Anda di halaman 1dari 4

ARTIKEL

TAJUK : JANGAN TUNDUK TUNTUTAN COMANGO

Oleh AZRIL MOHD AMIN


PENULIS ialah Naib Presiden, Persatuan Peguam Muslim Malaysia merangkap Ketua Delegasi MuslimUPRo
(Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses UPR) ke Geneva, Switzerland.

SITUASI hak asasi manusia di negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu


(UN) diteliti masyarakat antarabangsa melalui mekanisme unik Majlis Hak Asasi Manusia
(HRC) yang memantau dan menilai rekod hak asasi manusia dan menangani pencabulan hak
asasi manusia. Mekanisme ini dikenali sebagai "Universal Periodic Review" atau UPR
(Semakan Berkala Sejagat) yang harus ditempuhi setiap 192 negara anggota PBB setiap
empat tahun.
Proses UPR ini memberi peluang kepada semua negara anggota untuk mengisytiharkan
tindakan-tindakan yang telah diambil untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia dan
untuk mengatasi cabaran dalam menikmati hak asasi manusia. Empat puluh lapan negara
dinilai setiap tahun dalam tiga sesi yang berbeza.
Ulasan yang dijalankan oleh kumpulan kerja UPR yang terdiri daripada 47 ahli HRC adalah
berdasarkan laporan nasional yang disediakan oleh kerajaan yang sedang menjalani semakan,
maklumat yang terkandung di dalam laporan hak asasi manusia oleh pakar dan kumpulan
bebas (seperti prosedur khas, Badan-badan perjanjian hak asasi manusia dan lain-lain entiti
PBB) dan maklumat daripada pihak berkepentingan yang lain, termasuk institusi hak asasi
manusia kebangsaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
UPR akan menilai sejauh mana negara yang disemak menghormati hak kewajipan manusia
yang ditetapkan dalam Piagam PBB, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia, instrumen hak
asasi manusia yang ditandatangani sesebuah kerajaan, janji dan komitmen sukarela yang
dibuat kerajaan (dasar hak asasi manusia nasional dan/atau program yang dilaksanakan), dan
undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terpakai.
Malaysia menerima 62 cadangan dalam laporan hasil, yang termasuk, antara lain, ratifikasi
triti antarabangsa, kajian semula undang-undang yang sedia ada dan sistem kehakiman, dasardasar negara dan strategi hak asasi manusia, hak ekonomi, sosial dan budaya, hak asasi
manusia golongan mudah terjejas, pekerja asing dan pemerdagangan orang.
Malaysia menolak 22 cadangan dan tidak menyatakan komen pada 19 cadangan. Respons
kepada 19 perkara yang tidak diberi komen telah disediakan pada Jun 2009, bersempena
dengan pembentangan laporan hasil UPR mengenai Malaysia, di Sesi Biasa Majlis Hak Asasi
Manusia ke-11.

TUNTUTAN-TUNTUTAN COMANGO (GABUNGAN NGO-NGO HAK ASASI


MANUSIA) UNTUK PROSES SEMAKAN BERKALA SEJAGAT MALAYSIA 2013

Malaysia semakin menghampiri sesi UPR pusingan kedua pada 24 Oktober 2013 di Majlis
Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland. Terdapat beberapa laporan yang dihantar secara
berasingan kepada majlis tersebut oleh badan-badan seperti Becket Fund for Religious
Liberty, Human Rights Watch, Amnesty International, Majlis Peguam, International
Commission of Jurists dan lain-lain NGO hak asasi manusia, tetapi isi kandungan laporan
COMANGO (iaitu gabungan NGO-NGO Malaysia dalam proses UPR) membentuk
sebahagian besar tuntutan yang terkandung di dalam dokumen-dokumen yang menjadi asas
rujukan rekod hak asasi Malaysia pada pusingan kali ini.
Adalah dikesali bahawa COMANGO mengambil kesempatan untuk memanipulasi sesi
semakan ini dengan memberikan persepsi yang salah tentang Malaysia, khususnya berkaitan
kedudukan sebenar pencapaian hak asasi manusia (HAM). COMANGO juga mengemukakan
beberapa tuntutan berbahaya yang ternyata bertentangan dengan realiti budaya dan sejarah
masyarakat Malaysia, serta pada hakikatnya menzahirkan percubaan mereka untuk mengikis
kedudukan istimewa Islam sebagai agama negara seperti yang termaktub di dalam Perkara
3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Di antara tuntutan-tuntutan berbahaya di dalam laporan tersebut adalah:

i. Perenggan 1: Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International


Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Contoh unsur berbahaya yang terkandung
dalam ICCPR terdapat pada Perkara 18 iaitu berhubung hak kebebasan beragama. Lihat
komentar berikut: "The Committee observes that the freedom to "have or to adopt" a religion
or belief necessarily entails the freedom to choose a religion or belief, including the right to
replace one's current religion or belief with another or to adopt atheistic views, as well as the
right to retain one's religion or belief". Implikasi penerimaan ICCPR ini bakal mengizinkan
pemurtadan berlaku secara berleluasa.

ii. Perenggan 6.8 berkenaan tuntutan untuk Malaysia menandatangani dan memeterai
International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD)
yang didakwa "menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mengadaptasi obligasi
antarabangsa ke dalam undang-undang domestik".

Pematuhan terhadap ICERD ini hanya akan menyebabkan Malaysia mengikut telunjuk dan
acuan sekular Barat yang memaksakan penafsiran istilah racism atau perkauman ke atas

sesuatu negara berdaulat. Hal ini mengenepikan tindakan-tindakan domestik yang pada
hakikatnya mengambil kira realiti dan sejarah serta aspek keagamaan dan sosio-budaya
tempatan. Justeru tidak sepatutnya diberikan label negatif dan bersifat stereotaip khususnya
oleh media yang berniat jahat terhadap sesebuah negara.

iii. Malaysia ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan SOGI - Sexual Orientation &
Gender Identity iaitu hak-hak LGBTIQ (Lesbian, Bisexual, Gays, Transgender, inter-sexed &
queer-persons). Dakwaan-dakwaan kononnya golongan ini dinafikan hak-hak mereka
ditimbulkan pada perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 laporan tersebut. Terdapat juga tekanan-tekanan
untuk menghapuskan seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung jenayah liwat.

iv. Malaysia juga dipaksa tunduk pada kandungan di dalam Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006
yang memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan seks
songsang. Sekiranya hak-hak LGBT ini diizinkan, maka langkah pertama yang mesti
dilakukan Kerajaan Malaysia ialah menghapuskan undang-undang berhubung kesalahan
jenayah liwat.

Ini adalah langkah yang membuka ruang untuk pengenalan undang-undang perkahwinan
sesama jenis yang setakat ini telah dibenarkan di 14 buah negara seluruh dunia, dan negara
jiran Thailand sedang menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang yang sama.

v. Perenggan 6.2 mendakwa bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hakhak istimewa kaum Melayu adalah bersifat perkauman dan diistilahkan sebagai 'alat politik'.
Ini bersalahan dengan kontrak sosial dan juga ciri-ciri utama yang membentuk Perlembagaan
Persekutuan.

vi. Perenggan 9 mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan


khususnya perenggan 9.5 mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan
jenayah syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa ''mengganggu hak peribadi.''

vii. Perenggan 10 mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di


Malaysia. Di antaranya termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut
Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah tertinggi di
Malaysia. Laporan tersebut juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran syiah
menyebarkan fahaman mereka dalam kalangan orang Islam. Selain itu, hak seorang bapa

beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur UMUR juga dijadikan isu
hak asasi manusia.

Tuntutan-tuntutan sebegini bukan sahaja berlawanan dengan kedudukan Islam sebagai agama
Persekutuan dan kedaulatan negara, tetapi juga dibuat melalui platform yang tidak sah seperti
COMANGO. Malah, 'pertubuhan-pertubuhan' yang menganggotainya juga perlu disiasat
secara mendalam oleh kerana jika diteliti, hanya 12 dari 54 keanggotaannya berdaftar dengan
Pendaftar Pertubuhan Malaysia. 'Pertubuhan-pertubuhan' ini tidak mewakili suara majoriti
masyarakat Malaysia, namun begitu menampakkan gagasan mereka seolah-olah besar dan
berpengaruh.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131010/re_07/Jangan-tunduk-tuntutanCOMANGO#ixzz2v06prYO8
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai