Anda di halaman 1dari 11

Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

ANALISIS RINGKAS ASPEK-ASPEK ASAS GERAKAN


MAHASISWA

Mukaddimah

Kehadiran mahasiswa/siswi di universiti-universiti adalah suatu kesempatan atau

peluang yang unik yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. s.w.t. kepada golongan ini.

Dengan menikmati banyak kelebihan jika dibandingkan dengan golongan lain,

mahasiswa/siswi bertanggungjawab untuk mengekalkan imej yang betul lagi benar

sebagai seorang muslim, sebagai seorang wakil kepada gerakan-gerakan Islam dan juga

sebagai model hidup yang melaksanakan tuntutan Ad-Din menegakkan segala sistem

Islam. Inilah masanya mahasiswa/siswi belajar untuk memikul pelbagai tanggungjawab

bagi persediaan menghadapi tugas-tugas yang sedia menanti pada masa akan datang.

Bagi mengalami cabaran dan rintangan yang sentiasa wujud tanpa mengira zaman,

mahasiswa/siswi yang baru ataupun yang telah lama berada dalam gelombang gerakan

Islam perlulah memiliki pandangan yang jelas tentang beberapa perkara asas yang antara

lainnya ialah hakikat mahasiswa/siswi muslim, konsep gerakan mahasiswa, bentuk

pergerakan dan persediaan-persediaan yang perlu dibuat oleh mahasiswa dan agenda-

agenda gerakan mahasiswa.

Hakikat Mahasiswa / Siswa

Secara umumnya mahasiswa/siswi tanpa mengira pengkhususan pengajian

dianggap sebagai “cream of the society”, pewaris kepimpinan masa depan golongan yang

idealis, agen perubah masyarakat, jurubicara ummah dan lain-lain tanggapan lagi yang

meninggikan harga dan maruah semua mahasiswa/siswi. Tanggapan ini pada hakikatnya

adalah tanggungjawab yang sepatutnya disedari dan dihayati oleh golongan yang

1
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

istimewa ini. Dalam erti kata lain tiada jalan mudah bagi mahasiswa/siswi untuk keluar

daripada tanggungjawab-tanggungjawab ini melainkan bertindak untuk merealisasikannya.

Tapi perlu diingat di sini, tanggapan yang menggunung akan sia-sia sahaja jika golongan

mahasiswa/siswi ini gagal memahami beberapa konsep asas Islam. Kefahaman yang

benar dan tetap tentang konsep-konsep asas Islam ini akan Insya Allah s.w.t. melahirkan

mahasiswa/siswi muslim yang sedar akan hakikat dirinya. Antara persoalan-persoalan

utamanya ialah menerima kebenaran Ilahiyat yang mutlak sifatnya, memiliki pandangan

hidup yang betul sebagai seorang muslim, meneliti konsep hubungan antara Allah s.w.t.

dengan manusia dan manusia sesama manusia, memahami hakikat dirinya yang terdiri

daripada unsur jasad dan ruh serta pemikul amanah Allah s.w.t. di atas muka bumi dan

menghalusi konsep ilmu pengetahuan dan sains Islam. Ini semua berhajatkan kepada

pergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t., kecemerlangan akademik, kecerdasan

fizikal, kekuatan mental, kesabaran, kegigihan serta keikhlasan.

Selain itu seseorang mahasiswa/siswi muslim pada hakikatnya sepatutnya hendaklah

sentiasa sedar tentang keadaan kehidupan masyarakat baik pada waktunya atau pada

zaman sebelumnya, di mana kesedaran tadi tidak dapat tidak akan melahirkan perasaan

tanggungjawab sosial. Dalam ertikata lain, mahasiswa/siswi yang cemerlang ialah individu

yang mewujudkan perasaan tanggungjawab dan kesedaran di samping mengutarakan

buah fikirannya dan halatuju sosial kepada masyarakat umum. Golongan

mahasiswa/siswilah yang memimpin / memandu masyarakatnya bagaimana hendak

berubah dan menentukan perubahan itu menuju ke arah mana. Mereka jugalah yang

menggalakkan misi penerokaan baru dan menyediakan alternatif-alternatif dengan

menyediakan jawapan kepada persoalan “Apa yang patut kita capai”. Justeru itu

2
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

mahasiswa/siswi hendaklah sentiasa berusaha untuk mengubah dan membentuk semula

masyarakat dengan menggunakan segala kemampuan yang mereka miliki.

Konsep Gerakan Mahasiswa

Secara umunya gerakan mahasiswa di Malaysia dijelmakan dengan sekumpulan pelajar-

pelajar muslim yang mengikat diri mereka dengan satu ikatan tanzim atau organisasi

tertentu yang bergerak dalam bentuk-bentuk tertentu bagi mencapai matlamat-matlamat

tertentu dibawah nama-nama pertubuhan persatuan dan jamaah tertentu. Ahli-ahli dalam

pertubuhan, persatuan atau jamaah tadi lazimnya akan mengikuti satu proses

pentarbiyyahan yang telah disediakan oleh barisan pimpinan mereka yang mungkin

diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain dengan tanpa ada penilaian dan analisis

baru.

Secara idealnya gerakan mahasiswa mestilah bersifat satu gerakan bebas yang tidak

bergantung atau berharap kepada mana-mana gerakan yang berada di luar kampus.

Kepimpinan dalam gerakan mahasiswa ini perlulah menggunakan kreativiti mereka

masing-masing untuk mengemudi dan melayari gerakan mereka. Mereka tidak sepatutnya

amat mengharapkan berlakunya keselarian dan persamaan dengan gerakan di luar.

Bahkan mereka tidak perlu di pertanggungjawab dengan apa yang berlaku terhadap

gerakan-gerakan di luar kampus.

Gerakan mahasiswa perlulah memiliki pandangan sendiri yang dibina daripada keyakinan,

keilmuan, maklumat yang dimiliki oleh mereka. Suara mahasiswa biarlah bersifat tidak

menjaga kepentingan golongan tertentu yang berada di luar kampus. Suara mahasiswa

akan hilang taringnya atau sudah tidak berbisa lagi sekiranya hanya bersifat ‘rubber

3
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

stamp’ kepada gerakan-gerakan di luar kampus. Suara mahasiswa sebaliknya akan lebih

suci dan dihormati jika lahir daripada hati-hati yang cintakan kebenaran hakiki tanpa

mengenal kepada siapa ianya ditujukan. Yang salah mestilah diperbetulkan secara mati-

matian, walaupun pahit untuk diterima oleh masyarakat dan gerakan-gerakan diluar

kampus. Yang benar wajiblah diperagungkan walaupun jutaan cabaran yang dihadapi.

Kalau adapun berlakunya persamaan dan berbetulan dengan pandangan masyarakat dan

gerakan-gerakan luar kampus. Ianya dianggap sebagai suatu perkongsian kebenaran

yang bersifat universal.

Walau bagaimanapun, ini janganlah disalahanggapkan seolah-olah gerakan mahasiswa

langsung tidak ada hubungan dengan masyarakat dan gerakan-gerakan di luar kampus.

Atau beranggapan dunia mahasiswa adalah suatu dunia yang terpisah daripada realiti

masyarakat dan gerakan-geralkan di luar kampus. Atau beranggapan tidak bolehnya

berlaku perkongsian idea, pengalaman, tenaga dan sebagainya antara kedua-dua

kumpulan gerakan ini. Apa yang sebenarnya ditekankan disini ialah, mahasiswa atau

masyarakat yang bergerak dalam realiti dunia sekular perlulah menyedari bahawa

gerakan atau suara mahasiswa akan lebih ditabalkan dan dimuliakan jika mereka diberi

peluang seluas-luasnya untuk menjadi agen perubah masyarakat. Dalam erti kata yang

lain, biarlah gerakan mahasiswa menentukan prinsip-prinsip mereka, halatuju mereka dan

bentuk gerak kerja mereka. Masyarakat atau gerakan diluar kampus tidak perlu campur

tangan dalam penentuan perkara-perkara asas gerakan mahasiswa. Pada masa yang

sama, masyarakat dan gerakan-gerakan luar tidak boleh memandang sinis atau sepi

terhadap buah fikiran yang dikemukakan oleh gerakan mahasiswa. Manakala bagi pihak

gerakan mahasiswa, mereka tidak boleh berlagak seperti pemimpin-pemimpin masyarakat

atau gerakan-gerakan diluar kampus. Unsur-unsur negatif seperti menjaga kepentingan

individu-individu tertentu diluar kampus perlulah dijauhi. Apa yang dikehendaki di sini ialah

4
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

mahasiswa bertanggungjawab menjadikan gerakannya sebagai gerakan mahasiswa yang

tulen dan tidak menjadikan gerakan mahasiswa hanya sebagai cabang-cabang kepada

gerakan pertubuhan-pertubuhan, persatuan atau jamaah diluar kampus. Inilah antara

konsep-konsep penting yang perlu difahami oleh semua ahli-ahli dan terutamanya barisan

kepimpinan gerakan mahasiswa.

Bentuk Pergerakan Dan Persediaan Gerakan Mahasiswa

Lazimnya sesuatu gerakan itu dikatakan bergerak jika ianya sentiasa berubah dan

digerakkan. Begitulah juga lazimnya perubahan dikatakan terjadi sekiranya terjadinya

pergerakan fizikal. Sebaliknya tidak ramai yang menyedari bahawasanya perubahan itu

boleh berlaku tanpa pergerakan fizikal. Inilah suatu asas penting yang penting yang perlu

difahami oleh pimpinan gerakan mahasiswa. Bagi kita gerakan Ilahiyat untuk menegakkan

keadilan pada hakikat mutlaknya adalah kepunyaan Allah s.w.t.. Kebenaran Ilahiyat ini

sentiasa ada walaupun tidak ada orang yang menggerakkannya. Di samping tidak

dinafikan ianya akan diperolehi bagi mereka yang berusaha untuk mendekatinya. Apa

yang cuba di kemukakan di sini ialah ahli-ahli dalam gerakan mahasiswa tidak sepatutnya

beranggapan bahawa tugas utama mereka adalah untuk memastikan kebenaran Ilahiyat

itu dipelihara oleh mereka tanpa memikirkan Allah s.w.t. berhak memilih golongan yang

lain untuk tugas ini. Atau berkeyakinan kitalah satu-satunya golongan yang dipilih Allah

s.w.t. untuk tugas mulia ini. Atau berpandangan bahawa golongan-golongan yang tidak

menjadi pendokong-pendokong kepada gerakan mahasiswa atau penentang-

penentangnya akan terus menerus berada dalam keadaan yang sedemikian. Sebaliknya

kita perlulah menyakini Allah s.w.t. s.w.t. mampu memberi hidayahNya kepada sesiapa

yang dikehendakiNya walaupun kita sebagai manusia tidak mampu melakukannya. Tidak

5
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

mustahil individu-individu yang sekarang ini menentang kita, pada suatu hari kelak akan

berada sebarisan dengan kita.

Berdasarkan kepada kefahaman inilah, ahli-ahli yang berada dalam gerakan mahasiswa

tidak sepatutnya menganggap bahawa golongan-golongan yang menjadi penentang dan

pencabarnya akan terus menerus manjadi penentang dan pencabarnya hingga ke akhir

hayat. Apatah lagi dalam konteks kehidupan kampus, rata-ratanya pencabar-pencabar

atau penentang-penentang kita adalah terdiri daripada rakan taulan dan sahabat handai

yang mungkin sebilik, sekelas, sekuliah dengan kita. Tugas kita di sini ialah

menyampaikan mesej kebenaran kita dengan semaksima dan seefisen yang mungkin

disamping sentiasa menaruh pergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t. s.w.t.

Disinilah hubungan spiritual yang tinggi perlu diaplikasikan antaranya menyakini manusia

khususnya umat Islam pada suatu hari nanti akan kembali kepada keadaan fitrah

asalnya.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan konsep pergerakan mahasiswa perlu menyedari

bahawa perubahan dari satu hari ke hari berikutnya biasanya bersifat kecil atau sedikit.

Perubahan dalam situasi sejarah biasanya akan menjadi kukuh selepas lima, sepuluh,

dua puluh atau tiga puluh tahun. Perubahan mendadak lazimnya tidak berlaku dengan

mudah. Pengiktibaran yang jelas di sini ialah gerakan mahasiswa kenalah memastikan

adanya kesinambungan perjuangan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Kekosongan pergerakan dalam satu-satu tempoh atau berlakunya jurang pemisah antara

tempoh-tempoh masa tertentu hendaklah dihapuskan. Ianya mesti dilakukan terus

menerus walaupun sedikit kuantiti atau kurang kualitinya pada ketika-ketika tertentu.

6
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Perlu diingat juga, perubahan tidak semestinya bersifat fizikal atau dengan terjadinya

sesuatu kejadian luaran. Perubahan yang melibatkan ilmu pengetahuan, persepsi,

kefahaman dan penilaian realiti walaupun tidak bersifat fizikal tetapi pada hakikatnya

mempunyai kesan yang sama dan mungkin mengatasi perubahan fizikal. Inilah antara

bentuk asas gerakan mahasiswa yang sebenarnya amat mustahak tetapi kurang diberi

perhatian. Amat jarang mahasiswa/siswi cenderung untuk mengkaji idea-idea doktrin-

doktrin, pengalaman-pengalama, perjuangan atau pergerakan Islam lain. Dari jumlah yang

sedikit itu pun amat payah untuk mencari pendokon-pendokong gerakan mahasiswa yang

bebas daripada bayangan kedaerahan atau tempatan. Yang sepatutnya mahasiswa perlu

mengkaji idea-idea perjuangan atau pergerakan walaupun ianya datang dari luar negara.

Mereka juga perlu berani untuk menerimanya, jika ianya terbukti membawa kejayaan yang

membanggakan.

Gerakan mahasiswa tidak boleh lagi menumpang bentuk gerakan lama yang mungkin

sudah tidak relevan buat masa ini dan abad yang mendatang. Pencarian dan penerokaan

method dan alternatif baru hendaklah dipergiatkan tanpa mengira sempadan masa,

tempat, rupa bangsa dan bahasa. Untuk tujuan ini usaha-usaha yang gigih dan berterusan

untuk berkongsi pendapat dan menimba pengalaman daripada gerakan-gerakan

mahasiswa luar negara perlu dilaksanakan. Ini juga menuntut kepada ikatan setia dan

persefahaman yang bukan sekadar bersifat tempatan bahkan antarabangsa.

Seterusnya menyedari hakikat kita berada di sebuah negara sekular, mana-mana gerakan

Islam khususnya gerakan mahasiswa perlulah mempelbagaikan bentuk pergerakkannya

asalkan tidak mengabaikan matlamat sucinya. Gerakan mahasiswa perlulah mewarnai

pergerakan mereka dengan pelbagai warna pergerakan dalam menghadapi realiti

masyarakat. Perlu difahami pergerakan mahasiswa bersifat yang ‘stereotype’ telah lama

7
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

dikaji oleh musuh-musuh Islam. Lantaran ini menuntut kepada pembaharuan method dan

strategi serta penggunaan segala peluang dan ruang yang ada. Sebagai contoh, dalam

membela nasib pelajar-pelajar di kampus, pendekatan bersepadu yang melibatkan semua

kumpulan pelajar yang dipimpin oleh gerakan mahasiswa Islam hendaklah dilaksanakan.

Inilah beberapa aspek bentuk pergerakan yang sekaligus berhajatkan kepada persedian-

persedian yang mantap di pihak pendokong-pendokong gerakan mahasiswa

Agenda Gerakan Mahasiswa

Tidak diragui lagi setiap gerakan Islam mestilah mempunyai agenda mereka

masing-masing. Begitulah juga halnya dengan gerakan mahasiswa. Sebagai mahasiswa,

mereka berhak menentukan agenda mereka tanpa ada campurtangan daripada mana-

mana pihak luar. Agenda mahasiswa secara idealnya tidak semestinya bersifat

komprehensif seperti agenda pertubuhan, persatuan atau jemaah di luar kampus. Ini

jangan disalah anggapkan yang gerakan mahasiswa tidak berhasrat untuk mencapai

kesempurnaan. Sebaliknya, secara logiknya tempoh mahasiswa yang berada di menara

gading dalam suatu tempoh masa yang pendek dan dibebani pula dengan pelabagai

tugas akademik tidak mengizinkan mereka untuk mewujudan suatu agenda pergerakan

yang bersifat komprehensif. Jesteru itu, jangan disalahkan mahasiswa jika mereka gagal

untuk bergerak secara komprehensif. Sekali lagi, oleh kerana dibayangi oleh masa yang

amat singkat dan tugas-tugas akademik yang banyak, gerakan mahasiswa perlulah

menentukan prioriti agendanya yang mungkin ada di agenda tersebut merupakan agenda

tetap gerakan mahasiswa. Dalam ruang yang terbatas ini, saya akan mengemukakan

beberapa agenda asas gerakan mahasiswa.

8
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Pertama: Agenda utama gerakan mahasiswa adalah untuk menentang kekufuran dan

kezaliman dengan menegakkan kebenaran dan keadilan hakiki. Kekufuran dan kezaliman

tanpa mengenal batas geografi, masa, siapa yang melakukannya, perlulah ditentang

habis-habisan. Gerakan mahasiswa tidak sepatutnya membiarkan golongan penentang

kebenaran terus menerus bermaharajalela. Atau membiarkan yang lapar akan terus

berlapar, manakala yang menindas akan terus berkuasa. Penentangan mestilah lebih

bersifat agresif dan padu jika ianya melibatkan persoalan-persoalan Aqidah dan Syari’ah

Islam. Dalam lain perkataan, golongan yang cuba mempersendakan agama, yang

mencucuk jarum-jarum halus sekular dan yang mencanangkan idea-idea songsang barat

perlulah disingkirkan oleh gerakan mahasiswa.

Kedua: Agenda untuk menjadikan universiti sebagai pusat pergerakan Islam juga patut

diusahakan oleh gerakan mahasiswa. Perlulah disedari, universiti-universiti adalah ibarat

sebagai pusat latihan atau kilang-kilang yang sentiasa mengeluarkan insan terlatih atau

hasil-hasil yang bermutu yang akan sentiasa berada di pasaran masyarakat. Golongan

inilah yang akan memegang jawatan utama dan tinggi sama ada dalam sektor awam atau

sektor swasta. Mereka inilah juga akan pemimpin masyarakat dan seterusnya negara.

Atau paling tidak, golongan inilah yang akan memimpin sekurang-kurangnya keluarga

mereka sendiri. Jesteru peri pentingnya universiti, gerakan mahasiswa perlulah berusaha

untuk menyemaikan benih-benih Islam yang benar kepada rakan taulan masyarakat

kampus. Jelaskan juga tentang kesempurnaan sistem Islam kepada semua kakitangan

universiti terutamanya dari golongan pensyarah-pensyarah. Panjangkan juga mesej Islam

kepada kawan-kawan di kalangan bukan Islam dengan mengharapkan pada suatu hari

nanti, Allah s.w.t. akan mencampakkan taufiq dan hidayah-Nya kepada mereka agar

mereka akan menerima Islam sebagai Ad-Din.

9
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Ketiga: Agenda untuk membina jaringan perhubungan yang luas juga patut dibuat oleh

gerakan mahasiswa. Perlu disedari gerakan mahasiswa akan lebih efisien jika mereka

mempunyai banyak sumber maklumat yang datang dari pelbagai variasi. Penguasaan

segala aplikasi sistem komputer dan teknologi maklumat juga patut dipergiatkan.

Perhubungan dengan masyarakat luar kampus hendaklah diteruskan. Gerakan

mahasiswa perlulah menjadi penyampai idea-idea baru dan benar kepada masyarakat

luar kampus. Selain itu, gerakan mahasiswa di universti awam, tidak harus melupakan

pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi Swasta. Pertukaran idea dan maklumat antara

kedua-dua belah pihak ini perlulah dipergiatkan.

Keempat: Agenda untuk menangani persoalan-persoalan semasa yang berlaku turut

patut dilakukan oleh gerakan mahasiswa. Menyelesaikan isu-isu semasa sama ada isu

sosial, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain perlu dianggap sebagai sebahagian

daripada tanggungjawab gerakan mahasiswa.

PENUTUP

Ramai orang beranggapan, kalau kita ingin melihat rupa gaya pemimpin masa

hadapan, lihatlah mereka yang menjadi pemimpin-pemimpin di universiti-universiti ketika

saat itu. Kalau lembab dan lemah pemimpin-pemimpin pelajar di universiti sekarang, maka

begitulah keadaan pemimpinnya pada masa akan datang. Kalau penakut dan pengampu

pemimpin-pemimpin mahasiswa sekarang, maka begitulah keadaannya di kemudian hari.

Kalau tiadanya karismatik dan kreativiti pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa sekarang

maka yang itulah bentuk pemimpin yang bakal lahir pada masa datang. Begitulah

sebaliknya jika pemimpin-pemimpin ini bersifat cintakan kebenaran hakiki, berani demi

keadilan, berpandangan jauh, sentiasa kritis dan analitis, maka Insya-Allah s.w.t.

pemimpin di abad mendatang akan jauh lebih berkarisma dan terkehadapan sifatnya.

10
Projek Pustaka Alaf Azhari Manhal PMRAM

Akhir kata kita mengharapkan ahli-ahli dan kepimpinan gerakan mahasiswa akan sentiasa

bersifat terbuka untuk menerokai idea-idea baru yang membina untuk menuju abad yang

mendatang.

Oleh: Mohd Rushdan B. Mohd Jailani


Pengerusi Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama’ Malaysia (SPPUM)

BIBLIOGRAFI

- Kalim Siddiqui, “Stages of Islamic Revolution” London, The Open Press, 1996

- Kalim Siddiqui, “Issues in the Islamic Movement” London, The Open Press, 1983

- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, “Islam and Secularism” Kuala Lumpur, ISTAC,

1993

- Abdul Rahman Abdullah, “Pemikiran Islam di Malaysia, Sejarah dan Aliran” Kuala

Lumpur, DBP, 1998

11