Anda di halaman 1dari 5

ISU BAHASA : PENGABAIAN BAHASA MELAYU TERUS

BERLELUASA DI KUALA LUMPUR


Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my

The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue
bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman
perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke38 sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari. Jangan hairan jika ayah dan ibu
dari kampung susah nak sebut nama sesetengah kawasan perumahan kerana
sebutannya terlalu aneh dan tidak mencerminkan identiti Melayu. Barangkali
kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala
Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman
perumahan dan bangunan awam. Kalau ada pun nama Melayu mungkin di
kawasan separa tradisional seperti di Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum,
Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.
Kawasan urban dan elit lebih mesra menggunakan nama aneh, mungkin kerana
keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Mimpi juga berbeza kerana Wilayah
Persekutuan tonggak pembangunan negara menjelang 2020. Jangan salahkan
pemaju perumahan yang ghairah menggunakan nama asing untuk taman
perumahan. Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada
Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak berkuasa tempatan
(PBT) yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman. Pemaju
hanya menjalankan tugas membina kediaman, sekali gus mengaut
keuntungan. Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada
peruntukan berbuat demikian. PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di
kawasan berisiko di lereng bukit dan tadahan air semata-mata atas nama
pembangunan Wilayah Persekutuan. Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak,
asalkan pembangunan diteruskan.

Sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan yang semuanya dikelompokkan
sebagai Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan undang-undang atau akta yang
boleh mensabitkan kesalahan terhadap pelanggar bahasa Melayu. Sesiapa saja
boleh berucap, menulis papan tanda dan memperkenalkan nama jalan dengan
nama yang aneh. Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa Melayu yang melatah
penggunaan perkataan presint yang diubah daripada precint di Putrajaya.
Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya
setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk
juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli PENA dan GAPENA, kerana
suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih
mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi. Pencinta bahasa Melayu
sentiasa di belakang dan perkataan presint dikekalkan walaupun mengikut
mykamus.com bermaksud kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja,
larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan.
Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan precint bermaksud ruang
yang berpagar (di gereja), batasan sesuatu daerah. Pedulikan maksud dalam
kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi bagi
sebuah Wilayah Persekutuan yang menyambut perayaan pada 28 Januari lalu
bertemakan Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju. Barangkali demi
memenuhi impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa.
Terbaru laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur
City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang 1.173 kilometer dikaitkan
dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain
concourse?
Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama Jalan Pekeliling yang sepatutnya
Jalan Berkeliling mengambil ungkapan asalnya Circular Road! Sekali lagi, kita
tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal
menyebut Kuala Lumpur Sentral, Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall, Lot
10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market dan bermacam lagi. Tidak jauh
dari Jalan Pekeliling tertera papan tanda di sebuah premis; Ah Fatt tukang jahit
wanita. Kita tidak pasti berapa ramai wanita yang sudah dijahit oleh Ah
Fatt! Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri.
Ketika kita ghairah mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai
daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri. Bahasa dan budaya
dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka
pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong
belakang Chow Kit. Barangkali inilah wajah kita yang terkini!

ISU BAHASA: Memartabatkan bahasa Melayu sebagai saluran penguasaan ilmu


Oleh Mohd Ayob Abd Razid
Pelaksanaan PPSMI dilihat gagal beri manfaat kepada pelajar, terutama di luar
bandar
USAHA menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa Malaysia
dan Inggeris pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah selaras dengan
dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai 2012 bagi menggantikan Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan bahasa
itu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Memperkasa bahasa
Inggeris pula bermaksud usaha mempertingkat penguasaan bahasa itu melalui
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan supaya pelajar
benar-benar dapat menguasainya dengan baik.
Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas kerajaan
mengkaji dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan pelaksanaan
dasar itu. Kerajaan juga mengambil kira pelbagai pandangan cendekiawan serta
pandangan umum mengenai pro dan kontra pelaksanaan PPSMI yang
dilaksanakan sejak 2003.
Contoh, tokoh bahasa yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu
ditumpukan dalam bahasa Melayu termasuk dalam bidang sains dan
matematik.
Bahasa Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi
sehinggakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah universiti
yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dibuktikan UKM apabila

melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai bidang lain.
Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan pengantar bahasa
Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.
Peranan DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu,
termasuk menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam
semua bidang pengajian berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu.
Menurut kajian Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI
didapati menjarakkan lagi jurang pencapaian sains dan matematik antara
pelajar bandar dan luar bandar. Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai
bahasa Inggeris. Kebanyakan murid pula menunjukkan sikap pasif dan kurang
ceria apabila kelas Sains dan Matematik berlangsung.
Majoriti murid, terutama di luar bandar takut bertanya soalan kerana tidak
memahami pelajaran yang diajar. Hampir 50 peratus murid didapati tidak
faham bahasa Inggeris. Kajian itu juga mendapati lebih 80 peratus murid
Melayu sukar memahami pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Justeru, PPSMI dilihat gagal memberi manfaat kepada pelajar, khususnya di luar
bandar.
Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil
beberapa langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk menyediakan
buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran terbabit
memerlukan jangka masa tertentu. Ini termasuk melantik panel penulis,
penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses mencetak.
Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas berakhir 2011 nanti
maka dasar baru itu akan dilaksanakan.
Kita juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik
kepada bahasa Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan
penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar
bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan
pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu perlu
dipertingkatkan.

Oleh itu, kementerian perlu merancang pengajaran dan pembelajaran bahasa


Inggeris dengan berkesan. Justeru, kemampuan melahirkan guru bahasa
Inggeris berkualiti amat penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa
itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang
menyeronokkan.
Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara
adalah usaha mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya
yakin ia langkah sementara sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru
yang mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris.
Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris
yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru
berpencen yang diambil semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan
didedahkan dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang terkini.
Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah
rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat
memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal
bahasa pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang
belum mempunyai kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera
menyediakannya.
Kesimpulan, dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa
Melayu dalam pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa
penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. - BH 11/12/2010
Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan