Anda di halaman 1dari 35

Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam

peperiksaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah
untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid
tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah
yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, murid-murid janganlah menyesal pada
masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata
orang tua-tua sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Oleh sebab itu, saya sebagai salah
seorang murid, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah
langkah-langkah yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah yang pertama yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah
saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya
memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut
akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan
bahawa lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan
sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Saya juga akan terlibat
secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan suasana
bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat
mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi.
Saya juga akan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih
memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya
terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah
dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan
adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat
sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya, memberi tumpuan ketika guru-guru
sedang mengajar dan dengan menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru merupakan
salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual
waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu
para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi
untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan.
Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan dengan apabila peperiksaan sudah
hampir kerana peribahasa menyatakan bahawa sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula,
kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan
awal. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang
masa dan tidak berpegang kepada pepatah masa itu emas dan masa yang lalu tidak akan kembali maka
mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan. Jelasnya, pengurusan masa
yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

Pada waktu yang sama, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat
lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang
dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, practice makes perfect. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam
Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, praktis asas kecemerlangan. Kedua-dua ungkapan ini
membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan
mencapai kecemerlangan dalam hidup.saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah
selesai mengulang kaji sesuatu topik. Hal ini kerana saya akan lebih menguasai sesuatu topik dan secara
tidak langsung saya akan biasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan. Saya juga
akan membuat ulang kaji secara berterusan bak kata pepatah sehari selembar benang, lama-lama menjadi
kain dan sedikit-sedikit , lama-lama jadi bukit. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan saya akan
membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran dan
terutamanya dalam mata pelajaran sains. Tegasnya, saya membuat lebih banyak latihan dan jika saya
mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pasti saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan
nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru-guru di sekolah, bolehlah
saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga perlulah menghapuskan
perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah kerana bak kata pepatah malas berkayuh perahu
hanyut, segan bertanya sesat jalan. Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh
guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru-guru yang mengajar di kelas tuisyen.
Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga
akan menguasai sesuatu topik itu. Contohnya, di sekolah yang diajar topik yang sama yang telah diajar di
pusat tuisyen terlebih dahulu, maka saya akan lebih faham. Di samping itu, saya juga boleh mengikuti
program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemrlangan dalam peperiksaan.
Saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya
menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan
jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya
dalam program-program sekolah dan mengikuti kelas-kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi
saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Langkah yang berikutnya ialah saya akan bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Saya tidak akan
dapat cepat mengalah apabila saya gagal dalam sesuatu buat kali pertama dan kedua, malah saya akan
berusaha bersungguh-sungguh untuk lulus dalam sesuatu perkara kerana saya berpegang pada prinsip,
gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya. Saya juga akan tabah apabila terdapat apa-apa
masalah atau cabaran yang saya hadapi. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika
seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah memenuhi kegagalan beberapa kali kerana untuk
mencapai sesuatu tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat
penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali
sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Tegasnya, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi
halangan dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan sayatidak akan mudah putus asa untuk
memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.
Akhir sekali, saya juga akan mematuhi segala nasihat daripada kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga
akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang tua-tua, Tuhan hanya akan menolong dan memberkati
hidup anak yang taat kepada ibu bapa, Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih
banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu bapa kerana saya sedar bahawa

syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya akan selalu menasihati saya untuk belajar
bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang
cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya
sekali pun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa,
restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada
Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang,
Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,
saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa dan
bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberianNya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya tulis dalam perenggan di atas. Saya
perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan
cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh
kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan kerana ini
akan menentukan masa depan kita, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan
belajar berungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api
biar sampai jadi arang.

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu
bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti
negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan,
Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu
pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama
secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri
mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia
sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat
bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh
tokoh pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya.
Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh
itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa
masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa
anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan
dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anakanak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke
Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini
dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul
pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat
bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan
sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang
dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan
hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh
dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik
dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku
novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian
kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan
sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anakanak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas
menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat
penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya bukubuku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat
patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk
sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti,
mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke
laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa
perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti
oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif
kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan

aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes
terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan
betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik
kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anakanak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium
Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat
menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri
teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang
berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik.
Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak
masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak
seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain
ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang
terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anakanak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.
Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet
untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan
mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anakanak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu
timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau
kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik
berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini
haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba
mengingati setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa
perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat
patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti
Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai
sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya,
apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta
mendengar cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anakanak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab
sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan
seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang
harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini
juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan
antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah
masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa
anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat
patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada
menyatakan bahawa tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain

tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab
seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan
tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan
berwawasan.

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa
hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan
terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak
kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan
makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung,
obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup
sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan
anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka
adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang
seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang
bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa
menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga
digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang
jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri
anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa
juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini
tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak
perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan
ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan
menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang
keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu
membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan
sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah
senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa
yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa
pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mreka dapat meningkatkan kesihatan diri
dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah
melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara
berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak
menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun.
Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat
awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah,
mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak
mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu
bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa
dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja,

ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang
ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya
hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap
masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok
gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup
seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya
mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan,
menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan
yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan
mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri
anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga perlu mendidik
ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu
dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa
menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk
membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai
kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan
kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen
pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di
dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap
dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam
diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih
terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya
berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan
menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan
efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak atau
jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang
ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi
memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan
dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masingmasing akan memberi impak psikologi yang positif.
.
..........Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi
menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu
mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat ,kekangan di tempat kerja
memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi
tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-taulan
di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa pada

perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi,
semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh
dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering meransang anak-anak ke
arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka
dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa
mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita
siha, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit,
nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anakanak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri
kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak langsung
kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri
pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan
sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak
akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita,
khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurnagkan perasaan sedih
pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan
gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak
mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar
yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah
mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan
selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam
walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan
akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi
mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah
menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan
sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak
mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk
dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkahlangkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata
pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan
gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya
dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu
kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu
daya, tidak hendak seribu dalih.

Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?
Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan.
Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan
dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu
disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa-bawa sehingga
dewasa. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini
dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan
mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak
berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan
ini menjadi budaya masyarakat kita?
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat
dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini kerana
suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak.
Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam. Ibu bapa
merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa
ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong.
Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan
kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh
mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah
anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian
yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini
dalam kalangan kanak-kanak sebelum kudis menjadi tokak.
Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku
prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil,
mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan
mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi
ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran
ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam
hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah
muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu
bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak
bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu
bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana sedikitsedikit, lama-lama jadi bukit.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu
diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan
perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga.
Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu
dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli
perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat "pengiktirafan"orang berada oleh orang-orang
di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka tidak berkemampuan .Mereka inilah yang berpegang
pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga,

diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan amalan
berjimat-cermat dalam diri anak-anak.
Adat usang pusaka lama, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan
secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus
memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap
menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung. Membuka akaun bank untuk anak-anak
merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat.
Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anakanak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan
untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, semua orang memerlukan pujian. Dengan hal tersebut,
ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan
tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu
bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah
ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan
amalan menabung sudah terang seperti murai berkicau hari siang.
Pada hakikatnya, ibu bapa berperanan untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anakanak. Ibu bapa sendiri harus mengamalkan sikap menabung. Mereka harus menabung wang bersama
dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan kepada anak-anak bahawa pada setiap bulan, mereka
menyimpan sejumlah kecil wang di bank atau pejabat pos. Perbuatan ibu bapa menyimpan wang akan
dicontohi oleh anak-anak. Anak-anak mudah terikut-ikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan
mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus
mengamalkan tabiat menabung juga. Cuba anda bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk
menabung sekiranya ibu bapa mereka sendiri seorang yang boros dan tidak pandai menguruskan wang?
Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya imej yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak.
Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan
dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum, Kawan merupakan magnet sakti yang
boleh mempengaruhi anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak
dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah
anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, ikut
hati mati, ikut rasa binasa. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur
dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak
hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk
perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak.
Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan
menabung manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan Jikalau tiada wang semua kerja tak
terjadi. Peribahasa Melayu pula menunjukkan ada padii semua jadi, ada beras semua deras. Gambaran
ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan
material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup.
Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada
masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. Air bersih, ikannya
jernih

Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan
yang cemerlang dalam pelajaran.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu
memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam
pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang
cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan
rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai
dan mereka akan melibatkan diri dalam kegiatan gejala sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian,
ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran.
Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak
mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai
kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi
yang aman dan bahagia.Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling
memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah
tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang
bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa
atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran
anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar
anak-anak dapat menganggap rumahku syurgaku. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguhsungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan
yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang
harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan
anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang
besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah
dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip,
nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa
sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anakanak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga
akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa
mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang
berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata
pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh
memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi
perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang
dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan
moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang
mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu
menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik
dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami

peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan
agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang
dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk
memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar
supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa perlu memberi motivasi dan
galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang
baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah,
bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan
menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang
lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga
perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah
menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini
penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini
boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya,
anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan
mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta
bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran
dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama
guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam
pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam
hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat.
Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak
walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada
anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah
dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri
anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian
dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa
perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan
guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai
kecemerlangan dalam pelajaran.
Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa
hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu
bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai
kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan.
Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya
untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.

Huraikan pendapat anda tentang punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku dan tuliskan
cadangan-cadangan tentang peranan ibu bapa dalam menangani gejala tersebut.
Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini. Dalam surat khabar
sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang terlibat dengan gejala sosial ini. Gejala sosial dapat
ditakrifkan sebagai satu kemelut sosial dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan remaja akibat daripada
perkembangan sosial, ekonomi dan politik yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku
ialah ponteng sekolah, remaja lari dari rumah, penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan
melepak. Masalah gejala sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin sehingga
menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali
dalam bukunya Ihya Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah pada diri
remajanya. Seandainya baik diri remaja maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, buruk diri remaja
maka hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan
gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan untuk menangani gejala sosial ini?
Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya
dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap
rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi
perhatian oleh kedua-dua ibu bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya
masalah anak-anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang
tidak bekesempatan langsung untuk berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa keluar untuk bekerja
terlalu awal dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada kemungkinan anak-anak telah
memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar semasa bersarapan. Keadaan ibu bapa yang
sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak tidak
mendapat sepenuh belaian kasih sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak
mendapat belaian kasih sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala sosial seperti
ponteng sekolah, melepak dan menonton video lucah. Jelasnya anak-anak berbuat demikian untuk
mendapatkan perhatian ibu bapa.
Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang
sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa tidak mengambil berat tentang
didikan agama terhadap anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pihak lain
terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan
agama akan menyebabkan remaja tidak mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh. Sebagai contoh,
remaja mungkin hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai baik buruk sesuatu
perkara yang dilakukan oleh mereka. Remaja juga sanggup melakukan apa-apa sahaja dan mudah
terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan remaja kurang
kesedaran dan keinsafan diri sehingga menyebabkan mereka mudah terjerumus dalam gejala sosial.
Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak turut
menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-anak turut
menyumbang kepada kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan gejala sosial dalam kalangan
remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-anak boleh menyebabkan anak-anak berasa bosan
dan menghadapi tekanan di rumah. Rumah bagi anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat
menikmati kedamaian atau ketenangan di rumah. Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi
mengambil berat tentang keadaan diri mereka. Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya

kerenggangan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila
kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut telah berkahwin lain dan telah
mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak hasil perkahwinan yang pertama ini akan menjadi
mangsanya. Mereka kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah
atau ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan sebagai jalan keluar, anakanak mungkin mencari seseorang untuk meluahkan perasaan dan melepaskan tekanan yang dihadapinya.
Sebagai contoh anak-anak yang kehausan kasih sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh
ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja terjerumus
dalam kancah gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang tidak aman, sering bergaduh dan
berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah gejala sosial.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi remaja terlibat
dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya biasanya tidak ada tumpuan
terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa kesunyian kerana tidak ada tempat untuk
mengadu atau menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari
seseorang teman atau rakan sebaya untuk menceritakan masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat
kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak mendapat asas didikan agama akan lebih mudah terpengaruh
oleh ajakan rakan sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah meniru, mencontohi
dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai nilai, sikap, identiti dan perasaan
yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini biasanya mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan
akan akur dan patuh kepada kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan
daripada kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja kehendak
anggota kumpulan rakan sebaya. Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng
sekolah, remaja tersebut sudah pasti mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak
akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka, remaja ini sanggup lari dari rumah mengikuti
rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak baik turut menjerumuskan remaja dalam
masalah gejala sosial.
Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh perhatian dan
tumpuan terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang dan
mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan pihak sekolah untuk
menanyakan perkembangan diri anak-anak dan pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu
mewujudkan suasana rumah tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan rumahku
syurgaku. Ibu bapa juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak supaya anak-anak akan
menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak agar anak-anak dapat
mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Apabila
wujud kasih sayang terhadap anak-anak, anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu
bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula dengan kemahiran keibubapaan mampu
wujudnya sebuah rumah tangga yang bahagia. Suasana ketenangan dan dilimpahi kasih sayang dapat
menjadi tarikan kepada anak-anak agar tidak terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh
ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak
sejak kecil. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula dari
rumah. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan warna pada
kain putih tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar
anak-anak dapat menghayati ajaran agama dan nilai murni dalam kehidupan. Didikan agama yang

sempurna mampu membentuk keperibadian dan budi pekerti yang mulia kepada anak-anak. Sebagai
contoh, anak-anak akan sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana
mereka memiliki keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur dengan cara
lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang lebih tua. Anak-anak yang ada asas
didikan agama sentiasa akan menjaga tindak- laku dan tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan
membesar sebagai seorang remaja yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh
ajakan rakan sebaya yang tidak sihat. Jelasnya, didikan agama yang sempurna mampu melahirkan anakanak yang keperibadian mulia dan mereka akan berasa malu sekiranya mereka melakukan sesuatu yang
boleh mencontengkan arang ke arah muka ibu bapa.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak mereka dengan rakan
sebaya. Hal ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu bapa perlulah memastikan
anak-anak bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui
tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan
terlalu memberi kebebasan yang keterlaluan dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak mereka tidak
terlibat dengan anak-anak yang bermasalah di sekolah atau di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga
perlulah selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-anak mereka di sekolah untuk
mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah. Menurut seorang Ahli Fikir Islam, Ibn
Sina, hendaklah setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan anak-anak kelakuannya
yang berakhlak mulia. Anak-anak yang sentiasa dikawal oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh ibu bapa
sejak kecil, anak-anak ini akan membesar dalam suasana yang baik dan berbudi pekerti mulia.
Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial memang
merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera oleh semua pihak terutamanya
ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anakanaknya. Saya berharap anak-anak juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu
menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala
sosial perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga
menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat.

Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Profesor Di raja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi
anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan
bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan
sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai . Ibu bapa
bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa
bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka.
Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut.
Persoalannya , apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ?
Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan
memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa
melentur buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu
diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan
diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk
membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu , anak-anak juga akan
membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang
ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan
dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya .
Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat, anak-anak mereka akan
mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah
bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi
memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia
setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa
daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik,
sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa
ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang lebih dewasa
rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan
ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih
yang baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi
penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah
keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh
dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal.
Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik , maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anakanak. Anak anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba
melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa
memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih
sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa perlulah memberikan
sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu
menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anakanak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi
anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih

juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali
menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu
perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan
seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya,
ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga
akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab .
Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anakanak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan
baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa
sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa
bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak
di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam
berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai
seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak
juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting
bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anakanak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang
sederhana dan bertanggungjawab .
Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anakanak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh
anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih
mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai
prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya
kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa
dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka
keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada
setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat
sebelum habis. Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat
dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal ,
sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta
mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik ,
ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia .
Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal
ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu
bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan
dan keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan
yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.

Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membudayakan amalan membaca.
Pada era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak
mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini, lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang
ringan seperti surat khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun. Majalah atau buku
yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah
Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan Budaya, Al Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam
kalangan mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka berpendapat
bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan kerana memerlukan minda untuk
berfikir sedangkan majalah atau buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana
pembacaan bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa pun yang
jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang
penting untuk melahirkan anak yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya,
apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu
pengetahuan?
Untuk memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa anak-anak ke
pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap
tahun. Hal ini dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa
anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah. Anak-anak akan
dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang
untuk memilih buku-buku yang disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina pemikiran atau
minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang berunsurkan
keagamaan, falsafah, motivasi dan sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca buku-buku yang
memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan pengetahuan am anak-anak tentang Negara
luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu
langkah efektif yang melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan menjadi ulat
buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Selain itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam aspek membaca. Justeru, ibu
bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan menyediakan persekitaran yang boleh
merangsang minat anak-anak untuk membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku
dan surat khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu bapa yang suka membaca
pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah
kuihnya, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi
masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik anak anak sejak kecil
lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas
pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari
cuti sewaktu semua ahli keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, Ibu bapa janganlah menjadi seperti
ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak
pernah membaca bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut.
Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi
suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu

amalan ke mana-mana sahaja mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, Ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli banyak buku atau
majalah yang yang mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh mengembangkan minda anak-anak.
Pepatah menyatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu
pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli bahan bacaan
secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat, Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam
dan Solusi selain surat khabar yang dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik
untuk membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang dibeli oleh
ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti pasti akan bercambah dalam jiwa
mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya membaca, pasti dapat membina jati diri unggul,
mempunyai minda sihat, berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, ibu
bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah sempena kejayaan anak-anak
dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan
buku-buku motivasi sempena hari lahir anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka
akan belajar bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan menyebabkan
anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak cinta.
Seterusnya ibu bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku dengan cara
mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam kelab buku, anak-anak akan
menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui perkembangan buku yang terkini. Sebagai contohnya, anakanak boleh menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Apabila
anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan
buku . Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan
bacaan yang tidak berkualiti. Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh
mematangkan minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain itu, ibu
bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen Galakan Membaca dan Kembara Buku
yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dengan menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan
sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut memperoleh manfaatnya.
Tegasnya, ibu bapa perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan
menggalakkan anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah yang
dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan disanjung tinggi.
Selain itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang mengandungi bahan-bahan ilmiah
yang menempatkan pelbagai jenis buku ilmiah seperti novel karya agung, kamus, buku- buku agama, dan
buku motivasi diri selain buku pelajaran dan buku rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak
untuk membaca buku-buku yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan
peranan dan memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan mini di
rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan
membaca sebuah buku pada setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak terisi
dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang disediakan oleh ibu bapa tidak
memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan
dalam perpustakaan mini tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan
minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya. Apabila
anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada
setiap minggu, anak-anak akan biasa berbuat demikian dan menjadikan membaca sebagai amalan rutin

harian kerana alah bisa, tegal dek biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada masa terluang dan
mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula, jika ibu bapa mempunyai waktu
terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat
tinggal mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh meningkatkan ilmu
pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke perpustakaan awam, mereka dapat membaca
buku dalam keadaan yang senyap, aman, damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak
mereka ke perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan generasi
yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan membimbing
anak-anak mereka melayari internet. Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua
lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang yang menyalahgunakan internet seperti melihat gambargambar lucah. Dalam konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu
bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul buku ilmiah yang terkenal supaya
boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal ini dapat menggalakkan anak-anak membaca karyakarya ilmiah supaya boleh melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh
daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang
terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan
yang penting dalam memupuk minat membaca buku-buku ilmiah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi
yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anakanak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan sikap suka membaca dalam kalangan
anak mereka kerana membaca akan menjadikan minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian,
ibu bapa mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak mereka.
Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca, kejayaan dalam bidang pelajaran akan
terbentang luas di depan mereka pada masa depan. Ibn Khaldun dalam karya besarnya, Muqaddimah,
pernah berkata bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada kekuatan fizikal,
malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.

Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memiliki anak-anak yang
berguna
Anak-anak yang sihat serta memperlihatkan kecemerlangan diri merupakan idaman setiap ibu bapa.
Dalam hal ini, ibu bapa bertanggungjawab penuh untuk merealisasikan hal tersebut. Setiap ibu bapa
mengharapkan anak-anaknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Mereka perlu
berusaha untuk merealisasikan impian itu dengan mengaplikasikan kemahiran keibubapaan ke tahap yang
paling optimum. Jika hal ini dipraktikkan, harapan untuk memiliki anak-anak yang berguna akan dapat
direalisasikan. Persoalannya,apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan
harapan mereka tercapai?
Usaha paling asas yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka
menjadi insan yang berguna ialah mewujudkan suasana kekeluargaan yang saling berkasih sayang. Ibu
bapa haruslah memahami bahawa anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang mereka. bu bapa
boleh mencurahkan kasih sayang sama ada berbentuk luahan kata dan perbuatan yang secukup kepada
anak-anak agar anak-anak berasa diri mereka diambil berat dan tidak diabaikan oleh ibu bapa. Misalnya,
ibu bapa haruslah memberikan pujian kepada anak-anak sama ada dengan cara memberikan hadiah
ataupun dengan mengucapkan kata-kata positif apabila anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang.
Hal ini penting kerana sepatah kata yang positif daripada ibu bapa dapat menyuntik semangat dan
memberikan dorongan serta motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha mencapai kejayaan kerana
pepatah menyatakan rajin dan usaha, tangga kejayaan.Kajian menunjukkan bahawa punca kebanyakan
anak menjadi sampah masyarakat adalah kerana keadaan rumah tangga yang porak-peranda di samping
sikap ibu bapa yang materialistik dan mementingkan kerjaya .Sebagai contohnya,banyak ibu bapa yang
menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah sepenuhnya. Hal ini
menyebabkan anak-anak berasa tersisih dan diabaikan lalu melakukan perkara-perkara negatif.
Tegasnya,anak-anak akan menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, dan negara
jika keluarga yang saling berkasih sayang dan mengambil berat dapat diwujudkan.
Selain itu,untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna juga, ibu bapa perlu
menyediakan kediaman yang menepati konsep Rumahku Syurgaku demi keselesaan anak-anak. Ibu bapa
perlulah mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai supaya anak-anak berasa tenang ketika berada
di rumah. Setiap ibu bapa perlulah mengelakkan pertelingkahan di hadapan anak-anak. Ibu bapa hendaklah
mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut agar anak-anak mendengar segala arahan dan nasihat daripada
ibu bapa. Bagi mewujudkan keselesaan dalam rumah tangga, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan
yang lengkap untuk ahli keluarganya seperti bilik tidur yang mencukupi, bilik untuk anak-anak belajar dan
bilik untuk anak-anak menonton televisyen atau bermain komputer. Sudah terbukti bahawa anak-anak
yang tinggal di kediaman yang kurang selesa cenderung untuk melepak dan sesetengahnya tidak pulang ke
rumah. Amalan melepak ini mendedahkan anak-anak kepada pelbagai bentuk gejala negatif seperti
merokok, menagih dadah dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku di bandar-bandar besar, khususnya di
kawasan-kawasan setinggan. Oleh hal yang demikian ,ibu bapa perlu menyediakan kediaman yang selesa
untuk anak-anak mereka sekiranya mereka menginginkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna
dan menyayangi keluarganya.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, setiap ibu bapa haruslah
memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana pepatah
menyatakan bahawa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya dan asas pendidikan bermula
dari rumah.. Didikan agama yang sempurna dapat membentuk akhlak dan pekerti mulia kepada anak-anak

di samping membantu mereka mengetahui batas hidup yang betul. Penerapan nilai agama dapat membantu
anak-anak untuk membezakan baik atau buruk sesuatu perkara dan anak-anak membesar dengan
berpandukan ajaran agama. Sebagai contoh, jika keluarga tersebut berasal dari keluarga yang baik,
kebiasaannya keturunannya akan baik. Jika ibu bapa mempunyai pegangan didikan agama yang kuat,
anak-anak mereka juga akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes,
rembesnya madu juga, dan bagaimana acuan begitulah kuihnya. Dengan kesempurnaan didikan agama,
anak-anak dapat mengawal diri daripada melakukan maksiat seperti meragut, berfoya-foya dan
sebagainya.Tegasnya, didikan agama yang sempurna dapat merealisasikan impian ibu bapa untuk memiliki
anak-anak yang berguna.
Seterusnya, untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa mestilah menjadi
suri teladan yang terbaik kepada anak-anak, bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu
bapa janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa meminta anak-anak
menunjukkan contoh terbaik sedangkan mereka tidak menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.
Gaya mendidik anak-anak seperti ini tidak akan berkesan. Peribahasa Melayu bapa borek anak rintik
sudah jelas membuktikan bahawa segala tindak tanduk ibu bapa akan menjadikan ikutan anak-anak, kerana
anak-anak biasanya meniru tingkah laku dan percakapan ibu bapa. Anak-anak yang membesar di bawah
didikan ibu bapa yang berjaya menjadi suri teladan yang baik akan menjadi insan yang baik dan
bertanggungjawab. Oleh itu, ,ibu bapa haruslah sentiasa menjaga tingkah laku dan mengelakkan
penggunaan bahasa yang kasar dalam kehidupan sehari-hari. Hal ini demikian kerana keperibadian ibu
bapa menjadi penentu tingkah laku anak-anak pada masa hadapan. Jelasnya, ibu bapa harus menjadi
contoh teladan yang baik agar anak-anaknya turut menjadi insan yang baik dan berguna.
Tambahan lagi, ibu bapa perlulah bersedia untuk menerima sebarang teguran daripada orang lain
berkaitan dengan tingkah laku anak-anak mereka dengan hati terbuka. Sebagai ibu bapa yang
bertanggungjawab dan ingin membentuk anak mereka menjadi insan yang berguna, ibu bapa tidak
sepatutnya menyebelahi anak-anak mereka apabila orang lain memberi teguran. Hal ini demikian kerana
teguran yang diberi itu bukanlah untuk memburuk-burukkan anak mereka tetapi untuk membetulkan
kesilapan yang telah dilakukan oleh anak mereka. Dalam konteks ini, falsafah menjaga tepi kain orang
lain dalam masyarakat adalah untuk kebaikan bersama dan ibu bapa perlulah menerimanya secara positif.
Berdasarkan teguran yang diberikan, ibu bapa perlulah segera membetulkan kesilapan anak dan mencari
punca anak mereka berbuat kesilapan sedemikian rupa agar anak mereka tidak mengulangi kesilapan yang
sama. Jadi, untuk membentuk anak menjadi insan yang berguna, ibu bapa perlu menerima kritikan dan
teguran orang lain dengan hati yang terbuka. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna atau sudah terhantuk baru terngadah sewajarnya menjadi panduan kepada ibu bapa.
Akhir sekali, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan anak-anak sama ada
dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah anak-anak. Sikap prihatin dan ambil berat ibu bapa
menyebabkan anak-anak berasa diri mereka diutamakan. Untuk tidak mengecewakan ibu bapa, anak-anak
akan berusaha meningkatkan kecemerlangan sama ada dalam aspek kurikulum ataupun kokurikulum.
Hubungan ibu bapa dengan guru-guru sekolah juga memberikan impak kepada tahap sahsiah anak-anak.
Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan guru di sekolah sama ada guru
disiplin, guru kelas atau guru mata pelajaran. Ibu bapa perlu sering berkunjung ke sekolah untuk mengikuti
perkembangan kemajuan anak-anak dalam bidang pelajaran dan berbincang dengan guru disiplin sekolah
berkaitan akhlak dan sikap anak-anak di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengawasi tingkah laku
anak-anak di luar rumah serta mengenali rakan-rakan mereka. Ibu bapa juga perlulah bertanya kepada anak
sebab-sebab anak-anak keluar rumah atau pulang lewat. Tuntasnya,ibu bapa perlu memantau

perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak agar mereka jadi insan yang berguna apabila dewasa
kelak.
Berdasarkan berbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha untuk membentuk anakanak menjadi insan yang berguna memerlukan pengorbanan dan kesabaran ibu bapa. Untuk mendidik
anak-anak menjadi seorang insan yang berguna bukanlah satu tugas yang mudah. Semua ini perlu
dilakukan melalui proses pendidikan sedikit demi sedikit dan dengan penuh kesabaran. Oleh itu,
perancangan yang teliti dan sistematik perlu dilakukan oleh ibu bapa secara istiqomah untuk mendidik
anak-anak menjadi insan yang berguna.Setiap ibu bapa juga mengharapkan anak mereka dapat
memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara serta mempertahankan maruah keluarga. Tegasnya,
tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka jadi sampah masyarakat yang bukan sahaja tidak
memberikan sebarang sumbangan kepada masyarakat dan negara malah membawa masalah serta
menjatuhkan keluarga kita.

Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.


Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan
insan mulia yang melahirkan kita dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang
minyak yang penuh. Mereka merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup
kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa,Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh
ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia. Ungkapan ini jelas
memaparkan betapa besar pengorbanan ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.
Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan
sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau
kacang lupakan kulit. . Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi
harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar
saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan
belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan
sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami,
saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam
bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang
cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini,
sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi ini yang penuh
dengan persaingan ini, amat penting bagi seseorang mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing
dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan
pencapaian akademiknya. . Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan
dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan
yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang
kerana di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.. Pada masa yang sama,saya juga akan memberi
perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar
bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya.Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam
pelbagai bidang.Tegasnya,saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi menunaikan
harapan ibu bapa.
Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam
kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan beryakinan
tinggi dalam usaha mencapai kejayaan. Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya
dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, malahan perlu menjadi seorang
yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang
terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun
dan menghormati ibu bapa, guru-guru, jiran tetangga dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan
sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur
dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti
mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki ini pasti akan menggembirakan hati
kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, ahklak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan
berkhasiat. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa

saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita
miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya ahklak seseorang itu buruk,,walau betapa cemerlang pun
pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya,amalan berbudi bahasa amat
penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya
dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh membolehkan saya mempunyai benteng keimanan yang
kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada pengaruh negatif yang dapat menjejaskan
kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh
untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini kerana
Tuhan sentiasa menyeru hambanya untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang
buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya
mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya pada
masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya
menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak
baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Tegasnya,saya akan
berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan
kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk
menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan
dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif.
Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta
matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka,
saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan
pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah
diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil
daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak
dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan
mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan
dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu
soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakanrakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk
menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu akan dapat membantu saya
untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya
dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan
tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada
dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang
berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup
saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibn. Khaldun pernah
berkata bahawa membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan
sesebuah negara.Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan
kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan
pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri
saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh
membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang

yang berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga
akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap malas.
Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana
rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat
membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam
pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
Akhir sekali, saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong
dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa
tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga
sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak
mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua
dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang
kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima
pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya
berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga dan dorongan saya untuk
mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya
tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi
arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali
ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan
kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan..
Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus, saya juga dapat
memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa kemahuan seperti
sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba. Manusia memang tidak dapat menjangka
dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa
hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan
impian dan cita-cita sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Anda sebagai pengawas pusat sumber sekolah, jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan
untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah anda.
Pusat Sumber sekolah merupakan gedung ilmu iaitu tempat untuk mendapatkan pelbagai informasi
yang diperlukan oleh setiap warga sekolah. Namun, sejak akhir-akhir ini isu para pelajar kurang
mengunjungi pusat sumber sekolah sering diperkatakan dalam media massa sama ada media cetak atau
media elektronik. Hal ini membimbangkan semua pihak kerana para pelajar merupakan pelapis yang bakal
menerajui negara pada masa hadapan, bak kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Justeru, pusat sumber sekolah perlu diurus secara sistematik dan efisien untuk memupuk budaya membaca
dalam kalangan pelajar agar menjadi pelajar yang berilmu dan bermaklumat selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk membantu meningkatkan penggunaan pusat
sumber sekolah?
Selaku pengawas pusat sumber sekolah, terdapat banyak usaha yang dapat saya lakukan untuk
membantu meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah saya. Salah satunya ialah saya akan
memastikan pusat sumber sentiasa berada dalam keadaan kemas dan menarik. Saya akan bekerjasama
dengan pengawas pusat sumber yang lain untuk mengemas kini pusat sumber. Aktiviti gotong-royong
membersihkan pusat sumber akan diadakan secara berkala agar pusat sumber sentiasa berada dalam
keadaan bersih . Saya juga akan memastikan buku-buku disusun atur dengan kemas di atas rak-rak buku
mengikut kategori dan jenis buku. Dengan ini keadaan harmoni dan selesa dapat diwujudkan. Situasi ini
dapat memberi keselesaan kepada seseorang pelajar semasa mengulang kaji pelajaran di pusat sumber.
Jelaslah, situasi yang kemas, bersih dan menarik mampu menarik para pelajar berkunjung ke pusat sumber.
Selain itu, saya akan membantu guru pusat sumber melaksanakan program Nilam untuk
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah. Sebagai contohnya, saya boleh membantu mencari dan
menyediakan buku-buku yang sesuai serta menarik untuk kegunaan para pelajar semasa program Nilam.
Oleh itu, program Nilam dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Hal ini dapat membantu
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah dan juga menyemai budaya membaca dalam kalangan
pelajar. Program Nilam merupakan salah satu usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk
dan meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Budaya membaca amat penting dan
melambangkan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat
pelbagai ilmu pengetahuan sebagai pedoman hidup, bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Justeru,
pelaksanaan program Nilam yang berkesan menjadi daya penarik kepada para pelajar untuk mengunjungi
pusat sumber.
Seterusnya, saya akan mengesyorkan kepada pihak sekolah agar menyediakan kemudahan yang
lengkap di pusat sumber. Saya akan menulis surat kepada pihak pengurusan agar dapat menyediakan
kemudahan yang lengkap di pusat sumber untuk kebaikan pelajar. Saya akan meminta pihak pengurusan
menyediakan komputer yang boleh diguna pakai oleh pelajar untuk melayari internet bagi mendapatkan
pelbagai informasi terkini.Saya akan membantu dari segi penyediaan buku-buku yang baharu dan menarik.
Dengan adanya pelbagai buku yang baharu dan terkini, pengunjung dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
mereka. Pihak sekolah juga perlu menyediakan pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada para
pelajar. Secara tidak langsung keadaan ini lebih mewujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan
para pelajar berkunjung ke pusat sumber sekolah.

Di samping itu, sebagai pengawas pusat sumber juga, saya akan mengamalkan budaya mesra
pelanggan semasa menjalankan tugas. Saya akan bersikap sopan, berbudi pekerti mulia dan berhemah
tinggi serta sentiasa bersedia memberikan pertolongan sekiranya pengunjung menghadapi masalah tanpa
mengira bangsa dan agama , bak kata peribahasa budi bahasa budaya kita. Layanan mesra daripada
pengawas menggembirakan para pengunjung dan merupakan salah satu kunci untuk menarik para pelajar
mengunjungi pusat sumber. Saya juga akan membantu pihak sekolah mempromosikan buku-buku di pusat
sumber agar dapat dipinjam oleh pelajar. Saya juga perlu bersikap adil dan tegas kepada semua pelanggan
terutama sekiranya mereka lewat atau sengahaja tidak memulangkan buku yang dipinjam mengikut tarikh
yang ditetapkan.
Selaku pengawas pusat sumber juga, saya akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar
menyediakan sistem pinjaman buku yang sistematik dan berkesan untuk membantu meningkatkan
penggunaan pusat sumber sekolah saya. Contohnya penggunaan ICT khususnya komputer dalam urusan
pinjaman dan pemulangan buku dapat menjimatkan masa dan tenaga. Penggunaan sistem berkod
merupakan langkah bijak kerana semua bahan bacaan berbentuk buku akan direkodkan secara berkod yang
memudahkan urusan pinjaman dan pemulangan buku yang dilakukan secara scaning. Kaedah ini akan
mewujudkan sistem pengurusan pusat sumber yang sistematik kerana para pelajar tidak perlu menunggu
terlalu lama untuk urusan pinjaman dan pemulangan buku. Jelaslah sistem pinjaman yang sistematik dan
efektif adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah.
Kesimpulannya, pusat sumber sekolah menyediakan perkhidmatan dan sumber pembelajaran dalam
pelbagai bentuk bagi membolehkan warga sekolah menjadi pengguna yang bermaklumat dan pemikir
yang kreatif serta kritis. Justeru, terpulang pada pelajar sendiri sama ada mahu menggunakan atau
sebaliknya, tepuk dada tanyalah minda. . Semua pihak perlulah berganding bahu dalam usaha
meningkatkan penggunaan pusat sumber sekolah bak kata peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat
manusia kerana muafakat.

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.


Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di
negara kita.
Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang
menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita
daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah
diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara
kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu
seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan
tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional
berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan
khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya
mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan
memupuk minat diri sendiri terhadap permainan tradisional. Remaja pada masa ini banyak terdedah
dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional
telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya
berperanan memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri
untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses
maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan
tradisional yang ada di negara kita. Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat
berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud
kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi
permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan tradisional
sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau
pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada
golongan yang lebih tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan
rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan
permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini
juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat
daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa
dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah
permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional, saya sebagai pelajar sekolah haruslah
berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti
semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar
memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini
secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan
menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum
dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau,
pertandingan bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih

berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan
tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah,
tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai
permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para
pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya
terutama permainan tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan budaya
masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan
datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa,
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini
tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa
kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan
diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah
mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan
tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap
permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara
Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan
tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda
khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua
agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti.
Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara
dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana
ada kemahuan, di situ ada jalan.

Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting bagi menggalakkan anak-anak menggunakan
barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam
menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.
Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju menjelang 2020, Malaysia
sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri.
Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mengagung-agungkan barangan luar.
Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan
sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walaubagaimanapun, masih ramai lagi yang
tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebihlebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan.
Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting yang perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa ialah ibu bapa perlulah menjadi role
model kepada anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu
bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan
insan yang paling dikagumi kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak
diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya
sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap
seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa
kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia
seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya,
ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan
Malaysia yang berkualiti ini.
Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak
kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik
patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia
sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan
Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara,
dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk
mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan
negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk
negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir
yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat malalui Dasar Pandang Ke Timur, kita
digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf
baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia,
amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja
merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara
kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk
jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
Di samping itu, peranan yang boleh diamalkan oleh ibu bapa ialah ibu bapa membawa anak-anak
ke pameran barangan ciptaan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival
Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis

perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai
tawaran potongan harga yang istimewa. Sebagai contoh, kraf tangan dan batik, yang merupakan budaya
yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan
tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak
meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang
tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan
pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai
pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang
berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti
dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa,
tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk
didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada
anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan
barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk
Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya
juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah
diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar
dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah
barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak
harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membinakan semangat Malaysia Boleh dari
serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting
dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar
dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan
terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam
menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan
kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga
mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar
lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik.
Walalau bagaimanapun, usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi. Rakyat Malaysia
patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat
seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan
membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat
agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.

Minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin berkurangan.
Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera
Pada zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah komputer untuk
mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca daripada buku. Hal
ini menyebabkan minat untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan.
Malah ada yang telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan negara
seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini tidak boleh dipandang
remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan
bangsa kita. Minat untuk membaca karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan
masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik
minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai
membaca karya sastera termasuklah peranan pihak sekolah khususnya Pusat Sumber Sekolah. Pusat
Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan
oleh Shahnon Ahmad, Salina oleh A.Samad Said, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur oleh Kamaludin
Muhamad dan Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang
untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel, sajak, puisi dan
pantun pada setiap bulan. Langkah ini membolehkan para pelajar untuk membaca karya-karya sastera
memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak langsung, minat pelajar
terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas
menyediakan satu ruang atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya
sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam
menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk menarik minat
anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang karya sastera
kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu
bapa boleh membaca sastera ralyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur Melalui cara ini,
hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat dipereratkan, malah anak-anak
dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah
membelikan karya sastera untuk dibaca oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil
warisan bangsa selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan novel
yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa juga perlu pilih bahan bacaan yang
hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran
buku. Seterusnya, ibu bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai
bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional dan moden yang
dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera
dapat dipupuk dan disemai dalam jiwa mereka.
Di samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam mengambil langkah menarik
minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera. Sebagai contohnya, pihak media boleh
mempromosikan karya sastera kepada masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara
ini, lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di pasaran. Bukan itu
sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau ulasan karya sastera yang agung di akhbar

dan majalah kepada orang ramai. Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di
negara kita dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan peraduan teka
teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya sastera. Jelasnya, pihak media haruslah
mengambil langkah untuk menarik perhatian orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati
karya sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang untuk mengenali karyakarya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula, pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat
di setiap daerah bagi memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk
dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar cukai penerbitan karya
sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku tersebut agar semua rakyat khususnya golongan
berpendapatan rendah berpeluang untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa
pihak kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik minat orang
ramai membaca karya sastera.
Akhir sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan lebih banyak karya
sastera supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis
untuk mengeluarkan berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan
berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh ditubuhkan untuk melindungi karya-karya
penulis supaya tidak dplagiat oleh pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan
para peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah
penerbitan karya sastera dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk
menghasilkan karya sastera yang bermutu.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas
tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai membaca karya sastera.
Masyarakat pula harus bersikap berhati terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan
yang hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia haruslah mencintai dan
menghayati karya sastera kita kerana ia merupakan warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.