Anda di halaman 1dari 15

ABSTRAK

Penggunaan wacana ini dalam Bahasa Melayu khususnya adalah sangat penting untuk
menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Setiap pelajar di sekolah menengah atau rendah
seharusnya mengetahui fungsi dan mahir dalam penggunaan wacana ini pada tempat yang
sepatutnya. Kegagalan pelajar untuk menguasai wacana itu, akan menyebabkan mereka gagal
untuk menghasilkan atau melahirkan penulisan yang kritis dan puitis. Wacana bukanlah sesuatu
yang boleh dipandang ringan oleh pelajar, tetapi mereka mestilah mempelajari dan
menguasainya. Latihan berterusan, sama ada secara bertulis atau membaca perlu ditekankan
kepada pelajar dari sekolah rendah, agar mereka dapat menguasai sepenuhnya sehingga mereka
dapat menerapkannya ke peringkat yang lebih tinggi.

1.0 PENDAHULUAN
Bahasa adalah cara yang paling efektif sebagai alat perhubungan. Bahasa juga
mencerminkan keadaan seseorang. Penggunaan kata yang sempurna dan dicapai samaada secara
lisan atau bertulis menjadikannya lebih tatabahasa dan mudah difahami. Penggunaan kata-kata
dan wacana secara lisan dalam Bahasa Melayu membuatkan Bahasa Melayu setanding dengan
bahasa lain di dunia.
Wacana merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris
ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat dijelmakan dalam pelbagai bentuk
sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut Kamus Dewan (2007), wacana membawa
maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta
percakapan. Manakala menurut pendapat Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa
yang melebihi batas ayat. Sementara itu, Raminah Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang
bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit
bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian,
bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubunganhubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan
kesatuan bahasa yang lengkap. Di dalam tatabahasa, wacana ini diletakkan di tahap paling atas
atau tertinggi mengikut hierarki dan boleh dinyatakan seperti rajah berikut:

Berdasarkan pernyataan di atas, ia boleh dikatakan bahawa setiap bahasa mempunyai


jumlah ayat yang tidak terbatas dan terhad. Namun, beberapa ayat-ayat tertentu membawa satu
maksud bererti hanya fokus. Manakala tumpuan makna pula akan membentuk satu fokus
pemikiran yang mana di dalam tatabahasa ianya disebut sebagai wacana. Selain itu, wacana ini
juga boleh dirujuk sebagai string, dan hubungan antara sistem bahasa yang tersusun sehingga
menjadi satu bentuk ayat, perenggan, karangan, sebuah novel, sebuah majalah, buku seminar,
bengkel, forum dan sebagainya.
Wacana berasal daripada perkataan Jawa iaitu wocono atau woco yang membawa
maksud baca. Terdapat dua jenis wacana di dalam unit bahasa iaitu wacana lisan dan wacana
tulisan. Wacana lisan dihasilkan atau dituturkan secara lisan dan melibatkan komunikasi secara
langsung antara penutur dengan pendengar seperti aktiviti perbualan harian, temu ramah,
ceramah, ucapan, khutbah dan sebagainya. Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada
suara, gerak badan dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu maksud. Manakala wacana
tulisan pula berkisar kepada tulisan dan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.
Komunikasi yang berlaku dalam wacana tulisan ini adalah secara tidak langsung . Contoh
wacana tulisan adalah seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel dan lain-lain lagi.

2.0 FUNGSI PENANDA WACANA


Penanda wacana ialah perkataan atau rangkaian perkataan yang berfungsi untuk
menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis atau berucap dan
ia amat penting dalam sesuatu teks kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan serta
kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga terbentuk kesatuan. Dalam
lain perkataan, penanda wacana ini digunakan untuk:
1. Menyambungakan ayat dengan ayat
2. Menghubungkan perenggan dengan perenggan yang lain
3. Melahirkan ayat-ayat dan perenggan yang berkesimbungan gramatis dan
bermakna
Raminah Hj Sabran (1985) melalui bukunya Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan
telah membincangkan tentang fungsi penanda wacana dengan meluas sebagai panduan kepada
bakal-bakal guru yang akan mendidik anak bangsa seluruh negara. Nik Safiah Karim (2009) di
dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ada menyebut tentang fungsi penanda wacana ini.
Pendapat beliau turut dikongsi bersama oleh Samsu Yaakob (2009) di dalam bukunya yang
berjudul Senarai Semak Sistem Ejaan dan Tatabahasa Bahasa Melayu. Menurut mereka ini, di
dalam bahasa Melayu, terdapat lima jenis utama penandaan wacana seperti:

Penanda penghubung

Penanda rujukan

Penanda penggantian

Penanda leksikal

Penanda ellipsis atau pengguguran

Bagi meningkatkan mutu penulisan di kalangan pelajar, mereka seharusnya tahu


menggunakan wacana yang sesuai dan pelajar juga perlulah tahu akan fungsi wacana yang
digunakan. Terdapat empat fungsi utama di dalam penanda wacana iaitu:

Penghubung tambahan

Penghubung tentangan atau sebaliknya

Penghubung musabab atau sebab

Penghubung tempoh masa atau ketika

2.1 Menunjukkan maksud penghubung tambahan


Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penghubung tambahan merupakan
penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang telah
diperkatakan sebelumnya. Antara penanda wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti
dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan lain-lain lagi. Contoh ayat
yang boleh dibina adalah seperti;

I.

Tugas sebagai seorang guru di kawasan pedalaman benar-benar mencabar dan memberi
pengalaman baru kepadanya kerana sebelum ini dia merupakan seorang anak orang
berada yang tinggal di bandar besar. Malahan dia juga berpeluang beramah-mesra dengan
penduduk-penduduk termasuklah petani dan penternak dalam mengenali mereka dengan
lebih rapat lagi.

II.

Pendidk haruslah berusaha membimbing pelajarnya melakukan pelbagai aktiviti


kokurikulum secara teori mahupon praktikal. Disamping itu, isi pelajaran yang hendak
disampaikan mestilah menarik minat pelajar.

2.2 Menunjukkan maksud sebaliknya atau penghubung tentangan.


Menurut Nik Safiah Karim (2009), penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan
pertentangan maklumat antara suatu yang baru diperkatakan dengan yang sebelumnya dalam
wacana yang sama. Antara penanda wacana yang sering dan boleh digunakan oleh pelajar dalam
menulis karangan ialah seperti tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu, walau bagaimanapun
dan lain-lain lagi. Contoh ayat yang menggunakan wacana ini adalah seperti berikut:
a) Kassim telah lama berpindah ke Semenanjung. Namun hati kecilnya masih

teringat

akan negeri di bawah bayu itu.


b) Ani dan Razak adalah anak angkat Pak Hamid yang dipelihara sejak kecil lagi. Walau
bagaimanapun, mereka berdua menganggap Pak Hamid seperti bapa kandung mereka
sendiri.

2.3 Menunjukkan maksud sebab atau penghubung musabab


Pelajar juga boleh menggunakan wacana yang sesuai bagi menunjukkan sebab
berlakunya sesuatu perkara atau peristiwa. Apabila penanda wacana ini digunakan, jalan cerita
akan menjadi lebih gramatis dan menarik dan menunjukkan kematangan pelajar dalam memilih
kata-kata yang sesuai di dalam penulisan. Antara penanda wacana menunjukkan sebab ini ialah
seperti kerana, oleh sebab itu, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu, maka itu dan lain-lain
lagi. Pendapat di atas telah disokong oleh Siti Hajar binti Abd Aziz dalam bukunya Bahasa
Melayu II terbitan Oxford Fajar (2009). Contoh ayat yang dapat ditunjukkan dalam bahagian ini
adalah seperti di bawah:
a) Kejadian pecah rumah sering berlaku di kawasan taman perumahan di pinggir
bandar. Sikap penduduk yang tidak memberikan kerjasama dan tidak mempunyai
semangat kejiranan menjadikan masalah ini sukar dibendung. Oleh hal demikian,
pihak berkuasa telah mengarahkan ahli Rukun Tetangga menjalankan kerja-kerja
rondaan dengan lebih kerap.
b) Keadaan hidup keluarganya amat daif. Maka itu dia terpaksa bekerja lebih keras
untuk membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.

2.4 Menunjukkan maksud ketika atau penghubung tempoh


Mengikut Raihana Hamdan, Aina Rosli, Amin Nur Aiman dan Salina Hussin (2007), dalam buku
Bahasa Melayu UPSR Teks dan Rujukan Lengkap turut mengatakan bahawa fungsi wacana
adalah merujuk kepada maksud ketika atau penghubung tempoh iaitu penghubung yang
menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian. Antara penanda
wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah seperti pertama, seterusnya, kemudian,
selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya. Antara contoh ayat yang dapat dibina dalam
wacana jenis ini ialah seperti:
a) Pertama, ibu saya sakit. Kedua, kereta saya rosak dan ketiga, hujan lebat ketika itu.
Itulah antara sebab-sebab saya tidak dapat hadir mesyuarat petang semalam.
b) Sebaik sahaja rombongan kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, kami
dibawa ke balai menunggu. Sejurus selepas itu, kami diberi taklimat ringkas oleh ketua
rombongan. Semua ahli rombongan mendengar penerangan yang disampaikan dengan
penuh minat. Selepas itu, kami diarahkan membawa bagasi ke tempat pemeriksaan.

Selain daripada yang telah dinyatakan di atas, penanda wacana yang terdapat di dalam
bahasa Melayu ialah seperti penanda permulaan karangan, penanda memulakan isi baharu,
penanda huraian isi karangan, penanda memberi contoh, penanda menutup isi, penanda menulis
dua huraian dalam satu ayat, penanda memulakan perenggan penutup, penanda menerangkan
huraian atau pendapat yang berbeza dan penanda memulakan atau memasukkan peribahasa.
Setelah diteliti kesemua fungsi wacana yang telah dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita
bahawa fungsi-fungsi wacana ini sebenarkan mempunyai makna yang berbeza antara satu
wacana dengan wacana yang lain mengikut kategori yang telah ditetapkan.

3.0 PENANDA WACANA DALAM PERENGGAN


Berikut adalah contoh-contoh perenggan yang dipilih untuk melihat penggunaan wacana
di dalam petikan:

3.1 Petikan 1
Perenggan ini adalah dipetik daripada buku Cakna Bestari terbitan Jabatan Pelajaran
Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk Mencipta Inovasi Sebagai Pendekatan Baru Menyubur
Kecerdasan Logik Matematik Berformula Pengalaman Yang Amat Bermakna, muka surat 11.
Pembelajaran dengan modul Program Asas TIP RING KONSEP K3 menulis karangan.
Semasa mengaplikasinya, saya menjelaskan makna FORMULA KONSEP K3 yang mencakupi 3
perkara, iaitu pertama pengamalan, kedua isi dan ketiga kesimpulan. Setiap karangan mesti
memenuhi disiplin 3 komponen tersebut. Komponen pengenalan mempunyai 3 ciri iaitu pertama
isu berdasarkan tajuk, kedua huraian isu dan ketiga arahan atau respons soalan daripada tajuk.
Dalam Komponen Isi, pertama murid saya perlu menyatakan isi mengikut arahan soalan, kedua
menghuraikan isi dan ketiga mereka memberi contoh yang berkaitan isi. Begitu juga pada
Komponen Kesimpulan, pertama mesti menyimpulkan tajuk berdasarkan pendapat murid, kedua
huraian cadangan terhadap isu dan ketiga jelaskan harapan kepada isu.
Berdasarkan petikan di atas, terdapat beberapa penanda wacana yang boleh dikesan
dalam ayat-ayat yang digunakan. Antara penanda wacana yang ditemui ialah seperti semasa,
pertama, kedua, ketiga , setiap, dalam dan begitu juga.
Penanda wacana atau perkataan semasa yang terdapat di dalam ayat tersebut membawa
maksud atau menunjukkan sesuatu tempoh atau ketika sesuatu perkara itu dinyatakan. Manakala
perkataan atau penanda wacana pertama, kedua dan ketiga pula membawa maksud urutan
masa atau turutan peristiwa atau kronologi sesuatu perkara yang diterangkan oleh penulis.
Manakala penanda wacana begitu juga pula membawa maksud persamaan erti dalam ayat-ayat
yang terdahulu.
Di dalam petikan tersebut, penulis kerap-kali mengulangi penanda wacana pertama,
kedua dan ketiga kerana terdapat banyak perkara yang terpaksa disentuh oleh penulis

berdasarkan formula konsep yang diperkenalkan dan perlu diterangkannya supaya pembaca
memahami dengan lebih mendalam. Penanda wacana yang digunakan oleh penulis di dalam
petikan tersebut sememangnya mudah difahami oleh pembaca dan maksud yang hendak
disampaikan adalah jelas. Namun begitu, di dalam ayat, Dalam komponen isi, adalah
tidak begitu sesuai digunakan di dalam petikan tersebut. Penulis sepatutnya menggunakan
sementara komponen isi,.. bagi menerangkan urutan penerangan yang akan disampaikan
bagi menampakkan wacana yang menarik.

3.2 Petikan 2
Perenggan ini pula adalah dipetik daripada buku Cakna Bestari terbitan Jabatan Pelajaran
Negeri Kedah (2011) di bawah tajukPusat Sumber SMK Convent Sebelum Inovasi, muka surat
51.
Kedudukan PSS SMK Convent tidak strategik kedudukannya kerana terletak di tingkat
empat bangunan belakang. Pun begitu, PSS tetap berdiri megah tanpa pelanggan.Walaupun
agak ceria dan bersih, tetapi PSS bergerak sendirian dan bersifat terasing. Selalunya jumlah
pengawas PSS lebih ramai berbanding pengunjung. Faktor koleksi buku yang tidak terkini,
pengawas PSS yang tidak cekap menjalankan tanggungjawab, ketiadaan promosi dan galakan
amalan

membaca menyebabkan PSS hanya sekadar bilik pameran tanpa pelanggan.

Malahan, PSS menjadi medan guru-guru memenuhi waktu ganti (relief). Namun begitu, muridmurid murid-murid masih menggunakan PSS hanya mengikut waktu perpustakaan sahaja dan
mereka masih tetap tidak menunjukkan minat yang mendalam untuk membaca. Hal yang
demikian ini terbukti apabila jumlah pinjaman buku sangat minimum.
Dalam petikan ke dua ini pula, penulis artikel tersebut telah menggunakan beberapa
penanda wacana yang agak berbeza daripada petikan pertama tadi. Di dalam petikan tersebut,
beberapa penanda wacana yang telah dikesan adalah seperti pun begitu, walaupun,
selalunya malahan, namun begitu dan hal yang demikian.
Penanda wacana pun begitu adalah merujuk kepada maksud pertentangan di mana
menceritakan tentang PSS yang terdapat di situ tetapi tidak ada pengunjung yang datang atas
sebab-sebab tertentu. Penanda wacana walaupun pula memberi maksud tentang pendapat yang

berbeza atau sebaliknya iaitu tentang PSS yang kelihatan ceria tetapi masih tidak dapat menarik
pengunjung datang ke situ. Perkataan kebiasaannyamembawa maksud atau memberi gambaran
tentang keseluruhan serta rumusan pendapat penulis tentang PSS yang dinyatakan itu. Sementara
itu, perkataan malahan merujuk kepada maksud penanda keterangan atau huraian kejadian
sebaliknya di mana PSS digunakan oleh guru-guru untuk berehat ketika waktu jadual ganti dan
bukannya waktu untuk mengajar. Penanda wacana hal yang demikian pula merujuk kepada
rumusan sebab di mana ia menerangkan tentang bilangan peminjam yang berkurangan walaupun
PSS kelihatan ceria.
Penulisan petikan kedua ini menampakkan satu wacana yang menarik dan pembaca boleh
memahami isi yang hendak disampaikan dengan jelas. Perkataan selalunya dilihat adalah
kurang tepat digunakan di dalam ayat dan boleh digantikkan dengan perkataan atau penanda
wacana yang lebih sesuai seperti kebiasaannya dan memperlihatkan penanda wacana yang
lebih menarik untuk digunakan.

3.3 Petikan 3
Sementara perenggan ketiga pula adalah dipetik daripada buku Cakna Bestari terbitan
Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk Nilai Membentuk Generasi Berilmu,
muka surat 82-83.
Sebenarnya, untuk mendidik dan membimbing seseorang murid mejadi tokoh NILAM
bukanlah sesuatu tugas yang ringan dan mudah. Banyak halangan dan cabaran terpaksa dihadapi.
Contohnya, daripada sepuluh orang murid yang dipilih dan dibimbing dari tingkatan satu
tersebut, mungkin hanya tiga atau empat orang sahaja yang akan kekal bersekolah hingga ke
tingkatan lima. Ada diantaranya akan bertukar ke sekolah lain selepas Peperiksaan PMR. Hal
ini demikian kerana murid yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 7A dan 8A ditawarkan
untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau melanjutkan pelajaran ke sekolah
teknik.Apabila perkara ini berlaku, ada kalanya, calon pilihan utama sekolah yang telah diberi
bimbingan dengan ilmu NILAM turut bertukar sekolah. Selain itu, cabaran terbesar adalah untuk
memilih tokoh NILAM daripada kalangan lelaki. Sudah menjadi kelaziman di negara kita,
murid perempuan lebih gemar membaca berbanding murid lelaki. Oleh itu, pihak sekolah

terpaksa berusaha gigih mancari tokoh dalam kalangan murid lelaki untuk diketengahkan sebagai
tokoh NILAM ini.Sehingga ini, kami hanya berjaya mengetengahkan hanya dua orang calon
sahaja.
Penanda wacana atau perkataan yang digunakan di dalam petikan ketiga adalah seperti
sebenarnya, contohnya,

ada diantaranya, hal yang demikian, apabila, selain

itu,sudah menjadi kelaziman, oleh itu dan sehingga itu


Penanda wacana sebenarnya membawa maksud mengesahkan atau pengeahan
sesuatu maklumat yang disampaikan. Perkataan contohnya pula adalah bermaksud untuk
memberikan contoh seuatu perkara atau benda yang hendak diterangkan dengan lebih mendalam.
Sementara perkataan hal yang demikian, sudah menjadi kelaziman dan oleh itu pula
membawa maksud sebab atau musabab atau akibat sesuatu hal dan kejadian yang berlaku.
Maksud penanda wacana bagi apabila dan sehingga itu pula merujuk kepada penanda waktu
atau tempoh masa.

Bagi penanda wacana selain itu pula membawa maksud memulakan sessuatu isi
baru dalam penulisan dan menunjukkan perbandingan sesuatu perkara. Manakala perkataan atau
penanda wacana selebihnya pula membawa maksud penghubung tambahan di dalam sesuatu
ayat dan boleh juga menunjukkan sebagai bilangan. Walaupun petikan ketiga ini nampak
sempurna, namun penulis boleh menggantikan penanda wacana ada diantaranya kepada
penanda wacana yang lebih menarik iaitu selebihnya kerana ia akan menampakkan masud
bilangan dalam wacana yang ingin diterangkan.
Daripada ketiga-tiga petikan yang telah dianalisa mengenai penanda wacananya, dapatlah
dirumuskan bahawa penanda wacana ini digunakan di dalam setiap petikan dan mempunyai
bermacam maksud mengikut konteks ayat yang dibina. Sesuatu penanda wacana tidak hanya
membawa maksud yang tetap tetapi boleh berubah mengikut situasi ayat yang dilafazkan

4.0 CADANGAN MENININGKATKAN KEMAHIRAN PENGGUNAAN WACANA DI


DALAM KALANGAN PELAJAR

Pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya, perlu didedahkan dengan lebih banyak lagi cara-cara
meningkatkan kemahiran penggunaan wacana terutamanya di dalam aktiviti penulisan.
Penggunaan wacana yang lemah akan menjejaskan hasil kualiti sesebuah karya. Menurut
Kamaruddin Hj Husin (1988) di dalam buku HBML 3203, Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa
Melayu keluaran Open University Malaysia, menjelaskan bahawa beberapa perkara perlu
diberikan perhatian oleh murid dalam usaha menghasilkan penulisan yang baik, iaitu sebelum,
semasa dan selepas menjalankan aktiviti penulisan.
Pelajar yang pintar akan membuat persediaan awal sebelum menulis sesebuah karya atau
karangan. Mereka sepatutnya melakukan banyak latihan tatabahasa terlebih dahulu dan membaca
lebih bahan-bahan tambahan seperti akhbar, majalah, buku-buku ilmiah dan sebagainya bagi
mendapatkan idea serta menambah perbendaharaan kata dan mengetahui penanda wacana yang
sesuai dan menarik untuk dimasukkan ke dalam hasil tulisan mereka nanti. Pelajar juga patut
didedahkan dengan latihan-latihan menyalin semula petikan atau perenggan yang mengandungi
penanda wacana yang baik agar mereka dapat memahami serta tahu fungsi penanda wacana yang
sesuai di dalam hasil penulisan mereka nanti.
Bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan wacana dalam kalangan pelajar ini,
guru juga sepatutnya meminta murid melengkapkan ayat atau membina ayat-ayat berdasarkan
penanda wacana yang betul. Seterusnya, murid juga perlu diberi latihan menyusun ayat
berdasarkan urutan serta meletakkan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai.
Seterusnya murid diminta untuk melengkapkan perenggan berdasarkan urutan cerita
dengan memasukkan penanda wacana yang sesuai dan betul di antara ayat atau perenggan
supaya terdapat kohesi dan koherennya.Selain itu, pelajar juga harus tahu serta mengetahui
fungsi-fungsi wacana yang hendak digunakan. Wacana yang menarik akan menjamin
kesinambungan cerita yang menarik atau kelancaran perjalanan cerita atau idea dari satu
perenggan ke satu perenggan.

Bagi menghasilkan sesebuah karya yang baik dan menarik, pelajar mestilah menjadikan
kamus sebagai kawan rapat. Sentiasa merujuk kamus untuk mengetahui erti atau makna
perkataan sukar atau perkataan baru yang akan digunakan di dalam penulisan. Gunakan wacana
yang betul dan tepat apabila menulis dan dilarang sama sekali menggunakan wacana yang
dianggap sedap bunyinya tetapi tidak diketahui makna dan salah penggunaannya.
Setelah pelajar pasti karya yang ditulis telah selesai, pelajar diminta membaca dan menyemak
semula hasil penulisan mereka. Ini merupakan penilaian kendiri terhadap hasil penulisan
tersebut. Penekanan perlu diberikan kepada format, isi atau huraian, imbuhan yang bersesuaian,
struktur ayat, tanda baca serta perbendaharaan kata yang betul. Penanda wacana yang digunakan
perlulah diteliti dengan betul agar penggunaannya tepat pada tempat yang betul. Jangan sesekali
menggunakan tanda soal di dalam wacana. Baiki segera kelasahan atau membuat penambaikan
jika terdapat kekurangan dalam hasil penulisan tersebut.
Jika pelajar dapat memenuhi kesemua cadangan yang dikemukan seperti di atas, pelajar tidak
perlu rasa bimbang kerana kemungkinan hasil sesebuah karya yang dibuat telah menepati apa
yang diminta. Cadangan di atas telah dinyatakan oleh beberapa orang pemeriksa kertas yang
berpengalaman. Tetapi, jika cadangan ini tidak diambil pusing oleh pelajar, besar kemungkinan
hasil penulisan akan menjadi lemah dan menyebabkan pelajar tidak memperolehi markah yang
tinggi seperti yang diharapkan.

5.0 KESIMPULAN
Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unik kerana ayat-ayat yang
digunakan mempunyai tautan antara satu ayat dengan ayat yang lain (kohesi) dan mempunyai
perkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain (koheren). Daripada pernyataan
inilah yang membuatkan sesebuah karya bahasa Melayu menjadi hebat. Bagi melahirkan karya
Bahasa Melayu, ianya bukanlah sesuatu yang sukar tetapi sekiranya seseorang penulis itu tahu
menggunakan wacana yang baik dan tepat, sudah pasti hasilnya juga akan hebat. Semasa
berbahasa, sama ada tulisan ataupun lisan mestilah mempunyai kesinambungan antara satu idea
dengan satu idea yang lain atau memperlihatkan wacana yang berkesan agar pendengar atau
pembaca memahami isi atau hujah yang ingin dan akan disampaikan.
Wacana yang baik mestilah mempunyai beberapa perkara seperti kohesi dan koheren
yang dinyatakan di atas dan termasuklah tahu akan fungsi wacana itu sendiri. Penanda wacana
tidak boleh digunakan pada tempat-tempat sembarangan, kerana kesalahan penggunaan penanda
wacana akan menjejaskan atau merosakkan maksud sesuatu hujah yang ingin disampaikan.
Pendengar atau pembaca akan keliru atau tidak memahami idea yang ingin disampaikan itu.
Setelah diteliti dengan mendalam, bolehlah dikatakan bahawa penanda wacana di dalam
bahasa Melayu ini mempunyai banyak kepentingannya dalam menghasilkan sesebuah karya
ataupun penulisan. Seseorang penulis haruslah tahu menggunakan dan faham akan kepentingan
wacana itu sendiri kerana aspek penanda wacana akan mempengaruhi cara pengolahan serta
penyusunan struktur ayat, pembahagian perenggan, penggunaan kosa kata dan penggunaan
bahasa secara keseluruhan. Pelajar seharusnya didedahkan dengan penggunaan penanda wacana
yang betul sejak awal lagi agar mereka tidak kekok dan dapat menggunakannya dengan berkesan
di masa hadapan. Hal ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak jika kita ingin
melahirkan seorang penulis atau karyawan yang berkaliber suatu hari nanti kerana semuanya
bermula dengan wacana yang berkesan.

6.0 RUJUKAN
i.

Asmah Haji Omar. (2011). Nahu Melayu Kemas kini. Kuala Lumpur: PTS
Profesional Publishing Sdn Bhd.

ii.

Fatimah Busu. (2003). Memupuk Bakat dan Minat Penulisan Kreatif. Teori dan
Proses. Kuala Lumpur: PTS Publication.

iii.

Juriah Long, Raminah Sabran, Sofiah Hamid. (1990). Pendekatan Mengajar


Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

iv.

Kamaruddin Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman Malaysia.

v.

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan. (1994). Nahu Melayu Moden. Kuala
Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

vi.

Nik Safiah Karim et al. (2011). Tatabahasa Dewan Edisi Baru. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai