Anda di halaman 1dari 3

http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2011/03/latar-belakang-pendidikanpemulihan.

html
Latar Belakang Pendidikan Pemulihan
Oleh Mohd Isa Abd Razak
Pendidikan pemulihan di negara kita bermula sejak tahun enam puluhan. Titik tolaknya ialah
tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967. Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan itu di sembilan buah sekolah. Tinjauan itu
berterusan hingga tahun 1970.
Pada bulan Ogos 1975, KPM menganjurkan seminar pengajaran pemulihan untuk pengurus
dan guru sekolah rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM menghantar empat orang pegawai
pendidikan mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun
1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk menjadi
guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar pengajaran
pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab perguruan.
Selain itu, pada tahun 1972 hingga 1981, KPM melaksanakan Projek Pendidikan Imbuhan
untuk 12 buah sekolah rendah. Projek itu bertujuan mengenal pasti masalah pengajaran dan
pembelajaran pemulihan murid-murid tahun satu hingga tahun tiga.
Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran
memperakukan supaya sekolah mengadakan ujian rujukan kriteria. Dengan berdasarkan
dapatan ujian itu, pihak sekolah perlu melakukan tindakan penambahbaikan. Tindakan itu
termasuklah penggunaan kaedah dan sumber pengajaran yang sesuai dalam kelas yang lebih
kecil. KPM pula perlu menyediakan guru yang mampu mengendalikan pengajaran
pemulihan.
Mulai tahun 1980, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) melaksanakan perakuan yang
berkenaan. KBSR mengetengahkan konsep 5P, iaitu penggabungjalinan, penyerapan,
penilaian berterusan, pemulihan dan pengayaan. Hal ini jelas memperlihatkan pemulihan
merupakan satu daripada unsur istimewa KBSR.
Mulai tahun 1986, KPM mengarahkan semua sekolah rendah di negeri yang mempunyai guru
khas pemulihan agar melaksanakan program pemulihan di sekolah masing-masing. Arahan
itu membayangkan bahawa pelaksanaan program sebelumnya adalah pada tahap yang tidak
memuaskan. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak berupaya menyediakan guru khas
pemulihan yang mencukupi untuk semua sekolah rendah.
Pada tahun 1987, hanya terdapat 4,331 orang guru khas pemulihan berbanding dengan 6,700
buah sekolah rendah yang memerlukannya. Daripada jumlah itu, kerajaan hanya mampu
mewujudkan 2,233 jawatan guru khas pemulihan.
Pada tahun 1997, KPM mengeluarkan dapatan tinjauan kadar celik huruf selepas enam bulan
murid berada dalam tahun satu. Tinjauan itu menunjukkan hampir 75,000 orang murid belum
celik huruf. Jumlah ini bersamaan dengan 22 peratus daripada keseluruhan murid. Satu
sumber lain (KPM, 1999) menyatakan, antara sepuluh hingga lima belas peratus murid
sekolah masih menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran. Mereka gagal menguasai
kemahiran asas 3M (membaca, menulis, mengira).

Mulai tahun 1998, program pemulihan menjadi agenda penting KPM. Antara tindakan KPM
ialah melatih guru Bahasa Melayu untuk melaksanakan pemulihan ringan dalam bilik darjah.
Tindakan lain ialah menambah guru pemulihan khas (GPK) yang mampu mengendalikan
pemulihan berat.
Selain itu, pada bulan November 1998, KPM memulakan usaha untuk menghasilkan buku
panduan bagi melaksanakan program pemulihan khas. Buku itu terbit pada tahun 1999. Buku
itu menjadi sumber penting GPK dan guru Bahasa Melayu.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ada mencatatkan bahawa pada tahun 2005 sebanyak
4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum
menguasai 3M. Peratusan ini termasuk juga pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran.
Jadi, mulai tahun 2006 KPM menambah baik program yang sedia ada dan melaksanakan
program baharu bagi mengurangkan peratusan murid yang tidak menguasai 3M.
Program terpenting ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Program
ini bertujuan untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis.
Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu.
Usaha lain ialah menambah guru pemulihan khas melalui program Kursus Perguruan Lepas
Ijazah, Kursus Dalam Perkhidmatan untuk guru sekolah kurang murid dan beberapa kursus
jangka pendek yang lain.
Pada 12 September 2009, akhbar Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000
orang pelajar tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis
(2M). Data yang di bawah pula menunjukkan pencapaian KIA2M tidaklah membanggakan.*

Jadi, bermula pada tahun 2010 Program Literacy and Numeracy Screening (LINUS)
menggantikan Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M). LINUS
berkaitan pula dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Minister Key
Performance Indicators (MPKI) Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan bahawa
semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga
tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.
Bibliografi Terpilih
Kementerian Pelajaran Malaysia, 1982. Buku Panduan Khas Program Pemulihan KBSR
(Edisi Percubaan). Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999. Buku Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan


Pemulihan Khas (Masalah Penguasaan 3M). Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Khas.
Koh Boh Boon, 1981a. Pendidikan Imbuhan, Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Koh Boh Boon, 1981b. Pengajaran Pemulihan dalam Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur:
Utusan.
Robiah Kulop Hamzah, 1992. Guru Khas Pemulihan: Fungsi dan Masalah, Satu Kajian.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai