Anda di halaman 1dari 6

eks Ucapan Sambutan Hari Guru Kali Ke-43 olah YAB Tan Sri Dato' Muhyiddin

Yassin
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
SAMBUTAN PERAYAAN HARI GURU
KALI KE-43
"GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI"
16 MEI 2014, PUKUL 9.00 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Berhormat Datuk Seri Idris bin Jusoh
Menteri Pendidikan II
Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching
Timbalan Menteri Pendidikan I
Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan
Timbalan Menteri Pendidikan II
Yang Berbahagia Datuk Dr. Madinah binti Mohamad,
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia;
Yang Berbahagia Dato Seri Ir Dr. Zaini bin Ujang,
Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof,
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia,
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian
Pendidikan Malaysia, Pengarah-Pengarah Pendidikan Negeri,
Yang Berusaha Tuan Haji Abdullah bin Mad Yunus,
Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para
pendidik yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan rahmat-Nya kita dapat
berhimpun pada hari ini sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-

43 Tahun 2014. Saban tahun kita meraikan Perayaan Hari Guru sebagai mengiktiraf
peranan dan sumbangan guru dalam mendidik anak bangsa dan memacu kemajuan
negara. Sempena hari yang amat bermakna ini, saya merakamkan ucapan segunung
kasih dan setulus penghargaan kepada semua guru di seluruh pelosok negara atas
segala jasa, bakti dan sumbangan anda semua.
GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI
Para guru, saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
2. Selaras dengan tema Hari Guru pada tahun ini, iaitu Guru: Pencetus Kreativiti,
Penjana Inovasi, sudah tiba masanya guru benar-benar menjadi pencetus kreativiti
dan penjana inovasi dalam mendidik murid. Ini adalah amat penting memandangkan
negara kita sedang menuju era negara maju di mana ekonomi negara kita perlu dipacu
oleh daya inovasi rakyat. Untuk menghadapi persaingan global yang semakin sengit
dalam persekitaran ekonomi yang dipacu oleh inovasi, sistem pendidikan kita
sebenarnya memainkan peranan yang amat penting dalam menjana daya inovasi
rakyat.
3. Menyedari hakikat ini, kerajaan berusaha mentransformasi sistem pendidikan
negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang
memberi penekanan terhadap elemen kreativiti dan inovasi. Selaras dengan itu juga,
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah dilaksanakan di sekolah yang
merangkumi tujuh elemen iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran, sumber, sokongan
masyarakat, ko-kurikulum dan bina upaya guru. KBAT di bilik darjah telah
diperkukuh melalui Program i-Think iaitu satu program yang membantu pihak
sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya pembelajaran sepanjang
hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan
penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid. InsyaAllah, menerusi program iThink ini kita akan dapat melahirkan para pencipta generasi masa depan Malaysia
yang hebat dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan
inovatif.
4. Dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM), sebanyak 1,048 buah sekolah
telah melaksanakan Program i-Think pada tahun 2013. Pada tahun ini, guru-guru dari
1,000 buah sekolah telah diberi latihan KBAT secara dalam talian sebagai langkah
memperluas Program i-Think ke semua sekolah di seluruh negara. Pembudayaan
KBAT turut dilaksanakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui kursus untuk
guru pelatih dan pensyarah.
5. Bagi menggalakkan pembudayaan inovasi dalam kalangan warga pendidik,
Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada
projek-projek inovasi guru melalui Pertandingan Anugerah Guru Inovatif Peringkat
Kebangsaan yang dilaksanakan sejak tahun 2002. Antaranya projek Smart Kiosk
oleh Cikgu Mohd Solleh Halim bin Mohd Sokhi dari Sekolah Kebangsaan Parit
Serong, Tanjung Karang, Selangor, yang dihasilkan daripada bahan terbuang yang

terdapat di persekitaran sekolah. Cikgu Teh Tik Seng dari SMK Sacred Heart, Sibu,
Sarawak yang telah menghasilkan inovasi Matematik EZ Draw, iaitu satu kaedah
penyelesaian masalah bagi meningkatkan prestasi murid dalam Matematik. Cikgu
Vimala a/p Muniandy dari SJK(T) Subramaniya Barathee, Gelugor, Pulau Pinang
menghasilkan Courseware Kesusasteraan Bahasa Tamil untuk Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil. Produk inovasi berkaitan disiplin juga turut dihasilkan bagi
meningkatkan pengurusan disiplin di sekolah. Pada tahun 2013, SMK Agaa Putrajaya
telah menghasilkan X-Time2 untuk membantu murid menepati masa; Jabatan
Pendidikan Negeri Sabah menghasilkan Minda Ajaib Portable Whiteboard untuk
mengatasi masalah pembelajaran luar kelas; dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan
Khas Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menghasilkan projek Smart Iqra untuk
mengatasi masalah penguasaan asas al-Quran dalam kalangan murid berkeperluan
khas penglihatan.
6. Semua inovasi ini telah dihasilkan melalui pendekatan, kaedah, teknik, bahan dan
peralatan baharu yang terbukti berjaya meningkatkan keberkesanan PdP. Semoga
kejayaan guru-guru yang saya sebutkan tadi dapat merangsang guru-guru lain untuk
terus meningkatkan usaha mencari idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif ke arah
meningkatkan kualiti pendidikan negara.
PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU
Para guru dan hadirin yang saya hormati sekalian,
7. Sememangnya menjadi guru dewasa ini tidaklah semudah yang disangka. Tugas
dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu para guru menuntut komitmen yang
tinggi khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan
dinamik dalam sistem pendidikan. Untuk itu, guru sebagai golongan profesional perlu
bersedia untuk menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif sebagaimana sabda
Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud, Barang
siapa melakukan hal baharu yang baik, maka ia mendapat pahalanya dan mendapat
pula pahala orang lain yang mengerjakan hal baharu yang baik itu.
8. Guru juga perlu sentiasa menambah nilai intelektualnya kerana guru merupakan
agen perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara kita.
Great teachers groom their students to become leaders. Ordinary teachers direct us
along the right path, but great teachers inspire us to seek our own path. They
encourage us to discover our talents.
9. Peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan bagi mencapai
matlamat PPPM. Untuk tujuan ini, Kementerian akan memantapkan latihan guru di
IPG. Kursus-kursus dalam program pendidikan guru turut memberi penekanan
terhadap penerapan unsur-unsur kreativiti dan inovasi dalam latihan perguruan
merangkumi Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Program
Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Diploma Perguruan Lepas
Ijazah (PDPLI). Elemen inovasi turut diberi tumpuan melalui aktiviti PdP

merangkumi pembentangan, projek, pembinaan sumber PdP, pertandingan inovasi


bagi pendidikan lestari dan pembelajaran atas talian. Pembudayaan inovasi di IPG
juga dimantapkan dengan penganjuran program-program inovasi di peringkat IPGM
dan IPG kampus.
10. Selain itu, dalam usaha kita untuk memartabatkan profesion keguruan,
Kementerian telah menggabungkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan
Diploma (PPPLD) ke dalam satu skim perkhidmatan bersepadu PEGAWAI
PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) berkuatkuasa pada 1 Januari 2014. Pada
tahun ini dianggarkan 5,000 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred
DG29, DG32, DG34 dan DG38 akan dinaikkan pangkat ke Gred DG42.
11. Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bermula di bawah Rancangan Malaysia
Kesepuluh meletakkan sasaran 60 peratus guru siswazah sekolah rendah dan 90
peratus guru siswazah sekolah menengah pada tahun 2015. Pada tahun ini seramai
6,286 orang PPP yang sedang mengikuti PPG dijangka bergraduat, manakala 27,105
orang PPPD dijangka bergraduat pada tahun 2015. KPM juga sentiasa menyokong
guru-guru untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Berdasarkan
rekod pada tahun 2014 sahaja, seramai 250 guru menyambung pengajian ke peringkat
Ijazah Sarjana dan 150 guru ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.
12. Selanjutnya, penambahbaikan laluan kenaikan pangkat secara Time-Based
Berasaskan Kecemerlangan yang memberi peluang yang luas kepada Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan untuk menikmati kenaikan pangkat merupakan satu
penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada para guru. Sehingga Jun 2014,
dijangkakan seramai 195 orang guru dinaikkan ke gred DG54, manakala 643 orang ke
gred DG52, 803 orang ke gred DG48 dan 8,954 orang ke gred DG44. Bagi Guru
Bukan Siswazah pula, seramai 354 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala
11,314 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 4,091 orang ke gred DGA32.
13. Dianggarkan seramai lebih 10,500 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Siswazah dan 15,700 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma
telah mendapat manfaat kenaikan pangkat melalui skim tersebut. Bagi melaksanakan
semua urusan kenaikan pangkat guru, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar
kewangan yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada
usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru,
saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan
dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
14. Saya juga telah mengumumkan penganugerahan Tawaran Baru Guru Besar
kepada 566 buah sekolah rendah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah
masing-masing melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan pada tahun 2013. Bilangan
sekolah tersebut mewakili 7.31 peratus daripada 7,746 sekolah rendah dan melepasi
sasaran 6 peratus yang ditetapkan oleh KPM. Sebanyak 209 (36.9%) adalah sekolah
bandar, 302 (53.4%) adalah sekolah luar bandar dan 55 (9.7%) adalah sekolah

pedalaman. Ini menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian bagi tahun 2012


iaitu sebanyak 180 sekolah bandar dan 280 sekolah luar bandar telah menerima
anugerah ini.
15. Daripada keseluruhan penerima anugerah ini, 119 buah sekolah telah menerima
anugerah ini sebanyak empat kali berturut-turut. Sebanyak RM23.1 juta telah diagih
kepada hampir 22,063 orang warga sekolah, yang terdiri daripada guru besar, guruguru serta anggota kumpulan pelaksana sebagai ganjaran kepada penganugerahan
tersebut. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin sekolah dan guruguru yang telah menerima ganjaran tawaran baru pada tahun ini. Saya berharap
ganjaran ini dapat menyemarakkan semangat guru dalam mengoptimumkan peranan
untuk melahirkan anak didik yang boleh bersaing di peringkat global, mempunyai
keistimewaan tersendiri serta bersahsiah tinggi.
KEJAYAAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
16. Hasil bimbingan guru yang kreatif mampu menjana inovasi murid. Kita berbangga
dengan pencapaian murid kita dalam pelbagai pertandingan seperti Pertandingan
Inovasi Kebangsaan dan Malaysian International Young Inventors Olympiad 2013
(MIYIO) dengan muncul sebagai johan dalam beberapa kategori. Di peringkat
antarabangsa, murid kita melakar kejayaan dengan muncul johan keseluruhan dalam
World Robots Olympiad 2013 di Jakarta. Pingat emas dan markah penuh telah diraih
oleh adik Yeoh Zi Song dari SJKC Chong Teik, Balik Pulau, Pulau Pinang dalam
16th Primary Mathematics World Contest (PMWC, 2013) Hong Kong. Semasa 64th
INTEL International Science and Engineering Fair (INTEL ISEF) di Phoenix,
Arizona, Amerika Syarikat, adik Nur Liyana Johari telah menerima Intel ISEF 2013
Special Awards Organizations berjumlah USD5000 daripada United Airlines
Foundation.
17. Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pula telah memenangi Anugerah Best
International Team Award Pertandingan National Final F1 di United Kingdom dan
Anugerah Emas dalam Asia Pasific Conference of Young Scientists yang diadakan di
Palembang, Indonesia. Sekolah Seri Puteri Cyberjaya telah menyertai Festival Muzik
Antarabangsa Australia (SP Winds) dan dianugerahkan Gold Award di Sydney,
Australia. Manakala, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, telah memenangi
tempat kedua anugerah khas United Airlines Foundation sempena Intel International
Science and Engineering Fair 2013 di Arizona, Amerika Syarikat. Sekolah Menengah
Sains Selangor memperolehi Anugerah Emas dalam European Exhibition of
Creativity and Innovation (EUROINVENT) 2013 yang diadakan di Lasi, Romania.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua warga pendidikan yang telah
berusaha gigih untuk memastikan nama negara harum di peringkat antarabangsa.
18. Dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa pula, Malaysia melakar sejarah
tersendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah

Asia (ASTFC) yang pertama dengan meraih 12 pingat emas, 14 pingat perak dan 10
pingat gangsa untuk mendahului lapan lagi negara yang bertanding. Pasukan Malaysia
juga mencapai kejayaan cemerlang dalam Temasya Sukan Asean Para Games, Nay
Pyi Taw Myanmar 2014 dengan memenangi 9 emas, 5 perak dan 2 gangsa.
19. Saya juga amat berbangga dengan kejayaan guru kita yang meraih kejayaan
cemerlang dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa. Saya mengucapkan
tahniah kepada Cikgu Mohd Jironi Riduan dari Sekolah Sukan Tuanku Mahkota
Ismail, Johor yang telah memenangi 2 pingat emas dalam Sukan Sea ke-27, di Nay
Pyi Taw, Myanmar dalam acara lumba lari 800m dan 1500m.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
20. Sempena majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan
setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para guru yang dinobatkan sebagai
Tokoh Guru Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Ikon Guru
bagi tahun ini. Anugerah ini ialah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara
terhadap jasa serta pengorbanan tokoh-tokoh guru yang tidak ternilai kepada bangsa
dan negara.
21. Justeru, sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para insan
bergelar guru di mana jua anda berada. Biarkan ungkapan keramat guru atau cikgu
tetap kekal meniti di bibir murid, ibu bapa dan masyarakat hingga ke akhir hayat
seorang guru. Semoga saudara dan saudari para guru terus menjadi inspirasi kepada
generasi penerus bangsa. Kepada guru-guru saya ingin berpesan agar sayangilah
murid-murid seumpama ibu atau bapa kepada mereka dan didiklah mereka dengan
baik. Kepada murid-murid, nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru-guru
anda.
16 Mei sentiasa dinanti
Sambutan meriah penuh tradisi
Terima kasih guru-guru yang dikasihi
Jasa baktimu sentiasa diingati
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan Sambutan
Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-43 Tahun 2014. SELAMAT
HARI GURU! TERIMA KASIH CIKGU! Wabillahitaufik walhidayah
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai