantaran itu, melalui Pendidikan Moral kita mampu menanam semangat cinta akan
negara dalam diri murid sehingga mereka mampu mengharumkan nama negara di peringkat
antara bangsa dan memperkenalkan Malaysia pada dunia luar. Bagi meletakkan Malaysia
setanding dengan negara maju lain, kita hendaklah memupuk semangat perpaduan yang tinggi
dalam diri murid di bangku sekolah lagi agar tidak kira berbeza bangsa dan agama mereka tetap
berganding bahu dan bekerjasama dalam membangunkan negara (Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
2010).
Setiap kelompok masyarakat mesti mempunyai peraturan untuk membolehkan manusia
hidup dan dapat berfungsi dengan persekitarannya. Justeru itu, seorang yang memiliki nilai-nilai
moral tidak boleh lari daripada mematuhi peraturan dan adat dalam masyarakat dan undang-
undang negara. Sekira kita melanggar undang-undang akan dikategorikan sebagai orang yang
bersalah dan akan dijatuhkan hukuman sekiranya ditangkap. Justeru itu, semua orang perlu
mematuhi undang-undang yang telah digubal agar tidak dilakukan sama ada secara sengaja atau
tidak sengaja. Hal yang demikian, murid akan ditekankan dengan undang-undang yang terdapat
di Malaysia seperti peraturan jalan raya, hak untuk bersuara, kebebasan beragama, hak mendapat
pendidikan, dan sebagai. Oleh itu, dengan mengikuti mata pelajaran Pendidikan Moral kita dapat
murid akan lebih peka dan memahami keperluan mematuhi undang-undang dalam kalangan
masyarakat mahupun negara.
Tuntasnya, semua pihak terutamanya guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan
Moral harus bersungguh-sungguh menyampaikan kurikulum yang telah digariskan kepada murid
agar dalam diri mereka dilengkapi dengan nilai-nilai murni. Walaupun Pendidikan Moral bukan
mata pelajaran yang wajib bagi semua hanya kepada murid yang bukan Islam. Namun begitu,
Kurikulum yang telah ditekankan dalam Pendidikan Moral mampu memupuk dan melahirkan
generasi yang lebih produktif dan berkualiti.












Bibliografi
Mohd Ridhuan Tee Abdullah (2010). Cabaran Integrasi Antara Kaum Di Malaysia: Perspektif
Sejarah, Keluarga Dan Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia, 3, 61-84.
Pengurusan hutan mampan (2007). Diperoleh pada mac 3, 2014 daripada www.mtc.my.
Rosnani Hashim (2013). Memenuhi Aspirasi Kemahiran Berfikir dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 menerusi inkuiri dan pedagogi filosofiyyah dalam
kalangan guru. Diperoleh pada Mac 28, 2014 daripada
http://www.docdatabase.net/more-memenuhi-aspirasi-kemahiran-berfikir-dalam-pelan-
pembangunan--1074762.html.
Shamsul Kamarudin (2011). Kepentingan Pendekatan Kepercayaan Dan Keyakinan Kepada
Tuhan Melalui PTV. Universiti Teknologi Malaysia, 1, 249-257.