Anda di halaman 1dari 3

HUKUM PERKAHWINAN PENZINA WANITA DENGAN LELAKI YANG TIDAK BERZINA DENGANNYA

Kata Imam Hassan al-Basri : Perkara ini memfasakhkan nikah tersebut. Manakala Jumhur para ulama
mengatakan bahawa harus bagi lelaki tersebut mengahwini wanita penzina itu.

Titik perselisihan tersebut berlaku berdasarkan pemahaman terhadap penafsiran ayat 3 di dalam
surah al-Nur. Allah taala berfirman :



Maksudnya: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan
yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak akan
berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang
demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.

Imam Hassan al-Basri rahimahullah memahami bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa perkahwinan
itu akan menjadi terfasakh kerana zahir ayat ini menunjukkan bahawa haram bagi golongan mukmin
mengahwini wanita penzina. Manakala Jumhur para ulama pula memahami ayat ini bukanlah
bermaksud haram tetapi sebaliknya suatu kejian dan sangat tidak layak bagi seorang mukmin
mengahwini wanita penzina. Kejian tersebut bukanlah bermaksud tidak boleh dikahwini.

Menurut Syeikh al-Mufassir Muhammad Ali Shabuni hafizahullah: Para ulama mentakwilkan ayat ini
dengan mengatakan bahawa kebiasaannya lelaki dan perempuan penzina tidak akan berkenan untuk
mengahwini lelaki yang soleh atau wanita yang solehah. Mereka tentu lebih menggemari lelaki dan
wanita yang seumpama dengan mereka.

Jumhur para ulama juga menggunakan dalil yang dikeluarkan oleh al-Imam Ibn Majah dan Imam al-
Baihaqi daripada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Umar dan Saidatina Aisyah radhiyallahu
anhuma:


Maksudnya: Perkara yang haram (zina) tidak akan mengharamkan perkara yang halal( nikah).

Hadis ini bermaksud, penzinaan tidaklah menghalang seseorang tersebut berkahwin dengan wanita
yang berzina tersebut.

Para ulama berbeza pendapat sekiranya wanita yang ingin dikahwini tersebut mengandung. (Perlu
diingat, perbahasan yang kita bahaskan sekarang bukanlah perkahwinan penzina lelaki dengan
penzina wanita tetapi perkahwinan diantara penzina wanita dan lelaki yang suci daripada zina.).

Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani rahimahumullah berpendapat jika
wanita tersebut mengandung tetap sah aqad nikah lelaki tersebut dengannya.Tetapi dengan syarat
lelaki tersebut tidak menyetubuhinya sehinggalah wanita tersebut melahirkan anak itu.

Manakala Imam Abu Yusuf dan Zufar ( Ulama Hanafiyah) berpendapat mengatakan bahawa
diharamkan untuk berkahwin dalam keadaan wanita itu masih mengandung.

Para ulama Malikiyah pula berpendapat mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk mengahwini
wanita penzina selagi wanita tersebut tidak suci daripada 3 kali haid.

Para ulama Hanabilah pula berpendapat , jika seoarang wanita berzina maka tidak dihalalkan kepada
sesiapa yang mengetahuinya untuk mengahwininya melainkan setelah selesai dua perkara. Pertama,
setelah selesai melahirkan kandungan tersebut. Kedua, setelah memastikan bahawa wanita tersebut
telah bertaubat.

Manakala permasalahan nasab bagi anak zina, saya telah bahaskan pada masa yang lalu. Bagi
sesiapa yang ingin merujuknya maka bolehlah melihat di [klik di sini
http://nazrulnasir.blogspot.com/2009/04/nasab-anak-zina.html ].

KESIMPULAN

Setelah kita bahaskan dengan ringkas, maka jelaslah bahawa perkahwinan tersebut sah.Tiada
masalah padanya.
Wallahu alam.


Rujukan:
1. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Wahbah Zuhaili cetakan Darul Fikr Syria Jilid 9 mukasurat
6648-6650

2. Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Muhammad Ali al-Shabuni cetakan Darul Shabuni Jilid 2.

3. Fatawa Darul Ifta Misriyah jilid 8

4. Fatawa Syeikh Ali Jumah Jilid 1

Anda mungkin juga menyukai