Anda di halaman 1dari 2

Tajuk : Kesan Kemasukan Pendatang Asing dan Langkah-langkah Mengawal

Kemasukan Pendatang Asing. Karangan Bahagian A. SPM


Saban hari kedatangan pekerja asing ke negara kita semakin meningkat bagaikan cendawan
yang tumbuh selepas hujan. Merujuk kamus, pekerja asing bermaksud tenaga kerja yang datang dari
negara lain seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, dan sebagainya. Negara kita dianggap
sebagai lombong emas kerana negara kita mempunyai banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor
pekerjaan seperti sektor pertanian, perkilangan, pembinaan dan perladangan. Dasar kerajaan yang
membuka lebih luas peluang pelaburan dan memberi layanan serta kemudahan kepada pelabur asing
untuk membina kilang mereka di negara ini turut merancakkan kedatangan mereka lagi. Walupun
kehadiran mereka dapat membantu membangunkan ekonomi negara, namun terdapat beberapa kesan
negatif apabila pekerja asing masuk ke negara kita secara tidak terkawal. Oleh yang demikian, langkahlangkah pengawalan harus diambil secara berkesan seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak
terputus manakala tepung tidak berserak memandangkan hal ini melibatkan hubungan diplomatik antara
negara.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan pekerja asing menyebabkan
peluang pekerjaan penduduk tempatan tersekat berikutan dengan sikap majikan di negara ini yang
gemar mengupah pekerja asing kerana kadar upah mereka jauh lebih murah berbanding mengupah
pekerja-pekerja tempatan yang lebih mahal. Sikap tidak memilih pekerja haruslah wujud dalam peribadi
pekerja tempatan. Jika mentaliti sedemikian diteruskan tanpa mengubah sebarang persepsi, hidup
penduduk tempatan tersepit. Sikap majikan yang ibarat peribahasa kera di hutan disusui, anak di rumah
mati kelaparan akan memberi impak negatif kepada rakyat tempatan. Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat
tempatan hilang peluang pekerjaan dan kadar pengangguran semakin meningkat dalam kalangan
pekerja tempatan.
Sudah terang lagi bersuluh, kemasukan pekerja asing tanpa kawalan menyebabkan peningkatan
kadar jenayah di negara ini. Pelbagai jenayah akan dilakukan oleh pekerja tempatan berikutan tidak
mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan. Tambahan pula, kos sara hidup pada
era globalisasi ini semakin meningkat sebagai akibat kemelut ekonomi global. Kejadian pecah rumah,
kecurian,

rogol,

rusuhan,

dan

lain-lain

mungkin

akan

berlaku

jika

tiada

sebarang

usaha

diimplementasikan oleh pihak kerajaan. Peningkatan kadar jenayah ini juga melibatkan pekerja asing
yang masuk ke Malaysia tetapi tidak mendapat pekerjaan seperti yang diharapkan sedangkan mereka
memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Buktinya, mantan Ketua polis Negara ( KPN)
Tan Sri Musa Hassan mengakui pendatang asing yang melebihi 2.4 juta orang di negara ini
menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.
Di samping itu, kemasukan pekerja asing ini juga turut memberi kesan terhadap ekonomi negara
kita. Pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada setiap bulan bakal merugikan

negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkan negara asal pekerja asing ini. Sistem transaksi
canggih di bank-bank negara kita menyumbang kepada proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan
mudah dan cepat serta perkhidmatan yang murah. Menurut statistik, sebanyak RM 9.124 juta telah
dihantar ke negara asal pekerja asing antara bulan Januari hingga Jun setiap tahun. Hal ini akan
membebankan kewangan negara. Bukan itu sahaja, sebanyak RM1.169 juta digunakan sehari oleh
kerajaan sebagai kos untuk penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI ) amat merugikan negara
sekali gus mengganggu gugat kerancakan ekonomi di negara kita.
Setiap

penyakit

ada

penawarnya,

begitu

jugalah

setiap

masalah

mempunyai

jalan

penyelesaiannya yang tersendiri. Jika masalah kemasukan pendatang asing ini ditangani secara efektif,
pastinya kadar kemasukan pendatang asing ini mampu dikurangkan. Terdapat beberapa langkah yang
dapat diimplementasikan oleh pihak kerajaan serta majikan. Pihak majikan khasnya, perlu mengehadkan
kebergantungan kepada buruh asing kerana mampu menimbulkan pelbagai masalah sosial dan
keselamatan. Pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu hendaklah mengikut sumber
negara yang diluluskan kerajaan. Pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan
warga asing di negara ini. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan
dan pembantu rumah, mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan
segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh
kerajaan. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat
yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang haruslah dilakukan dengan lebih tegas.Sikap
seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Hal
ini kerana banyak pekerja asing terdiri daripada pendatang haram yang menyusup masuk dengan
menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani
bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka
menyusup melalui jalan laut. Jika semua pihak yang berkenaan memainkan tanggungjawab secara
berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.
Tuntas bicara, walaupun kedatangan pekerja asing ini ada kebaikannya namun, pihak kerajaan
haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial demi kesejahteraan dan
pembangunan negara kita selaras dengan wawasan 2020. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak
pada bahu pihak kerajaan semata-mata sebaliknya menuntut kerjasama dan sokongan semua pihak.
Sesungguhnya, peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni wajar diamalkan oleh semua pihak
waima pihak kerajaan, majikan mahupun rakyat negara ini yang mempunyai peranannya yang tersendiri.
Hal ini sangat penting bagi memastikan implikasi negatif akibat kemasukan pekerjaan asing secara
berleluasa ke negara kita dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang dirancang dan diimplementasikan
secara bijak dan berkesan sekali gus dapat mencapai matlamatnya.