Anda di halaman 1dari 10

Hati Yang Tercarik...

Kiriman: irdina_mardhiah pada Isnin, 13 Jun, 2005 - 10:00 AM GMT-3

“ Nak buat macam mana lagi,Ina. Kita tak mampu nak buat apa-
apa. Kau berehatlah, tenangkan fikiran. Nak aku tutupkan
lampu?” Syafika sudah pun menghala ke pintu. Dalam hati, risau
juga nak meninggalkan teman yang tengah bersedih seorang diri.
Namun, perjumpaan dengan kawan-kawan persatuan juga
penting, tak boleh dibatalkan sesuka hati. “ Tak payahlah Fika.
Rasanya aku belum nak tidur lagi.”

Dia memerhati Fika yang sedang menyarungkan sandal di muka


pintu. Beruntung dia mendapat sahabat sebaik itu. Fika pandai
memujuk. Hasilnya, hatinya tidak seresah tadi. Irdina bingkas
bangun. Dia sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana
hidupnya selepas ini. Dia tahu, bukan senang nak melupakan
Azam sekelip mata. Tambah-tambah lagi lelaki itu sudah
dikenalinya sejak dari sekolah lagi. Irdina membuka pintu almari.
Laci yang paling bawah ditariknya perlahan-lahan.

Di situlah segala barang-barang pemberian Azam disimpan. Dia


tidak pernah menyangka lelaki sebaik Azam boleh berubah hati
sekelip mata. Namun, dia tahu dia tiada pilihan lain. Takdir
Tuhan, tidak ada siapa yang dapat menyangkal. Kaset-kaset
nasyid, diari, kad-kad ucapan, serta surat-surat pemberian buah
hatinya itu dilambakkan di satu tempat. Kemudian, Irdina
mencapai pula teddy bear pemberian Azam. Selama ini, beruang
kolar itulah yang menemaninya tidur setiap malam. Tentu aku
akan kesunyian selepas ini. Sayu hatinya bila mengingatkan dia
tak berpeluang memeluk teddy bear itu lagi. Walau apapun, dia
perlu menguatkan semangat. Dia tidak boleh terlalu menurut
kata hati. Sudahnya, Irdina memasukkan barang-barang itu ke
dalam sebuah kotak besar. Mulai hari ini saya akan lupakan
awak, Mohd Azam Mohd Jalaluddin!!

******

Irdina berjalan cepat-cepat menuruni tangga makmal. Dia tak


sanggup berada di situ lama-lama. Melihatkan sepasang kekasih
yang sedang berdrama membuatkan mukanya merah padam.
Rasa malu pun ada. Semasa melintasi mereka tadi, sempat juga
dia menjeling tajam dan berdehem sekali dua. Tapi mereka buat-
buat tak faham. Sudahnya, Irdina hanya tarik nafas panjang.
Sedar tak sedar, kakinya sudah pun menjejak ke lantai tingkat
bawah bangunan itu. Ketika Irdina membelok ke kiri untuk ke
perhentian bas di seberang jalan, dirasakan ada seseorang
merempuhnya dari depan. Fail di tangan terlepas jatuh ke tanah.
Mujurlah juga dia berjaya mengimbangi badan, kalau tidak tentu
dia terjatuh macam nangka busuk di depan Harraz.

“ Err..mintak maaf. Saya tak perasan tadi.” Ada getaran di


suaranya. Harraz kemudian menunduk, meringankan tangannya
memungut kertas-kertas di tanah. Dia cuba mencuri-curi
pandang wajah di depannya. Terdetik juga sedikit bimbang di
hati. Manalah tahu Irdina tiba-tiba naik darah. “ Tak apalah. Saya
boleh pungut sendiri.” Suara Irdina kedengaran lemah di
pendengaran Harraz. Matanya juga tidak bersinar seperti selalu.
Wajahnya pucat. Macam orang tak bermaya. Harraz merenung
lagi gadis itu. Aduhai Irdina, maafkan saya!! Irdina tergesa-gesa
bangun. Tak perasan konon!! Dahlah buat orang macam pasu
bunga. Main langgar macam tu aje. Boleh pulak dia kata tak
perasan.

Dia sebenarnya tidak berapa senang dengan Harraz. Dari dulu


lagi dia tahu lelaki ini punya niat yang tersendiri. Renungannya,
cara percakapannya.. segala-galanya membuatkan dia terasa
seram sejuk. Tengok macam tadi, matanya tak reti-reti nak
duduk diam. Asyik-asyik tengok orang..Ish..lelaki macam ni
bukan boleh dipercaya sangat. Setiap kali terpandangkan dia,
datanglah rasa menyampah aku. Saat itu, Irdina telah pun
melangkah jauh, meninggalkan Harraz yang masih lagi terkulat-
kulat.

******

Harraz tersandar lesu di kerusi. Seharian mengadap laptop


membuatkan matanya berpinar-pinar. Kepala pun dah terasa
berpusing-pusing. Saat itu, hanya bantal dan tilam saja yang
bermain-main di ruang fikiran. Namun, bila diingatkan
assignment masih tak sampai separuh ditaipnya, digagahkan
juga diri untuk bertahan. Harraz memejamkan mata rapat-rapat.
Biar letih yang bertandang hilang buat seketika. Serta–merta dia
terbayangkan Nurin, gadis lembut kacukan Melayu Siam. Gadis
itu terlalu istimewa. Gadis yang punya daya penarik yang
tersendiri.
Sudah lebih dua tahun dia mengenali Nurin. Segala sikap dan
tingkahlakunya sentiasa menyenangkan. Nurin gadis pemalu,
pendiam, tapi tak pernah lokek dengan senyuman. Pertama kali
dia bertemu dengan gadis itu semasa kem di Sekayu dulu,
hatinya dah mula terusik. Keresahan yang bertandang di hati,
hilang bila dapat menatap wajah itu, biarpun dari jauh. Kem itu
berlangsung selama lima hari, dan selama itu jugalah hatinya
sentiasa berdebar-debar, resah gelisah. Nalurinya berkata, inilah
wanita yang dicarinya selama ini. Dan kerana akur pada desakan
nalurilah, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berterus-
terang. Bertemankan seorang teman rapat, Harraz menemui
Nurin di bawah sebuah pohon yang rendang.

Di situ, dia menyerahkan sepucuk surat yang menyatakan isi


hati. Ternyata, sebuah misteri akhirnya terjawab juga bila Nurin
membalas surat dengan menyatakan yang hatinya juga punyai
perasaan yang sama!! Hilang wajah Nurin, muncul pula wajah
comel Irdina. Dia tidak pernah menyangka USM menjadi saksi
pertemuan mereka. Selama bertahun-tahun dia tidak pernah
mendengar khabar gadis itu.

Bertahun-tahun juga dia cuba melupakan tragedi itu. Tetapi


apabila bertemu gadis itu yang ternyata sudah banyak berubah,
hatinya tiba-tiba terasa sayu. Sayu bila melihatkan parut di dahi
gadis itu masih berbekas. Setiap kali melihat Irdina, ada satu
perasaan yang menyuruhnya mendekati gadis itu. Perasaan
apakah itu? Yang nyata, ianya bukan cinta. Dia tidak akan
sesekali membina cinta yang baru. Dan dia tidak pernah terfikir
untuk menyintai Irdina. Antara mereka, tak mungkin ada cinta
yang wujud!! Lamunan Harraz terhenti bila dirasakan ada orang
menolak daun pintu. Seketika kemudian, terjengol wajah Afnan
yang sugul.

Di tangannya, terdapat dua biji mug yang berisi air nescafe. “


Buat susah-susah aje, Nan.” Di kala itu, dia sudah pun
menghirup nescafe panas buatan Afnan. Sedap juga. “
Cadangnya, esok aku nak balik kampung.” Harraz berpaling. “
Nak balik kampung? Kenapa? Mak kau sakit?” Dia tahu sejak
akhir-akhir ini Afnan dah banyak berubah. Afnan seolah-olah
cuba menyisihkan diri dari teman-teman. Dengannya sendiri pun,
Afnan tak berapa banyak bercakap. Tak seperti dulu-dulu. Kalau
dia yang tak menegur, alamatnya Afnan akan membungkam
seribu bahasa.
Dia yakin sangat, mesti ada apa-apa!! “ Tak adalah. Mak aku
sihat. Tapi ada masalah sikitlah, Harraz.” Afnan menarik kerusi,
duduk berdepan dengan Harraz. Sungguh, dia sebenarnya malu
dengan temannya itu. Kalau boleh, dia tak mahu menyusahkan
sesiapa. Tak mahu membabitkan sesiapa. Tapi yang nyata, dia
sekarang tengah buntu. Jalan yang terbaik ialah berbincang
dengan Harraz. “ Aku sebenarnya nak kawin!!” Burr..Air nescafe
di mulut Harraz tersembur!! Saat itu, dia tak dapat menahan
ketawa!!

Kalau boleh, aku nak seligi budak Afnan ni. Hantu betul.
Bukannya nak bagitau awal-awal. Semuanya nak dirahsiakan,
semuanya disorokkan daripada pengetahuan aku. “ Kenapa tak
cakap awal-awal? Entah-entah budak USM ni jugak,kot?”
Tengoklah tu. Belum apa-apa dah gelakkan aku. Padahal, aku
belum cerita yang aku sebenarnya tak ada calon lagi. Kalau dia
dah tahu, tentu teruk aku digelakkannya!! “ Aku tak ada calon
lagi, Harraz. Duit pun belum cukup. Mana nak simpan untuk
kawin, mana nak simpan untuk belajar, untuk keperluan mak
dan adik-adik.”

Harraz kerut dahi. Tak ada calon?? “ Habis tu, buat apa nak
kawin awal-awal?” Pelik dia memikirkannya. “ Begini, Harraz. Kau
pun tahu aku orang susah, ayah pun tak ada. Tinggal mak
dengan adik-adik. Adik yang bongsu pun masih kecil lagi. Mak
aku pulak sentiasa sakit-sakit. Aku fikir, kalau aku kawin adalah
jugak orang untuk tengok-tengokkan keluarga aku.” Harraz
terdiam. Berat masalahnya nih!! “ Tak boleh tunggu hingga kau
habis belajar?” “ Bukan tak boleh tunggu, tapi mak aku tu makin
lama makin uzur. Aku takut..” Kata-kata Afnan mati di situ. “ Iya,
aku faham. Beginilah, Nan… kau balik kampung, bincang dengan
mak.

Tanya pendapat dia, tak rugi kita dengar nasihat orang tua.” “
Cadangnya gitulah Harraz. Tiket pun aku dah beli. Pukul 10 pagi
esok, insyallah aku bertolak.” Afnan sudahpun merebahkan
badan di katil. Esok, pagi-pagi lagi dia akan bertolak balik ke
Kuala Kangsar. Harraz bangun mencapai wallet Crocodilenya.
Dua keping wang kertas RM10 diselitkan di bawah tiket bas
Afnan. Untuk belanja adik-adik kau, Nan…

*******
“ Kau dah buat persiapan Ina?” Sudah! Persiapan apa pulak yang
mak maksudkan? Kahwin? Mak tak pernah pulak cakap yang dia
ada terima mana-mana lelaki jadi menantu.Dah sibuk-sibuk buat
persiapan untuk perkahwinan aku pulak. Atau..mak yang
sebenarnya nak kahwin?? “ Persiapan apa mak? Ina tak tahu apa
pun..” “ Astaghfirullahalazim..persiapan untuk exam la…kau
exam minggu depan,kan? Kau jugak yang bagitau mak hari tu.”
Exam? Irdina menekup mulut menahan ketawa. “ Eh Ina..lupa
mak nak bagitahu, sepupu kau naik pelamin minggu depan.Alah,
Yati.. yang sebaya dengan kau tu. Dapat jugak Mak Lang kau
merasa nak timang cucu ya..”

Pulak! Dia dah mula dah!! Bab ni yang pedih sikit telinga nak
dengar. “ Aah..mak, bertuah Mak Lang ya..sampaikan salam Ina
pada Yati ye mak. Tak dapat la Ina nak merasa saya nasi minyak
dia..” “ Kat sana, kau tak ada yang special ke Ina? Mak pun nak
kenal-kenal jugak.....” Tak ada!! Anak mak ni dah kena tinggal,
mak. Dah nasib badan. Takkan nak tersua-sua. Kalau sapa-sapa
masuk meminang, mak terima ajelah. Ina dah serik nak bercinta.
“ Tak ada sapa-sapa lagi mak. Ina nak kerja dulu. Cari duit
banyak-banyak. Pastu tolong mak, tolong adik-adik.” Mak aku
tak tahu anak dia ni dah separuh menonggeng frust bercinta. “
Oklah mak. Ina ada kelas ni. Minggu depan sebelum exam Ina
call mak. Mintak restu..Mak doakan Ina ya....

..

” Gagang telefon awam diletaknya. Nak telefon menggunakan


handset, kredit pun dah lama habis. Irdina melangkah longlai.
Satu-persatu kata-kata emaknya terngiang-ngiang di telinga.
Begitulah orang tua-tua, masa kecil disuruh belajar, masa
dewasa disuruh kahwin. Tunggu dululah. Kalau nak kahwin pun,
kenalah dengan orang yang berkenan di hati. Kalau tak, macam
mana nak bahagia?? Kalau cakap begitu depan mak, tentu dia
akan kata, mak dulu pun kahwin bukan atas dasar cinta, tapi
bahagia jugak. Aku dah faham benar. Cakap pasal kahwin,
teringat pula kisah anak Mak Lang yang belajar di luar negara tu.
Bertahun-tahun di negeri orang puteh, balik-balik bawa bini mat
salleh. Bukan main terkejut Mak Lang bila diperkenalkan dengan
menantu sulung, dahlah orang tua tu ada penyakit semput,
apalagi dua hari dua malam mak saudara aku tu demam tak
kebah-kebah.

Hai..entahlah. Bagi aku, cinta ni biarlah dari hati yang tulus.


Bukannya senang nak melahirkan cinta yang sejati. Bukan
calang-calang orang yang sanggup setia sampai ke mati.
Teringat cintanya pada Azam. Dia dah melakukan apa yang
sepatutnya, namun cinta yang dipertahankan sekian lama punah
juga akhirnya. Mungkin Azam tidak menyintainya dengan
sepenuh hati. Hatinya tiba-tiba rasa sayu. Irdina menjeling jam
di tangan. 1.30..Solat Zuhur dululah. Habis kuliah nanti senang
sikit nak buat kerja lain. Tak adalah tergesa-gesa sangat.
Kakinya dah pun melangkah di perkarangan Masjid Khalid Al-
Malik.

Seketika kemudian, Irdina bertenggek di tangga masjid, sambil


menanggalkan sarung kaki. Saat itu juga, matanya meliar-liar
memerhati orang yang lalu-lalang. Biasanya Azam yang
mengumandangkan azan bila masuk waktu, tapi sekarang nak
tengok bayangnya di masjid pun dah susah. Ada jugak aku
dengar khabar-khabar angin yang mengatakan Azam sekarang
dah pandai keluar berdua, dah pandai makan bersama
perempuan. Hairan. Kalau dulu, dialah orang pertama yang
melarang pasangan bercinta melakukan perkara-perkara yang
ditegah agama. Tapi sekarang…Betullah, iman manusia senipis
kulit bawang. Kalau tak dijaga dan dibajai dengan betul, nescaya
orang yang baik dan berakhlak pun boleh rosak akidahnya.

Irdina melangkah masuk ke dalam masjid. Dia meletakkan beg


sandangnya di tempat yang sedikit tersorok. Tudung di kepala
ditanggalkan perlahan-lahan. Sesekali dia mengurut-ngurut urat
di sekitar leher. Uhh..penatnya!! Setengah jam lagi, kuliah Dr.
Bahar pula. Dari pagi tadi, dia tak dapat berehat langsung. Naik
lenguh kakinya bergegas ke sana ke mari, mengejar kuliah dan
amali. Balik nanti, aku nak tidur puas-puas. Eh..tak bolehlah!!
Irdina menepuk-nepuk dahi. Aku dah berjanji dengan Fika nak
temankannya ke Komtar. Karang tak pergi, merajuk pulak gadis
tu. Lagipun, selama ini setiap kali aku mengajaknya ke mana-
mana, Fika tak pernah menolak. Biarpun letih, Fika tak pernah
merungut bila dia merengekkan itu ini meminta bantuan. Irdina
tersenyum. Ah..gadis itu terlalu baik!!

Ketika Irdina melangkah ke tempat mengambil wuduk, tiba-tiba


matanya tertangkap pada sekumpulan mahasiswa yang sedang
berkumpul di luar masjid. Ada usrah agaknya. Tapi..salah
seorang tu, macam pernah nampak. Betul..betul, tak syak lagi..
Harraz!! Serentak dengan itu, telinganya sempat menangkap
tawa mereka yang pecah berderai. Apa yang lucu sangat
agaknya!! Irdina cepat-cepat menyusup ke dalam masjid bila
salah seorang daripada mereka menyedari yang dia mengintai-
ngintai dari balik daun pintu. Fuh..Nasib baik dia tak nampak!!
Irdina menarik nafas lega.

******

Pagi-pagi lagi Irdina sudahpun membasuh baju dan menjemur


kain. Sesudah itu, dia menuju pula ke bilik air dengan alatan
mandi di tangan. Pagi-pagi minggu begini biasanya Fika lebih
suka menyambung tidur sampai ke tengah hari. Nak rehat
katanya. Macam budak lelaki!! “ Dah nak mandi Ina?” tegur
Gayah sebaik saja dia sampai di bilik air. Irdina mengangguk-
ngangguk. Kemudian, dia mencapai berus gigi Oral-B berwarna
biru muda yang baru dibelinya petang semalam. Irdina memicit-
micit ubat gigi dan terus menggosok barisan giginya yang putih .
“ Tak keluar hari ni Gayah?” Irdina telahpun siap berkumur-
kumur. “ Tak. Aku nak tengok cd. Cerita Ice Age. Nak tengok
sekali, Ina?? ”

Muka Gayah ketika itu dipenuhi buih-buih sabun pencuci muka. “


Boleh juga. Tapi aku nak kemas bilik dululah, Gayah. Dekat-
dekat tengah hari kita tengok boleh tak?” “ Iyalah. Karang aku
pergi bilik kau.” Irdina membelek-belek mukanya di depan
cermin. Ada sebutir dua jerawat yang tengah nak matang naik di
pipi. Kemudian, disentuhnya pula parut budak nakal di dahi kiri.
Dah bermacam-macam cara aku usahakan, tapi parut ni tak
jugak hilang. Pernah sekali dulu, dia beriya-iya sangat mengikut
petua orang tua-tua. Setiap kali sebelum mandi, dia tidak akan
lupa menggoreng segenggam beras. Setelah beras yang digoreng
itu kekuning-kuningan, dia akan menumbuk pula beras-beras itu
hingga lumat.

Sedikit air asam jawa akan dicampur bersama-sama beras yang


telah lumat tadi. Kemudian, dia akan menyapunya ke dahi yang
berparut. Banyak kali juga rasanya dia mencuba petua tu, tapi
bila lama-lama masih tak ada kesan, dia terus berhenti. Pelik,
padahal dia tengok jiran sebelah rumahnya mudah saja hilang
parutnya bila mencuba petua yang sama. Kenapa pulak aku buat
tak menjadi?? Kemudian, bila ada orang kata yang parut mudah
hilang bila disapu dengan lendir lidah buaya, apalagi cepat-cepat
pula dia mencubanya. Malang, hasilnya juga tetap sama. Parut
tetap tak hilang!! Mungkin dah ditakdirkan Tuhan kot. Walau
dicuba dengan ubat yang paling mujarab pun, kalau dah Tuhan
tak izinkan sembuh, tetap tak sembuh,kan?? Setelah selesai
mandi, Irdina mengemas-ngemas pula meja studynya yang
berselerak. Frame-frame gambar yang tersusun elok di meja,
dicapainya.

Dia mengelap-ngelap habuk yang menghiasi cermin frame-frame


tersebut. Gambar-gambar ketika di MRSM menggamit hatinya
pilu. Dah dua tahun dia tak bertemu dengan kawan-kawan lama.
Semakin hari rindunya semakin berdetik!! Habis menyapu, Irdina
kemudian membuang sampah yang berlonggok-longgok di
penjuru bilik. Sambil itu sesekali matanya menjeling ke arah Fika
yang yang tengah lena diulit mimpi. Nyenyak betul dia tidur!!
Selesai mengemas bilik, Irdina bermalas-malasan di atas katil
sambil membaca majalah. Mana Si Gayah ni, tak datang-datang
pun. Irdina memuncung. Di kala itu, tangannya lincah
membelek-belek Majalah I keluaran bulan .

Tiba-tiba tangannya terhenti. Dia tertarik dengan ruangan Nama-


nama Indah yang terdapat di situ. Matanya terus meneliti dari
satu baris ke satu baris… Nama Lelaki Abdul Bari- Hamba Allah
yang banyak kebaikan Bazli- Kebijaksanaanku, kepakaranku
Danish- Pengetahuan, bijak Habri- Kegembiraanku Marzuqi-
Rezekiku Nama Perempuan Abqarah- Kecerdikan Badriah- Cantik,
seperti bulan purnama Fathiah- Pembukaan, kemenangan
Hadifah- Yang bermatlamat Iffah- Suci, terpelihara
Wah..wah..bolehlah buat perancangan untuk nama anak-anak
nanti ni. Mana satu yang sesuai yer?? Dalam Irdina tengah
mencongak-congak, handsetnya berbunyi. 012-9606099!!
Siapa?? Dahlah buat miscall pulak tu. Ish, tak boleh tengok
orang senang langsung!!

Tut..tut. handsetnya berbunyi lagi!! Saat itu, matanya


terpandangkan Fika. “ Fika.. ada orang cari kau.” Fika
menggosok-gosokkan matanya. Terkebil-kebil dia memandang
Irdina. Dah siang rupanya!! Sungguhpun begitu, kelopak
matanya masih terasa berat. Terhuyung-hayang dia berjalan
menghala ke katil Irdina. Siapa pulak telefon pagi-pagi ni?? Tak
tahu ke, orang nak tidur?! Lagipun buat apalah call handset Ina,
handset aku kan ada. “ Tak ada orang pun Ina. Belum aku cakap
apa-apa lagi, dia dah letak.” Irdina hanya tergelak memerhati
gelagat Fika. Itulah, siapa suruh bangun tengah hari!! “ Dia
terkejut dengar suara kau bangun tidur kot. Dahlah, cik kak oi!!
Pi mandi, busuk la!!”

******
Irdina menantikan nasi goreng ayam yang dipesannya. Sesekali
dia mengibas-ngibas muka dengan tangan. Panas betul tengah-
tengah hari macam ni. Tambah-tambah semakin lama semakin
ramai student yang memasuki kafe. Semakin sesak dibuatnya.
Lambat lagi ke?? Perut aku dah berbunyi ni. Dari pagi tadi,
sebutir nasi pun belum masuk ke dalam perut. Saat itu, sepasang
matanya terpandangkan Harraz yang sedang melangkah masuk.
Lelaki ni lagi!! Sakit matanya melihatkan lelaki itu tersengih-
sengih sambil mengorak langkah ke arahnya. “ Awak.” Eee...dia
dah nak mula dah!! Irdina memandang tepat-tepat ke wajah
Harraz. Kemudian, dipalingkan mukanya ke arah lain.

Dah, tak kuasa aku nak layan dia!! Perhatiannya di kala itu lebih
terarah kepada nasi goreng ayam yang dipesan. Rasanya kalau
aku masak sendiri, dah boleh makan sekarang ni agaknya.
Apalah yang makcik kafe tu buat yer? Bersembang agaknya!!
Harraz senyum melirik ke arah Irdina. Wajah kelat di depannya
itu diperhatikan betul-betul. Cantik betul dia. Macam bunga
kekwa!! Sekali pandang, memang tak puas!! “ Sombong yer,
awak. Tak baik layan anak yatim macam ni.” Irdina menoleh.
Mukanya berkerut-kerut. Anak yatim?? “ Awak anak yatim ke?”
Sungguh, dia tak tahu!! Kalau betul, maknanya mereka senasib.
“ Iya.” Harraz mengangguk.. “ Ayah awak dah tak ada?” “
Taklah, ayah saya namanya Mohd Yatim.” Harraz tergelak.
Seronok dapat mempermainkan Irdina. Dah lama rasanya dia
tidak mengusik gadis itu.

Irdina menggeleng-geleng kepala. Tak sangka, lelaki itu masih


sempat mengenakannnya. Namun, jauh di sudut hati dia dah
mula senang dengan kerenah Harraz. Lucu. Menghiburkan. “
Irdina, sudi tak awak kawan dengan saya?” Harraz senyum,
mengharap. Banyak cantik muka awak! Tapi…nasib baik saya ni
baru ditinggalkan Azam. Ada awak, bolehlah nak lupakan dia
sikit-sikit. “Apa-apa sajalah.” “ Jadi, kita boleh berkawan?”
Harraz senyum ceria. Irdina terdiam. Saat itu, dia teringatkan
nasi gorengnya.

Kebetulan, dilihat makcik kafe berapron biru itu sedang


menggamitnya. Cepat-cepat Irdina mengambil bungkusan nasi
dan meninggalkan Harraz tanpa sebarang jawapan. Harraz
tergelak. Lama dia memerhatikan Irdina yang semakin jauh dari
pandangannya. Kalau pasal makan, benda lain tolak tepi. Tapi,
badan tak naik-naik jugak. Kurus kering. Di saat itu, ingatan
terus melayang kepada peristiwa lama.