Anda di halaman 1dari 5

Tajuk: Chempaka

Chempaka melangkah dengan penuh hati-hati. Kotak buku yang dibawa terasa semakin berat di
tangan. Menyesal tak bawak troli!
Dia memandang ke sekitarnya. Walaupun masih banyak kereta di tempat parkir itu, tetapi tidak
ramai yang berada di situ. Mungkin kebanyakannya masih di dalam, sedang seronok mengulit buku-buku
murah di jualan buku Big Bad Wolf yang baru empat hari berlangsung.
Sepatutnya tunangnya Shakir pun turut sama datang tadi. Kalau diikutkan Shakir yang lebih 'ulat
buku' darinya. Tapi setengah jam sebelum masa mereka berjanji bertemu di MIECC tempat pesta Big
Bad Wolf itu berlangsung, Shakir tiba-tiba menghubunginya. Menurutnya ada kecemasan di kilang
tempat dia bekerja. Dan seperti kebiasaannya, dia perlu turun untuk melihat serta memperbaiki mesin
yang rosak dan sebagainya. Ketika itu Chempaka sudahpun menyusuri Lebuhraya SILK menuju ke Seri
Kembangan.
Kalau ada Shakir, mesti dia boleh tolong bawak kotak ni. Sekali lagi Chempaka bersungut dalam
hati. Dalam keadaan hati panas pun masih boleh borong satu kotak besar buku. Seleksi yang bagus serta
harga yang berpatutan, siapa yang tak suka? Rasanya lebih 30 buah buku yang diborong, dari novel,
buku masakan, buku hiasan dalaman dan buku-buku motivasi. Ada yang dibeli untuk diri sendiri, ada
untuk Shakir. Yang paling seronok pastilah buku masakan, sebab hobi Chempaka memang memasak.
Ada buku yang sebelum ini mencecah ratusan ringgit di kedai buku biasa dijual semurah RM 30.
Memang rambang mata dibuatnya.
Langkahnya menghampiri Perodua Kelisa warna biru miliknya. Butang penggera pada kunci yang
sejak tadi dipegang di tangan segera ditekan dan bunyi kunci terbuka kedengaran. Chempaka membuka
pintu belakang dan memasukkan kotak kadbod warna coklat itu ke dalam. Kemudian dia berdiri dan
meregangkan lengan yang terasa lenguh kerana mengangkut kotak itu dari depan pintu keluar.
Jam di tangan menunjukkan pukul 3.18 pagi. Masa pada tiket parkir menunjukkan pukul 11:29
malam. Lebih 3 jam rupanya dia berada di situ. Kalau pergi siang pun ramai orang. Ingatkan malam
kurang sikit tapi makin ramai rupanya.
Chempaka segera meloloskan diri masuk ke dalam kereta. Hari sudah lewat dan matanya
semakin mengantuk. Selepas menghidupkan enjin, dia menolak tombol gear ke kedudukan R dan mula
menggerakkan keretanya keluar dari petak parkir. Kemudian dia meneruskan perjalanan pulang ke
rumahnya yang terletak di Kajang.
***
Chempaka meletakkan kotak yang sarat berisi buku ke atas lantai sepantas yang dia boleh.
Belakangnya sudah sakit kerana terpaksa membawa beban yang berat itu menaiki tangga menuju ke
apartmennya yang terletak di tingkat 10. Kotak berisi lebih 20 buah buku tu terasa jauh lebih berat dari

tubuh langsingnya sendiri. Entah apa celakanya, lif apartmen tiba-tiba rosak malam ini sedangkan
semasa dia keluar dari rumah pukul 9:30 malam tadi lif itu masih berfungsi dengan baik.
Sepanjang perjalanan tadi entah kenapa dia rasa seperti diekori. Berkali-kali dia mengintai di
cermin pandang belakang tetapi tiada sebarang kenderaan mencurigakan yang mengekorinya. Namun
hatinya tetap rasa tidak sedap. Bulu tengkuknya meremang. Niatnya untuk singgah di McDonalds
membeli sarapan awal pagi terpaksa diurungkan. Dia mengambil keputusan untuk segera pulang ke
rumah.
Dia melabuhkan punggungnya ke sofa. Matanya tertumpu pada kotak berisi buku-buku yang
dibelinya sebentar tadi. Hatinya tiba-tiba tertarik pada sebuah buku berukuran sederhana. Buku itu
dicapainya. Dia tidak ingat langsung ada membeli buku seperti itu.
Buku berkulit tebal itu dibelek-belek. Kelihatannya seperti sebuah naskhah lama. Kulitnya tebal
dibaluti kulit berwarna coklat gelap. Lembut seperti baldu. Kertas di dalamnya berwarna kekuningan.
Buku itu diselak, menyerlahkan isi kandungannya dalam bahasa yang langsung tidak difahami oleh
Chempaka.
Mukasurat pertama diselak. Tulisan yang tercatat dibaca dengan suara perlahan. Gegarining
wong akrami. Dudu bandha dudu rupa. Amung ati pawitan. Luput pisan kena pisan. Lamun gampang
luwih gampang. Lamun angl, angel kalangkung Ish. Apa yang aku baca ni? bisiknya pada diri sendiri.
Mukasurat seterusnya diselak.
Dia terhenti di satu halaman yang memaparkan lukisan sepasang suami isteri dan anak mereka.
Sang suami memiliki dua wajah. Sebelah kacak bergaya, sebelah lagi amat buruk dan hodoh rupanya.
Sang isteri berwajah jelita tetapi yang paling menakutkan adalah wajah anak kecil dalam gendongan
wanita itu. Wajahnya seiras wajah hodoh bapanya. Kulitnya menggerutu, kepalanya botak dan matanya
terjojol. Giginya tajam dan kukunya seperti kuku binatang. Tetapi saiznya tidak ubah seperti anak
manusia yang masih bayi,
Chempaka segera mencampakkan buku itu kembali ke dalam kotak. Dia menggigil sedikit.
Seram. Perasaan tidak enak kembali bergayut di tangkai hatinya. Dia cepat-cepat melangkah masuk ke
dalam biliknya. Pintu dikunci. Lampu dinyalakan. Tanpa menukar pakaiannya, Chempaka terus
merebahkan diri ke tilam empuknya. Beberapa saat kemudian, dia terlena.
***
Bunyi penggera mengejutkan Chempaka dari tidurnya. Dia mencapai telefon bimbitnya yang
selalunya diletakkan di meja sisi katilnya sebelum tidur. Dia menekan paparan Dismiss di layar sentuh
telefon pintar itu sebelum meletakkannya kembali di atas meja. Dia bangkit sambil menggeliat.
Perbuatannya menyebabkan selimut yang menutupi tubuhnya terlurut, mendedahkan sebahagian
tubuhnya yang tidak berbalut seurat benang pun.
Chempaka mengerutkan keningnya. Bila aku bukak baju? Seingatnya dia tidur dengan pakaian
lengkap awal pagi tadi. Dia menjenguk ke bawah katil, pakaiannya bertaburan di lantai. Dia termenung

seketika, cuba mengingatkan. Tapi selepas beberapa minit berfikir, dia gagal menemui jawapan selain
dari kemungkinan dia membuka pakaiannya sendiri dalam keadaan mengantuk semalam.
***
I risaulah B. Dah tiga malam berturut-turut tau, ujar Chempaka sambil menyibak rambutnya
yang separas bahu itu ke belakang. Ketika itu dia dan Shakir sedang duduk di kedai makan berhampiran
dengan apartmennya. Nasi paprik daging di depannya hampir tidak luak. Seleranya sudah beberapa hari
tumpul.
You mengigau kot, ujar Shakir acuh tak acuh. Matanya tertumpu pada novel duet karangan
Faizal Sulaiman dan Syaihan Syafiq di tangan kirinya. Dia sudah lama menghabiskan mihun goreng di
dalam pinggannya.
Takkan lah mengigau sampai bukak baju seluar semua sekali. You tak rasa pelik ke B?
Shakir mengangkat muka. Habis? You nak I buat apa? Temankan you tidur?
Gila! cemuh Chempaka. Dia menarik muka masam.
Shakir meletakkan buku yang dipegangnya ke atas meja. Dia mencapai kedua tangan Chempaka
di atas meja dan digenggam erat. Jangan risaulah B. Takde apa tu OK? You penat sangat kot sampai
mengigau, pujuknya lembut. Malam ni sebelum tidur, you baca doa, ayat kursi, 3 Qul semua tu lah. So
takdelah you mengigau ke apa. OK?
Chempaka ukir senyum tawar pada Shakir. Walaupun sebenarnya hatinya tidak seratus peratus
lega.
* * *
Malam kembali menjelang. Chempaka sudah duduk di tepi katil. Malam itu dia sengaja memakai
baju berlapis-lapis. Suhu pendingin hawa direndahkan supaya dia tidak ada keinginan untuk membuka
pakaian. Mulutnya sedang terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci yang diingatinya. Tapi dia gagal
mengingat ayat kursi yang sebelum ini dihafalnya. Bacaannya tunggang terbalik, tak tahu yang mana
hujung yang mana pangkal.
Selesai membaca Al-Fatihah untuk kali ke tujuh, dia berbaring di atas katilnya. Alat kawalan jauh
pendingin hawa di atas meja sisi dicapai dan di turunkan lagi suhunya mencecah 16 darjah Celcius.
Kemudian selimut ditarik sampai ke dagu. Matanya tiba-tiba terasa sangat mengantuk. Dia sempat
menjeling ke pintu biliknya. Bertutup rapat. Dia harap tidak akan ada apa-apa yang berlaku malam ini.
Tiba-tiba dia tersedar. Dia berada di dalam sebuah pondok kosong yang berlantai buluh dan
berdinding nibung. Chempaka bingkas bangun. Dia masih memakai pakaian yang dipakainya tadi. Baju
yang berlapis-lapis. Terasa agak panas tetapi dia tidak mahu menanggalkan pakaiannya. Dia teringat
perbualannya dengan Shakir sebentar tadi. Aku mengigau ke ni?

Dia bangun dari tempat pembaringannya dan keluar dari pondok kecil itu. Pondok kecil itu
terletak dalam suatu kawasan hutan yang dia tak tahu di mana tempatnya. Keadaan sekeliling sunyi,
hanya kedengaran bunyi burung dan unggas-unggas rimba. Chempaka memandang sekeliling, terpesona
dengan keindahan kawasan hutan itu. Dia tidak perasan ada sepasang mata sedang memerhatikannya
dari kejauhan.
Chempaka!
Chempaka menoleh. Seorang pemuda berwajah kacak menghampirinya. Dia terasa seperti
pernah melihat pemuda itu, tetapi entah di mana. Pemuda itu tersenyum padanya. Pemuda itu
berpakaian seperti pelakon drama Pendekar yang selalu ditonton Chempaka pada tahun 90an dulu. Baju
melayu, sampin dan tengkolok. Kesemuanya diperbuat dari kain kapas warna kuning.
Aku sudah lama menantimu Chempaka, ujar lelaki itu. Suaranya seperti bergema di
pendengaran Chempaka.
Kau siapa? soal Chempaka kembali.
Kau tak kenal aku? Aku tunangmu. Ruthlan. Apa kau sudah lupa?
Chempaka mengedipkan mata beberapa kali. Dia melihat persalinan di tubuhnya. Sudah
berubah menjadi baju kurung kain kapas warna kuning. Tangannya merah berinai. Dia kembali
memandang wajah tampan Ruthlan yang sedang menghulurkan tangan padanya.
Cepatlah Chempaka. Mereka menunggu kita. Sebentar lagi pernikahan kita akan dilangsungkan.
Mari?
Tapi
Wajah Ruthlan yang tadinya tersenyum manis berubah serius. Chempaka, kau sudah berjanji!
Janji?
Aku sudah memilihmu. Dan kau sudah berjanji mahu menjadi isteriku.
Segera huluran tangan Ruthlan disambut. Mereka beriringan meninggalkan pondok itu, terus
merentasi hutan di hadapan. Lebih kurang setengah jam kemudian, mereka sampai di sebuah kawasan
lapang. Ramai orang berkumpul di situ. Chempaka menundukkan kepala. Dia berasa segan kerana
semua mata seperti sedang memandang ke arahnya.
Mereka berhenti di hadapan seorang lelaki berjanggut panjang warna hitam mencecah pusat.
Kulitnya menggerutu, kepalanya ditutup sehelai kain berwarna hitam, sewarna dengan baju melayu
yang dipakainya. Hidungnya besar, giginya panjang dan tajam. Chempaka tergamam dan langsung tidak
berkata apa-apa ketika lelaki itu mengulangi ayat yang pernah dibacanya dalam naskhah pelik itu.
Kamu sekarang suami isteri, ucap lelaki itu kemudian sebelum berpaling dan kemudiannya
berjalan meninggalkan mereka di situ.

Isteri? Chempaka kembali memandang Ruthlan. Dia terpempan tatkala melihat wajah kacak itu
tadi sudah berubah menjadi hodoh. Kulit menggerutu. Kepala botak. Matanya terjojol. Giginya tajam
dan kukunya seperti kuku binatang buas. Chempaka tunduk melihat kedua tangannya. Corak inai yang
dilihatnya tadi rupanya lelehan darah dari tubuhnya sendiri.
* * *
Aarrrghhh!
Chempaka terjaga dari tidurnya dan terus bingkas duduk. Dia melihat kedua tangannya. Bersih
tanpa sebarang kesan darah. Dia masih memakai pakaian yang sama dipakainya malam tadi. Baju tidur
berlapis-lapis. Chempaka memandang ke luar. Hari sudah mulai cerah. Ah, syukurlah hanya mimpi!
Dia menggigil sedikit bila teringatkan wajah hodoh Ruthlan dalam mimpinya. Dia tidak pernah
bermimpi pelik sebegitu, malah dia sendiri pun tak percayakan hantu. Debaran dadanya yang kencang
tadi sudah mula berkurangan. Chempaka menarik nafas lega.
Dia bangun dari katil untuk mandi dan bersiap ke tempat kerja. Sebaik selimut yang menutupi
tubuhnya disibak ke tepi, mata Chempaka tertumpu pada perutnya yang tiba-tiba kelihatan membuncit.
Tekaknya tiba-tiba terasa loya. Dan dia tidak tahu samada mahu menjerit atau mahu pengsan bila dia
merasa seperti ada sesuatu yang sedang menendang-nendang perutnya dari dalam.

[1685 patah perkataan]

Anda mungkin juga menyukai