Anda di halaman 1dari 4

Apakah itu "ADHD"?

Selalunya ibubapa dan guru-guru menggambarkan kanak-kanak yang mudah terangsang,


lasak atau tidak mendengar cakap ini sebagai hiperaktif. Istilah gangguan hiperaktif atau
kurang tumpuan (ADD) digunakan oleh profesional dalam bidang perubatan untuk
menggambarkan masalah yang lebih serius dan berpanjangan pada kanak-kanak.
Gangguan kurang tumpuan (ADD) tanpa hiperaktiviti (terutama sekali jenis yang tidak
memberi perhatian penuh) adalah subkategori kepada ADHD. Biasanya, kanak-kanak dalam
golongan ini kurang memberi perhatian penuh dan tumpuan mudah terganggu. Adalah
dikatakan bahawa ADD tanpa hiperaktiviti kerapkali tidak didiagnosa dengan tepat.
Gangguan hiperkinetik merupakan satu lagi istilah yang digunakan untuk menggambarkan
ADHD.
Dikatakan 1 daripada 25 kanak-kanak mengalami masalah ADHD dan diandaikan ADHD
dialami oleh sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak di setiap bilik darjah. ADHD lebih
kerap didiagnosa pada kanak-kanak lelaki berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Ini
mungkin berlaku kerana ADD tanpa hiperaktiviti lebih berpengaruh dalam diri kanak-kanak
perempuan dan tidak didiagnosa dengan tepat.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami gangguan ini hanya mendapat bantuan pada usia
6-9 tahun walaupun kebanyakanibu bapa menegaskan masalah yang dihadapi anak mereka
mula dikesan pada usia yang lebih muda. ADHD dianggap sebagai penyakit yang akan kekal
sepanjang hayat dan sedikit sebanyak dibawa ke alam dewasa.
Apakah Tanda-Tanda ADHD?
Kanak-kanak ADHD haruslah menunjukkan tingkahlaku yang terdapat dalam tiga kategori
utama yang sering berlaku dalam beberapa persekitaran seperti di rumah, di sekolah dan
sebagainya :1. Hiperaktiviti
Kerap menggerak tangan atau kaki atau menggeliang-geliut di tempat duduk
Selalu meninggalkan tempat duduk ketika di kelas
Selalu berlari ke sana ke mari atau suka memanjat dan pada kebanyakan masa kelihatan
kekok
Kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap
Selalu banyak bercakap
Sering bergerak cergas atau kerap bertindak seolah-olah digerakkan oleh motor
2. Tempoh tumpuan yang singkat
Sering gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta
membuat kesilapan semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain
Selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugas
Kerap mengalami masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti
Kerap mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang

memerlukan tumpuan yang lama (seperti kerja sekolah atau kerja rumah)
Selelu kehilangan barang (misalnya pensil, pemadam, buku atau tugasan sekolah, mainan
dan sebagainya)
Tumpuan mudah bertukar dari satu aktiviti ke satu aktiviti lain
Mudah pelupa walaupun tidak sepaatutnya jika mengikut usia dan keupayaan
3. Tingkah laku impulsif
Selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan
Kurang sabar dan hadapi masalah ketika menunggu giliran
Sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain
Sering membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan
Apabila anak anda gagal mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah atau tidak pandai
berinteraksi sesama rakannya, mungkin ini menandakan anak anda menghadapi masalh
tingkahlaku hiperaktiviti.
Kerapkali kanak-kanak yang hiperaktif dianggap sebagai nakal atau jahat. Walaupun kanakkanak ada kalanya menunjukkan tingkahlaku yang terlalu aktif atau lasak, ibubapa harus
berhati-hati agar tidak tersilap membuat andaian dan menganggap anak mereka hiperaktif.
Semangat berkobar-kobar, bertindak mengikut gerak hati dan suka bergurau dianggap
normal. Tetapi semuanya bergantung kepada usia dan tahap pertumbuhan mereka. Jika anda
ragu-ragu, rujuklah doktor anda untuk penilaian selanjutnya.
Bolehkah gangguan lain mengiringi ADHD?
ADHD sukar hendak didiagnosa kerana ADHD kerap disertai dengan masalah-masalah lain.
Gangguan perkembangan seperti kelewatan pertumbuhan global (misalnya kerencatan
mental) atau gangguan spektrum autistik.
Kesukaran pembelajaran secara khusus iaitu kanak-kanak menghadapi masalah untuk
menguasai bahasa atau kemahiran akademik yang tertentu misalnya membaca dan
matematik.
Masalah emosional dan tingkah laku; orang lain mungkin akan menganggap kanak-kanak ini
sebagai kanak-kanak yang terganggu emosinya. Pada hakikatnya, kanak-kanak itu sendiri
sentiasa bergelumang dengan kekecewaan dan terpaksa meluahkan emosi mereka.
Masalah ADHD :
Masalah sosial. Mereka kerap disisihkan dan tidak dihiraukan oleh rakan-rakan sebaya.
Mereka juga kerap berdepan dengan masalah akademik.
Masalah keluarga. Kanak-kanak ini kerap menimbulkan masalah kepada mereka yang
tinggal serumah dengan mereka atau mereka yang berinteraksi dengannya sehingga
menimbulkan kedaan tegang. Ibu bapa sering salahkan diri kerana tingkah laku anak-anak
mereka. Beban rasa salah ini boleh menjadi ringan jika ibu bapa memahami keadaan sebenar
yang dialami oleh anak mereka.
Apakah Yang Boleh Disalah Tafsir Sebagai ADHD?

Pencapaian akademik rendah yang disebabkan masalah pembelajaran yang lain


Kurang daya tumpuan kerana epilepsi atau sawan jenis petit mal
Infeksi atau jangkitan telinga yang menjejaskan pendengaran sesekali
Suka memusnahkan barang atau tidak responsif akibat keresahan atau kemurungan
Menghadapi masalah di rumah
Punca ADHD
Tiada siapa tahu apakah punca ADHD. Punca ADHD tidak dapat dikenal pasti dengan tepat
kerana terdapat terlalu banyak kemungkinan. Yang pasti ADHD bukan disebabkan oleh
perkara-perkara berikut:
Menonton televisyen
Alah pada makanan
Gula yang berlebihan
Keadaan hidup yang miskin
Sekolah bertaraf rendah
Ibu bapa tidak sepatutnya mencari alasan-alasan yang mungkin menjadi punca ADHD.
Sebaliknya, setiap keluarga haruslah mengorak langkah ke hadapan sekali gus mengenal pasti
cara-cara yang boleh membantu anak-anak mereka mendapatkan bantuan sewajarnya.
Diagnosis Dan Rawatan ADHD
Membuat diagnosis yang lengkap memerlukan penilaian daripada seorang pakar yang
berpengalaman memandangkan terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan
keresahan dan tingkah laku yang tidak dapat menumpukan perhatian. Tiada ujian mudah
untuk ADHD. Diagnosis dibuat dengan mengenal pasti corak tertentu tingkah laku kanakkanak serta membuat pemerhatian dan mendapatkan laporan tingkah laku mereka di rumah
dan di sekolah daripada ibu bapa dan guru sekolah.
Kerapakali rawatan berkesan untuk ADHD melibatkan pendekatan multidisiplin yang
melibatkan bidang perubatan, psikologi, sosial dan pendidikan. Kebanyakan kanak-kanak
yang mengalami ADHD memerlukan rawatan.
Ubat stimulan turut digunakan untuk merawat ADHD, tetapi tidak bermakna akan pulih
sepenuhnya. Ubat stimulan membantu kanak-kanak ADHD menjadi tenang, dapat
menumpukan perhatian dan kurang bertindak mengikut gerak hati. Pada jangka masa
berkesanan ubat stimulan, tumpuan perhatian kanak-kanak akan bertambah untuk belajar dan
menjalani latihan-latihan kemahiran yang baru. Kanak-kanak juga dapat belajar menjalin
hubungan yang baik dengan orang lain, berfikir dengan jelas, boleh memahami pelajaran
dengan lebih baik dan mampu mengawal diri sendiri.
Ubat stimulan yang utama untuk merawat ADHD adalah methylphenidate yang dijual di
bawah nama dagang Ritalin. Kesan ubat dijangka bermula dalam masa 30-60 minit dan

keberkesanan ubat ini akan luput selepas 3-4 jam. Seorang kanak-kanak mungkin
memerlukan antara dua hingga tiga dos pada setiap hari untuk mendapatkan hasil yang
terbaik.
Kesan sampingan yang biasa berlaku bagi methyphenidate adalah tidak boleh tidur dan
kurang selera makan. Kesan sampingan yang jarang berlaku adalah sakit kepala, pitam atau
mengantuk, sakit perut dan biasanya semua ini dirasai apabila dos ubat semakin luput.
Apabila kanak-kanak tersebut tidak aktif atau terlalu diam, ini menunjukkan dos yang
diambil terlalu tinggi dan perlu dikurangkan.
Ubat stimulan adalah tidak memadai untuk merawat ADHD. Rawatan untuk ADHD perlu
diselitkan dengan program psikologi, sosial dan pendidikan yang boleh membantu kanakkanak mempelajari kemahiran baru, sikao dan tingkah laku yang seharusnya untuk mereka
mengatasi tuntutan hidup.
Bolehkah ADHD sembuh?
Dengan bantuan yang sewajarnya dari ibu bapa, guru-guru, para doktor, kanak-kanak ADHD
akan mampu menangani masalah kurang tumpuan atau hiperaktif mereka dengan lebih baik.
Mereka juga dapat menyalurkan tingkah laku hiperaktif mereka dalam suasana yang sesuai
seperti latihan fizikal atau senaman. Oleh itu, ramai yang memilih aktiviti atau pekerjaan
yang memberi mereka kebebasan bergerak.
Walaupun sebahagian kanak-kanak ADHD akan terus menunjukkan tanda atau masalah
sehingga dewasa namaun dengan menjalani rawatan perubatan dan terapi yang diikuti semasa
kanak-kanak dapat membantu mereka ketika dewasa.

Anda mungkin juga menyukai