Anda di halaman 1dari 15

da dua sahaja iaitu hari raya fitrah ( ) pada 1 Syawal dan hari raya korban ( ) pada 10

Dzul-Hijjah. Dalilnya ialah hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah
(selepas hijrahnya), penduduk Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya
dengan mengadakan permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; Hari apakah yang kamu
sambut ini?. Mereka menjawab; Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan
permainan) pada masa jahiliyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka;
:

Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu
sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya fitrah. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan
sanad yang soheh)
Kenapa hari raya dinamakan Id ( )dalam bahasa Arab?
Al-Id ( ) adalah pecahan dari kalimah al-aud ( ) yang bermaksud kembali. Dinamakan hari raya
dengan nama demikian kerana ia kembali (yakni berulang-ulang) pada setiap tahun atau kerana
kegembiraan akan datang kembali dengan munculnya hari raya pada setiap tahun.
Apa yang sunat dilakukan pada malam hari raya?
Disunatkan menghidupkan malam dua hari raya (yakni hari raya fitrah dan hari raya korban) dengan
ibadah sama ada mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana
terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;



Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya tidak akan mati
hatinya pada hari mati hati-hati. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ubadah r.a.)
Yang dimaksudkan mati hati ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya
ialah menjadi kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.
Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam
tersebut adalah mustajab. Imam Syafiie berkata di dalam kitabnya al-Umm; Telah sampai kepada kami
bahawa dikatakan; Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat,
malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaban.
(Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426, al-Majmu, 5/47).
Adakah harus berpuasa pada hari raya?
Diharamkan berpuasa pada hari raya sama ada hari raya fitrah atau hari raya korban. Ini kerana hari raya
adalah hari menikmati makanan dan minuman. Terdapat hadis dari Abu Hurairah r.a. yang
menceritakan;

:
-

:-
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menegah dari berpuasa pada dua hari; hari raya korban dan hari raya
fitrah (Riwayat Imam Muslim).
Apakah amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari raya?
1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah
Pada hari raya kita digalakkan bersungguh-sungguh membesarkan Allah dengan melaungkan takbir,
tahlil, tahmid dan tasbih. Sabda Nabi s.a.w.;



Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis. (Riwayat Abu Naim dari Anas
r.a.)
Ini menjadi petanda kepada kita bahawa hari raya di dalam Islam adalah hari untuk mengagungkan
Tuhan dan menzahirkan syiar agama, bukan hari untuk berseronok dan bersuka-ria semata-mata.
Takbir pada hari raya ada dua jenis;
a) Takbir Mursal atau Muthlaq ( ) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di
mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di
rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.
b) Takbir Muqayyad ( )iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja.
Kedua-dua jenis takbir ini akan kita huraikan di hujung nanti di bawah tajuk khusus.
2. Mandi sunat
Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari
raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di
mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi yang menceritakan;

Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya. (Riwayat
Imam Malik dalam al-Muwatta. Menurut Imam Nawawi; atsar ini adalah soheh)
Begitu juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat. Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau
mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut
adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat.
Menurut Imam Ibnu Rusyd; sunat mandi hari raya adalah ijma ulamak. (Lihat; Bidayatul-Mujtahid, jil. 1,
hlm. 283).

Bilakah masanya untuk mandi?


Masuknya waktu disunatkan mandi ialah apabila tiba tengah malam. Berkata Imam al-Muzani; Aku
menyukai agar mandi hari raya itu dilakukan selepas terbit fajar (al-Majmu, 5/10).
3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.
Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a. cucu Rasulullah- yang menceritakan; Rasulullah s.a.w.
memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi,
berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban
dengan binatang paling gemuk yang kami miliki. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).
Berkata Imam Ibnul-Qayyim; Nabi s.a.w. memakai untuk dua hari raya pakaian baginda yang paling
cantik. Baginda mempunyai jubah khusus yang dipakai baginda untuk dua hari raya dan juga hari
jumaat.
Adakah berwangian dan berbaju baru itu hanya disunatkan untuk orang yang ingin keluar
mengerjakan solat hari raya sahaja?
Tidak. Ia disunatkan kepada semua orang termasuk yang tinggal di rumah kerana hari raya adalah hari
perhiasan () . Bagi yang memiliki hanya satu pakaian, ia disunatkan membasuh pakaian itu untuk
hari raya sebagaimana juga hari jumaat.
4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya
Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum
wanita (sama ada tua atau muda, yang berkahwin atau belum berkahwin, yang suci atau dalam haid)
untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah dan berdoa. Ummu Athiyyah r.a. menceritakan;
Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat)
sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami
dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuanperempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang
ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta
mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya (Riwayat Imam Bukhari).
Di mana ditempatkan wanita yang dalam haid?
Wanita yang kedatangan haid, mereka hendaklah ditempatkan di bahagian belakang orang ramai dan
dipisahkan dari tempat sembahyang atau masjid. Menurut Imam Nawawi; kedudukan mereka hanya
setakat pintu masjid sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w.; Adapun wanita-wanita yang haid, maka mereka
hanya turut sama menghadiri perhimpunan kaum muslimin dan doa mereka dan mereka duduk terpisah

dari tempat sembahyang orang ramai. (Riwayat Imam Bukhari dari Ummu Athiyyah r.a.)
Dalam riwayat yang lain; Dan wanita-wanita haid hendaklah berada di belakang orang ramai di mana
mereka bertakbir bersama mereka (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari Ummu Athiyyah r.a.).
Adakah harus wanita keluar dengan bersolek?
Tidak harus kaum wanita keluar dengan bersolek, bertabarruj dan berwangian. Sabda Rasulullah s.a.w.;
Janganlah kamu menegah hamba-hamba Allah yang perempuan (yakni kaum muslimat) dari
mendatangi rumah-rumah Allah. Namun hendaklah mereka keluar dalam keadaan tidak berwangian.
(Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Adakah harus keluar jika dikhuatiri mendatangkan fitnah? Bagaimana dengan wanita yang dalam
eddah kematian suami?
Tidak harus mereka keluar jika dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah. Begitu juga, tidak harus keluar
wanita yang masih berada dalam iddah kematian suaminya.
Adakah kanak-kanak juga sunat dibawa bersama?
Ya, sunat membawa bersama kanak-kanak yang telah mumayyiz.
5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)
Disunatkan hadir ke masjid atau tempat solat awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia
disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan.
Imam disunatkan hadir lebih awal untuk memimpin solat- pada hari raya korban supaya solat dapat
dilakukan lebih awal dan dengan itu dapat memanjangkan waktu untuk melaksanakan ibadah korban
(kerana binatang korban sunat disembelih selepas imama selesai dari solat hari raya). Adapun pada hari
raya fitrah, imam disunatkan melewatkan sedikit hadir untuk memimpin solat bagi memberi lebih masa
kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum
solat hari raya).
6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)
Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar ke masjid atau tanah lapang
bagi menunaikan solat. Sebaik-baiknya memakan buah tamar dan dengan bilangan yang ganjil. Adapun
pada hari raya korban disunatkan menahan diri dari makan sehinggalah pulang dari menunaikan solat
hari raya.
Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya r.a. (seorang sahabat) yang menceritakan; Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak

makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan atTirmizi. Hadis ini adalah hasan menurut Imam Nawawi)
Anas r.a. juga menceritakan; Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan
setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang
ganjil. (Riwayat Imam Bukhari)
7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang
Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila
pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu Umar r.a.
menceritakan; Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan
pulang dengan berjalan kaki. (Riwayat Imam Ibnu Majah)
Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.; Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan
yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain). Dari Ibnu
Umar r.a.; Sesungguhnya Rasulullah pada hari raya melalui satu jalan (ketika keluar menunaikan solat
hari raya), kemudian baginda pulang dengan melalui jalan yang lain. (Riwayat Imam Abu Daud dan alHakim)
Antara hikmahnya menurut ulamak ialah; supaya kedua-dua jalan serta penduduk sekitarnya dari
kalangan manusia dan jin menjadi saksi kepada baginda dan juga untuk menzahirkan syiar Islam.
8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.
Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya dikerjakan. Ibnu Umar r.a.
menceritakan; Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar
pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Mengeluarkan zakat fitrah selepas selesai solat hukumnya adalah makruh di sisi imam mazhab empat.
Malah ada pandangan menyatakan; haram.
9. Menyembelih korban (bagi hari raya korban)
Digalakkan menyembelih korban pada hari raya korban dengan seekor kambing atau sebagainya bagi
orang-orang yang mampu.
Barra bin Azib r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami pada hari raya
korban di mana baginda bersabda; Sesungguhnya perkara pertama untuk kita memulakan hari kita ini
ialah dengan kita menunaikan solat (yakni solat hari raya), kemudian kita pulang dan berikutnya kita
menyembelih korban.. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
10. Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman

Digalakkan pada hari raya mengucapkan tahniah sempena kedatangan hari raya, melahirkan rasa
gembira dan seronok dan bersalam-salaman sesama kaum muslimin. Mengucapkan tahniah
bersempena kedatangan hari raya adalah amalan para sahabat, oleh itu ia disyariatkan. Al-Hafidz ibnu
Hajar berkata; kami meriwayatkan dengan sanad yang baik (hasan) dari Jubair bin Nufair yang
menceritakan; Adalah para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila saling bertemu pada hari raya, maka
berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain; Semoga Allah menerima dari kami dan dari
kamu. (Fathul-Bari ala Soheh al-Bukhari)
Adapun galakan bersalam-salaman adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda; Tidak
ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan
diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas
r.a. dengan sanad yang soheh menurut Imam Nawawi)
Mengenai galakan menzahirkan kegembiraan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan;
Senyumanmu di hadapan wajah saudara kamu adalah sedekah bagimu. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari
Abu Zarr r.a.)
Adakah harus mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas menunaikan solat hari raya?
1. Bagi imam, dimakruhkan melakukan sebarang solat sunat sebelum dan selepas mengerjakan solat
hari raya kerana berlawanan dengan sunnah Nabi s.a.w.. Ibnu Abbas r.a. menceritakan; Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. keluar pada hari raya korban dan hari raya fitrah, lalu baginda menunaikan solat sunat
hari raya dua rakaat. Baginda tidak mengerjakan sebarang solat sebelumnya dan begitu juga
selepasnya. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Malah apabila ia sampai di masjid tidak perlu ia menunaikan solat tahiyyatal-masjid, akan tetapi terus
memimpin solat hari raya. Solat tahiyyatal-masjid dengan sendirinya terhasil bersama solat hari raya itu.
2. Adapun selain dari imam, tidaklah dimakruhkan mengerjakan solat sunat sebelum atau selepas solat
hari raya. Ini kerana waktu tersebut bukanlah waktu yang ditegah mengerjakan solat. Selain itu,
terdapat riwayat dari Abu Barzah yang menceritakan bahawa Anas r.a., al-Hasan r.a. dan Jabir bin Zaid
r.a. mengerjakan solat pada hari raya sebelum keluarnya imam.
Adakah harus bergembira pada hari raya?
Harus, malah disunatkan, akan tetapi hendaklah tidak membabitkan perkara-perkara yang haram. Di
dalam hadis Anas r.a. tadi diceritakan; tatkala Nabi s.a.w. tiba di Madinah (selepas hijrahnya), penduduk
Madinah mempunyai dua hari kebesaran di mana mereka menyambutnya dengan mengadakan
permainan-permainan. Lalu baginda bertanya mereka; Hari apakah yang kamu sambut ini?. Mereka
menjawab; Dua hari yang kami biasa menyambutnya (dengan mengadakan permainan) pada masa
jahiliyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda kepada mereka; Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk
kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu; hari raya korban dan hari raya

fitrah. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai dengan sanad yang soheh).
Di kitab Subulus-Salam, Imam As-Sonani menyimpulkan berdasarkan hadis di atas; hadis ini menjadi
dalil bahawa menzahirkan kegembiraan-kegembiraan ketika hari raya adalah disunatkan dan ia antara
syariat Allah kepada hambaNya. Ini kerana yang digantikan hanyalah hari raya. Adapun adat sambutan
yang dilakukan oleh mereka iaitu mengadakan permainan-permainan (untuk menzahirkan keseronokan
dan kegembiraan) tidak disentuh oleh Rasulullah s.a.w.. Ini menunjukkan ia adalah harus pada hari raya.
Namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur yang dilarang oleh Syarak dan tidak memalingkan dari
ketaatan. (Subulus-Salam, jil. 1, bab. Solatul-Idaian).
Adakah harus mendengar nyanian dan berhibur pada hari raya?
Ya, harus dengan syarat nyanyian dan hiburan yang bersih dari maksiat dan munkar. Syeikh Ali asShobuni berkata; Oleh kerana har-hari raya adalah hari keseronokan dan kegembiraan bagi kanakkanak dan orang dewasa, lelaki dan juga wanita, maka Syarak telah mengharuskan hiburan yang bersih
dan permainan yang tidak ada sebarang unsur maksiat padanya, bertujuan untuk menimbulkan
kegembiraan dalam hati sekelian manusia, supaya mereka merasai kebesaran hari raya dan
keindahannya.
Saidatina Aisyah r.a. menceritakan; Abu Bakar masuk kepadaku sedang bersamaku dua orang budak
perempuan Ansar yang sedang menyanyi dengan syair/ungkapan yang saling diucapkan (antara dua
puak) Ansar (yakni Aus dan Khazraj) dalam peperangan Buats. Aisyah menerangkan; mereka berdua
bukanlah penyanyi. (Melihat hal tersebut), Abu Bakar lantas berkata; Apakah serunai-serunai syaitan di
rumah Rasulullah?. Hari itu adalah hari raya. Maka Rasulullah s.a.w. berkata; Wahai Abu Bakar,
sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita. (Riwayat Imam Bukhari
dan Muslim)
Takbir pada hari raya
Apakah dalil disunatkan bertakbir pada hari raya?
Diantara dalilnya ialah riwayat dari Ummu Athiyyah r.a. yang menceritakan; Kami (para wanita)
diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis
dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka
bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut
sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka
dan berdoa bersama bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut
dan kesuciannya. (Riwayat Imam Bukhari)
Siapakah yang disunatkan bertakbir?
Disunatkan bertakbir pada hari raya bagi lelaki dan perempuan, kanak-kanak (yang mumayyiz) dan
orang dewasa, orang dalam negeri atau sedang bermusafir. Termasuklah wanita-wanita yang haid atau

lelaki-lelaki yang berjunub. (al-Majmu, 5/42).


Ketika bertakbir, adakah disunatkan meninggikan suara?
Ketika mengucapkan takbir disunatkan dengan suara yang tinggi untuk menzahirkan syiar agama.
Diriwayatkan dari Nafi yang menceritakan;

Adalah Ibnu Umar r.a. bertakbir pada hari raya korban dan juga hari raya fitrah; ia bertakbir dan
meninggikan suaranya. (Riwayat Imam ad-Daruqutni dan al-Baihaqi)
Namun dikecualikan kaum wanita; mereka hendaklah bertakbir dengan suara perlahan. Dalam kitab
Kifayatul-Akhyar, pengarangnya menjelaskan; Disunatkan mengangkat suara dengan takbir bagi para
lelaki sahaja, tidak bagi perempuan. (Lihat halaman 151)
Berapa jenis takbir hari raya?
Takbir pada hari raya ada dua jenis;
1. Takbir Mursal atau Muthlaq ( ) iaitu takbir yang tidak terikat dengan sesuatu keadaan di
mana ia dilaungkan dengan suara yang kuat di jalan-jalan raya, di masjid-masjid, di pasar-pasar, di
rumah dan sebagainya di waktu siang atau malam.
2. Takbir Muqayyad ( )iaitu yang dilaungkan selepas menunaikan solat sahaja (sama ada solat
fardhu, jenazah atau solat-solat sunat).
Bilakah bermulanya takbir mursal dan bila pula berakhir?
Takbir mursal atau muthlaq bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada
hari raya fitrah atau hari raya korban), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat
takbir bagi menunaikan solat hari raya. Firman Allah;


dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir
membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185)
Berkata para ulamak; ayat di atas menjadi dalil disunatkan melaungkan takbir pada hari raya fitrah dan
dikiaskan kepadanya hari raya korban.
Bilakah bermulanya takbir muqayyad dan bila berakhir?
a) Bagi hari raya korban, takbir muqayyad bermula bermula dari solat subuh hari Arafah (iaitu tanggal 9
Dzulhijjah) hinggalah selepas solat asar pada hari Tasyrik terakhir (yakni hari raya ke empat).

Diriwayatkan dari Ali dan Ammar r.a. yang menceritakan; Sesungguhnya Nabi s.a.w. bertakbir bermula
dari hari Arafah (selepas) solat subuh dan memutuskannya (yakni berhenti bertakbir) selepas solat asar
hari terakhir Tasyriq. (Riwayat Imam al-Hakim. Menurut Imam al-Hakim; hadis ini sanadnya soheh)
b) Bagi hari raya fitrah, bermula dari solat maghrib pada malam hari raya dan berakhir selepas solat
subuh pada pagi hari raya.
Adakah takbir hari raya dilaungkan selepas zikir solat atau sebelumnya?
Melaungkan takbir didahulukan dari membaca zikir-zikir selepas sembahyang bagi takbir muqayyad.
Adapun takbir mursal, membaca zikir-zikir selepas solat didahulukan dari melaungkannya. (Lihat; alKifayah Li Zawil-Inayah, hlm. 85)
Apakah lafaz takbir yang sunat dilaungkan?
Ada dua pandangan ulamak;
Pandangan pertama (Imam Ahmad); Lafaznya ialah;

Iaitu lafaz takbir ( ) hanya disebut dua kali sahaja. Lafaz ini berdalilkan riwayat dari Ibnu Umar r.a.
dan Ibnu Masud r.a.. Imam Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Abi al-Aswad yang menceritakan;
Adalah Abdullah bin Masud r.a. bertakbir bermula dari solat subuh hari Arafah hingga ke solat Asar
hari an-Nahr (yakni hari raya korban) dengan melafazkan;

(Menurut Syeikh Syuaib al-Arnaudh dan Syeikh Abdul-Qadier al-Arnaudh; para perawi hadis ini adalah
tsiqah. Lihat; Zadul-Maad, jil. 1, hlm. 449, fasl Hadyihi s.a.w. fil-Idain).
Pandangan kedua (mazhab Syafiie); lafaznya ialah;

Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha
besar. Allah maha besar. Milik Allah lah segala puji-pujian.
Iaitu lafaz takbir ( ) disebut tiga kali. Mengucapkan takbir tiga-tiga kali menurut Imam Abi Ishaq asSyirazi adalah berdalilkan riwayat dari Ibnu Abbas r.a. (al-Muhazzab, bab at-Takbir). Berkata Imam Ibnu
Hajar; Sesungguhnya Ibnu Abbas dan Jabir bertakbir tiga-tiga kali sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Imam ad-Daruqutni dengan sanad yang dhaif. Dan telah berkata Imam Ibnu Abdil-Barr; Terdapat
riwayat yang sahih dari Umar, Ali dan Ibnu Masud bahawa mereka melaungkan takbir tiga-tiga kali iaitu
( ) . (Lihat; tahqiq/ulasan Dr. Mahmud Matraji terhadap kitab al-Majmu, bab atTakbir, 5/36. Lihat juga; Nailul-Authar, 3/315).

Imam as-Syafiie dalam kitabnya al-Umm menyukai agar ditambah kepada takbir di atas selepas tiga kali
mengucapkannya;



Allah maha besar dengan sebesar-besarnya. Segala puji-pijian milik Allah dengan sebanyak-banyaknya.
Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Kami tidak menyembah
melainkanNya sahaja dalam keadaan kami mengikhlaskan agama untukNya, sekalipun orang-orang kafir
membenci. Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Dia telah mengotakan janjiNya dan telah
menolong hambaNya serta mengalahkan tentera-tentera bersekutu (dengan kekuasaanNya) sematamata. Tidak ada Tuhan melainkan Allah. Allah maha besar.
Tambahan ini menurut Imam Abu Ishaq as-Syirazi dalam al-Muhazzab, di ambil dari zikir Nabi s.a.w.
ketika Sai di atas bukit Safa. (al-Majmu, 5/36).
Wallahu alam.

DAB MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI


Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan
mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta'ala
membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Idulfitri atau Hari Raya
Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menghalalkan mereka berbuka
puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya
disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara' dan tidak
dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang
diharamkan.
Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaanperayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa
Ta'ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan
hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.
Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika
menyambut kedatangan Hari Raya?
Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh
sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah
digariskan oleh Syara' untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam
Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan
sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat,
bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua
bentuk perkara yang berkebajikan.
1. Berdoa di malam raya
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta'ala telah menegaskan bahawa malam
Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan
doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai
kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh
mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam
Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban.
Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan
diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar
malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.

2. Bertakbir Sepanjang Malam sehingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri


Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun
begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana
tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan
mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah memerintahkan kepada kita
mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.
Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan
untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan 'Idulfitri.
Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan
mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari
Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya.
Firman Allah Ta'ala:
Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah
kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu,
supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah : 185)
3. Mandi Sunat Aidilfitri
Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd Radhiallahu 'anhum
bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari
Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
4. Memakai Pakaian yang Terbaik, menghilangkan bau yang tidak elok
Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya,
memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak
elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk
menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana
hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada
datuknya:
Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu 'alaihi wasallam memakai kain yang
bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari
Raya."
(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi)

5. Makan terlebih dahulu (seeolk-eloknya makan kurma dalam bilangan


ganjil)
Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari
Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut
apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana
yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu 'anhu, beliau berkata:
Maksudnya: "Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi
Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji
tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)
6. Mengucapkan tahniah
Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka
sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah
antara satu sama lain dengan mengucapkan:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada
awak."
Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'en
(orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam)
telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan
kepada setengah yang lain:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada
awak."
Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari
Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari'atkan di dalam Islam.
Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa
memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan
tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. AlImam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii'timadkan.(Al-Mausu'ah AlFiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

7. Ziarah menziarahi
Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali
saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang
sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya
termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.
Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan
daripada Aisyah Radhiallahu 'anha, beliau berkata:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di
sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian
Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya,
dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata:
"Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam!"
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu
berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda
menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan
hari ini adalah Hari Raya kita."
(Hadits riwayat Al-Bukhari)
Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath AlBaari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu 'anhu ke
dalam rumah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan seolaholah Abu Bakar Radhiallahu 'anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah
selepas masuknya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ke dalam rumah
Baginda.
(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s.
117)
Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada
orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah
yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau
memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah
pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang
diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

8. Tetap menjaga disiplin sebagai seorang Islam yang beriman


Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali
sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta'ala iaitu mendirikan sembahyang
fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran
batasan-batasan agama.
Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya
semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan
lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah
Subhanahu wa Ta'ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan
keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana menghidupkan, membesarkan
dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.

Anda mungkin juga menyukai