Anda di halaman 1dari 3

Konsep Pemikiran Kritis

Definisi
Pemikiran kritis dapat dilihat sudut pengertiannya dari segi bahasa dan istilah. Frasa pemikiran kritis
adalah merupakan gabungan atau hubungan antara dua perkataan iaitu pemikiran dan juga kritis.
Mudah untuk mentafsirkan maksud pemikiran iaitu merujuk kepada kebolehan manusia untuk
mencipta gagasan-gagasan dan pengertian-pengertian, berhujah, menilai, serta membuat
keputusan.
Dari sudut bahasa perkataan kritis berasal daripada perkataan Inggeris Critic. Namun begitu kata
dasar kritis merupakan perkataan Greek Kriths ( kritikos) yang bermaksud menimbang (judge).
Menimbang pula membawa maksud menilai (evaluates), membezakan (distinguishes), memutuskan
(decide) dan menyoal (question) sama ada sesuatu itu benar atau salah.[1] Dalam Kamus Dewan
(1984) pula, perkataan kritis ditakrifkan sebagai tidak dengan begitu sahaja menerima atau
mempersetujui sesuatu malahan menimbangkan buruk dan baiknya terlebih dahulu.
Pemikiran kritis dari sudut istilahnya membawa pengertian sebagai ikhtiar dan daya intelektual dan
moral untuk membangun, mempertajam dan memperhalusi serta mengembangkan sesuatu bidang
ilmu tersebut. Disamping itu, pemikiran kritis juga boleh ditakrifkan sebagai pemikiran reflektif yang
berusaha untuk memutuskan sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu maklumat. Ia juga
turut menekankan tentang soal fakta yang benar ataupun salah, soal bahasa yang mana jelas atau
kurang jelas dan terutama sekali soal susunan hujah sama ada sah atau sebaliknya bagi sesuatu
perkara.
Selain itu, pemikiran kritis dalam erti kata lain boleh ditakrifkan oleh Nik Azis sebagai pemikiran yang
meletakkan logik antara gerak hati dengan tindakan. Pemikiran kritis akan menganalisa isu-isu, tetapi
berfikir secara holistik dan melihat masalah daripada berbagai- bagai dimensi. Mereka berusaha
menyelesaikan masalah dan bukan bergiat mencetuskan pelbagai krisis baru.[2]
Setiap ahli sarjana sains pemikiran meletakkan pengertian terhadap frasa pemikiran kritis kepada
pelbagai maksud berasaskan kepada pengalaman dan hasil kajian mereka. Antara definisi yang telah
diletakkan adalah seperti ...berfikir secara serius (mendalam) dan seterusnya membuat
pertimbangan daripadanya,[3] merupakan definisi yang diletakkan oleh Dewey pada tahun1993.
Selain itu, Som dan Mohd Dahalan pada tahun 1999 telah mentakrifkan pemikiran kritis sebagai
kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran
sesuatu idea, meneliti kebernasan, kebaikan dan kelemahan sesuatu hujah dan membuat
pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.[4]
Ciri-Ciri Pemikiran Kritis
Pemikiran kritis mempunyai beberapa elemen iaitu elemen pemikiran yang bersifat konsisten, logikal,
analisis, penilaian, kritikal dan tidak berat sebelah. Ciri-ciri pemikiran kritis ini adalah saling berkaitan
antara satu sama lain. Andaikata bersifat konsisiten maka akan mempunyai kaitan dengan ciri
pemikiran berbentuk logikal dan sebagainya. Hal ini dibincangkan lebih lanjut dalam menceritakan
mengenai budaya berfikir kritis Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam perbincangan selanjutnya.
Elemen pemikiran kritis bersifat konsisten bererti bahawa pemikiran yang dibuat adalah tetap dan
tidak berubah. Setelah membuat keputusan tentang sesuatu perkara, maka ia tidak akan berganjak
daripada keputusan tersebut. Namu begitu, ia mesti bersesuaian dengan prinsip benar kerana benar

dan salah kerana salah.[5]


Kedua, pemikiran kritis bersifat logikal yang boleh difahami bahawa logik akan menentukan sama ada
sesuatu itu benar atau tidak dan ia bersandarkan kepada hujah akal. Ketiga, pemikiran kritis bersifat
analisis yang bererti memberi perhatian terhadap unsur, elemen, bahan, perkara satu persatu dan
bertujuan menghurai dan meneliti satu persatu sesuatu perkara itu.
Sekiranya diperhatikan, pemikiran kritis yang bersifat penilaian penting dalam membantu individu
membuat keputusan secara bijak dalam sesuatu perkara. Tanpa cirri pemikiran kritis seumpama ini
maka seseorang tidak dapat membuat keputusan dengan bijak dan tepat.
Selain itu, pemikiran kritis bersifat kritikal boleh difahami sebagai menimbang yang membawa
maksud menilai, membezakan, memutuskan dan menyoal sama ada sesuatu perkara itu benar atau
salah. Elemen pemikiran ini adalah penting dalam kemahiran pemikiran kritis.
Akhir sekali, pemikiran kritis juga bersifat tidak bias atau tidak berat sebelah. Tidak menyebelahi
mana-mana pihak dalam meletakkan sesuatu keputusan. Bersifat neutral dan tidak berat sebelah
membolehkan ia rasional dan waras dalam membuat justifikasi sesuatu perkara. Keenam-enam ciri
atau elemen pemikiran kritis ini telah diterapkan oleh Abu Bakar As-Siddiq dalam kepimpinannya
ketika beliau menjadi khalifah umat Islam pertama selepas kewafatan Rasululllah s.a.w. Hal ini boleh
diperhatikan dalam perbincangan selanjutnya mengenai pemikiran kritis Abu Bakar As-Siddiq yang
menjadi tajuk utama perbincangan.
Tujuan dan Kepentingan Pemikiran Kritis
Bidang pemikiran kritis bertujuan mengajarkan kaedah-kaedah pemikiran yang digunakan untuk
berhujah secara lebih berkesan. Hal ini bermaksud bahawa yang penting bukan pada aspek psikologi
pemikiran. Psikologi mengkaji cara pemikiran yang sebetulnya digunakan oleh manusia.
Pemikiran kritis menumpukan perhatian kepada kaedah-kaedah yang seharusnya digunakan oleh
manusia untuk berfikir secara berkesan. Aspek yang diutamakan dalam bidang pemikiran kritis ialah
penghujahan, iaitu cara memberi alasan untuk menyokong atau menentang sesuatu pendapat.
Pemikiran kritis adalah amat penting dalam kehidupan seharian baik kepada petani, penjaja, guru,
jurutera, pensyarah, ahli korporat mahupun sebagai seorang pelajar.[6] Budaya berfikir secara kritis
perlu dititikberatkan dalam konteks kehidupan seharian dalam segala situasi dan keadaan sekalipun
yang dihadapi sepanjang perjalanan hidup.
Bukan semua perkara yang dinyatakan adalah benar dan adil. Adakalanya perkara yang dinyatakan
adalah tidak benar, dipalsukan dan diselewengkan. Oleh itu, tidak boleh menerima sesuatu perkara
itu secara keseluruhan malahan perlu kepada penilaian secara kritis. Daya pemikiran memerlukan
ketajaman dan kepersisan berfikir. Segala pengaruh negatif dapat melumpuhkan pemikiran individu.
Oleh yang demikian, pemikiran kritis amat penting sama ada dalam hal yang kecil mahupun besar.
Hal ini kerana berkemungkinan hal yang kecil itu memberi kesannya sangat besar kepada masa
depan dalam kehidupan individu. Oleh itu, pemikiran kritis perlu dalam kehidupan seharian.
[1] Mohd Azhar Ab. Hamid (2001), Pengenalan Pemikiran Kritis dan Kreatif. Skudai. Penerbit UTM, h.
91.
[2]Ibid, h. 95.
[3]Ibid, h. 95.

[4]Ibid, h. 95.
[5] Ibid, h. 100.
[6] Ibid, h. 93.

Anda mungkin juga menyukai